iDAN

30 Mac 2009

Hari ke Empat (Singgahsana)

Dapat panggilan dari Fairus, dia bertanya khabar & kenapa jurnal aku di easyjournal tidak dikemaskini. Telah tiga hari aku tidak menulis. Sejak Jumaat, Sabtu & Ahad.

Jumaat aku sempat mengambil barangan aku di ofis Unit IT. Salleh kerja malam Jumaat malam Sabtu. Jadi aku tidak perlu lagi ke sana. Barangan aku cuma tinggal di beberapa lokasi lain. Stor KAW, bilik Tok Perak, kerusi biru di Makmal Pak Ya Junior & ada beberapa barangan di tingkat 3 Blok A. Aku berharap Syed KEE baca jurnal ini & dia dapat tolong aku ambilkan dua komputer Jepon di stor sebelah Zul KKK.

Sabtu aku banyak menghabiskan masa bersama keluarga, mata memang cepat mengantuk mungkin sebab aku tak makan ubat mengikut jadual. Aku risaukan sakit di anggota hatiku yang kini makin merebak. Ianya telah mengganggu bahagian kiri & kanan, sebelah kira sekitar 60% kanan pula sekitar 80%. Aku mengesyaki lantaran sindrom ubat kolestrol. Jika ianya merebak ke 100% mengikut kata Dr di Klinik Husni aku terpaksa menghentikan makan ubat yang PKupm berikan.

Sabtu malam Aahad aku menonton ceritera Knowing. Menarik ceriteranya. Tentang kepanasan bumi. Masalah global yang kita endah tak endahkan sahaja. Hari Satu 28 hb. Semua tahu yang kita seharusnya bersama bergelap selama sejam. Apa yang terjadi di JUSCO Cheras Selatan terang benderang. Hanya sebahagian kedai yang menutup lampu siling. Semasa aku parkir di bumbung JUSCO semua lampu besar dipadam. Cuma di bumbung bangunan tetapi di parkir dalam bangunan terang benderang.

"Manusia ini lebih sayangkan wang ringgit dari bumi..." Keluhku.

"Tak ramai pun orang tutup lampu ayah...!" Sungut Azim. Dia & Anif berdiri di kerangka besi meninjau dari binaan bumbung JUSCO.

"Apa kita bayangkan yang berlaku di TV tu hayalan belaka!" Aku terasa akan kegagalan kempen bergelap di bumi kita. Jam Bumi. Di luar negara kita nampak satu bandar warganya bergelap.



Filem Knowing jika kita ke The Interner Movie Database (IMDB) ada yang sampai membuat undian 10/10, maka aku yakin mengatakan filem ini menarik. Ada juga mengundi sebaliknya. Mungkin adengan kapal angkasa itu ramai menolaknya. Bagaikan tidak lojik; Tetapi satu yang kita harus ingat ketika hari kiamat nanti semua masjid akan diangkat ke langit. Tiada satu yang mustahil jika Dia Nan Esa menginginkan. Kiamat berlaku pada hari Jumaat. Ada yang berpendapat ketika kita syolat jemaah Jumaat.

Dalam ceritera Knowing ini, kapal angkasa bukan satu dua tetapi banyak sekali mengambil mereka yang disenaraikan. Kanak-kanak terutamanya. Aku membayangkan begitulah masjid kita dinaikkan ke langit. Bila berlaku gelombang kepanasan yang teramat sangat, bumi ini bagaikan dilipat seperti tikar, lanar dari perut bumi muntah meranapkan semua manusia. Mereka yang dibawa dengan kapal angkasa gembira dengan dunia lain. Yang lebih indah & subur.


Putrajaya sertai ‘Earth Hour’

PUTRAJAYA: Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, turut menyertai program `Earth Hour’ anjuran World Wide Fund for Nature (WWF) yang diadakan serentak selama satu jam di seluruh dunia malam ini, membuktikan komitmen penduduk dan rakyat negara ini terhadap bumi dan pengekalan alam sekitar.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata program itu akan tertumpu di Dataran Putra, Presint 1 hingga ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5.

“Justeru, semua lampu berbentuk ‘non essential’ serta lampu ‘facade’ bangunan di sepanjang Persiaran Perdana akan dipadamkan untuk menunjukkan kerjasama dan kesepakatan dalam menangani isu perubahan iklim global.

“Selain bangunan, beberapa dataran dan jambatan termasuk Dataran Putra, Dataran Putrajaya, Dataran Gemilang dan Dataran Wawasan, serta Jambatan Putra, Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang akan digelapkan dalam tempoh itu.

“Biasanya, Persiaran Perdana menjadi pilihan pengunjung dan jurugambar yang ingin melihat wajah bandar raya bercahaya tetapi kali ini satu detik bersejarah bakal dirakamkan kerana pertama kali Persiaran Perdana digelapkan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Program ‘Earth Hour’ anjuran WWF dilaksanakan serentak di seluruh dunia bermula jam 8.30 malam (waktu tempatan) dengan memadamkan lampu sebagai simbolik di peringkat global mengurangkan kesan perubahan iklim.

28 Mac 2009

Mayat dua doktor ditemui (Ceritera)

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

KELUARGA Dr Haliza dan Dr Amin di Bukit Tabur, Jalan Klang Gate.

Punca kematian masih disiasat

HULU KLANG: Mayat dua doktor pakar sebuah hospital swasta di Ampang yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, ditemui di kawasan hutan simpan Bukit Tabuh, dekat sini semalam, kira-kira 24 jam selepas laporan kehilangan mereka dibuat.

Dr Haliza Mohd Shafie, 53, dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yun Ming, 57, dilaporkan hilang Rabu lalu selepas keluar bersama dari tempat bekerja.

Usaha menjejaki mereka bermula kira-kira jam 7 pagi semalam sebaik polis menerima laporan suami Dr Haliza mengenai penemuan kenderaan jenis Nissan Latio milik isterinya itu berhampiran loji rawatan air milik Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dekat Taman Rekreasi Ampang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta ahli keluarga mangsa.

"Kita turut mendapat bantuan dua helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat. Mayat kedua-dua doktor itu dikesan kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam.

"Mayat Dr Haliza dikeluarkan dari lokasi itu jam 3.30 petang manakala mayat kedua, Dr Amin Tai berjaya dibawa keluar lima belas minit kemudian," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan mayat mereka sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (KHL) untuk bedah siasat.

Difahamkan, mayat kedua-dua mangsa ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat yang tinggi.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hospital itu menunjukkan mereka meninggalkan hospital itu kira-kira jam 11.30 pagi dengan masih berpakaian pejabat.

Ahli keluarga mangsa yang risau selepas kedua mereka tidak pulang membuat laporan polis malam kelmarin.

Berita Harian

Server Easyjournal Meragam Lagi (Singgahsana)

Hari ini bila aku klik jurnal aku di Easyjournal ianya meragam lagi. Maka jika mereka yang perasan, jika aku tidak menulis di Easyjournal kliklah di blog ini. Yag pentingnya ada respon dari pembaca. Maka kuatlah untuk aku menulis.

Keutamaan aku akan menulis di Easyjournal lantaran telah terlalu lama aku menulis di sana. Jika aku kelapangan aku pasti akan memuatkan semua tulisanku aku di blog ini, takutnya nanti tetaiba server Easyjournal itu meragam & tidak dapat diakses lagi.

Melalui kaunter; ianya meragam sejak Sabtu lagi.

27 Mac 2009

Perokok lebih hina daripada lembu - Nik Aziz

27/03/2009 2:26pm

KOTA BAHARU 27 Mac - Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui pakaian jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan oleh agama dan doktor kerana ia memudaratkan kesihatan.

“Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah).

“Maka, mereka yang melakukan perbuatan (menghisap rokok) itu dianggap lebih hina dari lembu,” katanya ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini,hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata ada antara umat Islam yang mencuri-curi menghisap rokok di serambi masjid sambil bersembang sementara menunaikan solat.

Beliau mengingatkan umat Islam supaya menghentikan amalan yang dianggap jijik dan tidak berdisiplin itu. — Bernama

Hukuman gantung pembunuh Canny Ong kekal (Ceritera)

PUTRAJAYA 27 Mac — Bekas penyelia pencuci kabin pesawat, Ahmad Najib Aris, 33, yang disabit kesalahan merogol dan membunuh penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian enam tahun lepas, gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan hukuman itu hari ini.

Dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah dan mengenakan hukuman mati terhadapnya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa tidak ada orang lain yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada Ong pada hari kejadian.

Ahmad Najib, yang kelihatan tenang apabila Hakim Mahakamah Persekutuan Datuk Ahmad Zulkefli Makinuddin membacakan penghakiman, kemudiannya berkata dia redha kerana sudah menjangkakan keputusan itu.

Ahmad Najib memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya untuk membatalkan pensabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Feb 2005 yang mendapatinya bersalah membunuh dan merogol Ong, 28, antara 1 pagi dan 5 pagi 14 Jun 2003.

Mayat wanita itu yang rentung ditemui dalam parit di tepi lebuh raya pada 2003.

Rayuannya didengar oleh panel lima hakim terdiri Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman, Datuk S.Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Zulkefli. - Bernama

15 Mac 2009

Asam Pedas Cara Brunei (Harum Aroma)

Asam Pedas Cara Brunei 7.73
Kiriman: Lina
Sumber: Ibu mertua
Hits: 4137 Rating: 7.73 Review: 0
Bahan-Bahan:
1 ekor ikan merah yang sederhana besar
(disaing dan dipotong ikut suka)
500 ml air
½ bawang besar (dihiris)
3 keping asam gelugur
1 batang serai (dititik)
Sedikit garam
Sedikit minyak untuk menumis

4 biji lada hidup
10 biji cili padi
6 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia

*Bahan-bahan ini dikisar halus dan dicampur dengan 2 sudu teh serbuk kunyit

Cara:
Panaskan minyak tumis bawang besar dahulu barulah masukan bahan kanan dan tumis sehingga mengeluarkan bau, barulah masukkan air. setelah air mendidih masukkan serai,asam, garam dan ikan sehingga masak dan agak pekat.
Cadangan Hidangan:
Hidangan bersama nasi putih sewaktu masih panas. selamat mencuba

06 Mac 2009

Bila hitam sangat menawan (Santai)

Pemilihan tiga warna kontra – merah, hitam dan putih, menimbulkan mood tersendiri di kediaman kontraktor pembinaan, Izwan Affendy.




PENATAAN ringkas namun penuh bergaya melatari ruang-ruang di kediaman ini. Mengetengahkan konsep moden kontemporari, pemilik rumah teres dua tingkat ini bijak memanfaatkan ruang.

Sebuah set sofa hitam diletakkan kemas di setiap penjuru, betul-betul bersebelahan pintu masuk utama. Di tengah-tengah ialah sebuah meja kaca yang turut dihiasi sejambak bunga lili tiruan berwarna kuning.

Di sudut menonton, sebuah sofa merah membangkitkan suasana tersendiri apatah lagi warna dinding sedondon yang menjadi pilihan si pemilik.

Penghuni pastinya boleh bersantai di atas sebuah sofa empuk sambil menonton televisyen yang dilengkapi set teater rumah. Senario ‘terlekat’ di hadapan TV adalah sesuatu yang lumrah pada hujung minggu.


DARI KIRI: SOFA berona hitam menjadi pilihan.
IZWAN sekeluarga. Dari kiri, Nuriza, Nur Raihan, Muhammad Zarif dan Izwan Effendi.
SOFA berona hitam menjadi pilihan.




Bagi menerbitkan ilusi yang lebih berganda pada ruang yang agak terhad ini, aplikasi cermin merupakan langkah yang amat bijak. Ia juga menjadi objek dekorasi ruang dinding yang praktikal.

Memilih gabungan tiga rona warna yang berbeza – merah, hitam dan putih, keseluruhan isi rumah tampak ringkas dan elegan.

“Pemilihan tiga warna kontra ini boleh menimbulkan mood tersendiri di dalam rumah. Kami menggemari warna kontemporari Inggeris moden.

“Asalnya, inspirasi ini muncul ketika kami melawat rumah teman-teman dan juga daripada majalah-majalah hiasan dalaman.

“Saya sendiri juga mempunyai kepakaran dalam menghias. Oleh itu, kesemua idea itu saya gabungkan dan inilah hasilnya,” ujar pemilik, Izwan Affendy Abdul Malik.

Dalam memilih perabot, bapa kepada dua orang anak ini tidak meletakkan aspek jenama sebagai perkara utama.

“Biasanya saya akan beli dari kedai-kedai perabot biasa dan juga Ikea. Terpulang pada minat ketika itu. Tapi dari segi pemilihan barang-barang hiasan lain, di mana-mana kami rasa sesuai dan suka, kami beli,” akui Izwan, seorang kontraktor pengubahsuaian rumah.

Selain mengemas rumah, pasangan Izwan dan Nuriza Zakaria juga suka menukar kedudukan perabot. “Sekurang-kurangnya kita tak akan rasa bosan dengan penampilan yang sama,” ujarnya yang pernah memberi sentuhan dekorasi pada kediaman pengacara terkenal, AC Mizal.

Menurut Izwan, rumah yang didiaminya selama hampir lima tahun itu tidak menuntut kos yang tinggi. Setelah diubahsuai, kos keseluruhannya adalah kira-kira RM30,000.

“Kami tidak banyak ubahsuai rumah. Lagipun keluasan rumah terhad. Jadi, sedikit demi sedikit kami ubah ikut keperluan,” ujar Izwan.


DARI KIRI: RUANG dapur yang ringkas namun selesa.
KOLEKSI miniatur motosikal.
BINGKAI gambar disusun rapi pada sudut tepi dinding tangga.


Tidak mahu ruang tampak kosong, sebuah kerusi bulat berwarna merah putih turut menjadi hiasan di tepi dinding. Sebuah akuarium menjadi penghias sisi tingkap bagi menimbulkan suasana tenang ketika berada di rumah.

“Saya suka tengok hidupan air. Lebih-lebih lagi bila saya balik kerja pada malam hari. Ikan yang berenang-renang di dalam akuarium sememangnya memberi ketenangan,” katanya.


RUANG menonton yang santai dengan susun atur perabot secara minimum.


Menjengah ke bahagian dapur pula, ternyata aspek keselesaan dan keselamatan menjadi keutamaan.

Ruang ini dilengkapkan dengan binaan kabinet coklat yang kemas dan menarik selain membiarkan tingkap terbuka luas agar banyak pengaliran keluar masuk cahaya dan udara.

Menurut pasangan ini, kediaman adalah tempat terbaik untuk merehatkan diri. Justeru, kebersihan, kekemasan dan keindahan setiap ruang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

Kosmo!

05 Mac 2009

TKI Bunuh Majikan di Malaysia Terancam 20 Tahun Penjara


-->George Town, Okezone - Seorang tenaga kerja wanita Indonesia Hanni Seo, Kamis ini dituntut atas dugaan pembunuhan terhadap majikannya 2006 lalu.
Seperti diberitakan The Star, Kamis (5/3/2009), kasus wanita 23 tahun itu disidangkan hari ini.
Namun dalam persidangan, Hanni menolak segala tuduhan telah melakukan pembunuhan brutal atas Phang Kian Huang menggunakan tongkat kayu, alat penumbuk, dan pisau. Peristiwa itu sendiri terjadi pada Februari 2006 di Air Itam Malaysia, pukul 10 pagi.
Saat itu, sang majikan sedang tidur. Akibat srangan itu, tulang rusuk Phang patah dan telinga kirinya hampir putus.
Wanita 42 tahun itu, juga menderita luka pada tulang tengkorak. Di sekujur tubuhnya terdapat sekira 100 jahitan.
Sidang akan diteruskan pada 2 April untuk mendengarkan keputusan hakim. Jika terbukti bersalah, Hanni terancam hukuman 20 tahun penjara dan denda

02 Mac 2009

Atendan pam minyak saman bank RM1j (Ceritera)

IPOH 27 Mac - Seorang atendan pam minyak, Mohd. Azlan Hashim, hari ini menyaman Affin Bank Berhad untuk menuntut ganti rugi RM1 juta kerana didakwa cuai dalam kes pemalsuan perjanjian sewa-beli sebuah kereta pada 20 Ogos 2001 sehingga menyebabkan beliau diisytiharkan muflis.

Mohd. Azlan, 53, dari Blok 5-1-15, Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi di sini mendakwa akibat kecuaian itu, menyebabkan nama dan butir-butir dirinya diperguna dan dipalsukan dalam perjanjian itu.

Menurut beliau, apa yang lebih malang lagi namanya telah disenaraihitamkan oleh Jabatan Insolvensi Negeri Perak pada 9 Mac 2004.

Beliau mendakwa, kecuaian itu juga menyebabkan beliau mengalami kesengsaraan dan penderitaan sejak lima tahun lalu.

Writ saman itu difailkan melalui firma guaman, Messrs Al-Murali & Co yang diwakili peguam C. Murali di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd. Azlan sebagai plaintif mendakwa, pihak defendan cuai kerana telah gagal mengambil sebarang langkah dalam memastikan beliau yang sebenarnya telah memohon untuk pinjaman di bawah perjanjian sewa beli tersebut.

Utusan Malaysia

01 Mac 2009

Gadis siar gambar bogel diri sendiri (Ceritera)

TRENTON, Amerika Syarikat 27 Mac - Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun didakwa atas kesalahan pornografi kanak-kanak kerana menyiarkan lebih 30 gambar bogelnya dalam MySpace.com.

Jika disabit kesalahan, remaja berkenaan akan didakwa di bawah kesalahan pesalah seks dan mungkin dijatuhkan hukuman penjara sehingga 17 tahun.

Kes berkenaan muncul ekoran pendakwa raya memberi perhatian terhadap kes pornografi kanak-kanak disebabkan gejala penghantaran gambar bogel di kalangan mereka menerusi telefon bimbit dan e-mel.

Pakar undang-undang bagaimanapun, belum pernah berdepan dengan kes berkaitan pornografi kanak-kanak yang disiarkan dalam laman web rangkaian sosial.

MySpace enggan memberi komen berkenaan siasatan di New Jersey itu tetapi menyatakan ia mempunyai pasukan untuk memantau gambar yang tidak sesuai dipaparkan.

Dalam kes di New Jersey, pegawai Sherif Passaic County menyiasat dan mendapati remaja perempuan itu sendiri yang menyiarkan gambar bogelnya," kata jurucakap sherif, Bill Maer.

"Kami menganggap kes ini sebagai satu peringatan kepada ibu bapa. Remaja itu berbuat demikian supaya teman lelakinya boleh melihatnya," kata Maer.

Remaja berkenaan yang tidak didedahkan nama disebabkan usianya telah didakwa memiliki dan menyebarkan pornografi kanak-kanak. Dia telah dibebaskan atas jagaan ibunya. - AP