iDAN

07 Januari 2010

Merisik Narita (Singgahsana)


Dari Jenaris melalui Lebuh Raya Lekas ke Nilai 3 sekitar 15 minit sahaja aku memerlukan masa untuk membeli-belah di sana. Semalam aku & Afiz ke Nilai 3 untuk merisik Narita. Tak ada rupanya Narita di Nilai 3. Yang banyak cuma cadar & tilam gulung sahaja. Terdapat Toto tetapi ianya dijual berbentuk pakej RM35 dengan 7 barangan, cadar, sarung bantal dan lain².

"Hari itu ayah dah cakap kena beli di Sungai Besar tapi masing² tak mahu; ayah pun silap bawa Narita yang lama itu!" Aku pantang tenguk benda cantik, ada tawaran selimut kelamin RM30 macam cadar pengantin capai & beli. Selimu aku telah lama lusuh!. Cadar tebal ini sedap buat selimut!

"Beli sahajalah Afiz Toto dua helai, tindihkan dua!"

"Tak selesa nipis!"

"Beli saja tilam gulung tu!"

"Keras!" ada saja jawaban Afiz ini.

"Kalau macam itu guna yang lama sahaja, guna yang ayah baru hantar dobi itu ; Narita yang Afiz punya tu nanti ayah jahit & hantar dobi!" Narita yang Afiz guna setahun lalu telah lusuh!.

"Takkan tak ada di Kamdar ayah!"

"Mana nak cari Afiz, Narita ini hanya banyak di sempadan Siam, Pedang Besar, Bukit Kayu Hitam sempadan sana sahaja yang ada. Dulu memang ayah ingat ada di Nilai 3 ini, ada satu kedai Melayu jual tapi kedai itu ayah dah tak pasti, tak cam dekat mana!, hari pun dah malam entah² telah tutup kedai tu!"

"Ayah yang memandai datang sini buat apa? Pula tu nak paksa Afiz guna Toto yang nipis itu; membazir!" isk! menguji kesabaran betul!.

Aku pernah bilang pentingnya ada banyak Narita di rumah; paling tidak biarlah ada dua helai yang sentiasa bersih untuk tetamu. Mila belasah semua, lusuhkan semua. Nak ke Sungai Besar bukannya dekat!. Sungai Besar sahaja yang terdekat untuk membeli Narita. Aku tak pasti di Lembah Klang ini di mana ada jual Narita ini. Ana Tajul baru sahaja berceritera dia beli di Sungai Besar semasa tawaran baru RM31 sehelai. Selalunya harga biasa sekitar RM38. Tak mahal mana pun tapi kenapa benda penting macam ini tiada di sekitar Lembah Klang ini. Yang banyak di Nilai 3 hanyalah cadar tebal. Juga tilam gulung yang keras itu.

Akhirnya semalam aku hanya beli bantal kekabu & cadar tebal. Hilang langsung minat aku mahu mencari barangan lain. Cadangnya kut! nak mencari baju gedoboh. Lagi pun aku perlu bergegas ke Kajang semula, ingatkan mahu cari sangkar kucing. Ada seekor anak kucing ini kehilangan ibunya. Telah seminggu tidur dalam kotak.

Sekitar 9:00 malam aku telah berada di Jalan Semenyih; di sini banyak kedai ikan & binatang pelihara; hanya ada sebuah kedai binatang pelihara yang masih buka. Mahallah pula sangkar kucing ini RM60 lebih. Buruk rona hitam. Sementara ini biarlah aku taruh anak kucing itu dalam kotak. Esok cari sangkar burung mungkin murah sedikit banding sangkar kucing. Tak perlu besar sangat sangkar anak kucing seekor ini; nanti kalau si topeng beranak banyak barulah beli yang RM60 lebih itu.

Di Nilai 3 Selain kain ela banyak jualan permaidani, perabut & barangan hiasan rumah. Sebaiknya kena banyakkan juga barangan yang berjenama di Nilai 3 ini agar lebih ramai pengunjung yang datang. Mungkin barangan elektrik & barangan komputer. Pasti dapat sambutan. Semalam hari biasa sekitar jam 9:00 malam nampak pekan ini telah mati; senyap sunyi tanpa aktiviti yang meriah. Mungkin hanya hari minggu di sini akan meriah sampai ke tengah malam. Tapi aku memang suka ke sini melihat pelbagai barangan dari Siam & Tanah Besar China.

Perabut di rumahku pun beli di Nilai 3, memang murah berbanding dengan harga sekitar Kajang ini. Biasanya tauke di Nilai 3 akan berulang alik ke Tanah Besar Cina untuk membeli perabutnya. Penghantaran percuma. Ada kalangan tauke perabut di sini miliki kedai di Pasir Gudang Johor; jadinya antara Pasir Gudang & Nilai 3 selalunya tak dikenakan cas pengangkutan. Aku tak pasti dengan perabut jati apakah lebih murah berbanding di tempat lain. Banyak terdapat perabut jati di Nilai 3. Rambang mata jika anda memang peminat perabut jati.

Seperkara lagi di Nilai 3 juga ada pasar basah. Untuk makan bersama keluarga pun nampaknya semakin banyak restoran pilihan di sini. Ada juga terdapat barangan dari Sarawak. Barangan kraf tangan dari Sarawak dijual dengan harga yang memang berpatutan. Moh!lah ke Nilai 3, kalau pun tak mahu membeli belah amat baik bersantai atau menjamu mata melihat barangan hiasan yang memang menarik!.