iDAN
13 Mei 2009
Ombak Pasir Bogak 2 (Singgahsana)
"Kenapa kau nak sangat jumpa dengan Mila ni iDAN.." Senin memecah kesunyian malam. Malam amat suram dengan bulan sabitnya. Nampak bertaburan bintang di dada langit.
"Entahlah Nin.... mungkin aku rasakan Mila ini amat jujur mahu mengenali aku, aku tak minta gambar pun dia terus kirimkan gambar ini" Aku masih memegang sampul surat yang semakin lusuh. "Lagipun aku tak punyai adik, ada adik tiri pun tak semesra mana. Aku anggap Mila ni! macam adik kandungku sendiri..." Debur ombak masih kuat. Di kaki langit aku nampak ada mendung. Tak lama lagi mungkin hujan akan menyirami kami.
"Kau rasa senangkah kita nak cam dia iDAN, orang bukankah ramai nanti..."
"Tak pastilah Nin!, jika ada jodoh pertemuan ketamulah kita, jika tak cam kita balik sajalah..!"
Sebenarnya aku memang amat ingin ketemu, dalam ramai kenalan aku cuma ada dua orang nama Jamilah. Seorang Mila yang ini dari Meru Kelang, seorang lagi Jamilah di Teluk Intan. Sejak kecil aku memang amat meminati nama Jamilah. Maka itu aku cepat jawab surat kenalan yang namanya Jamilah.
Mila aku kenali melalui ruang Destinasi, ramai juga yang kukenali melalui rancangan Bunga Bangsa & Kenangan. Bila karya aku tersiar di corong radio memang banyak surat sesat kuterima. Aku masih ingat, sajakku yang bertajuk Sampai Bilakah mendapat respon yang amat baik dari pendengar. Bukan sekadar seminggu mendapat ulasan. Dua, tiga minggu sajakku masih diulas pendengar. Nama iDANRADZi popular sejak tahun 1979 lagi.
Soal hati. Selepas MCE sememangnya aku kehilangan semua. Ada dakapan cinta sejak umur sepuluh tahun lagi, ianya telah ghaib. Ada juga silau cinta terpaksa ku tepisi lantaran tolakan keluarga. Ada juga sapaan cintaku tidak berbalas. Jadi aku payah memahami cinta. Maka itu aku tidak langsung terfikir perkenalan aku dengan Mila dari Meru Kelang ini akan berakhir dengan penyatuan hati, ijab kabul & sampai ke akhir usia kini. Sungguh aku langsung tak menduganya.
Langit dari berbulan sabit menjadi gelap, bintang satu per satu diselimuti awan mendung. Angin basah dari laut menggigit kulit keringku. Hujan renyai mula mendendangkan lagu di atap khemah kami. Kami kesejukan. Lilin yang dipasang padam ditiup angin kencang. Aku menyimpan buku catatan; tak dapat menulis apa-apa lagi. Gelap. Aku mencapai lampu suluh & aku mengambil beg pakaian mengalaskan ia di kepalaku; menjadi bantal; Semua barangan berharga ada di dalam begku. Kami terlelap kepenatan.
Hujan pagarilah kami. Kami mahu ke alam mimpi.
Sedar-sedar telah nampak rona merah di ufuk timur. Aku berlari anak ke gigi pantai untuk mengambil wuduk; bila aku kembali ke khemah; aku dapati semua pakaian yang tersidai di luar khemah hilang ghaib. Apakah ditiup angin. Aku mencari sekitar khemah. Huh! memang ghaib; aku mengejutkan Senin yang masih lena berdengkur.
"Nin pakaian kita banyak hilanglah Nin..."
"Biar bebetul!..."
"Betul, seluar jeans aku, baju T hitam, kau Nin sidai apa malam tadi.."
"Pakaian basah saja iDAN.."
"Seluar ada tak? macam mana kita nak balik!..."Aku perasan Senin cuma pakai kain pelekat ketika tidur. Aku nasiblah bawa banyak seluar.
"Ada dalam beg ini..!"
"Cis!... tak guna betul, aku syak india yang lepak kat khemah kita senja semalam yang buat kerja ini..!"
"Biarlah iDAN kita ini menumpang tempat orang, syukur kita tak kena ugut atau perbagai!"
Kes kecurian pakaian memang membuatkan aku hilang minat mahu lama lagi di pantai Pasir Bongak. Cerah sahaja hari kami telah mengemas khemah & mencari sarapan. Selepas sarapan aku kembali ke pinggiran kiri pantai. Mengeluarkan buku catatan. Melukis lakaran pantai; buat aku kirim nanti untuk Mila. Semua tiket & waktu di mana jua aku sampai aku catatkan di buku notaku. Pagi masih awal. Senin menyambung tidurnya di sebelahku. Aku masih teringat-ingat akan pakaianku yang hilang.
- bersambung
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan