Temujanji yang ketiga di Hospital Serdang dengan Doktor Pakar Jantung. Jam 9:00 pagi Khamis 30 Julai 09. Kardio tingkat dua. Bulan Ogos pun telah ditetapkan dua temujanji. Telah hampir sebulan aku memakan ubat Uniaspirin untuk mencairkan darah. Ada ketikanya memang aku payah bernafas, berpeluh-peluh bagaikan ajal itu telah berada di ujung tanduk. Begini rupanya orang menghadapi kematian, terasa perbagai perasaan cemas, takut, sepi, sendirian & amat kosong rasanya dunia ini. Persediaan untuk menghadapi kematian itu yang kita sering abaikan & jika dihitungkan terasa sifarnya.
Mana ada orang rasa puas dengan kehidupan ini, jika boleh mahukan nyawa itu panjang beratus tahun. Masih mahu terusan hidup lagi. Apatah lagi jika hidup diulit kebahagiaan. Dengan rumah bagaikan mahligai, duit tak tahu di mana mahu digunakan. Teringat mahu ke mana sahaja telah berada di sana.
Aku suka melihat kehidupan di saluran 707 terutama di Greece, bagaimana rumah-rumah mereka dibena di kaki gunung dengan permandangan laut yang luas. Tamadun kehidupan mereka telah pun berkembang begitu lama, maka itu masyarakat mereka sampai ke tua suka mengadakan majlis tari menari. Kehidupan bagi mereka adalah kebahagiaan & kegembiraan. Alangkah damainya hidup ini.
Bandingkan kehidupan kita yang amat tenat di arus kota yang sesak, seharian mencari rezeki sampaikan ke malam belum tentu kehidupan keluarga kita akan terbela. Malahan rata-rata rakyat kita di Malaysia terikat dengan hutang-piutang. Sementelah ramai yang mati dengan hutang keliling pinggang. Bayangkan dari berumur sekitar 18 tahun lagi ramai kalangan kita telah pun berhutang dengan kerajaan. Jika tidak dengan JPA, MARA atau PTPTN mana mungkin kita boleh belajar ke menara gading atau jauh sampai ke luar negara. Apa terjadi jika hutang PTPTN tidak dilunaskan maka jadilah kes seperti artis tersohor Faizal Tahir. Dihalang oleh kerajaan kita untuk ke luar negara. Itulah musibah hutang-piutang.
Tidak mustahil masa mendatang kita akan menjadi seorang yang hidup bergantung dengan insuran & ikatan pinjaman. Tanpa pinjaman & insuran pasti waris yang tinggal akan dikejar bank, ceti, ah long & perbagai agensi pinjaman. Nahas.
Aku yang tak punya hutang besar ini pun amat takut dengan kematian. Sekadar ada hutang berbaki, rumah sekitar tiga empat tahun lagi. Ada sedikit hutang dengan anak-anak lantaran pinjam semasa mahu jelaskan cukai tanah pusaka tempoh hari. Takutnya kematian itu bukan apa, kesakitan itu sudah tentu, timbang tara di alam kubur, menghadapi hari akhirat, hari ketentuan apakah buku catatan duniaku diberikan dengan tangan kanan atau kiri?, dosa-dosa yang tentunya masih ada yang tidak terampun. Jika tercampak ke arus api nereka tentunya azabnya amat sakit. Jiwa sentiasa was-was akan keutuhan iman. Bila kita cermin diri kita, di mana sebenarnya mertabat kita di sisi-Nya?.
Maka itu aku amat pelik melihat sikap manusia, bagaimana masih ada anak yang durhaka kepada ayah ibu, isteri yang menyakiti hati suami, suami yang mendera isteri, rakan yang membuat fitnah, majikan yang tidak bertimbang rasa, menjadikan manusia hamba abdi secara moden, dendam sesama manusia, merompak, berjudi, berzina, minum arak, membunuh & perbagai kemungkaran yang terkadang tidak kita terfikirkan kejamnya. Bagaikan manusia ini mahu hidup bermaharjalela, mahu kekal berkuasa, mahu kekal berstatus tinggi, mahu kekal kaya-raya, mahu kekal bergaya.
Bagaikan mati itu tidak akan datang.
Kembali ke masalah diri. Biasalah di Hospital Serdang, tiga jam tidak mungkin akan selesainya. Lama menanti, ketemu doktornya tak akan sampai 15 minit pun. Pastinya aku akan pulang sekitar jam 2:00 petang mungkin lebih lama dari itu. Baru 10 Julai 09 lalu; aku ke PKupm, Dr Shima amat tidak berpuas hati dengan kesihatanku. Melalui ujian terapinya, ujian darah, urine, tekanan jantung perbagai. Ianya makin kritikal; terutama diabebes & kolestrol. Diabetes aku meningkat berganda dalam tempoh sebulan.
Birasku mempelawa aku kerja sebagai Juruteknik Komputer di kompeninya. Itu satu penghormatan buatku. Masakan aku mampu, nampak sahaja aku ini segak & bertambah boroi. Hakikatnya saban hari bergantung dengan ubatan & perhatian doktor. Sekarang pun telah ada lebih dari tujuh jenis ubat mesti di makan setiap hari. Aku cuba kurangkan makan dalam sehari dua pun sudah tidak boleh bangun. Bagaimana mahu menghadapi alam kerjaya yang pasti berhadapan dengan masalah stres, bebanan kerja & perbagai perkara tidak diduga bagai dahulu.
Yang pastinya sejak lebih tiga tahun lalu; aku pasti sendirian merempuh kesakitan ini. Bayangkan bosannya tidak dapat berbual dengan sesiapa atau menulis apa jua di hospital sepanjang hari. Rimas, risau & perbagai kemungkinan bergolak di benak. Pernah aku ditahan di wad kecemasan sampai larut malam lantaran melonjaknya tekanan darahku, ketika nak balik tayar kapcai pula pancit. Merempuh embun malam dengan tayar yang gelong. Huh! betapa mencabarnya ujian nan Kau berikan aduhai! Ilahi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan