iDAN

28 Februari 2010

Tasik (Delima Merkah)

sampai bila aku harus mengintai teratai rindumu..

Secebis ingatan semakin ghaib di liarnya belibis hatimu...

Kau biarkan harapanku bagaikan akar teratai tak jejak
di dasar impianmu...

Aku tak kisah terusan sesat bersama belibis sepi
di rimba lara...


27 Februari 2010

Aku sampai di Taman Rekreasi Gunung Datuk Rembau (Singghasana)

Semalam aku sempat singgah sebentar di Taman Rekreasi Gunung Datuk Rembau, Negeri Sembilan, menarik tempatnya. Dari Pekan Rembau sekitar 15 km ke lokasi. Perjalanannya tidak sukar lantaran jalan yang menghubungkan pekan Rembau & daerah Bongek amat selesa.

Sepanjang jalan Rembau ke Bongek banyak terdapat jualan hasil kampung, pisang, ubi, keledek & ulaman. Aku jumpa orang kampung asal Bruas berniaga di sini. Jauh lebih murah dengan harga di perjalananku dari Mantin ke Seremban. Petai di tepi jalan sekitar Mantin seikat lima papan berharga RM5. Di Rembau baru RM3 seikat dengan jumlah papan yang sama. 5 papan. Di sini juga banyak terdapat ulaman lain seperti jering & kerdas. Emmm! nak borong banyak pun cuma aku seorang yang suka makan berulam.


Terdapat chalet untuk bermalam & jika mahu berkempen juga amat damai lagi selesa di Gunung Datuk. Terdapat sebuah kantin & ruang parkir yang lapang. Air di jeram di sini amat jernih masih tidak tercemar. Cumanya jika mahu bermalam eloklah berkumpulan. Jika sekeluarga agak sunyi & jauh dari perkampungan.

Taman Rekreasi Gunung Datuk terletak 1 kilometer dari kampung Batang Nyamor. Terdapat tapak perkhemahan di puncak dan dikaki Gunung Datuk. Ketinggian Gunung Datuk 880 meter dari aras laut.


Dikatakan bahawa di atas ouncak Gunung Datuk terdapat kesan sebelah tapak kaki yang dipercayai tapak kaki Laksamana HangTuah - wallahualam

Hubungi
Abd. Rahman bin Hj Idris
Taman Rekreasi Gunung Datuk
Kampung Batang Nyamor
71350 Kota,
Rembau, Negeri Sembilan
Telephone: 06-4382390
Mobile: 013-6182264



Aku sebenarnya lebih teringin memancing tapi melihat ramai pengunjung yang mandi manda maka terasa seganlah pula mahu mengganggu mereka. Aku terfikir mencari lubuk di kaki air terjunnya. Aku jumpa beberapa lorong ke lubuk yang menarik tetapi seramlah pula lantaran nak masuk hutan sendirian. Akhirnya aku singgah di lubuk bawah sekali, kawasan tanah lapang & memang banyak ikan.


Nak jadi malang umpan cacing yang aku bawa semuanya ghaib, mungkin telah menjalar ke luar balang, mungkin juga mati lantaran aku telah lama tidak pernah memastikan ianya masih ujud di balang tersebut. Selalunya kalau aku tak habis umpan akan taruh ke dalam balang besar tersebut. Kira malanglah tu!.

Maka terkial-kial aku di dalam semak mencari cacing. Di Hutan Gunung Datuk payah mencari cacing rupanya. Aku pun satu tak bawa roti atau juga umpan lain. Sedang asyik mencari cacing hujan turun bukan main lebat. Huh! jam pun dekat 4:30 petang, selipar pula terputus. Aku batalkan sahaja niat memancing. Janji denganMila & anak-anak mahu jemput mereka di Taman Tema Air Panas Pedas sekitar jam 5:00 ke 6:00 petang. Lupakan lubuk Gunung Datuk.

Peniaga Pasar Malam Minggu di Rembau pun nampaknya telah mula menyusun jualannya. Sempatlah aku beli jagung bakar, putu bambu pun pulut panggang. Pulut panggang masih 3 ketul berharga RM1. Sayur seikat RM1 nampak agak besar ikatannya. Barangan basah di Rembau nampaknya masih murah. Ini seronoknya tinggal jauh dari kota besar atau jauh dari Lembah Klang ini.

Aku bertolak dari Pedas sekitar jam 5:45 petang singgah di Taman Tasik Seremban sampai dekat waktu maghrib. Jam 8:00 malam telah sampai di Jenaris ikut Lebih Raya LEKAS. Betapa cepat & pantasnya perhubungan kini.

Taman Tasik Seremban

Mendaki sambil kutip sampah

Keletihan memang tidak dinafikan tetapi yang paling utama ialah misi kami telah mencapai matlamatnya berkat daripada kerjasama semua pihak.




JIKA sebelum ini, pendakian kami ke Gunung Datuk (2,886 kaki atau 870 meter) dari paras laut di Negeri Sembilan sekadar untuk memenuhi impian ke puncak gunung, tetapi kali ini kami membawa misi untuk melakukan kerja amal dengan membawa sampah turun dari gunung tersebut.
Kami menjangka akan membawa turun seberapa banyak bahan buangan yang ditinggalkan pendaki sebelum ini. Antara yang biasa dibuang oleh pendaki ialah botol air mineral, plastik, kotak rokok dan pelbagai sampah sarap daripada pembungkus makanan segera seperti mi segera dan lain-lain.




Aktiviti kali ini disertai seramai 14 orang ahli yang ditaja oleh Kelab Sukan & Rekreasi Inter-Pacific Kuala Lumpur atau ringkasnya S.C.R.I.P.S.
Atas kesedaran dan sokongan untuk memelihara alam sekitar, pendakian ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada semua ahli untuk menyumbang kerja amal secara sukarela bagi membersihkan kawasan pendakian dan sekitarnya.
Memadai dengan mendaki gunung yang tidak terlalu tinggi dan kerja amal ini dilakukan mengikut keupayaan setiap peserta. Apa yang pasti waima hanya berjaya menawan puncak gunung yang rendah, kami berasa bangga dengan kerja-kerja yang kami jalankan.
Kali ini, kami mendapat kerjasama yang baik daripada Rahman yang bertugas di Taman Rekreasi Gunung Datuk. Rahman juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama-sama membersihkan kawasan pergunungan Gunung Datuk.


ANGGOTA ekspedisi dua dalam satu iaitu mendaki gunung sambil menjayakan kerja amal di Gunung Datuk.


Taman Rekreasi Gunung Datuk ini ditadbir oleh Koperasi Gunung Datuk Rembau Berhad yang menyelia dan menyediakan segala kemudahan dengan bayaran yang berpatutan. Tapak perkhemahan yang luas dilengkapi dengan kemudahan elektrik, air, tandas, chalet dan dewan serbaguna untuk kegunaan pengunjung.
Di kaki Gunung Datuk juga terdapat aliran sungai yang mengalir jernih dan sejuk sesuai untuk mandi-manda dan bersantai bersama keluarga.
Kami sampai di kaki Gunung Datuk pada pukul 10.00 pagi dan membuat senaman regangan otot sebelum memulakan pendakian. Setelah semua persediaan lengkap, kami berasa tidak sabar untuk menawan puncak gunung sambil membawa turun sampah.
Kebanyakan peserta yang mengikuti pendakian kali ini adalah orang baru yang pertama kali mendaki gunung. Mungkin ini yang menyebabkan mereka berasa teruja untuk mendaki, manakala bagi kami yang pernah mendaki, keselamatan peserta amat diutamakan dan misi utama perlu dilaksanakan.
Semasa mendaki, kami akan mengutip dan mengumpul sampah di laluan bersebelahan trek untuk memudahkannya dikutip apabila turun nanti. Ini kerana kebiasaannya, di bahagian puncak gunung lebih banyak sampah yang perlu dibawa turun.
Terdapat juga tangan nakal pendaki yang menconteng batu, pokok, tanda aras ketinggian dan papan tanda nama pokok dengan nama mereka dan pelbagai tulisan yang mencacatkan keindahan alam semula jadi.


LIMA pendaki bersama bungkusan plastik berisi sampah yang dibawa turun.


Hujan pada malam sebelumnya menjadikan trek lebih licin dan berbahaya semasa mendaki di laluan berbatu dan curam. Pacat juga menjadi teman setia kepada setiap peserta dan inilah lumrah yang perlu dilalui oleh setiap pendaki.
Trek basah memberikan kami lebih cabaran semasa mendaki. Hanya akar pokok menjadi pautan kami untuk terus mendaki ke puncak.
Dari awal permulaan mendaki hingga sampai ke puncak, banyak sampah yang berjaya dikumpul. Kami sampai di puncak sekitar pukul 1.30 petang. Peluang berada di puncak tidak kami lepaskan untuk bergambar dan berehat seketika.
Sekitar pukul 2.30 petang, kami mula bergerak turun dengan membawa sampah yang ditinggalkan pendaki terdahulu di puncak gunung. Sampah dikutip, dikumpul dimasukkan ke dalam beg plastik berwarna biru. Secara purata, kami dapat mengumpul lima beg plastik berisi botol mineral dan plastik makanan. Sesungguhnya kerja amal yang dilakukan ini tidak mengharapkan sebarang imbuhan tetapi ia adalah khidmat kami kepada pemuliharaan alam sekitar secara percuma.
Sebelum ini juga, terdapat pendaki yang membawa turun sampah dari puncak gunung dan ini secara tidak langsung memudahkan lagi kerja kami.
Jika orang lain boleh melakukan sesuatu yang berfaedah kepada alam sekitar, kami juga mampu melakukannya. Cuma diharapkan kepada masyarakat keseluruhannya dan pencinta alam sekitar agar bersama-sama mempertahankan kebersihan pergunungan kita daripada dirosakkan oleh kehadiran sampah sarap yang menyakitkan mata melihatnya.
Kita juga tidak boleh hanya mengharapkan pihak taman rekreasi sahaja yang membersihkan kawasan pergunungan. Diri kita dan masyarakat sendiri perlu diterapkan satu amalan kebersihan yang akan diikuti oleh orang lain.


Sebagai sebuah kawasan rekreasi untuk seisi keluarga, amalan kebersihan boleh diterapkan kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Kita bukan hanya mengharapkan kebersihan persekitaran rumah, tetapi di luar kawasan juga perlu dititikberatkan kerana kebersihan itu perlu menjadi amalan hidup kita.
Gunung Datuk juga pada masa kini telah bertambah bilangan pendaki dengan siapnya beberapa buah chalet yang boleh disewa. Bagi yang berkeluarga, taman rekreasi ini adalah salah satu tempat sesuai untuk beriadah di hujung minggu.
Sekitar pukul 5.00 petang, kami sampai semula di kaki gunung dengan membawa hasil sampah yang dikutip. Keletihan memang tidak dinafikan tetapi yang paling utama ialah misi kami telah mencapai matlamatnya berkat daripada kerjasama semua pihak.
Keletihan dan keseronokan jelas terbayang pada wajah setiap ahli yang mengikuti aktiviti ini. Khemah kami dirikan sebelum malam menjelma bagi merehatkan badan. Kami juga menyediakan menu malam yang ringkas bagi mengalas perut sebelum pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.
Berakhirnya catatan aktiviti kali ini tidak bermakna tiadanya aktiviti akan datang. Kami dari S.C.R.I.P.S akan sentiasa memikirkan sesuatu aktiviti bermanfaat kepada ahli dan masyarakat amnya. Jika manusia memerlukan penjagaan sempurna, alam semula jadi juga memerlukannya.
Kosmo!

24 Februari 2010

Kementerian Pelancongan Malaysia kena baca ini (Delima Merkah)

Blogger iDAN berkata...

Saya ada talian telefon bebas tol tajaan Streamyx... di antara talian tetap ke talian tetap seantero Malaya; maka banyak tempat peranginan yang telah saya telefon & buat bandingan.

Pihak hotel ini macam berpakat; rata-rata jika mahu selesa menginap di mana-mana penginapan keluarga sebesar saya ini; enam orang, empat dewasa dua kanak-kanak terpaksa mengeluarkan sekitar RM350 (Resort 2 atau 3 bilik) bagi satu malam. Ingat iyer ini baru kos penginapannya. Tak masuk makan, perjalanan & beli belah.

Jangan tanya hotel 4 atau 5 bintang bagi Kamar Keluarga rata-rata RM500 ke atas. Bagaimana orang biasa nak melancong ni!.

Dalam kajian saya Melaka agak murah, terutama di rumah rehat tepi pantai. Sekitar RM200 kita boleh selesa sewa dua Kamar Keluarga di sana. Itu pun atas usaha individu, buat rumah penginapan sendiri. Malahan disediakan pakej untuk makanan yang berbaloi buat seisi keluarga.

Rumusannya ketika keluarga kecil anak baru seorang dua; puaskanlah melancong sebab memang kosnya amat rendah & banyak pilihan.

Sudah tua begini kena fikir dua tiga kali kalau mahu melancong dengan keluarga. Kementerian Pelancongan Malaysia sebaiknya kena memberikan syarat; mesti ada potongan bagi Semua Rumah Penginapan seMalaya; baik hotel, chalet, resort segala.

Potongan Untuk Keluarga Besar; Golongan Bersara, Warga Emas, Ibu Tunggal ramai tanggungan & jangan lupa Orang Kurang Upaya (OKU). Kasihan golongan ini asyik stres & duduk rumah sahaja. Jangan mimpi nak tidur di hotel 5 bintang guna duit sendiri.

Apa ertinya pembangunan jika hanya untuk golongan bangsawan atau pelancong dari negara maju semata; golongan rakyat marhaen sekadar bentang tikar mengkuang, balik hari, jika mahu berkelah atau ke mana-mana.

Lagi pening, jika waktu padat lagilah mahal bayarannya. Gila ke apa semua syarat yang diluluskan ini. Mahu untung berganda.

2:52 Pagi

Bagi rakyat marhaen Balik kampung juga bagaikan melancong.


Rakan saya yang baru balik dari UK sekitar 5 tahun tinggal di sana. Dia amat terkejut dengan melambungnya harga barangan di Malaysia. Sampai dia takut ke TESCO jika cuma ada RM50 di tangan. Dia kata di UK jika ada GBP50 duit mereka sarat troli, tak mungkin muat bakul jinjing. Barangan makanan maksudnya. Buahan ikan segala.

Dia pelik tenguk harga durian, seakan sama harganya 5 tahun lalu. Nampak sangat durian banyak di kampung Melayu atau di hutan milik Orang Asli. Golongan ini tak asyik nak buat duit berganda. Tak sampai hati nak naikkan harga. Kenapa pengusaha hotel tidak begini. Mahal sangatkah nak bayar lesen tiap tahun. Hotel telah gah tersergam indah, kenapa tiada pengunjungnya.

Hujung tahun lalu saya tidur di Teluk Batik Perak. Ada saya catat dalam blog ini. Pihak resort sanggup jadikan resort mereka bagaikan bangunan berhantu. Sunyi tak ada orang; tidak sekali menurunkan harga. Biar hantu jembalang tidur di resort mereka. Kerajaan kena buat kajian terperinci dalam masalah ini.

Wet World Pedas; Berendam di Air Panas (Singgahsana)


Sabtu ini kami sekeluarga akan ke Pedas; cumanya saya mungkin mencari anak sungai memancing. Tak pasti pasti apakah ada anak sungai di sana. Orang Pedas mungkin boleh kasi maklumat.


1. Kenapa pilih Taman Tema Air Pedas baca artikel di bawah ini; si Azim pun si Anif punyai banyak masalah kulit. Manalah tahu kut! serasi. Kami pernah berkunjung ke sana sekitar tiga tahun lalu. Masa itu harga tiket sekitar Rm8 Dewasa, kanak-kanak bukan ikut umur!; ada ukuran di luar pintu masuk; 85cm ke atas sahaja kena bayar. jika anak anda tinggi belaka jangan mengeluh pula terpaksa bayar harga dewasa.

Sekarang Dewasa RM10 & Kanak-kanak RM8. Jika anda anda rendah & kecil belaka bermakna percumalah!.

2. Kenapa pilih Taman Tema Air Pedas. Perjalanan yang menarik, tidak sesibuk Taman Tema Air di Shah Alam yang tiket di sana lebih kurang. Jika anda dari KL mungkin mudah ikut Lebuh Raya Plus KL Seremban; turun tol Senawang & menuju ke Tampin.

Jika anda dari Cheras, Kajang anda akan menjimat masa ikut Lebuh Raya yang baru dibuka. LEKAS turun tol Mantin Kadar RM4 menuju ke Seremban. Dari Seremban carilah Jalan Za'ba mengarah ke Senawang atau Tampin.


3. Sering ada jual petai di sepanjang jalan LEKAS; baru ini aku beli 3 ikat petai baru RM10. Cantik petainya. Seikat tak kurang dari 5 papan. Hampir nak sama harga petai (Parkia Speciosa) di Tapah Perak. Jika aku balik ke Kota Bharu Perak, aku suka sangat ikut jalan lama singgah kejap beli petai di Tapah. Sambal udang taruh petai adalah makanan kegemaran Azim.



Jika anda melalui LEKAS, pastinya anda akan dapat singgah di bandar Seremban boleh singgah melihat Muzium Negeri Taman Seni Budaya di sini.

Nikmat Air Panas

Sumber: Harian Metro

Nikmat air panas
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my

TAMAN Tema Air Panas Pedas di Rembau , Negeri Sembilan (WWRPHS) mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong tempatan dan luar negara.

Taman tema ini menggunakan sumber air panas semula jadi yang dikatakan ditemui penduduk di situ sejak abad ke-19.

Kolam air panas ini dikatakan pernah digunakan tentera

Jepun dan Inggeris untuk memulihkan luka akibat peperangan.

Air panas itu dikatakan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit serta lenguh sendi dan melegakan otot badan serta saraf yang tegang.

Ada pengunjung datang dari Thailand, Jepun dan Singapura untuk mengubati pelbagai penyakit.

Kini, kolam yang mempunyai kepanasan suhu mencecah antara 28 hingga 46 darjah Celcius itu sudah dinaik taraf menjadi taman tema air.

Ia dikenali dengan nama Wet World Resort Pedas Hot Spring pada 1998 sebelum dibuka kepada orang ramai pada 1999.

Pengurusnya, Thomas Yeo, berkata sejak dibuka, taman tema itu mendapat sambutan di luar dugaan sehingga menjadikan taman itu antara destinasi pelancongan popular.

Menurutnya, setiap hujung minggu, antara 5,000 hingga 6,000 pengunjung datang ke taman tema itu.

"Ada kolam air panas mendidih akibat pemanasan magma dalam bumi manakala airnya mengandungi kalium serta pelbagai bahan organik yang sesuai untuk kesihatan.

"Ia boleh dikategorikan taman tema pertama di negara ini menggunakan bekalan air panas semula jadi. Uniknya, airnya tidak mengandungi unsur sulfur," katanya.

Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung termasuk kolam besar untuk kanak-kanak dan orang dewasa mandi.

"Kita mempunyai restoran, surau, gimnasium, bilik persalinan, gelanggang tenis, kedai cenderamata dan kolam renang.

"Kita juga mempunyai 'kolam refleksologi' dan kolam ombak buatan setinggi 1.6 meter di tengah taman ini.

"Kanak-kanak boleh bermain ombak di sini tanpa perlu ke laut," katanya.


Di sinilah air panas semula jadi untuk anda berendam.
Mengandungi kalium serta pelbagai bahan organik untuk kesihatan anda.


>Taman tema itu dibuka setiap hari bermula dari jam 1 petang hingga 7 malam manakala pada hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 petang.

>Pengunjung dikenakan bayaran masuk RM10 bagi dewasa manakala kanak-kanak RM8 dan mereka yang menjadi ahli kelab bakal beroleh manfaat dengan harga potongan 10 peratus.

CARA KE SANA: Terletak di Kilometer 20, Jalan Seremban - Tampin dan pengunjung yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan boleh turun ke Plaza Tol Senawang dan terus menuju Jalan Seremban - Tampin.

Pengunjung juga boleh datang melalui Lebuhraya Utara Selatan dan masuk di laluan susur keluar Pedas/Rembau sebelum mengambil jalan lama Tampin-Seremban. Perjalanan dari bandar Seremban ke WWRPHS pula mengambil masa kira-kira 20 minit.

(Tetiba Azim kata nak ke Times Square Cosmo's Thame Park pula. Alasan kukuh ibunya ada kad kredit yang memberi potongan 20%. Maka besar kemungkinan tak jadi ke WWRPHS, Huh!)

23 Februari 2010

Catatan (Singgahsana)


Catatan 1
Kelompen

Sesekali balik kampung mendekatkan kita dengan alam,
Pada-Nya Maha Pencipta.
Di padang terbentang, hijau hutan merimbun pandang,
teduh dan tenang.
Kita menjadi asyik, menghitung dan membilang,
terlalu banyak nikmat-Nya tiada terkira
lantas kita panjatkan kesyukuran tiada tara.
Betapa alam adalah anugerah.
Dengan rezeki melimpah.
Makmur dan bertuah.

Catatan 1a


Saya sedang berangan nak buat hutan simpan, saya tak minat dengan kelapa sawit, saya ingin melihat tanah paya kembali dijagai & pokok teratai mula mengembang.

Sekarang kalau kita tanya mana rupa pokok bakung pun ramai tak kenal. Sedangkan ianya amat indah di celahannya puyu bertelur. Anggerek berkembang. Belibis mencari udang atau bersarang.

Baru hujung tahun lalu saya balik kampung; semua pokok bakung yang indah ini telah dibuang, kononnya nak diternak ikan di sana.

Kita tidak pernah sayangkan alam sebenarnya, tenguk hutan di Puchong Selangor; habis gondol tak pasti tinggal berapa % yang masih selamat.

Cuba kita turun dari kapal terbang, lihat bagaimana sekitar KLIA habis bumi ini dibangunkan tanpa menjaga hutan. Sedangkan herba di hutanlah ubatan kita. Herba di hutanlah penyembuh banyak penyakit. Herba di hutanlah lebih mahal nilai berbanding kelapa sawit atau getah jika kita rajin majukan & terusan membuat penyelidikan. Yang kita tahu hanya Tongkat Ali. Sebut khasiat pucuk sentang, jering, petai, kerdas semua itu kita tak akan percaya lagi.

Saya sayang amat akan hutan, tapi nampaknya kita bukan saja melupuskan hutan, warga hutan & Tanah Orang Asli pun kini kita mahu rampas. Kera & monyet di kampung saya pun tak tahu mana lagi hutan buat mereka berteduh.

Demi kemajuan!; Cuba tenguk Penang & KL. Kemajuan untuk siapa?.

Kemudian kita tuduh bangsa kita, bangsat & tak tahu buat harta. Malas asyik nak bertongkat dengan subsidi kerajaan. Betulkah dakwaan ini?.

Saya amat sayang hutan. Nak jadi orang hutan.


Catatan 2
V.I.C @ D.I.A.N.A

Apa ada pada bandar yang hiruk..
Sedang ada permai di kampung ceruk..

Ada apa pada langit bangunan besi..
Sedang langit biru lebih seri..

Ada apa pada kereta yang bersesak di jalan..
Sedang ada damai pada kawanan ternakan..

Ada apa yg dikejar di sana..
Sedang yang dicari ada di sini..
Lumrah manusia kini..
Barangkali..

Catatan 2a

Saya sering menemui rakan & taulan di alam maya yang amat menyayangi kampung halaman tetapi saya amat pelik bila berbual dengan rakan sekerja.

Umpumanya abg Isa, Ulan, Pak Wahid & ramai lagi. Kata mereka;

"Balik kampung telah tiada makna, semua orang muda yg tak kenal kita, rakan lama semua telah pergi entah ke mana?"

Apa mereka tak rasa, bila telah bersara begini, siapa sebenarnya rakan kita. Siapa datang bertandang, siapa menyapa kita. Semakin sifarlah.

Mungkinkah mereka tak ada tanah dusun terbiar seluas pusaka kami. Saya amat risaunya terbiar.

Yang sedihnya saya tak punya kudrat & kewangan yg cukup bilamana org rumah sendiri mahu mati di kota ini.

Seperkara lagi jika mati di Jenaris berkubur bersama Mona Fendi & banduan. Mati di kampung halaman bersama pusara emah & apak yang dirindui.

Kalau kita boleh memilih nak pilih yg mana?

(Biar pun org kata kubur itu bukan ketentuan kita!.)

Catatan XYZ

aku mahu berbedak dengan lumpur
aku mahu bermandi dengan peluh

aku ingin bermain dengan samai
aku ingin mengorek buah tepus
aku mahu pikat burung pipit
aku mahu menjinakkan burung punai

ooo kawan durian dah berbunga!

aku mahu biakkan puyu
mahu melihat buih ikan pilai lawan
mahu lihat belibis bertelur
atau senyum ikan kaloi di telaga
sepat ronggeng beronggeng

aku mahu tebas pusara ibu & apak
aku tak mahu dengar sergah mona fendi

aku nak balik kampung
tanpa kampung bagaimana lagu balik kampung
mahu segar asyik diputarkan.

22 Februari 2010

Moh! Balik Kampung (Singgahsana)

apa janji kota sana...

sedangkan dusun kasih kita makin terbiar...

(klik imej jika mahu melihat indahnya cahaya di desa turun dari awan)


19 Februari 2010

Percy Jackson & the Olympians (Hiburan)

Minggu lalu aku & anak-anak menonton filem Percy Jackson & the Olympians. Filem fantasi yang agak menarik bagi awal tahun ini. Paling aku suka adengan naik perahu di neraka. Dibayangkan bagaimana neraka itu bertingkat-tingkat. Banyak adengan yang jarang kita dapat lihat di filem biasa, kecuali mereka yang mengikuti perkembangan filem Harry Potter, Narnia, The Lord of the Rings atau filem fantasi Hollywood yang lain.
Menarik filem ini jika mahu ditonton bersama keluarga.


Judul Film : "PERCY JACKSON AND THE OLYMPIANS: THE LIGHTNING THIEF"
Jenis Film: - Fantasy
Pemain:

- Logan Lerman, Brandon T. Jackson, Alexandra Daddario, Sean Bean, Pierce Brosnan,Steve Coogan, Rosario Dawson, Uma Thurman

Sutradara:

- Chris Columbus

Penulis:

- Craig Titley

Produser:

- Mark redcliffe

Produksi:

- 20th Century Fox

http://www.foxinternational.com/percyjackson/

Sinopsis:

Film "PERCY JACKSON AND THE OLYMPIANS" ini menceritakan sebuah petualangan seorang anak remaja titisan dewa yang bernama Percy Jakson. berawal dari hilangnya pedang petir milik dewa Zeus yang dicuri oleh salah satu keturunan dewa, Percy dituduh sebagai pencuri pedang tersebut dan menjadi buruan para dewa jahat yang hendak memiliki pedang dengan kekuatan luar biasa tersebut.

Saat mengetahui bahwa dirinya memiliki jiwa setengah dewa, percy terperangkap dalam pertempuran antara titan Olympus. Demi memperjuangkan bahwa dirinya bukanlah pencuri pedang Zeus Percy harus membayar mahal dengan disandra Ibu kesayangannya oleh dewa api yang tidak lain adalah Pakciknya sendiri.

Dalam misi untuk membuka tabir siapa sebenarnya pencuri pedang tersebut Percy bersama salah satu pengawal setia dan seorang wanita cantik mengalami petualangan yang mendebarkan.

Dengan kekuatan yang dititiskan ayahnya yang juga seorang dewa, Percy selalu mendapat bisikan alusinasi yang membimbingnya dalam memecahkan misi rumit tersebut. Sebagai titisan Dewa laut yang memiliki kekuatan mengendalikan air, Percy pun selalu tertolong oleh kekuatan air.

Ulasan :

Film "PERCY JACKSON AND THE OLYMPIANS" merupakan film bergenre fantasi/ fiksyen, berdurasi 120 minit filem ini mengajak penonton menyaksikan sebuah tontonan yang memiliki kualiti terbaik. Dengan audio effek serta visualisasi yang menakjubkan dan nyaris sempurna. filem arahan sutradara Chris Columbus ini layak dinobatkan menarik & sempurna.

Dengan skrip alur cerita yang menggabungkan zaman moden dan zaman kuno serta efek gambar yang sangat baik filem ini dapat dinilai sangat baik. Jalan cerita yang berkesinambungan dan memiliki adegan-adegan mencemaskan serta audio effek yang mendukung setiap adegan action memberi kesan filem ini sangat hidup.

Memadukan sajian aksi-aksi yang tak pernah terbayangkan oleh kita serta penggambaran tokoh-tokoh yang menyeramkan memberi kesan filem ini sangat mendebarkan hati penonton.

Memanfaatkan teknologi dan olahan gambar yang menakjubkan, filem ini memberikan gambaran jelas mengenai apa yang dibayangkan manusia akan sosok dewa serta kekuatan yang mereka miliki. Dengan menggabungkan perbedaan kedua zaman dan menvisualisasikan dalam satu filem cukup efektif memberikan kesan bahawa filem ini sangat layak untuk disaksikan oleh semua golongan.

Kabhi Kabhie 1976 (Hiburan)


20.2.10: Langkah TV2 menyediakan sarikata ketika lagu di Filem Kabhi Kabhie adalah amat dialu-alukan. Filem hindustan sering bergantung dengan lagunya. Dalam lagu sebenarnya ada ceriteranya. Bila lagu hindustan yang rata-rata diputarkan selama 5 minit lebih tidak disediakan sarikata maka akan terputuslah jalan ceriteranya.

Agar ZEE menyontohi TV2 lantaran dalam gemersik lagu hindustan tersimpan 1001 satu keindahan senikatanya. Sayang ini tidak apat dinikmati olah penontonnya.

Ada ketika penghujung filem dimuatkan lagu yang memutuskan jalan cerita, peminat filem hindustan sering terpinga-pinga tak tahu cerita sebenar lantaran kemalasan ZEE, TV3 atau saluran TV lain yang tidak menyediakan sarikata lagu. Malahan dengan mengamati keindahan lagu filem hindustan di samping falsafah cinta dalam lagunya pasti akan lebih dapat meruntun hati.

Tahniah TV2 agar menjadi contoh kepada saluran TV lain.

18 Februari 2010

Hidroponik (Delima Merkah)


Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Hidroponik (berasal daripada perkataan Greek hydro iaitu air dan ponos iaitu bekerja) adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan akar pohon ke dalam air baja (nutrien) tanpa mengunakan tanah. Kaedah ini menggunakan bahan seperti bulu mineral, sabut kelapa, pasir, batu bata pecah, habuk kayu dan lain-lain menggantikan tanah.

Penanaman secara hidroponik dilakukan oleh individu sebagai hobi dan juga secara besar-besaran untuk tujuan komersil. Di negara Singapura misalnya, oleh kerana kekurangan tanah, bumbung-bumbung bangunan dijadikan tempat untuk menanam sayur-sayuran seperti bak choy, sawi, kailan dan bayam di mana semuanya menggunakan kaedah hidroponik. Begitu juga, untuk penerokaan angkasa lepas, angkasawan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran di dalam kapal angkasa. Kaedah yang sama digunakan oleh tentera di atas kapal perang, maupun kapal selam. Dengan cara ini mereka tidak perlu membawa bekalan makanan yang banyak, hanya sekadar membawa benih-benih sayur-sayuran dan boleh ditanam semasa dalam perjalanan.

Sejarah

Mengikut sejarah, kaedah ini telah lama digunakan sejak kurun ke-16 Masihi. Taman Tergantung Babylon dipercayai telah menggunakan hidroponik ini sebagai satu kaedah penanaman tanaman. Pada tahun 1937, W.F. Gericke dari Pusat Penyelidikan Pertanian California, Amerika Syarikat telah memperkenalkan kaedah ini secara komersil. Sejak itu sistem hidroponik ini diperkembang dan diperkemaskan dengan pelbagai teknik yang direka khas sesuai untuk tujuan komersil.

Kelebihan

  • Tidak memerlukan tanah sebagai media tanaman.
  • Akar pokok boleh dipantau dengan cara mengangkat pasu dan melihat akarnya.
  • Pembaziran baja tidak berlaku; kerana air baja sentiasa dikitar semula.
  • Tidak perlu menyiram baja setiap hari.
  • Hasil tanaman boleh di makan keseluruhannya, sebab akarnya bebas dari kotoran dan penyakit.
  • Penyakit pokok tanaman dapat dikurangkan kerana banyak penyakit akar/pokok berpunca dari kandungan tanah.
  • Pengusaha secara komersial tidak memerlukan tenaga pekerja utk tugasan menyiram.

Kelemahan
  • Tanaman boleh mati dengan cepat jika sistemnya gagal.
  • Hidroponik lebih rumit daripada menanam menggunakan tanah.
  • Tumbuhan yang ditanam secara hidroponik selalunya lebih mahal daripada yang ditanam biasa.



Sila ke situs ini jika mahu melihat teknologi serba lengkap hidroponik

http://pertanianmjg.perak.gov.my/bahasa/hidroponik_takung.htm

Bunga Bakawali (Delima Merkah)


Misteri bunga Bakawali

Aku sering menyebut nama bunga ini, tapi tak pasti bagaimana rupanya. Tak sangka pula ianya dalam kumpulan kaktus & pelbagai pula rona & bentuknya.

Pokok bunga bakawali ini di kenali juga dengan nama saintifik nya Epiphyllum Anguliger. Nama lain bagi bunga ini juga ialah Ric Rac Cactus, Moon cactus dan Queen of the night.



Baunya memang semerbak wangi dan akan kembang pada waktu malam, dalam pukul 10.00 malam sudah mula kembang. Bau menjadi lebih wangi pada pukul 12.00am iaitu bila ia kembang penuh. Bunga akan layu bila dah pagi. Sekali sahaja ia kembang, lepas tu layu terus!.

Menurut kepercayaan orang-orang cina bahawa pokok bakawali boleh mendatangkan tuah dan rezeki sekiranya berbunga. Selalunya ditanam berhampiran dengan tempat mereka berniaga dan diikat dengan reben merah pada tiap-taip dahan. Mereka juga percaya sekiranya pokok Bakawali itu mati atau layu bermakna mereka akan mendapat musibah atau sial.


Orang-orang Melayu percaya ada orang Bunian akan berada berhampiran pokok bakawali semasa bunganya hendak kembang. Ada juga yang percaya bahawa terdapat seorang dewa dari kayangan yang menjaga bunga ini semasa ia kembang.

Ada juga yang percaya bahawa pokok bakawali ini mempunyai hubungan yang rapat dengan orang yang menanamnya dan percaya sekiranya tuan punya pokok meninggal dunia, pokok bakawali yang ditanamnya turut akan mati.

Walau apa pun, semuanya adalah kepercayaan semata-mata. Namun rezeki, malapetaka, jodoh dan ajal sudah pun ditentukan oleh Allah SWT. Jangan terlalu percaya kepada perkara yang karut kerana ia boleh merosakkan akidah. lebih baik manfaatkan saja khasiat yang ada pada pokok ini.


Khasiat Bunga Bakawali

Bunga bakawali juga dipercayai mempunyai khasiat yang baik untuk menyegarkan dan mencerahkan mata. Selepas subuh, ambil sekuntum bunga bakawali yang telah layu dan perah airnya. Perahan air embun pada bunga bakawali disapukan pada mata.

Setiap wang wangi pastinya ada makhluk halus yang suka. Jin pun ada Islam & kafir, maka tak hairan jika melintasi kubur ketika malam terbau sahaja haruman akan mulalah kembang bulu roma kita.

17 Februari 2010

KC 13 ♥ Bendang Jepun (Singgahsana)


Musim luruh kini, cuaca amat segar, angin basah sentiasa mengimbas diri. Aku harap mataku tidak bengkak menangis. Aku amat merindui Mila, telah melangkau 3 bulan aku di Jepun aku terlalu rindu akan suara Mila, aku rindu akan bait-bait surat cinta Mila.

Aku bagaikan patah hati, patah kata, patah ayat untuk menulisi buat Mila. Tapi aku kena menulis juga. Aku kena kasi alamat baru kut! kalau Mila tergerak mahu menulis buatku.

Di Juo Machi amat terpencil, aku sendirian di bendang Jepun. Antara damai & tidaknya, aku menyukai bendang sejak kecil lagi. Aku impikan melihat padi menguning. Impikan melihat burung pipit terbang berkawan. Tentunya impianku tinggal di tengah bendang Ilahi telah kotakan; amat mendamaikan. Melihat lebatnya padi di bendang terasa amat terujanya. Padi yang akan menjadi beras, beras Jepun melekat macam pulut. Tapi bila aku terbayang akan wajah kekasih hati bernama Mila, aku bungkam, sungguh aku sebah sendiri.


Hari ini hari Sabtu, jam 6:00 pagi lagi aku telah terjaga. Kesempatan bangun awal aku gunakan untuk mandi air panas. Jika lewat pasti orang Jepun akan mandi bersama. Bogel. Sudah rutin begitu. Di luar kamar mandi disediakan rak untuk pakaian & tuala. Hanya boleh masuk dengan tuala kecil untuk lap daki. Hanya tuala kecil itu. Paling aku segan mandi berbogel dengan mereka faham sahajalah kita orang Melayu bersunat. Jika ternamapak pasti kejutan buat mereka.

Setelah mandi koboi, sejuk sebenarnya pun risau diserbu Jepun bogel; aku leka melihat cantiknya sawah padi di perkampungan Jepun ini, buahnya tengah libat. Belum menguning, di sana sini terdiri banglow pesawah yang nampak mewah. Petani Jepun memang hidup mewah. Mereka dapat mengawal harga semasa beras yang tentunya sentiasa dapat menjamin kehidupan mereka. Dari jendela juga aku nampak tali air yang airnya jernih amat. Seluruh Jepun telah dibina tali air konkrit. PCI syarikat aku berkerja di Harajuku antara pemajunya. Aku pernah membuat lawatan tapak di bendang sekitar Yokohama.


"Monshi.. monshi.. HaridanSan!.." ada suara Jepun mengetuk pintu. Aku membuka pintu bilikku.

"Saya Tanaka!, bos kita hari ini ada hal, dia suruh saya kenalkan dengan semua pekerja & kita pergi melawat tapat binaan empangan. Kita makan dulu, saya nak kenalkan HaridanSan dengan emak angkat kita, dia tukang masak di sini...!"

Aku mengikut Tanaka ke tingkat bawah ke ruangan dapur. Ada tiga orang memakai baju rona coklat cerah berjaket sedang makan.


"Yang ini KatsuraSan bujang lagi!" Pakai kaca mata nampak muda sangat kulitnya telah terbakar. Biasalah terpaksa salam & tunduk beberapa kali. Aku menghulukan kad peribadiku.

"Ini pula EisakuSan dia telah berkahwin, esok hari paling gembira bagi dia!" hanya hari Ahad ofis ini ditutup itu pun ikut perkembangan binaan. Eisaku putih rambut ketak-ketak agak besar sasa. Mukanya Jepun sebiji.

"Ini pula orang paling lama kat sini, kira pangkat pakcik kita TakashiShan...!!" nampak ala tentera, pendek tapi nampak ligat, rambut dipotong nipis, tak perlu sikat. Mukanya agak serius. Nampak seorang yang amat sibuk.

Aku nampak ibu angkat Okaasan yang baru tengah sibuk sendirian di dapur.

"Itu tukang masak kita Noriko... NorikoSan, dah berumur tapi masih cergas!" aku ke ruang dapur mencapai tangannya yang basah & mencium biar pun Okaasan nampak terpinga-pinga. Sambil tunduk sebagai tanda hormat orang Jepun. Nampak senyumanya manis biar pun wajahnya nampak banyak kedutan; dalam lingkungan 60an.


Makananku telah diasingkan kerana aku kata tak makan daging. Cuma sayur & ikan sahaja. Ada telur yang telah digoreng, nasi & ikan bakar. Sayurnya nampak mentah bendi yang dipotong halus. Pagi lagi orang Jepun telah makan nasi. harum bau ikan bakarnya, panas lagi. Kacang bendi yang digaul dengan serbuk perasa, sekali makan telah membuatkan aku amat menyukainya. Aku memerhati rakan Jepun aku yang lain mengambil telur mentah dari peti ais, memecahnya di mangkuk kecil bercampur kicap & serbuk perasa digaul agar nampak kembang kemudian dicampur ke dalam nasi. Nampak pelik tapi aku pasti mahu mencubanya makan telur cara begini, apa rasanya. Rempah perasa ini aku tak pasti. Tapi dari botolnya aku tak nampak ada tertulis daging babi. Serbuknya memang sedap, apatah lagi jika digaul dengan bendi mentah yang dihiris halus. Rasa kayu manis, rasa jintan, lada putih, pelbagai aroma ada di dalamnya.


- Bersambung