iDAN

29 Oktober 2009

Mana Satu Ni!? (Singgahsana)

Sepanjang hari ini aku makin keliru, mana satu perisian di laman web (Laman Sesawang) yang sesuai untuk berhubung dengan kawan-kawan yang jauh. Internet (dunia maya) semakin hari semakin banyak amat perisian baru yang memeningkan kepala ini. Sebahagiannya aku faham nak guna sebahagiannya aku rasa mamailah pula.

Jika dulu pilihan utama adalah MIRC, sebabnya ianya tidak menganggu Windows macam YM juga, muat turun perisiannya & install. Lancarlah nak bercit cat sepanjang hari. Masalahnya MIRC & YM terpaksa kita mengadap komputer tak boleh bergerak ke lain. Maksudnya kena benar-benar tertumpu kepada perbualan@cit cat. Aku paling menyampah bercit cat ini bila kita bertanya sesuatu bukan main lama baru dijawab, silap-silap kita tunggu-tunggu talian pun terputus. Terlopong sendiri. Buang masa betul. Pun terkadang rakan yang bercit cat dengan kita itu pula bukan hanya melayan kita, mungkin ada dua rakan bercit cat sekali gus, mungkin juga lebih dari itu. Akhirnya dia tutup komputer tanpa memberi salam. Bagus betul budi bahasa ICT ini. Kita di depan komputer tertunggu-tunggulah, tapi tak tahu apa matlamat & hujungnya perbualan kita.

Bagaimana pula jika kita menggunakan Webcam?. Pakai pembesar suara pelbagai. Tak semua berminat, kalau mahir pun payah nak berbual, ramai kalangan Makwe malulah pula wajahnya tak cantik di skrin; Itu yang jam 2:00 atau 3:00 pagi terpaksa tenyeh bergincu lagi sebab nak cit cat dengan Pakwenya guna Webcam. Nak menggodalah tu!.

Maka itu jalan terbaiknya adalah ruang forum, ruang forum ini lebih terbuka. Tetapi ramai pula yang tidak bersopan & terkadang menyakitkan hati berforum. Bahasa yang digunakan hantam sahaja. Al-maklumlah orang tak nyata, wajah pun tak kenal menyamar selalu.

Tadi aku cuba guna FaceBook katanya ramai yang guna ini & lagi mudah berbanding Tagged, MySpace, Friendster & banyak lagi yang aku sering guna. Banyak pula menu dalam FaceBook itu aku tak mahir gunakan lagi. Jadi tak semeriah mana rasanya. Mudah guna Tagged, siap boleh kasi tag yang pelbagai jenis. Berperang dalam Mafia War memang leka.

Bila aku menung-menungkan aku lebih memilih Blog ini atau pun Jurnal yang lebih mudah & tak banyak gangguan. Sayangnya tak ramai rajin menulis blog. Ramai sekadar suka membaca. Tak ramai suka memberi komen (Respon) ramai yang lebih suka pelayar senyap.

Bila kita menulis & kita bercerita tentang kehidupan kita, kawan yang rapat pun payah memberi respon. Memang rasa orang gila berceritera seorang-seorang, sampai bila. Lebih ramai orang luar atau rakan yang tidak dikenali yang rajin menyapa kita; rakan yang rajin menyapa ini selalunya mereka yang memang peramah di dunia maya. Mereka yang memang rajin bersapa di laman sesawang. Rasanya mereka ini memang takkan akan kekal jadi teman kita. Teman sejati. .

Rakan yang yang sebegini, kita tak kenal rapat ini biasanya akan mudah senyap sendiri. Ikutlah kelapangan dia. Jika dia memang banyak masa senggang maka dia akan menghubungi kita melalui respon jika tiada lagi minat dengan dunia maya senyaplah dia. Sendiri lagilah kita.

Lagi bagus jika tiap rumah ada telefon talian tetap, boleh bual panjang tak menghabiskan duit! sampai beratus RM

Aku boleh ingat rakan di dunia maya ini yang tetiba hilang. Antaranya Deqma, Joyahhh, Salwanie, Diny, SheRa, aNNa_KaReNiNa, abushi, Linn, Maya@Junn & ramai lagi yang memang amat rapat denganku di dunia maya. Ada yang pernah berjumpa, ada yang pernah bertelefon & ada juga mesra di alam dunia sahaja. Kehilangan mereka ini amat terasa & misteri. Di SMS pun tak berjawab di dunia maya memang tiada akan jumpa lagi. Telah tinggal bagaikan bayang-bayang.

Rasanya rakan di dunia maya ini yang masih kekal cuma seorang dua; Salah seorangnya memang agak lama kenal si NurulJB; itu pun kalau di SMS, nak katakan Nurul ini rajin kasi respon di blog, tak juga. Tadi nampaknya dia rajin pula klik FaceBook. Angin betul kadang-kadang bila kita rajin berblog rakan karib tak baca pun, bila nak berbual di YM sudah tak ada lagi mereka yang rapat di sana. MIRC rasanya tak tahu pun nak gunanya lagi; nak guna server mana pun tak reti.

Teringat YB, YB ini rakan sekerja tinggal sekampung dengan Sdr Mazidul. Tapi dia telah berpindah & jadi orang kaya di Perak sana. Hilangnya dia ni bukan main lama, sampai e-mel pun tak berjawab. Aku pula memang tak suka guna Telefon Bimbit. Aku bukanlah nak jadi kaya tapi pengalaman dia meneroka tanah di kampung ingin juga aku kongsi, kononnya nak korek pengalaman dia. Terpaksa hantar e-mel ke bosnya di Unipetronas itu, baru dapat talian tetap. Talian telefon bimbit bagiku adalah mengorek duit rakyat. Tadi dekat radio bilang kita guna SMS setahun pun berjumlah berbilion-bilion, tak siuman ke apa orang Malaysia ini. Kemaruk nak masuk Tadika semula. Taip satu-satu senyum-senyum sendiri. Kalau aku menaip lagilah teruk, mata sudah rabun nak tenguk skrin kecil itu. Tak sanggup. Yang kaya syarikat telekomunikasi. His!.

Aku telah hampir setengah tahun sewa suara di TMnet, berbual 24 jam hanya RM10. Boleh berbual Seantero Malaya. Masalahnya talian tetap ke talian tetap. Bagiku kemudahan ini adalah terbaik untuk kita menjalinkan ukhuwah. Tapi TMnet tu nak kaya juga kena pengguna Streamyx sahaja yang boleh melanggan sewa suara itu. Semalam aku tenguk tawaran semula ada diiklankan di TV3. Masalahnya sekarang kebanyak orang Malaysia semua sudah beralih ke telefon bimbit.

Orang kita sudah kaya belaka; Tak mainlah berbual di telefon bertali. Lebih sanggup guna telefon bimbit sewaannya rata-rata RM30 sebulan... untuk prepaid umpamanya, sudah sebagai satu kemestian@keperluan hidup. RM30 satu telefon, takkan satu talian sahaja paling tidak dua talian sudah menjadi RM60. Padahal bagiku duit sebanyak itu beli Beras Siam Wangi lagi bagus. Jika keluargaku dekat-dekatlah sebulan baru habis 10 kg beras Siam Wangi berharga sekitar RM30.

Mana nak guna kabel di rumah lagi. Mana nak cari orang guna talian tetap lagi. Ah! penat aku pujuk rakan di Tagged, nak berbual di talian tetap, dengan siapa pun tak sudi. Takkan asyik nak kacau rakan pejabat lamaku berkerja. YB antara rakan jauh yang ada talian tetap di pejabat. Payah juga nak kontak dia di pejabat. Di rumah mungkin dia guna Broadband Celcom ke apa!. Adoi! payahnya.

Sebulan aku guna prepaid sekadar RM10 ke RM20 sahaja masalahnya aku memang jarang buka telefonku. Aku pernah ceriterakan kenapa malas buka telefon bimbit ini. Buat fobia sahaja. RM20 itu berapa jamlah boleh bercakap berbanding dengan talian tetap tadi!.