3.1.2000
Oleh Nuri Angkasa
BIASANYA kaki pancing (sebahagian besar) akan mengunjungi warung atau gerai untuk mengisi perut dengan makanan yang agak berat seperti nasi lemak, nasi dagang atau apa saja makanan yang mengenyangkan untuk mengelakkan lapar ketika berada dalam bot sebelum dapat menjamah nasi yang dimasak tekong dalam bot.
Amalan ini perlu dielakkan supaya kita tidak begitu ghairah mengisi perut terlalu awal sebelum melakukan aktiviti memancing. Kita harus berada dalam keadaan tidak terlalu kenyang dan tidak juga dalam keadaan terlalu lapar. Kesan kenyang ialah kita pasti berdepan rasa mengantuk, letih malah sukar bergerak pantas. Jika lapar pula kita pasti tidak selesa malah akan sentiasa mencari makanan.
Bagi nelayan atau pengail veteran, sarapan yang diambil awal pagi sebelum turun ke laut adalah cukup dengan sekadar mengambil secawan kopi-o panas dengan sekeping roti dibantu dengan dua biji telur ayam kampung rebus atau separuh masak.
Justeru bagi Pak Nuri petua amalan mengambil makanan sederhana sebagai sarapan adalah terbaik daripada mengisi makanan berat sebelum melakukan aktiviti lasak. Kesederhanaan ini juga dapat kita rasakan sendiri baik buruknya. Cuma kita perlu berhati-hati supaya sarapan tidak diambil terlalu lewat kerana boleh mengakibatkan perut masuk angin dan keselesaan untuk memancing akhirnya hilang.
Namun dalam apa juga usaha untuk mendapatkan keselesaan memancing, kita harus berada dalam keadaan sihat dan tidak banyak membawa masalah dalam bot. Perut juga berada pada tahap sederhana dan tidak harus menumpu sepenuh masa pada makanan.
Bertitik-tolak dari situ, Pak Nuri sekali lagi mengingatkan kepada semua kaki pancing supaya bersarapan awal pagi dengan mengambil makanan ringan sebelum turun memancing, dan amalkan ini sebagai petua. Insya-Allah, kita akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selesa sepanjang berada di laut sekali gus menghindarkan anda mabuk dan muntah.
Joran
Tiada ulasan:
Catat Ulasan