iDAN

01 Jun 2010

Dulang Kehabisan di MyDin Kajang (Singgahsana)

"Banyak sangat aralnya Afiz, pertama kali nak keluar duit hari itu; ayah ditimpa hujan bukan main lebatnya!" aku lihat Afiz diam sahaja, nampak kebingungan. "Bila sampai di Pejabat Pos, komputer untuk akses ASB pula terputus sejak pagi lagi!" aku tak perasan nota kecil di depan meja kerani penyambut tetamu.

Aku cuba nak kejar ke May Bank tak jauh dari Pejabat Pos, punyalah lebat hujannya. Mencurah-curah bagaikan tak mahu berhenti. Sambil aku menanti hujan reda aku berbual dengan seorang pangkat Abang. Berwajah segak macho hitam manis. Rambutnya separuh beruban tampak@menampakkan kedewasaannya.

"Bagaimana agaknya pilihanraya kita di Sibu Sarawak nanti, berapa hari lagi iyer!?" aku sekadar berbual kosong menunggu respon sementara hujan tak mengizinkan aku beredar.

"Saya tak ambil tahu lagi tentang politik kita, penat! banyak sangat tak telus sana sini!"

"Bagaimana iyer pandangan abg tentang pilihan raya di Hulu Selangor baru-baru ini?" macam penganalisa politiklah pula aku ini.

"Saya tak yakin lagi dengan SPR, pilihan raya itu penipu sahaja; dengan majoriti 1,000 lebih rasanya undi pos itu yang banyak membantu BN pun menipu rakyat sahaja!" memang sebelum keputusan diumumkan BN begitu yakin merampas kawasan Hulu Selangor dengan majoriti lebih dari belasan ribu undi.

"Orang kita masih sayangkan UMNO, cina yang bagaikan telah berpatah arang dengan MCA!" aku bersuara.

"Bangsa kita tak celik, tak tenguk perubahan dunia luar, tak tahu pun yang rasuah di negara kita ini makin meningkat. Kehidupan kita pun semakin terhimpit; tau-tau anak atau adik pemimpin kita BN itu tercatat sebagai antara orang terkaya di negara kita; mereka bolot semua harta negara!" Dari wajah abang ini, dia seorang yang pemikir bukan cakap sesedap mulut. Dia jenis yang membaca. Bukan seperti apa yang dia kata, "Malas nak ambil tahu tentang politik orang kita Melayu."

"Hujan semakin nak berhenti ini, saya kena cuba kejar ke May Bank tu, minta diri dulu iyer! bang!" aku sebenarnya mahu lebih menyelami hati seorang rakyat marhaen seperti abang yang nampak kukuh pendiriannya ini. Tapi urusan Afiz masih tak selesai. Aku bersalaman & memakai baju hujan yang hapak tengik bagaikan kena kencing si Ekor Kembang.

Aku redah belaka jalan sehala, menyongsang arus; hujan tak banyak kenderaan; lagi pun aku menunggang kapcai senang mahu mencilok. Sampai di pintu utama May Bank telah tertulis; Ditutup!. Aralkah ini?. Mungkin tidak, ada kebaikannya; setidak-tidaknya aku dapat mandi hujan. Hujan rahmat.

Urusan aku selesai esoknya bilamana Afiz balik & lebih mudah berurusan lantaran dia ada nombor akaun Mie; tak payah pegang duit beribu; keluar duit dari ASB & masukan ke akaun Mie di kaunter yang sama.


"Mila kena ikut tak ke Triang nanti!" aku teringat kata-kata Mila ketika aku mahu ke Triang tempoh hari.

"Tak payahlah Mila, hari itu Mila telah ke Seremban merisik dengan mak Mie, biarlah ayah sahaja yang pergi kali ini!" aku teringat akan Mie yang akan tunjuk jalan, kalau ada Mila bersama mahukan dua orang calon menantu & mak mertua ini berbaik. Aku tahu jauh di sudut hati Mila dia mahukan Mie & Afiz teruskan sambung belajar baru bernikah. Aku pula tak yakin mereka akan boleh bercinta jarak jauh; kalau dah macam belangkas pelbagai perkata boleh berlaku. Kalau boleh esok aku nak nikah Afiz & Mie ini.

"Lagi pun ayah bukan mahu meminang sekadar mahu berbual!, kata Mie ayahnya setuju mereka nak bernikah gantung!" tiada senyum di wajah Mila.

Emmm! perjalanan ke Triang pun sama; nampaknya aku terpaksa bermandi peluh; baru sampai di Bandar Jempol penghawa dingin Avanza meragam. Aku terpaksa batalkan niat mahu menjejaki Tasik Bera. Dapat tenguk papan tandanya sahaja. Takut hari hujan memang gabra nanti jika tanpa penghawa dingin. Aku puji hotel murah di Triang, penghawa dinginnya sejuk gila, pun bilik airnya lengkap dengan pemanas air. Azim & Afiz langsung tak keluar leka di kamar. Yang sedihnya Malaysia tumpas dengan cina 0-3 Piala Thomas. Cis!.

Mengenangkan perjalanan ini memang amat penat & pelbagai persoalan. Jauh amat Triang ini lantaran jalan antara Kuala Pilah ke Triang agak sempit; lori kelapa sawit pula panjang-panjang bila berselisih di selekoh asyik makan jalan. Dengar brek anginnya pun aku rasa seram. Terpaksa mengalah dari membiarkan ianya rapat mengekori kami. Rumah Mie di sekitar Kemayan. Agak jauh dalam estet milik kaum cina.

Aku mandi peluh semasa pulang dari Triang, kebetulan jumpa Ida sepupu Mie yang mahu pulang ke Seremban. Kesihan Mie, Ida & Azim bagai udang dibakar. Merah padam muka kena tamparan angin kering. Tiga kali berhenti untuk berehat. Termasuklah berhenti di Hulu Bendul. Tanpa penghawa dingin ini aralkah; taklah tentunya ini baik bagi badanku untuk bersauna. Rahmat sebenarnya sesekali berkembara tanpa penghawa dingin.

"Bila agaknya baru ada stok dulang aluminium...!" dulang warna perak ini tak nampak lagi.

"Tarak tahu!" isk! penat betul, cuma ada tanda harga yang tinggal, dulang plastik pun cuma tinggal satu.

"Semua orang Melayu Kajang mahu kahwinkah?" aku sengaja bertanya soalan pelik kepada India tak fasih cakap Melayu ini. Sah baru sampai dari India, dia senyum-senyum tak tahu menjawab. Soalan pelik aku itu memang tak perlu dijawab.

"Ada dua sahaja lagi MyDin sekitar Kajang; satu di Sungai Chua; satu lagi di Pintu Satu Putrajaya!" aku bersuara, Afiz memang nampak bingung sejak sebulan dua ini. "Jangan risau Afiz kalau tak jumpa kita Abg Rosli punya; dia ada buat tawaran!"

"Kita cari al-Quran & songkoklah ayah!" aku naik ke tingkat dua mencari al-Quran; tak kurang ada empat atau lima pilihan al-Quran di Maydin; aku ambil yang rona emas cantik buat hantaran.

"Afiz suka yang ada garis ini ayah!"

"Dah kahwin nanti Afiz beli lagilah, nampak biasa sangat; lagi pun yang bergaris ini tak semahal mana!" aku lihat harga al-Quran di Mydin sekitar RM10 ke Rm30 sahaja.

Nampaknya aku kenalah merewang ke banyak MyDin untuk mencari dulang buat majlis pertunangan & penikahan Afiz. Bila aku klik di alam maya bersepah Mydin sekitar Kajang; Sungai Long, Semenyih, Balakong, Bangi & Putrajaya. Aku cuba dail nambor telefon mereka tak satu pun berjawab.

Jika MyDin tak ditemui nampaknya kena cari di Nilai 3 Sabtu atau Ahad ini.

Teringat akan dulang tembaga yang arwah Emak miliki. Entah di mana ianya kini. Seingat aku arwah Emak memang lengkap belaka tentang barangan hantaran ini. Bila dia tiada habis barangan miliknya lesap. Tak nampak saki baki bakinya. Sayang amat.