"Bila pula ayah kau kahwin dua?" Zami nampak resah macam serba tak kena.
"Lama dah!, ingat ada 20 tahun lebih kut!" Aku mencongak umur Zami sekarang telah 45 tahun. Maknanya masa itu, masa ayahnya kahwin lagi dia telah kerja denganku. Pandai dia simpan rahsia.
"Maknanya ayah Zami kahwin ketika umur 40an, hari tu Zami ada cerita ayahnya baru berumur 60an kan?" Zami pernah ceritera padaku yang ayahnya makan ubat macam aku, darah tinggi & ada masalah jantung. Tapi kira okeylah telah berumur. 60an.
"Entahlah iDAN, aku tak faham kenapa telah lama berumah tangga tiba-tiba boleh terfikir nak kawin lagi, anak-anak telah besar ketika itu!." Setahu aku Zami bukan anak sulung, dia selalu ceritera tentang gerai makanan kakaknya di Kuala Kangsar.
"Jodoh orang tua kita Zami...! kita nak buat macam mana?, ayah aku pun kau tahu kan... kahwin tiga!" Aku jenis tak pernah berahsia.
"Kenapa tiba-tiba bangkit soal Mak Tiri ni! ada masalah ke?"
"Emak masih tak terima madunya, sekarang timbul masalah agihan harta. Emak aku kata dia yang banyak berkorban mengumpul harta tetiba ujud pula orang lain!"
"Mak Muda kau tu berapa anaknya!"
"Dengan ayah aku tu ada dua orang, anak dengan suami pertamanya seorang..." Berkerut dahi Zami "Itulah masalahnya setahu aku mana ada hak anak tiri dalam agihan harta faraid..., itu yang emak bising tetiba sahaja anak tiri ayah tu nak buat rumah kat tanah pusaka kami tu!"
"Anak tirinya tu lelaki ke perempuan?..."
"Perempuan!"
"Payah tu Zami, ngapa suaminya tak beli sahaja rumah yang tak mengaitkan tanah pusaka ayah Zami!"
"Itulah masalahnya, emaknya tak mahu anaknya berpisah jauh, menantunya orang Sabah!"
"Entahlah serba salah... kan?, aku rasa ayah Zami tak terfikir waris lainnya bising, dia pun kena jaga hati isteri mudanya!"
"Emmm! tanah emak tiri aku duduk itu pun masih nama emak, ayah tengah carikan tanah lain sebagai ganti!, biasalah hati orang tua-tua, dia teringat pokok-pokok buah yang dia tanam, buah bacang, binjai kalau ayah bawa balik emak tak nak usik pun!"
"Payah tu!"
"Aku risau ayah aku tu tak boleh susah hati!, sudah puas kami pujuk emak tu! tak payah fikir sangat soal harta dunia ini!, tak ke mana sangat pun kalau tanah tu didiami orang! waris ayah aku juga!"
Aku pun buntu memikirkan masalah rakan kerjaku Zami. Sebelah pihak ayahnya mungkin lantaran sayang amat isteri mudanya. Sebelah keluarga Zami mungkin berbelah bagi. Zami dengan keluarga tirinya biasa sahaja. Adik beradiknya ada yang okey! ada yang mengelak. Kalau hari raya ada juga antara adik beradik Zami yang lima orang itu tak bertandang pun rumah Mak Tirinya. Faham sahajalah kalau emak sendiri pun masih tak boleh terima madunya.
Aku pun tak pasti dalam masalah berpoligami ini. Bagaimana seorang suami boleh bertukar janji. Bila aku kenang-kenangkan kehidupan keluarga aku sendiri. Aku masih rasakan adik tiriku yang satu ayah lain emak bagai adik beradik sendiri tapi bila tua-tua begini mereka tak pun datang menjenguk aku. Aku sendiri tak tahu mana rumah adik-adikku itu. Mereka semua tahu rumah aku, malahan telefon rumah ini pun mereka tahu. tapi tak pun bertanya khabarku. Noi khabarnya masih di Terengganu. Nani katanya di Rawang & Rusli masih dengan emaknya di Bagan Datuk. Mereka adalah adikku daripada Emak Tiriku yang pertama. Mak Tiriku yang pertama Cik Feah masih hidup tapi rasanya telah hampir sepuluh tahun kami tidak pernah ketemu. Paling akhir aku tahu di Bagan Datuk Perak.
Aku masih terkenang dengan abang tiriku ayah si AC itu. Sebab sejak kecil memang tinggal sekampung; biar pun dia bukan anak arwah Apak tapi sejak kecil kami memang kenal rapat. Bgai adik beradik. Dia pun tak pernah bertanya khabar, kahwinkan anak pun tak jemput kami. Opah si AC arwah Opah Bi adalah Emak Tiriku yang kedua, isteri paling muda arwah Apak. Tiada anak dengan arwah Apak; ayah AC Dato' Zaini itu anak tiri arwah Apak. Anak tunggal arwah Opah Bi. Itulah hakikat kekeluargaan bila berpoligami. Masa kematian arwah Apak sahaja semuanya berkumpul. Sekarang telah lebih dari 15 tahun. Mungkin ramai semua telah tak kenal wajah. Apatah lagi anak saudara atau cucu cicit. Memang tak kenal.
Sementelah itu jangan berani berjanji, yang kononnya diri ini akan setia sehidup semati, sampai ke akhir hayat hidup bahagia berdua. Jodoh pertemuan sukar diramalkan. Terutama lelaki yang bergelar suami. Siapa tahu esok lusa suami senyap-senyap akan bernikah lagi. Kalau tenguk retak di tangan kananku memang aku beristeri dua, tapi aku yakin dengan retak sebelah tangan kiriku. Isteri aku hanya seorang sahaja. Mungkin retak di tangan kanan itu sekadar gangguan sementara. Tak terfikir pun mahu punyai cinta lain. Faktor paling kukuh adalah umur, kesihatan & ekonomi. Nampaknya semuanya menghalang diri untuk terfikir bernikah lagi. Biar pun ada kalangan pemblog di sini ada yang terfikir mahu punyai isteri muda. Lantaran mungkin diri muda lagi. Langkah pun panjang amat mencari rezeki. Mungkin tak pernah pun berjanji dengan isteri yang dia akan setia dengan isteri seorang hingga ke akhir hayat. Seharian sibuk kumpul harta & bercita-cita nak tambah cawangan lagi. Mungkin. Biasanya lelaki memang begitu. Tidak aku!.
- bersambung
Jangan Suka Berjanji 1