Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

17 Mac 2008

Homoseks sama seperti zina (Agama)

Bersama:KAMIL MAJID
SOALAN: Apakah hukum lesbian dan gay, kerana ia semakin menjadi di kalangan anak-anak muda Melayu Muslim di Malaysia. Bolehkah diberikan penjelasan? Di samping itu minuman arak juga banyak berlaku di kalangan anak muda Melayu. Apa pendapat tuan?

– Suhaimi, Kuantan, Pahang.

JAWAPAN: Saya cukup terkejut dengan soalan ini. Kenapa kejadian seperti ini menjadi-jadi? Sedangkan Malaysia salah sebuah negara yang menjadikan mata pelajaran Agama sebagai wajib di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah? Beribu guru agama dilantik setiap tahun. Setahu saya sukatan pelajaran agama juga cukup tinggi.

Apa pun, persoalan ini pertamanya harus dipertanyakan kepada setiap ibu bapa, sejauh manakah mereka bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak remaja mereka? Atau mereka hanya melepas tangan atas alasan tanggungjawab telah diberikan kepada guru-guru khususnya guru agama di sekolah-sekolah.

Adalah menjadi kesalahan kepada para ibu bapa yang tidak memberikan pendidikan yang mencukupi kepada anak-anak, oleh sebab tugas ini adalah tugas asasi mereka. Mereka bukan sahaja wajib memberikan makan minum dan tempat tinggal, malah memberikan didikan sempurna.

Adapun guru adalah memberikan bantuan bagi membimbing pendidikan yang lebih cemerlang. Allah s.w.t. pernah mengingatkan ibu bapa agar menjaga anak- anak mereka daripada tercebur ke dalam api neraka.

Tugas guru menjadi pembimbing tambahan tidak juga penting. Meskipun tugas mengajar itu hukumnya fardu kifayah, tetapi apabila mereka memilih kerjaya itu sudah menjadi fardu ain ke atas diri mereka.

Akan dipersoalkan nanti, apakah mereka benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa atau hanya sekadar makan gaji sahaja? Justeru itu dalam bidang pendidikan memerlukan semua peringkat ikhlas, bukan hanya sekadar mengejar kelulusan tinggi peratus murid dan setakat menghabiskan kurikulum sahaja. Lebih penting menjamin anak-anak didik melaksanakan apa yang dipelajari.

Pengetua, pengurus dan PIBG semua bertanggungjawab hinggakan kepada menteri yang dipertanggungjawab.

Akhlak buruk seperti lesbian (hubungan sejenis sesama perempuan) dan gay (hubungan sesama sejenis lelaki) hukumnya sama dengan hukum zina juga.

Menerima

Saya banyak menerima pertanyaan seperti soalan di atas, terutama selepas artikel dalam ruangan ini berjudul: Kahwin Selepas Zina. Pada kesimpulannya, saya membuat andaian, masyarakat kita hari ini begitu ramai terjebak dengan maksiat zina, rogol, penderaan di rumah, suami makan luar, isteri simpan lelaki dan pelbagai lagi.

Ini semua menggambarkan iman yang sudah hampir malah memang hancur. Akhlak yang runtuh. Apalagi perbuatan minum minuman keras yang sudah menjadi trend baru selepas agak lama tidak kedengaran.

Pada saya selain ibu bapa yang harus mengambil berat hal anak-anak, pihak pembuat polisi dan menteri-menteri yang dilantik dalam beberapa kementerian termasuk pelajaran, belia, wanita dan lain-lain seharus melihatnya secara yang lebih bertanggung- jawab.

Berbalik kepada homoseks dan lesbian ini ia bertentangan dengan fitrah manusia dan merosakkan kemaslahan manusia sedunia. Al-Quran menggambarkan perbuatan kaum Nabi Lut itu sebagai fasiq, jahat dan melampaui batas. Sehingga bumi diterbalikkan oleh kemurkaan Allah.

Oleh itu, negara di mana di dalamnya diamalkan jenayah zina, homoseks dan lesbian ini perlu berhati-hati sebelum ditimpa bencana musibah. Dari segi hukuman pula maka hukuman ke atas mereka serupa juga dengan hukuman terhadap penzina.

Meminum arak juga salah satu dosa besar. Maka ruangan ini mengajak semua pihak yang terlibat dengan semua dosa besar ini agar segera bertaubat. Pintu taubat selalu terbuka untuk mereka.

Di samping itu masyarakat harus memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa harus membawa anak mereka yang terjebak ke dalam kancah ini berjumpa dengan mereka yang lebih tahu termasuk pakar psikologi atau pakar-pakar lain termasuk ahli agama untuk membincangkannya.

Para pengurus sekolah juga lebih bertanggungjawab. Demikian juga para pengurus asrama.

Kita semua tidak harus memandang kecil dan remeh perkara di atas. Para pemimpin juga harus memberi teguran yang baik, tidak hanya bercakap soal pembangunan fizikal dan kemajuan. Apa yang akan dicapai kemajuan dan wawasan 2020, jika akhlak masyarakatnya rosak seperti apa yang dialami di Barat. Bukankah umat Islam mempunyai acuan kemajuan sendiri, bukannya menjadi pak turut Barat.

Kepada para pemimpin yang baru dipilih, bertakwalah kepada Allah. Jangan menyombong diri dengan kuasa yang ada. Jangan lupa daratan dengan sedikit kemewahan dunia. Azab Allah lebih pedih dari segalanya dan neraka itu amat mengerikan. Hisablah diri kita semua sebelum kita dihisab di akhirat nanti. Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Utusan

Posted on 17.3.2008 at 6:43 PM

Tiada ulasan: