Musafir Penerbangan
dan
Beberapa Permasalahannya
Hafiz Firdaus Abdullah
|
Kebiasaan kita tetap solat di atas sejadah atau
lampiran permaidani menyebabkan adakalanya timbul keraguan di hati fikiran
apabila berhadapan dengan suasana bersolat tanpa sejadah. Contohnya ialah solat
dalam pesawat yang tidak disediakan sejadah dalamnya oleh pihak penerbangan atau
solat di atas lantai yang tidak dihampar permaidani bersih atau solat di
bangunan terminal lapangan terbang yang tidak dilengkapi dengan surau. Beberapa
contoh ini menyebabkan kita tiada punya pilihan kecuali solat tanpa beralaskan
dengan sesuatu. Maka persoalan yang timbul - Adakah sejadah atau alas lapik
untuk bersolat di atasnya itu satu kewajipan hukum atau adakah penjelasan lain
di sebaliknya ?
Sebenarnya solat di atas sesuatu alas lapik
hanya merupakan satu anjuran sunnah dan ia tidak lebih dari itu. Dikatakan ia
sebagai anjuran kerana al-Qur'an dan as-Sunnah tidak pernah mewajibkan umat
untuk bersolat di atas sesuatu, malah sumber nas menerangkan bahawa umat Islam
boleh bersolat di mana sahaja di bumi ini seluruhnya. Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda:
Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara: Dijadikan
barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya
sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci apabila
kamu tidak mendapatkan air.[1]
Dalam satu hadith lain beliau juga
telah bersabda: Telah dijadikan bumi untukku menjadi alat bersuci dan
tempat bersujud. Kerana itu hendaklah seseorang di antara kamu solat di mana
sahaja ia dapat.[2]
Ditambahi lagi oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bahawa keseluruhan bumi ini
adalah masjid untuk umatnya dengan sabda beliau: Di mana sahaja kamu
dapati solat maka kerjakanlah ia. Semua tempat adalah masjid (bagi kamu).[3]
Dikatakan bahawa solat berlapik itu
adalah suatu sunnah yang dianjurkan kerana Nabi sallallahu-alaihi-wasallam
pernah bersolat di atas sehelai tikar sebagaimana yang diterangkan oleh isteri
beliau - Maimunah radiallahu-anha: Beliau (Nabi) mengerjakan solat di atas
sehelai tikar yang kecil yang dianyam dari pelepah-pelepah kurma (al-Khumrah).[4]
Malah di dalam satu riwayat lain dari A'isyah radiallahu-anha, Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam pernah meminta agar dibentangkan tikar untuk dia
bersolat di atasnya.[5]
Jikalau tiada tikar yang tersedia khas maka adakalanya beliau bersolat sahaja
beralaskan pelepah kurma sepertimana terang Hudzaifah al-Yaman radiallahu-anhu:
Satu malam di bulan Ramadhan (aku melihat) Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam solat dalam sebuah bilik yang berlantaikan pelepah
kurma.[6]
Jikalau tiada sesuatu untuk
dijadikan pelapik maka memadai di alas tempat sujud sahaja sebagaimana yang
dilakukan oleh para sahabat dalam hadith berikut:
Kami sering bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di waktu panas
terik. Apabila seseorang di antara kami tidak kuat untuk merapatkan mukanya ke
bumi (kerana tanah yang panas), dia menghamparkan kainnya lalu bersujud di
atasnya.[7]
Jikalau tiada
langsung alat atau sesuatu untuk digunakan sebagai alas untuk bersolat maka
dibolehkan solat terus di atas permukaan yang dipijaknya. Baginda Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat di atas tanah sekalipun ia dalam keadaan
becak dari kesan hujan sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Said al-Khudri
radiallahu-anhu: Pada suatu malam
hujan turun dengan lebat sehingga basah tempat solat Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam. Ketika berdiri dari solat subuhnya (iaitu
selesai solat), aku melihat wajah beliau terkena kesan-kesan air dan tanah.[8]
Walaubagaimanapun terdapat
beberapa pengecualian terhadap tempat-tempat yang dibolehkan solat di atasnya.
Solat adalah ibadah yang paling mulia di sisi agama dan dengan itu sudah tentu
dilarang perlaksanaannya di tempat-tempat bernajis atau kotor. Umar al-Khattab
radiallahu-anhu menerangkan dalam hadith berikut:
Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam melarang
seseorang mengerjakan solat di tujuh tempat - (1) tempat pembuangan sampah, (2)
tempat penjagaan dan penyembelihan binatang, (3) di kawasan perkuburan, (4) di
tengah jalan, (5) di tempat / bilik mandi, (6) di tempat pertambatan unta dan
(7) di atas Ka'abah.[9]
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh mengenai hadith di atas. Ada
yang memandang ia sebagai satu larangan yang tidak sampai ke tahap haram
manakala ada yang memandangnya sebagai sesuatu yang haram secara mutlak. Selain
itu ada yang berpendapat tempat yang kotor atau bernajis di atas seperti kawasan
pembuangan sampah, penyembelihan haiwan dan di tengah jalan - dibolehkan solat
dalamnya apabila ia dilapik dengan sesuatu alas manakala ada pendapat lain yang
berkata itu semua tetap juga tidak boleh.[10]
Di antara beberapa pendapat ini yang terbaik ialah seharusnya kita berusaha
sekuat mampu untuk mengelak diri dari bersolat di tujuh tempat terlarang
tersebut.
Kesimpulan dari himpunan
dalil-dalil di atas menerangkan kepada kita bahawa boleh mendirikan solat di
mana-mana kecuali di beberapa tempat tertentu yang kotor atau bernajis atau
tidak sesuai bagi menempatkan amal ibadah yang mulia ini. Solat di atas sejadah
atau apa-apa bentuk alas dan lapik adalah merupakan satu sunnah yang baik untuk
kita teladani tetapi ianya tidaklah mencapai taraf hukum yang mewajibkan.
Apabila seseorang itu mencari tempat untuk bersolat dalam pesawat terbang atau
di terminal lapangan terbang atau di mana-mana lain maka perhatikanlah garis
petunjuk yang diberikan oleh dalil-dalil di atas.
Kebiasaannya ruang yang agak
luas untuk kita bersolat dalam pesawat terbang ialah berhampiran pintu pesawat
dan di situ adalah tempat keluar masuknya orang ramai ketika di terminal dan ia
nyata tidak bersih. Maka oleh itu sebaiknya kita mempersiapkan sehelai sejadah
dari rumah sebelum memulakan penerbangan. Jikalau tiada atau terlupa maka
gunalah selimut terpakai, surat khabar atau apa-apa lain yang boleh dicari. Alas
sapu tangan atau kertas tisu tebal adalah juga mencukupi bagi dibentang atas
tempat yang akan disujud, bersandarkan perbuatan para sahabat dalam salah satu
riwayat di atas.
Selain itu lokasi ruang
untuk solat dalam pesawat selalunya berhampiran dengan bilik air; malah
adakalanya seseorang itu terpaksa terus menghadap bilik air untuk solat, samada
kerana arah qiblat ketika itu sememangnya di sana atau tiada ruang lain untuk
menukar arah solat. Maka dalam hal ini ketahuilah bahawa larangan solat
menghadap bilik air hanyalah merupakan ijtihad orang sebagai menghormati
kemulian ibadah solat dan ia bukanlah tegahan yang berasalkan sumber nas. Oleh
itu jikalau tiada pilihan atau alternatif lain maka teruslah solat berhampiran
bilik air sekalipun terpaksa menghadapnya.
Solat di bangunan terminal
yang tidak bersurau adalah juga mirip kepada penerangan di atas. Seseorang itu
harus mencari tempat yang paling bersih menurut perkiraannya dan kemudian
mengalas tempat tersebut dengan apa-apa yang mampu diusahakan. Sebolehnya
carilah tempat yang dipenjuru atau tersorok dengan mengelak tempat yang menjadi
laluan orang ramai sebagaimana hadith larangan di atas.
Jikalau tetap gagal mencari
tempat yang bersih atau gagal menutupinya dengan alas yang memadai setelah
diusahakan sekuat mampu maka seseorang itu tetap wajib solat seperti biasa.
Hanya sahaja kaedah sujudnya yang sedikit berbeza, iaitu bahagian muka tidak
disentuhkan ke permukaan. Dalam erti kata lain, seseorang itu sujud seperti
bentuk dan posisi yang biasa dengan kedua lutut dan tangannya mencecah permukaan
manakala mukanya direndahkan semaksima mungkin tetapi tidak sehingga mencecah
permukaan. Pendapat ini dihujahkan kesahihannya oleh Imam Ibnu Hazm dan ia
didokongi juga oleh ahli-ahli fiqh mutakhir seperti Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie
dan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili.[11]
Seseorang yang telah
berusaha sekuat daya tetapi tidak mampu menemui tempat solat yang bersih atau
alas solat yang memadai maka dia tetap wajib mendirikan solat-solat fardhunya
itu dalam suasana sebegini dan dia tidak perlu mengulangi solat tersebut di lain
masa kerana dia dipandang sebagai menghadapi situasi keuzuran agama yang nyata.
Demikian menurut majoriti para fuqaha. Hanya sahaja perlu dipastikan dengan
ikhlas bahawa dia telah benar-benar berusaha mencari tempat solat yang bersih
dan kekotoran yang wujud itu adalah benar-benar jijik dan bernajis besar, bukan
semata-mata lintasan hati yang ragu-ragu atau mencari helah kemudahan.
Walaubagaimanapun sebagai analisa perbandingan, qaul yang asah dari Mazhab
Shafie menerangkan bahawa seseorang itu wajib mengulangi solat tersebut apabila
dia berjaya menemui tempat yang bersih di kemudian masa atau ketika.[12]
Nota Tambahan
Terdapat perbincangan di
kalangan ramai mengenai kedudukan hidung apabila seseorang itu sujud dalam
solatnya - perlukah hidung menyentuh permukaan bersama-sama dengan dahi muka
atau adakah hanya memadai dengan dahi sahaja ? Hadith berikut yang tercatit
dalam kitab Sahih Bukhari
disajikan sebagai jawapan kepada persoalan ini.
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata:
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Aku diperintahkan supaya
bersujud di atas tujuh tulang, iaitu dahi. Ketika Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam mengatakan ini beliau menunjukkan isyarat dengan
tangannya pada hidungnya, bererti sewaktu sujud dahi dan hidung perlu menyentuh
ke bumi.
Kemudian beliau meneruskan sabdanya: Dan dua
tangan, dua lutut dan dua hujung telapak kaki, juga janganlah dia mengumpulkan (menggengam-P)
pakaian dan rambutnya dengan kedua tangan.[13]
Dari hadith di atas,
Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah menerangkan anggota-anggota sujud
iaitu dua hujung kaki, dua lutut, dua telapak tangan dan muka. Apabila menyebut
perihal muka, beliau menunjukkan bahawa bahagian muka yang perlu menyentuh
permukaan apabila sujud ialah hidung dan dahi seseorang itu. Oleh itu jelas
jawapan dari as-Sunnah bahawa bahagian muka yang perlu menyentuh permukaan
ketika sujud ialah hidung dan dahi.
Kesimpulan
1.
Mendirikan solat dengan beralaskan sesuatu seperti sejadah adalah suatu
perbuatan sunnah yang baik untuk diikuti tetapi ianya tidaklah wajib.
2.
Solat ditempat yang kotor dan bernajis adalah terlarang akan tetapi sebahagian
para ahli fiqh membolehkan solat di tempat sebegini jikalau dapat dialas
dengan sesuatu yang tebal dan tidak telus.
3.
Jikalau benar-benar tiada ruang lain untuk bersolat melainkan di tempat yang
kotor atau bernajis dan tiada punyai alas untuk digunakan, seseorang itu tetap
wajib mendirikan solatnya. Solat tersebut dikira sah dan tidak perlu diulangi
kecuali menurut pendapat Mazhab Shafie, ia wajib diulangi.
[1]
Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih,
1/725/186.
[2]
Maksud sebahagian dari hadith yang panjang, Sahih Bukhari -
no: 1/418.
[3]
Maksud hadith riwayat Imam Ahmad, Koleksi Hadith-hadith
Hukum as-Shiddieqie - no: 0564.
[4]
Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0626.
[5]
Ringkasan ajaran dari satu hadith yang amat panjang dari
Musnad Ahmad, 6/169.
[6]
Maksud hadith riwayat Imam Ibnu Abi Syaibah dalam
al-Musannaf, 2/90/2.
[7]
Maksud hadith dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, Sunan Abu
Daud - no: 0630.
[8]
Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 1330.
[9]
Maksud hadith dari Sunan Ibnu Majah - no: 0746. Hadith
ini diriwayatkan melalui dua jalur dan kedua-duanya pada asal adalah
berkedudukan daif tetapi hadith ini mempunyai banyak sokongan dan
hujah penguat dari berbagai riwayat-riwayat yang lain. Walaupun tidak sama
susunan kata tetapi mempunyai pengajaran yang sama. Lihat keseluruhan
himpunan hadith dan perbincangan mengenainya dalam Nail-ul-Authar, vol 2,
ms 244-262.
[10]
Huraian yang lebih mendalam lihat - Shaikh Sayid Sabiq -
Fiqh-us-Sunnah, 2/155-157, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi
Hadith-hadith Hukum, 2/326-335 , Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar,
2/244-262, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam,
1/596, Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah,
1/489-491 dan lain-lain kitab fiqh muktabar. Walaubagaimanapun yang
disepakati para ahli usul dan fiqh ialah haramnya solat di perkuburan samada
di atasnya atau menghadapnya kerana ia membuka pintu-pintu ke arah perbuatan
syirik dan kurafat.
[11]
Imam Ibnu Hazm - al-Muhalla, 4/27 ; Prof. Dr. Hasbi
as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/340 ; Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1-597.
[12]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/597.
[13]
Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no: 2/0761.
|
iDAN
03 Jun 2014
Musafir Penerbangan dan Beberapa Permasalahannya
Langgan:
Catatan (Atom)