iDAN

28 Mei 2009

Dirantai 2 bulan (Ceritera)



Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

SUBANG JAYA: Mereka hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu manakala air diteguk daripada air paip tandas ketika dikurung dalam lokap buatan sendiri antara 17 hari hingga dua bulan akibat gagal melunaskan hutang along.

Dengan bilik sebesar tiga meter persegi, kaki, tangan dan leher ketiga-tiga mangsa along itu turut dirantai bagaikan binatang.

Begitulah nasib tiga lelaki terbabit yang terpaksa menjalani hukuman dalam lokap buatan sendiri yang dibina di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Perindustrian Bukit Serdang di sini, selepas gagal melunaskan pinjaman berkenaan.

Malah, ketika ditahan dalam lokap umpama Penjara Guantanamo di Cuba itu, semua ‘banduan’ terbabit diseksa dengan kaki, tangan dan leher dirantai pada sebatang tiang dalam dua lokap berkeluasan tiga meter persegi setiap satu.


Bagaimanapun, seksaan yang dijalani tiga lelaki terbabit berakhir semalam apabila diselamatkan sepasukan polis.

Wartawan dan jurugambar yang diberi kebenaran memasuki tempat tahanan mangsa along itu terhidu bau busuk teramat sangat berikutan lokap itu dibina tanpa saluran udara dan keadaan lembap serta berlumut.

Sebaik ternampak media merakam gambar mereka, dua lelaki dalam satu lokap menutup muka masing-masing.

Seorang lagi yang dikenali sebagai Lim kelihatan sebak apabila mengetahui dia berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

Berdasarkan panjang rantai itu, mereka hanya boleh bergerak hingga ke tandas saja.

Ketika ditemui, ketiga-tiga mereka dalam keadaan lemah dengan kesan lebam seluruh badan akibat dipukul dan dirotan apabila membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan rumah kedai itu.

Lim, 49, yang tidak keberatan untuk ditemubual wartawan, menyatakan dia ditahan di situ sejak dua bulan lalu, manakala dua lagi peminjam masing-masing lebih sebulan dan 17 hari.

Katanya, dia meminjam RM1,500 daripada along sebulan sebelum ditahan dan setakat ini melangsaikan RM500.

“Namun, awal April lalu, kumpulan along datang ke rumah saya untuk menuntut baki hutang, tetapi saya tiada wang dan meminta mereka berjumpa waktu petang di sebuah pasar raya di Semenyih, Selangor.

“Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan tidak mampu membayar hutang menyebabkan konco along menculik dan menahan saya dalam lokap ini.

“Sepanjang ditahan, saya dirantai pada kaki, tangan dan leher serta dipukul setiap hari. Tindakan itu dibuat bagi menyeksa saya dan dengan cara itu, saya akan melunaskan hutang mereka,” katanya yang menangis akibat tidak tahan diseksa.

Dia berkata, setiap seorang hanya diberi sebuku roti untuk sajian selama seminggu manakala air minuman diambil daripada air paip tandas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata bertindak atas laporan kehilangan seorang daripada mangsa berkenaan, polis berjaya menahan dua ahli sindiket along di hadapan bank di Desa Jaya Kepong, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 29 dan 33 tahun itu kemudian menunjukkan tempat ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan.

“Dalam serbuan itu, polis menemui bilik kecil di bahagian belakang premis berkenaan yang diubah suai menjadi dua lokap berasingan.

“Bagaimanapun, polis gagal membuka pintu besi terbabit dan terpaksa meminta bantuan bomba kerana tidak mempunyai peralatan untuk memotong besi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Selepas pintu besi itu dibuka, polis menemui ketiga-tiga mangsa dalam keadaan lemah dengan masing-masing dirantai dalam dua lokap berkenaan.

Menurut Abdul Rahim, siasatan awal mendapati mangsa pernah dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Kajang, Gombak dan Segamat, Johor.

“Kami percaya suspek mengambil kesempatan menggunakan kekerasan melampau walaupun hutang mangsa difahamkan antara RM1,500 dan RM4,000.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana membuat kurungan secara salah dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berada di tempat kejadian.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan mengambil masa kira-kira dua jam untuk membuka pintu besi lokap terbabit dengan menggunakan mesin pemotong besi.

Mangsa pertama diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang selepas pihak bomba memotong rantai besi di tangan, kaki dan lehernya manakala dua lagi mangsa keluar kira-kira 10 minit kemudian sambil diiringi pasukan perubatan.

Harian Metro

Neraka along: Peminjam tak bayar hutang dikurung, dilayan macam hamba

Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

DUA dari tiga peminjam yang dirantai leher dikurung along di Seri Kembangan, Serdang sebelum diselamatkan polis, petang semalam.

Peminjam tak bayar hutang dirantai, dilayan macam hamba

SUBANG: Bagaikan hamba abdi - demikian keadaan tiga lelaki mangsa along yang dirantai dan dikurung dalam dua 'lokap' di tingkat bawah sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Pusat Perindustrian Bukit Serdang di sini, sebelum diselamatkan polis petang semalam.

Seorang daripada 'banduan' along itu ditahan sejak dua bulan lalu, seorang lebih sebulan manakala seorang lagi kira-kira 10 hari. Ketiga-tiga mereka diikat dengan rantai besi pada leher, tangan dan kaki ke sebatang tiang dalam 'neraka' itu.

Tiga lelaki itu, yang amat lemah dengan kesan lebam dan luka, dipercayai dirotan di beberapa bahagian badan kerana membuat bising atau cuba menarik perhatian orang ramai di luar bangunan supaya menyedari mereka dikurung.

Mereka hanya diberi sebuku roti seorang sebagai makanan selama seminggu, manakala air minuman disalurkan dari paip tandas yang dibina khusus untuk lokap berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata serbuan ke bangunan itu dibuat pada jam 2.30 petang susulan penahanan dua along di depan sebuah bank di Desa Jaya, Kepong kira-kira tiga jam sebelum itu.

Ketika ditahan kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu dipercayai baru selesai menjalankan urus niaga berkaitan pinjaman.

"Selepas disoal siasat, mereka membawa polis ke premis rahsia itu, yang dipercayai digunakan sebagai lokap untuk menahan dan mendera peminjam yang gagal membayar hutang. Ketiga-tiga mangsa itu ditemui dengan tangan, kaki dan leher mereka dirantai dalam sebuah bilik di belakang premis itu. Keadaan mereka amat teruk selepas dibelasah tanpa perikemanusiaan.

"Kami terpaksa meminta bantuan anggota bomba dan penyelamat kerana tidak mempunyai peralatan untuk memotong rantai mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar.

Abdul Rahim mengesahkan semua mangsa yang ditahan itu dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing di Kajang, Gombak dan Segamat, Johor, termasuk seorang sejak 10 April lalu.

"Siasatan awal mendapati mangsa itu hanya berhutang antara RM1,500 dan RM4,000, tetapi mereka dilayan seperti anjing hanya kerana gagal menjelaskan pinjaman," katanya. Semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan kesihatan.

Tinjauan Berita Harian mendapati anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan mesin pemotong besi serta masa kira-kira dua jam untuk menyelamatkan semua mangsa dari lokap di dalam premis yang tidak mempunyai sistem pengudaraan sempurna itu.

Mangsa pertama hanya dapat diselamatkan kira-kira jam 6.30 petang, kira-kira empat jam selepas mereka dijumpai manakala dua lagi dilihat keluar bangunan itu 10 minit kemudian sambil diiringi pasukan perubatan.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Lim, 49, dari Kajang, berkata dia diculik along di sebuah pasar raya di Semenyih, selepas perbincangan untuk menyelesaikan hutangnya tidak dapat diselesaikan, pada 10 April lalu.

"Sejak hari itu, saya sering dipukul malah diperlakukan seperti anjing kurap hanya kerana hutang sebanyak RM800," katanya sambil menangis dan terlalu lemah hingga tidak berdaya untuk berdiri sendiri.

Berita Harian

Tiada ulasan: