Biarpun kecil, setiap ruang dalam apartmen ini menterjemah cita rasa, kenangan dan rentak hidup penghuninya.
SEUMUR hidup, pasti sesiapa pun pernah terlintas tentang merasai gaya hidup sebenar di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur. Namun, apabila memberitahu rakan-rakan tentang kediaman tetap di kawasan kejiranan Bukit Bintang, itu hanya akan mengembalikan dua reaksi – kagum atau ‘kasihan’.
Kagum kerana semangat kota metropolitan dan kejayaannya memiliki hartanah di jantung ibu kota. ‘Kasihan’ pula apabila memikirkan tentang kesesakan lalu lintas, pencemaran bunyi dan juga spekulasi pada isu keselamatan.
“Sebenarnya, setiap kediaman bukan sekadar dimiliki kerana faktor kemampuan atau kemudahan yang disediakan, ia juga adalah refleksi tentang aspek praktikal, rentak kerjaya dan personaliti seseorang penghuni kediaman itu sendiri.
“Saya selesa di sini,” ujar Pengurus Pemasaran dan Komunikasi British Council, Reezal Esa.
Pemilik berusia 31 tahun ini mendakwa berpuas hati dengan tahap keselamatan, pengurusan, penyelenggaraan bangunan dan keselesaan apartmen tersebut. Sebagai nilai tambah, kediamannya itu sangat dekat dengan tempat kerja dan lokasi-lokasi kota yang sering diulang kunjung.
Melepasi kawalan keselamatan 38 Bidara Serviced Suites melalui penggunaan kad akses khas menambah keyakinan tentang kualiti kawalan keselamatan di sekitar premis. Dari lobi, kad tersebut turut berfungsi untuk mengaktifkan butang aras di dalam lif.
Persekitaran bangunan yang amat diambil berat dapat dilihat sepanjang melangkah ke unit yang dihuni Reezal. Tatkala meneliti lebih daripada itu, nyata sekali kebersihan dan kekemasan yang dikendali pihak pengurusan telah mempengaruhi isi dalaman kediaman anak bujang ini.
“Sudah lima tahun saya tinggal di sini. Saiz bukan satu masalah kerana buat masa ini saya tidak cerewet tentang ruang luas. Ruang yang terhad sebaliknya mengajar kita berbelanja secara berhemah.
|
|
“Maka, hanya barangan, perabot dan aksesori yang penting sahaja diperlukan,” ujarnya tentang kediaman yang dibeli pada harga RM230,000 itu. Khabarnya, nilainya kini sudah melonjak kepada setengah juta ringgit!
Pintu masuk utama menemukan pelan lantai dapur yang kecil dan sedikit menyerong. Cukup sekadar ditempatkan kaunter dan kabinet ringkas serta peti sejuk.
Ruang tamu pula tampil rileks dalam gabungan perabot kayu dan upholsteri. Dalam romantis cahaya kuning, rak buku mencuri fokus ruang dengan susunan padat bahan bacaan ilmiah dan santai.
Menilai ilham dekorasinya, Reezal berhati-hati menata gaya keseluruhan. Walaupun tampil sederhana, sentuhan kontemporari terpancar pada idea susun atur fizikal yang minimal namun tidak sekali-kali membiarkan mana-mana sudut kehilangan watak.
Gambar-gambar teman dibingkai kemas sementara lampu meja menambah sokongan pencahayaan di ruang tersebut. Obsesi Reezal pada Ratu Elizabeth, bangsawan Eropah dan figura berpengaruh terzahir pada lukisan-lukisan potret yang mewarnai permukaan dinding dan meja.
“Sementara bilik kedua saya jadikan ruang persalinan dan storan barang, bilik tidur utama pula saya sifatkan sebagai nukleus kediaman ini.
“Sebab itulah perkakasan hiburan seperti televisyen, pemain muzik dan cakera video digital, serta komputer diletakkan di situ, bukan di ruang tamu,” terangnya.
Dalam nyaman suhu hawa dingin, bilik itu sekadar diisi sebuah katil bersaiz ‘King’, sebuah tempat duduk berkusyen di kaki jendela dan juga meja kerja. Menurutnya, apa yang penting adalah kerja susun atur dan mengemas.
“Waktu siang sememangnya dihabiskan dengan tuntutan tugas. Hanya pada waktu malam dan hujung minggu, kediaman ini menjadi santuari mini bagi saya merehatkan minda dan mengumpul semula stamina untuk hari baru,” ujar Reezal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan