Kenapa Tidak Boleh Upload/Siarkan Gambar Bayi ?
Al Ain Bukan Perkara Main-main. SalaamULLAHu Alaykum…
Al Ain Bukan Perkara Main-main. SalaamULLAHu Alaykum…
Perlu kita fahami, bayi yang berumur kurang dari 40 hari berisiko kepada
 4 keadaan, 2 keadaan permasalahan rohani, 2 keadaan permasalahan 
fizikal. Bagi permasalahan rohani, melibatkan Ain dan Ummu Sibyan.
![]()  | 
| Gambar Hiasan | 
Sang faqir garistebalkan pada posting kali ini adalah permasalahan 
rohani, iaitu Ain dan Ummu Sibyan. Ummu Sibyan adalah dari kalangan kaum
 jin yang gemar mendengar tangisan anak-anak kecil terutamanya bayi, 
maka bagi mengelakkan gangguan ummu sibyan ini, maka Sayyiduna 
RasulILLAHi SallALLAHu Alaihi Wassalam telah memberi panduan , 
antaranya: “Sesiapa yang mendapat cahaya mata maka diazankan pada 
telinga kanannya dan diiqamahkan pada telinga kirinya maka akan 
dijauhkan dari gangguan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit)-
 (Riwayat al-Baihaqi).
“Selain dari itu, boleh jua diikhtiarkan diazankan secara perlahan di 
telinga kanan bayi tersebut setiap kali masuk waktu solat 5 waktu, 
hikmah bagi ikhtiar ini sangat bermanfaat, ini antara amalan yang 
dilakukan oleh Syeikh Wan Abdullah lakukan kepada anakandanya iaitu 
Al-Alim Allamah al-Arif ar-Rabbani Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan 
Abdullah sewaktu Tok Syeikh Daud Patani (gelaran kepada Syeikh Daud Al 
Fatani) masih bayi.
Cuma, berkaitan dengan gambar atau bayi muda (1hari-40hari), ianya lebih
 kepada Al Ain. Permasalahan Al-Ain ini luas perbincangannya, kerana ia 
juga terkenal sebagai sihir tanpa jin, malahan masalah ini sebenarnya 
dilihat lebih serius berbanding permainan sihir lain.
Al Ain ini seperti yang dimaktubkan di dalam hadith : عَنْ ابْنِ 
عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ 
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ 
الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا Maksudnya : Dari Ibnu 
Abbas RodhiyALLAHu Anhu, Nabi SallALLAHu Alaihi Wasallam bersabda : “Ain
 (mata jahat) itu benar-benar adanya, jika seandainya ada sesuatu yang 
mendahului qadar,maka akan didahului oleh ain.
Apabila kamu diminta untuk mandi maka mandilah.” (hadith riwayat Muslim)
 عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ 
وَسَلَّمَ اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ Maksudnya : 
Dari Aisyah RodhiyALLAHu Anha,RasulULLAH SallALLAHu Alaihi Wasallam 
bersabda :” Mintalah kalian perlindungan kepada ALLAH dari ain (mata 
jahat) kerana sesungguhnya ain itu haq (benar)” (HR ibnu Majah).
Ain adalah penyakit atau masalah yang disebabkan oleh pengaruh buruk 
pandangan mata, iaitu pandangan mata yang disertai rasa takjub atau 
bahkan iri dan dengki terhadap apa yang dilihatnya. Terdapat dua jenis 
ain, iaitu : ain insi (‘ain berunsur manusia) dan ‘ain jinni (‘ain 
berunsur jin).
Malahan ain sering berlaku kepada bayi-bayi kecil, yang mengakibatkan:
1. Tangisan yang tidak munasabah atau tidak bersebab (kecuali masalah 
cholic atau hernia) yang tidak berhenti, tubuh terkejut-kejut tanpa 
sebab yang jelas, tidak mahu menyusu kepada ibunya tanpa sebab yang 
jelas. عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ 
وَسَلَّمَ فَسَمِعَ صَوْتَ صَبِيٍّ يَبْكِي فَقَالَ مَا لِصَبِيِّكُمْ 
هَذَا يَبْكِي فَهَلَّا اسْتَرْقَيْتُمْ لَهُ مِنْ الْعَيْنِ Aisyah 
RodhiyALLAHu Anha berkata : “Suatu ketika Nabi (SallALLAHu Alaihi 
Wasallam) masuk (rumahnya) kemudian mendengar bayi sedang menangis. 
Baginda (SallALLAHu Alaihi Wasallam) berkata,”Mengapa bayi kalian 
menangis? Mengapa tidak kalian bacakan ruqyah-ruqyah (supaya sembuh) 
dari penyakit ‘ain?) (Shahihul jami’ 988 n0.5662)
2. Keadaan tubuh yang sangat kurus kering (seperti kurang zat) عَنْ 
جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ 
وَسَلَّمَ لِآلِ حَزْمٍ فِي رُقْيَةِ الْحَيَّةِ وَقَالَ لِأَسْمَاءَ 
بِنْتِ عُمَيْسٍ مَا لِي أَرَى أَجْسَامَ بَنِي أَخِي ضَارِعَةً 
تُصِيبُهُمْ الْحَاجَةُ قَالَتْ لَا وَلَكِنْ الْعَيْنُ تُسْرِعُ 
إِلَيْهِمْ قَالَ ارْقِيهِمْ Dari Jabir RodhiyALLAHu Anhu bahawa 
RasulULLAHi sallALLAHu Alaihi Wasallam memberi rukhsah (keringanan) bagi
 anak-anak Ja’far menggunakan bacaan ruqyah dari sengatan ular. Baginda 
(SallALLAHu Alaihi Wasallam) bersabda kepada Asma’ binti Umais,”Mengapa 
Aku lihat badan anak-anak saudaraku ini kurus kering? Apakah mereka 
kelaparan?” Asma’ menjawab : “tidak, akan tetapi mereka tertimpa ‘Ain.” 
Kata Baginda (SallALLAHu Alaihi Wasallam) ,”Kalau begitu bacakan ruqyah 
bagi mereka! (HR Muslim, Ahmad dan Baihaqi)
3. Penyakit kulit yang tidak atau sukar sembuh, contohnya ekzema dan 
seangkatan dengannya. Dari hadith dan permasalahan di atas, cukup untuk 
menghuraikan apakah Ain dan bagaimanakah ianya terjadi? Permasalahan ain
 ini bukan sahaja berlaku akibat rasa iri hati atau takjub (tanpa 
kembalikan semula takjub tersebut kepada ALLAH), tetapi juga berlaku 
apabila pemuji memuji bayi tersebut setelah melakukan dosa-dosa mulut, 
contohnya mengumpat atau memaki hamun orang lain, maka tarikan dari 
perbuatan tersebut menjadi warid kepada kalamnya, iaitu apabila dia 
memuji seseorang itu cantik, maka warid dari keburukan kalam sebelum itu
 diterbalikkan dari apa yang dipuji sebelum itu(cantik lawannya hodoh), 
ini berikutan fitrah bayi atau kanak-kanak yang bersih, begitu juga 
keadaannya jika mata si pemuji sebelum melihat bayi atau kanak-kanak 
tersebut ada melihat perkara-perkara maksiat, maka ianya akan terjadi 
hal yang serupa.
NauzubILLAHi min Zalik. Kebanyakan kes yang sang faqir terima di TIAF 
yang melibatkan bayi menangis tidak berhenti, selain dari masalah 
cholic(kembung perut) dan hernia(angin pasang), ianya kebanyakan 
melibatkan Ain, yang sering didakwa oleh perawat-perawat sebelum itu 
dengan saka, sihir, pedamping dan sebagainya, yang meleret sehingga 
timbul dakwaan yang pelik wal aneh, padahal ianya Ain semata-mata.
(Sabo je le) Permasalahan dengan Al Ain ini, ada dua cara dalam 
menghadapinya, sama ada MENGELAK darinya atau merawatnya. Berkaitan 
dengan merawat, ianya melibatkan banyak kaedah. Cuma sang faqir 
kongsikan salah satu darinya di sini, yang paling ringkas.
Iaitu diberi mandi dengan air bekasan wudhuk ibu kepada bayi tersebut 
(bertabaruk) Bersabit dengan hadith : عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ 
بْنِ حُنَيْفٍ أَنَّهُ قَالَ رَأَى عَامِرُ بْنُ رَبِيعَةَ سَهْلَ بْنَ 
حُنَيْفٍ يَغْتَسِلُ فَقَالَ مَا رَأَيْتُ كَالْيَوْمِ وَلَا جِلْدَ 
مُخْبَأَةٍ فَلُبِطَ سَهْلٌ فَأُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ 
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامِرًا فَتَغَيَّظَ عَلَيْهِ وَقَالَ عَلَامَ 
يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ أَلَّا بَرَّكْتَ اغْتَسِلْ لَهُ فَغَسَلَ 
عَامِرٌ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ وَمِرْفَقَيْهِ وَرُكْبَتَيْهِ وَأَطْرَافَ 
رِجْلَيْهِ وَدَاخِلَةَ إِزَارِهِ فِي قَدَحٍ ثُمَّ صُبَّ عَلَيْهِ فَرَاحَ
 مَعَ النَّاسِ Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif, dia berkata bahawa 
Amir bin Robi’ah melihat Sahl bin Hunaif sedang mandi, lalu berkatalah 
Amir : “Aku tidak pernah melihat (pemandangan) seperti hari ini, dan 
tidak pernah kulihat kulit yang tersimpan sebagus ini” Maka 
terpelantinglah Sahl(pengsan).
Kemudian RasulULLAH sallALLAHu Alaihi Wasallam mendatangi Amir. Dengan 
tegas Baginda bersabda :”Atas sebab apa kamu hendak membunuh saudaranya?
 Mengapa kamu tidak memohonkan keberkahan (kepada hal yang kamu lihat)? 
Mandilah untuknya!Maka Amir mandi dengan menggunakan suatu bekas air, 
dia mencuci wajahnya, dua tangan, kedua siku, kedua lutut,hujung-hujung 
kakinya, dan bahagian dalam sarungnya. Kemudian air bekas mandinya itu 
dituangkan kepada Sahl, lantas dia (Sahl) sedar dan berlalulah bersama 
manusia. (HR Malik dalam Al-Muwaththo 2/938, Ibnu Majah 3509, disohihkan
 oleh Ibnu Hibban 1424. Sanadnya sohih, para perawinya tsiqah : Zadul 
Ma’ad tahqiq Syu’aib al-Arnauth dan Abdul Qodir al-Arnauth 4/150 cetakan
 tahun 1424 H).
Merujuk kepada hadith tersebut, tentu menjadi kesukaran untuk mencari 
siapa yang memberi Ain, malahan jika tahu siapa yang mengAinkan anak 
kita, bagaimana mungkin untuk kita jelaskan kepadanya, maka diqiaskan 
dengan tabaruk air wudhuk ibu(berserta doa), ditadahkan di dalam bekas 
atau besen, seterusnya, diberi mandi kepada bayi atau anak yang terkena 
ain.
Untuk kaedah ini, tidak tertakluk kepada Ain sahaja, boleh juga ikhtiar 
bagi permasalahan anak yang degil atau bermasalah dengan pelajaran. 
Antara kaedah mengelakkan Ain dari berlaku: Setiap kali anak menerima 
pujian dari sesiapa sahaja, letakkan tangan kanan di atas kepalanya, dan
 ucapkan Taawudz (di dalam hati, kemudian mohon perlindungan ALLAH dari 
segala mara bahaya). Pada malam hari sebelum ibubapa tidur, bacakan Al 
Ikhlas 3x, dan tiupkan di ubun-ubun bayi perlahan-lahan(sambil dalam 
hati berdoa mohon perlindungan ALLAH) sehingga habis nafas, nafas yang 
akhir ditiup sehingga ke kaki dengan kadar menghembus.
Kepada ibubapa, terpulang di atas perkiraan kalian untuk ikhtiar 
perlindungan anak-anak kalian, terutama yang memperolehi ‘new baby’ atau
 yang anak mereka sedang sakit, pertimbangkanlah keputusan untuk upload 
gambar anak-anak anda. Kebanyakan kes Ain yang sang faqir terima di 
klinik TIAF, 98% daripadanya adalah asbab meng’upload’ gambar bayi 
mereka di facebook atau laman sosial yang lain, tambahan pula bayi 
mereka sedang bermasalah sewaktu itu. NauzubILLAHi min zalik.
Semoga perlindungan ALLAH beserta sekalian yang ikhlas dan faham dengan setiap amal perbuatan mereka.
Wassalam.
Sumber : FB Wan Asrul Al-Aydrus
