iDAN

01 Januari 2009

Dulu liar, kini solehah (Delima Merkah)

SAYA ada masalah besar. Pada 2004 ketika berumur 14 tahun, saya dirogol seorang lelaki yang pada masa itu saya tidak kenali. Selepas dirogol, dia menyuruh saya menjadi teman wanitanya.

Suruhan itu semacam ugutan untuk dia tidak meninggalkan saya. Dalam hubungan dengan dia, saya sering ditampar dan disepak. Bagaimanapun sejak dirogol, saya tak pernah melakukan perkara terkutuk itu dengan dia lagi.


Selepas tiga tahun berlalu, saya bersyukur kepada Allah yang hubungan kami berakhir. Kami tidak berhubung lagi.

Pada 2007, ketika di tingkatan lima, fokus utama saya pada pelajaran tapi saya gemar bersosial, keluar malam dan tak menutup aurat.

Selepas habis SPM, saya berkenalan dengan A. Dia rakan sekolah dan juga anak murid emak saya. Katanya, dia sudah lama menaruh hati pada saya tapi takut saya tidak layan kerana wajahnya tidak kacak.

Saya sahut salam percintaannya. Seminggu selepas itu dia menjalani latihan khidmat negara di Kedah dan saya setia menunggunya selama tiga bulan.

Selepas pulang, A selalu menasihati saya supaya berubah kerana dia berniat menjadikan saya isterinya. Bagaimanapun, sikap A yang terlalu baik menyebabkan saya selalu ‘pijak kepalanya’.

Saya selalu menengking dan tidak mendengar katanya, padahal saya tahu niat dia baik. Tambahan pula dia tahu kisah hitam saya dan menerima saya seadanya.

Kami kemudian berpeluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) sama. Namun sementara menunggu kemasukan ke IPT, kami terlanjur... bukan sekali dua, tapi banyak kali.

Atas rasa tanggungjawab, A semakin mengongkong dan mahu mengubah perwatakan saya. Dia mahu saya jadi wanita solehah. Dia selalu suruh saya solat dan semakin hari dia semakin sayang pada saya.

Namun, saya tetap dengan ego saya dan tidak dengar katanya. Saya sering ugut untuk tinggalkan A dan dia selalu merayu saya jangan tinggalkan dia. Bila melihat kasih sayangnya yang mendalam itu, saya semakin naik tocang.

Selepas masuk ke IPT, hubungan kami sering dilanda masalah. Tambahan seorang daripada kawan A adalah lelaki yang merogol saya dulu.

Kawannya menghebohkan pada kawan lain mengenai kisah silam saya. Ini menyebabkan A malu, namun cintanya pada saya tidak berubah.

Hari berganti hari. Adakala hubungan kami renggang dan adakala sangat bahagia. Namun pada satu hari, A minta putus dengan saya. Saya ingat dia bergurau, rupa-rupanya dia serius.

Puas saya pujuk, tapi dia bertegas suruh saya lupakan dia dan jangan hubungi dia lagi. Dia kata dia serabut dengan perangai saya yang suka mengamuk dan kasar terhadapnya.

Saya menangisi nasib saya, tetapi entah mengapa sejak itu hati saya kuat bertekad untuk berubah. Saya mula solat lima waktu, tutup aurat, malah lakukan solat hajat dan istikharah.

Saya minta Allah bukakan pintu hati A untuk kembali pada saya dan saya dijodohkan dengannya. Selepas itu, saya tidur dalam keadaan berwuduk dan bermimpi mengenai si isteri, suami dan anaknya makan di satu tempat.

Si isteri bercakap telefon sambil menengking suaminya seperti saya lakukan pada A. Mimpi itu hilang seketika dan timbul kembali. Ketika timbul semula, pasangan tadi kembali senyum dan berbaik semula.

Apakah maksud mimpi itu? Adakah ia gangguan syaitan atau petunjuk Allah SWT? Tolonglah jawab persoalan ini. Saya kini sudah berubah, tidak tinggal solat dan kerap baca muqadam dan surah yasin.

Hati saya kuat mengatakan jika saya berubah untuk jadi muslimah sejati, saya yakin A akan kembali pada saya. Tolonglah saya, apa patut saya lakukan untuk mendapat A kembali?

MAYA

Awal-awal lagi Dang Setia minta maaf kerana tidak mampu menafsir mimpi saudari. Terus-terang, Dang Setia tiada pengetahuan dalam ilmu tafsir mimpi dan tidak mahu berpura-pura jadi tahu dalam bidang yang Dang Setia tidak tahu.

Namun bagi Dang Setia, apa tafsiran atau maksud di sebalik mimpi saudari bukan perkara penting untuk wajib ketahui, sebaliknya banyak lagi aspek lain yang sebenarnya lebih penting dan perlu saudari tahu serta faham.

Paling utama, saudari perlu faham dan reda qada’ dan qadar Allah. Rukun iman keenam ini boleh dikatakan semua oran Islam tahu, tapi persoalannya berapa ramai yang faham.

Selalunya, kita hanya pandai menghafalnya tapi apabila berlaku sesuatu takdir Allah yang tidak memihak kepada kita, kita sukar menerimanya dan mula menyalahkan orang lain, malah ada yang menyalahkan Allah.

Kedua, saudari perlu sedar dan faham bahawa dalam melakukan apa saja ibadat, perkara paling penting ialah niat dan keikhlasan kita. Sewajibnya, niat kita hanya satu, iaitu ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, dan bukan kerana sebab musabab lain.

Sekarang, ada baiknya kita melihat dua perkara ini satu persatu. Dang Setia menekankan mengenai kewajipan menerima dengan reda qada’ dan qadar Allah dengan masalah menimpa saudari kerana Dang Setia melihat saudari sukar menerima hakikat jika terpaksa meneruskan hidup tanpa A di sisi.

Dang Setia akui, A mungkin sesuai menjadi teman hidup kerana dia sering menasihati saudari supaya menjadi wanita solehah dan menerima saudari seadanya, namun itu tidak bermakna tanpa A, hidup saudari tidak bermakna.

Saudari perlu sedar, pada masa inilah keimanan saudari diuji Allah. Jangan terlalu ikut perasaan, sebaliknya berfikir dan bertindaklah mengikut panduan syariat Islam.

Takdir atau kejadian menimpa saudari yang saudari anggap buruk mungkin sebenarnya bukan begitu. Sedarilah, sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita makhluk-Nya. Jadi, ada kemungkinan tanpa A dalam hidup adalah sesuatu yang baik buat saudari.

Kemungkinan ini ada asasnya. Ini kerana, di sebalik sikapnya yang sering menasihati saudari ke arah kebaikan dan mahu saudari menjadi wanita solehah, A tetap tewas apabila bertindak meniduri saudari. Bukan sekali dua, tapi banyak kali kalian berdua terlanjur.

Justeru, bukankah jika kalian masih menjalin hubungan, maka kalian akan terus terlanjur, terlanjur dan terlanjur. Memang A mahu bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan mahu saudari menjadi isterinya, namun itu bukan tiket untuk anda berdua berzina.

Allah sayang pada saudari. Dia mahu menyelamatkan saudari dan tidak mahu saudari terus bergelumang dosa, maka sebab itulah dipisahkan saudari dengan A.

Hikmah daripada perpisahan itu kini terserlah. Selama ini puas A menasihati saudari supaya solat dan menutup aurat, tapi saudari ego serta tidak mahu mendengar nasihatnya. Namun selepas berpisah dengan A, baru pintu hati saudari terbuka untuk berusaha menjadi wanita solehah.

Bukankah ini satu kurniaan dan hikmah Allah yang tidak ternilai besarnya kepada saudari? Ini perlu saudari syukuri dan hargai.

Bagaimana caranya? Yang pasti, ia bukan sekadar cakap di mulut tapi memerlukan tindakan, kesungguhan dan komitmen saudari.

Semua itu terangkum dan berkait rapat dengan perkara kedua yang Dang Setia nyatakan awal tadi, iaitu niat dan keikhlasan. Sungguh rugi jika segala perubahan positif saudari termasuk menunaikan solat, menutup aurat dan kerap membaca al-Quran, jika ia saudari lakukan dengan niat lain, bukan kerana Allah.

Pada pendapat Dang Setia, dalam hati saudari sekarang terlalu kuat pengaruh A. Jadi, Dang Setia bimbang kalau segala ibadat yang saudari lakukan sekarang hanya dengan niat semoga Allah mengembalikan A kepada saudari.

Jika niat saudari tidak termakbul, Dang Setia risau jika saudari kecewa, lantas tidak lagi mahu melakukan ibadat yang saudari lakukan sekarang dan lebih buruk lagi, saudari marahkan Allah kerana tidak memakbulkan doa.

Semoga itu tidak berlaku. Oleh itu, muhasabah dan perbetulkan semula niat serta keikhlasan saudari. Bersyukurlah dengan takdir Allah yang menimpa saudari. Sedarilah, cinta dan perhatian daripada Allah yang seharusnya lebih saudari kejar berbanding cinta dan perhatian A.

Dang Setia tidak mengatakan perubahan positif yang saudari lakukan sekarang tidak berguna atau sia-sia. Ia sangat baik, cuma saudari perlu reda dengan apa jua ketentuan Allah.

Jika doa saudari dimakbulkan Allah dengan A kembali menerima saudari, alhamdulillah. Dan jika sebaliknya berlaku, saudari juga wajib bersyukur. Yakinlah, apa yang berlaku adalah yang terbaik daripada Alah untuk saudari hadapi.

Jangan kecewa dan putus asa, sebaliknya tanam keyakinan bahawa ada kemungkinan Allah akan menggantikan A dengan lelaki lebih baik untuk menjadi pasangan hidup saudari pada masa depan.

Harian Metro

Tiada ulasan: