iDAN

21 Jun 2009

Terus doakan kami (Ceritera)

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: ‘Tolong ambil perhatian duka kami dan terus doakan kami supaya dapat membesarkan anak serta meneruskan hidup’. Demikian antara luahan balu penduduk Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Selatan Thailand yang terbunuh dalam tragedi serangan kejam menggunakan senjata api ketika solat Isyak di Masjid Al-Furqan, 8 Jun lalu.

Luahan itu diceritakan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid yang berkunjung ke kampung berkenaan bersama 15 wakil daripada 11 badan bukan kerajaan (NGO) negara ini, 14 Jun lalu.

Misi kemanusiaan itu mendapat sokongan kerajaan Thailand dan sepanjang kunjungan berkenaan mereka diberi kawalan keselamatan oleh tentera.

Mohd Azmi berkata, selepas seminggu berdepan tragedi berdarah itu yang menyebabkan 12 orang terbunuh dan 11 cedera, keluarga mangsa tetap tabah tetapi bagi balu yang kehilangan suami, ia satu trauma yang tidak akan hilang daripada ingatan.

“Mereka masih lagi nampak kuat, tetapi mengaku terpaksa memikirkan bagaimana untuk membesarkan anak.

“Berdasarkan tinjauan kami, ada 22 anak yatim yang bapa mereka terbunuh dalam tragedi itu,” katanya pada sidang media di Seminar Umat Islam Selatan Thailand, di sini, semalam.

Seminar anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) itu menampilkan Timbalan Yang Dipertua PUM, Datuk Md Saleh Ahmad, Penganalisis Selatan Thailand yang juga Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Farid Mat Zin, Presiden Shura, Abdul Ghani Shamsudin dan Mohd Azmi sebagai pembentang kertas kerja.

Menurut Mohd Azmi, sebanyak RM30,000 disumbangkan kepada balu dan mangsa yang cedera. Wang itu turut disumbangkan untuk kerja-kerja pembaikan Masjid Al-Furqan.

“Wang itu adalah hasil sumbangan penduduk negara ini. Kita juga berusaha memberi penerangan mengenai Selatan Thailand sambil memohon sumbangan di 8,600 masjid di seluruh negara.

“Mengikut perancangan, kita akan ke Kampung Air Tempayan semula untuk misi kemanusiaan kedua pada 26 Jun ini. Kita akan membawa golongan wanita untuk mendekati balu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azmi yang juga Setiausaha Kehormat Shura berkata, satu surat kepada Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva berserta sokongan 1,000 tandatangan NGO akan dihantar ke kedutaan Thailand dalam tempoh seminggu.

Antara kandungan surat itu ialah mengutuk sekeras-kerasnya tragedi berdarah di Masjid Al-Furqan, mempersoalkan mengapa tiada tangkapan dibuat selepas seminggu kejadian berlaku dan menyatakan perasaan kesal apabila jurucakap tentera menuduh umat Islam sendiri melakukan serangan kejam itu.

Harian Metro

Tiada ulasan: