KUALA LUMPUR: Aspek kerohanian dan keindahan hati budi tidak harus diketepikan bagi memperoleh kehidupan ideal, malah dalam menentukan kerukunan rumah tangga ia faktor paling utama.
Moderator Halaqah di TV9, Ahmad Shukri Yusoff berkata, dalam menjaga kerukunan rumah tangga, penting juga aspek komunikasi bersama suami dan anak.
 “Dalam resipi rumah tangga, memang  aspek kecantikan dan penampilan luaran tidak dinafikan, tetapi pada masa  sama aspek lain juga perlu, iaitu keindahan hati budi dan kerohanian.
“Kemahiran berkomunikasi juga penting lebih-lebih lagi berdepan dunia hari ini yang memerlukan kekuatan hati.
  “Cantik luaran bukan segalanya, kerana sampai satu tahap kita tidak  mampu menghalang rambut beruban dan kulit berkedut. Malah, sampai masa  ajal memisahkan kita dengan pasangan kita dan ketika itu, agamalah yang  kekal,” katanya.
 Beliau  mengulas muka depan Metro Ahad  semalam, yang melaporkan mengenai kegebuan dan kemampuan Maizawati  Zainal, 35, walaupun sudah melahirkan ramai anak dan kini hamil anak  ketujuh.    Model sambilan itu mengamalkan enam petua bagi melengkapkan  impiannya menjadi wanita ‘sempurna’ di mata lelaki, iaitu berpantang,  makan makanan panas, jamu serbuk, minum air akar kayu, mengelak daripada  meminum ais dan minuman berkarbonat serta meminum madu setiap pagi dan  malam.
MyMetro