iDAN

12 Februari 2010

gōngxǐ fācái


Jika dulu kesempatan cuti panjang begini, aku & keluarga berlumba-lumba pulang ke kampung. Ketika itu masih ada Opah Bi tempat untuk bermalam. Betapa ghairah mahu balik kampung sebab ada yang menyambut.

Biasalah Opah Bi akan sentiasa menunggu biar pun kami sering balik lewat malam. Sampai di rumahnya telah terhidang pelbagai juadah. Masakan Opah Bi antara masakan tersedap di dunia. Paling tidak Arwah Opah Bi tak dapat mengatasi keenakan masakan arwah Emak. Keprihatinan Opah Bi terhadap aku & keluarga terkadang mengatasi keprihatinan terhadap menantunya seorang itu. Mak Datin emak AC Mizal. Bayangkan Opah Bi telah tahu semua makanan kegemaran anak-anakku. Jika musim durian pasti dia akan sediakan tempoyak, jika musim raya dia pasti tempah lemang buatan Wan Midah.

Pernah terjadi tragedi aku pulang semasa musim kongsi raya. Aku kemalangan di Behrang. Agak dahsyat juga lantaran belasan kereta serentak kemalangan. Aku antara yang tersondol kereta di hadapan. Faham sahajalah masa itu pakai Proton Saga. Kereta perang yang tengah meragam ini. Breknya tak berapa makan. Kereta di belakangku hanya kira-kira seinci sahaja nak sondol keretaku. Kalau brek aku ngam pasti belakang kemik terus. Pasti.

Kenangan bersesak balik kampung nampaknya hanya tinggal kenangan. Kecuali aku dapat mencipta semula kampung halaman. Aku telah mengira kosnya. Sekitar RM25,000 pasti aku akan punyai kampung & dusun semula. Siapa boleh membantu?.

Tahun ini tahun harimau. Harimau merupakan haiwan ketiga dalam kitaran 12 . Kehadiran TAHUN HARIMAU yang membawa SIMBOL KEKUATAN, KEBERANIAN dan KEKENTALAN dilihat sebagai PENYELAMAT di saat dunia ketandusan SEMANGAT JUANG untuk MENCIPTA KEJAYAAN, KEKAYAAN dan KEMAKMURAN. KEGAGAHAN HARIMAU atau nama khususnya GENG YIN bersatu bersama KEINDAHAN dan KELEMBUTAN yang menjadikannya IKON bagi MEREKA YANG MENGHAYATI ilmu simbolik ini. Di dalam kegagahan dan keberanian itu masih terserlah keindahan rupa dan kelembutan perilaku, ini menjadikan HARIMAU seumpama KESEIMBANGAN YANG dan YIN.



GONG XI FA CHAI

Berhati-hatilah ketika memandu di jalan raya. Ingat orang yang disayang. Rasa mengantuk berhenti seketika. Elok bawa bekalan sebab faham sahajalah hentian rehat ketika ini sesak banget.

20 Tip agar selesa memandu dari Penyair iDANRADZi

1. Bersabarlah & sentiasalah merasakan perjalanan jauh itu satu suasana santai bersama keluarga. Baca doa. Bergembiralah.

2. Rancang perjalanan anda, ikut lorong yang betul, jangan baran jika ada main lampu ganggu anda memandu. Elok ada peta, kalau pun tidak; ambil maklumat terperinci sebelum bertolak. Mamai sangat tentang jalan raya pakai Global Positioning System (GPS).

3. Jangan sesekali mencari jalan berbalahan atau bertengkar di dalam kenderaan. Baik suami mahu pun isteri. Kereta bukan mahkamah syariah. Baran sahaja stering akan berhantu.

4. Jauhkan cerita yang menggusarkan ketika suami memandu, takut hilang tumpuan. Jika anda rasa nak menangis sedih amat; elok berhenti di hentian rehat atau lorong kecemasan, pasangan lampu kecemasan; menangis puas-puas baru teruskan memandu.

5. Jangan guna SMS baik suami atau isteri ketika memandu, isteri sebelah asyik main SMS & tersenyum sendiri ketika memandu petanda tak baik. Elok tutup telefon bimbit kecuali ketika penting, kut! ada panggilan kecemasan.

6. Izinkan suami mendengar muzik yang digemari. Berikan dia keselesaan memandu, jangan mainkan muzik kuat-kuat. Kereta bukan pusat disko. Jangan ganggu muzik lalok atau menyindir suami. Nak Nahas!.

7. Anak-anak dinasihatkan jangan bising meragam & asyik nak singgah buang air. Jika berhenti rehat pastikan ketika itu anak-anak tak meragam perut, nak buang air kecil segala biarlah terancang. Layan minat anak anda, jika ada DVD di kereta pasangkan; jangan guna suara yang kuat. Belikan pemain MP3 kalau jenis anak anda penggemar muzik. Biar dia tak bosan & ganggu anda.

8. Pastikan sedari awal kenderaan lengkap segala, minyaknya penuh, tayarnya cukup angin. Enjin tak asyik panas, selalu pantau air & minyak hitam. Penghawa dingin berfungsi amat penting. Bayangkan hari hujan tak ada penghawa dingin.

9. Bantu suami jika dia dahaga, elok guna botol kecil jika mahu minum. Cawan, strol semua itu tak perlu; ringkas & selamat. Jangan bawa makanan basah, mudah bertabur & berkelah di dalam kereta anda adalah terlarang.

10. Jangan kejar masa, memandu laju tiada untungnya. Ingat orang luar negara sana di lebuh raya melaut luas pun memandu 90km sejam sahaja. Nak cepat sampai bertolak awal. Pastikan pegang dengan kedua belah tangan jika sedang dalam kelajuan yang boleh memungkinkan anda terpaksa membuat brek kecemasan.

11. Jika memandu siang pastikan anda pakai kaca mata hitam pilihan utama Ray-Ban cerminnya hijau. Jika malam pula pastikan pakai pakaian selesa, tak tahan penghawa dingin pakai jaket. Kasihan anak-anak yang ada yang tak suka angin malam. Jangan pakai pakaian ketat, kasut tumit tinggi atau apa jua yang tak selesa. Anda dalam kereta bukan dalam parti nak memperaga pakaian keanggunan anda.

12. Jika semua penumpang tidur, gunakan kesempatan itu untuk melayan kenangan indah zaman dedulu. Pasang lagu romantis, berhayallah agar jiwa anda tenag. Jangan pasang lagu metal takut anda terbawa-bawa jadi metallah nanti.

13. Elok sediakan gula-gula agar anda selesa, mulut tak berbau, elok yang ada mint, ada sesuatu yang dikunyah. Jangan gula-gula getah nanti comot sana sini.

14. Jauhi merokok ketika memandu, anda tak kemalangan tetapi penumpang yang kemalangan maut lantaran asap rokok anda. Silap-silap kusyen kereta tebuk sana sini. Lagi malang anda pun rentong sebab puntung rokok anda. Nak merokok berhenti kejap di hentian rehat. Berasaplah.

15. Ikut lebuh raya jika duit berkepuk, selesa cepat, jarang kena saman laju kalau tak laju, jarang lori redah kecuali bas pemandunya mamai. Jika rasa tol terlalu mahal PR13 jangan pilih pemerintah sekarang itu hak anda. (Ini sensitif bukan situs politik) Jika rasa tol mahal kuat kerja cari duit.

16. Lihat pemandangan indah sekeliling secara afdal. Anda kenalah menikmati hidup anda sementara masih segar bugar. Saat memandu berjam-jam inilah peluang baik menikmati keindahan alam ini.

17. Isteri kena layan suami berbual agar tidak mengantuk. Mengantuk baik berhenti minum apa yang patut. Isotonik.

18. Perempuan yang bercinta jangan nak berngada-ngada ketika kekasih sedang memandu, ramai mangsa kemalangan jalan raya; rakan jururawatku bercerita ada tanda-tanda pasangan bercinta tengah ringan-ringan ketika kemalangan. Sabarlah.

19. Jangan lebih muatan, atau membawa barangan yang berbau sepanjang jalan. Barangan tak perlu ada dalam kereta elok dibuangkan. Biar semua selesa ketika berada di kenderaan anda; beli haruman kereta yang boleh mendatangkan suasana segar. Minyak Atar kat Mydin murah sahaja.

20. Lafazkan kesyukuran bilamana sampai di destinasi anda. Pun lafazkan kesyukuran bila anda selamat sampai ke rumah anda. Kesyukuran itu pastinya anda akan tambah dilindungi Allah Azzawajalla.

Selamat memandu.