Percubaan menghidupkan suasana resort suatu usaha yang berbaloi bagi penghuni kediaman ini, walaupun hanya berpandukan naluri dan ilham majalah.
SUASANA yang melambangkan persekitaran gaya sebuah percutian sering menjadi panduan dalam merias konsep hiasan dalaman. Pemilihan kemasan dan perabot berciri organik tentunya tercatur dalam perancangan awal penghuni kediaman teres dua tingkat ini.
Melewati sambutan pohon hijau subur di muka pintu, langkah masuk disambut susun atur set sofa fabrik putih dengan rangka rotan gelap.
Ia dipadankan kusyen sandar gabungan warna putih dan jingga pinang masak. Ilham susun atur di atas lantai panel kayu menjadikan semua itu nampak lebih hidup.
“Kemas dan selesa. Sekadar cuba mengikut gaya resort,” kata penghuninya, Nor Suhaila Daud. “Tapi saya amat berhati-hati dalam pemilihan kelengkapan isi rumah agar konsep yang diidamkan tidak ‘dicacatkan’ dengan kehadiran pelbagai perabot yang berlawanan konsep.”
Menurut pembantu tadbir ini, dia tidak berapa berminat pada lukisan untuk menyerikan ruang dindingnya. Sebaliknya, gandingan kertas dinding dan kraf khat yang diukir pada kayu lebih menepati cita rasanya yang jelas terarah kepada satu tema.
|
|
Ternyata semua itu pilihan tepat memandangkan garapan elemen yang dipinjam daripada belantara itu molek mendominasi keseluruhan kediaman.
“Pernah juga membeli, tetapi akhirnya tidak dapat memikirkan tempat untuk menggantung kerana warnanya tidak bersesuaian dengan konsep yang dimahukan,” ujar ibu kepada seorang puteri comel ini.
Tanpa mengupah mana-mana pereka hiasan dalaman, Nor Suhaila lebih mempercayai nalurinya sendiri hanya dengan berpandukan paparan dalam majalah.
Dia juga mengakui seronok mengubah gaya aturan perabot serta padanan langsir di jendela. Semua itu dibuat sekerap dua kali sebulan!
Mengorbankan halaman kecil di belakang rumah adalah keputusan yang perlu diambil untuk menambah keluasan pelan lantai. Bahagian itu kini menempatkan dapur kering dan basah, sementara ruang dapur asal telah diubah menjadi ruang menonton televisyen.
|
|
Satu lagi ruang yang mencuri pandangan adalah ruang makan. Bukan sahaja kerana naluri kreatif Nor Suhaila dalam penataan hiasan warna potpuri dan jambangan lavender di atas meja, dia juga bijak menyuai padan meja makan dan kerusi daripada set yang berlainan.
Kemudian, ia disempurnakan dengan latar dinding berupa bongkah pecahan batu gunung yang berpenampilan mewah. Susunan batu-batu itu seumpama kraf dinding yang meninggalkan impak suasana, lebih-lebih lagi apabila pencahayaan kuning dilimpahkan ke atasnya.
|
|
“Sejumlah RM2,000 dibelanjakan untuk membeli batu gunung ini yang dijual mengikut berat minimum satu tan. Upah memasangnya pula memakan belanja sebanyak RM700,” jelasnya.
Anak tangga beralas permaidani
Menyusuri anak tangga hingga ke tingkat dua, kaki sentiasa beralas permaidani. Seperti sudah sedia dengan pertanyaan tentang itu, Nor Suhaila menjelaskan bahawa kesihatan keluarga adalah tanggungjawab setiap penghuni rumah.
Bagi mengelakkan permaidani menjadi tempat habuk, hama dan debu, ia perlu dibersihkan dengan penyedut hampagas sekurang-kurangnya sekali seminggu.
|
|
“Semua tingkap di rumah ini dilengkapi jaring halus supaya hanya membenarkan peredaran udara sihat dan pada masa yang sama menyaring habuk,” akui si ibu sambil sempat menunjukkan bilik yang hanya berwarna merah jambu dan ungu muda - seperti yang ‘disyaratkan’ si anak kecilnya.
Bagi pasangan Nor Suhaila dan suaminya, Badli, mereka mengakui bahawa segala susah payah mereka tinggal menyewa suatu masa dahulu selama tiga tahun berbaloi.
Kesabaran mengumpul wang akhirnya dapat digunakan sepenuhnya untuk memiliki rumah itu, termasuk melunaskan bajet mengubahsuai dan membeli perabot.
“Kami tidak mahu membeli barangan sedikit demi sedikit. Saya juga tidak selesa kalau rumah asyik berdebu kerana kerja ubah suai. Sekali buat dan terus siap lebih menyenangkan ahli keluarga,” terang Nor Suhaila.
“Selain daripada status pegangan tetap, kediaman ini menjadi pilihan kami kerana lokasinya di kawasan yang tinggi dan tenang.
“Kedudukan rumah yang tidak berhadapan dengan kesibukan lalu lintas dan terlalu berdepan dengan deretan rumah lain juga membuatkan pandangan dan suasana lebih selesa,” ujar suaminya.
Kosmo!
2 ulasan:
Suka tgk org hias rumah dgn cara yg unik & tersendiri tanpa keluarkan budget mahal2. Tp belum ada rumah sendiri nak hias.. :)
Abg pula ada rumah pusaka kayu dalam hutan lagi... tapi masih dalam proses dibaiki semula nanti dah siap nak hias cantik-cantik.
Catat Ulasan