iDAN

01 Januari 2010

Mencari Damai di Teluk Batik (Singgahsana)


149818 meter Avanza Mila mula bergerak. Aku tak cukup tidur sebenarnya. Sekitar tiga jam sahaja terlena. Cerah sahaja hari aku mula mengemas barangan. Sempatlah aku basuh Avanza Mila yang makin kusam. Masukkan barangan ke bonet belakang. Amat kecil ruang barangan Avanza ini, terpaksa menggunakan beg galas kecil². Kena berhati² betul menyusun barangan agar mendapat keselesaan dalam perjalanan. Jangkanya mahu bertolak sekitar jam 8:00 pagi nampaknya terbabas ke sekitar jam 9:00 pagi. Anak-anak memang liat nak bangun pagi; bagaikan tiada semangat mahu bercuti. Aku mengandaikan perjalanan sekitar 3 ke 4 jam jika kenderaan tidak sesak akan pasti sampailah ke Teluk Batik.

"Nak singgah Sungai Besar tak?... beli Narita!"

"Kalau memang nak beli buat apa bawa Narita dari rumah" Mila bersungut.

"Tak payahlah ayah sekarang pun kereta kita dah padat!" Afiz mencelah.

Ikut sukalah, tak singgah mana-mana lagi cepat sampai bisik hatiku. Ini masalahnya kenderaan kecil; MPV memang tak memadai kalau mahu membeli belah; apatah seramai kami telah memang ngam² muat tempat duduk. Narita bagi ku adalah keperluan asas dalam rumah tangga. Sebaiknya mesti ada dua atau lebih Narita bagi keperluan menyambut tetamu atau pun untuk keluar bercuti.

Aku menuju Puchong Shah Alam. Pernah beberapa kali kali aku mengikut jalan Kuala Selangor ini menuju ke Perak. Terbaru aku pergi kahwin Amar di Hutan Melintang. Jadi aku tidak bergantung dengan peta. Main redah saja mengikut papan tanda yang ada.

Ramalanku tepat sekali, tiada ganguan lalu lintas. Tak banyak kenderaan & aku begitu selesa meredah jalan kampung, dengan pipit di sawah padi, monyet di kelapa pun tentunya penjimatan minyak & tanpa tol. Cumanya jalan di sini agak beralun kerana tanah gambut!. Avanza hanya boleh bergerak 90kmj sahaja; lebih dari memang melambung-lambung jadinya. Memang kadar kelajuan sebegini yang selamat. Aku sekadar berhenti membeli rambutan, tiada yang rasa lapar atau mahu singgah minum air kelapa.

"Kita pastikan dulu jam berapa untuk daftar masuk kemudian baru kita pergi makan!" Jam sekitar 1:15 tengah hari. Kami telah sampai di Teluk Batik Resort; perjalanan yang mudah tak sesat pun.

- bersambung