iDAN

31 Julai 2009

Famili sisih, suami buang

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sudahlah disisih keluarga sejak 22 tahun lalu kerana memeluk Islam tanpa restu, kini hidup seorang wanita yang juga anak kepada bekas penjaga gol bola sepak kebangsaan, bagai jatuh ditimpa tangga apabila digantung tidak bertali oleh suaminya.

Perbuatan tidak bertanggungjawab suami yang diharapkan menjadi pembimbing dan pelindung selepas wanita berkenaan memeluk Islam itu, sekali gus menghancurkan ‘mahligai’ yang mereka bina sejak 18 tahun lalu.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah, 40-an, menyifatkan kehidupannya kini seperti pelarian yang memaksa dia menghilangkan diri bersama enam anak berusia sembilan hingga 15 tahun.

Ini semata-mata bagi mengelak diburu ahli keluarganya yang sememangnya tidak pernah merestui rumah tangga dibinanya dengan seorang lelaki Islam.

Aisyah yang memeluk Islam ketika berusia 21 tahun sebelum bernikah empat tahun kemudian berkata, suaminya menghilangkan diri ketika anak bongsu mereka masih dalam kandungan. Kanak-kanak itu kini berusia sembilan tahun.

Menurutnya, walaupun harapan menggunung didambakan terhadap suami untuk menjadi pembimbing dan pelindung dalam kehidupan baru, namun ia hanya tinggal harapan apabila ditinggalkan begitu saja tanpa diceraikan.

Bagi menyara anak yang semuanya masih bersekolah, Aisyah yang bertekad tidak akan meninggalkan Islam biar apapun terjadi berkata, dia terpaksa menagih simpati melakukan kerja dari rumah ke rumah selain membuat kuih di sebuah restoran di ibu kota.

Mengimbau kejadian selepas memeluk Islam, Aisyah berkata, dia terus disingkir keluarga dan hanya bergantung hidup atas belas ihsan masyarakat setempat.

Menurutnya, paling menyedihkan apabila lelaki yang dikahwini bukan saja tidak memberikan nafkah, tetapi malas bekerja.

“Saya terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga, tapi suami hanya goyang kaki dan memeras wang yang saya peroleh sebelum meninggalkan saya,” katanya.

Aisyah berkata, walaupun ditimpa pelbagai keperitan hidup, kesungguhan mendalami Islam tetap menebal dalam hati biarpun perkahwinannya tidak bahagia dan kini hidup dalam serba daif.

“Saya tahu risiko bakal dialami jika memeluk Islam, namun saya nekad kerana pintu hati sudah terbuka terhadap keindahan Islam dan sanggup menghadapi apa juga dugaan.

“Hingga sekarang keyakinan dan komitmen saya terhadap Islam tetap utuh serta menerima apa juga dugaan dengan hati terbuka tanpa sedikitpun rasa kecewa dan tertekan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketika mula-mula memeluk Islam, keluarga sering memujuknya meninggalkan agama Allah itu dan paling menyedihkan apabila dia dikurung serta didera supaya akur dengan kehendak mereka.

“Saya melalui saat menakutkan ketika itu, malah ada satu ketika ahli keluarga tergamak membotakkan kepala serta memukul dengan batang kayu semata-mata mahukan saya kembali kepada agama asal.

“Akibat tidak tahan dengan seksaan itu, saya nekad melarikan diri dan hingga sekarang bimbang pulang ke rumah berjumpa ahli keluarga kerana tidak mahu peristiwa buruk itu berulang,” katanya.

Dia berkata, keinginan mendalami Islam terbit dari hatinya sendiri kerana sejak berusia sembilan tahun, dia amat suka mendengar takbir Aidilfitri, malah akan turut sama bertakbir.

“Ada ketika saya akan menitiskan air mata hanya dengan mendengar takbir. Waktu itu saya sendiri tak pasti apa yang menyebabkan saya berkelakuan demikian.

“Apabila dewasa, saya nekad dan mengambil keputusan menukar agama walaupun secara sembunyi-sembunyi,” katanya.

Buat masa ini, Aisyah berkata, kehidupannya sekeluarga begitu sukar, ditambah pula keadaan kesihatannya yang tidak menentu selepas menghidap penyakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.

Malah, katanya, paling menyedih dan menguji ketabahannya apabila disahkan menghidap kanser darah.

“Keadaan ini membataskan pergerakan saya, malah tangan kiri tidak mampu menggenggam dengan kuat mungkin kesan pengambilan ubat akibat penyakit dihadapi selama ini,” katanya.

Aisyah berkata, walaupun bergelut dengan masalah kesihatan, dia tetap berusaha mencari rezeki dengan tulang empat keratnya bagi menyara dan memastikan anak mendapat pendidikan sewajar.

“Saya sanggup berhempas pulas mencari rezeki untuk memastikan pelajaran anak tidak terabai. Saya tidak kisah bersengkang mata mencari duit halal dan mengabaikan penyakit dihadapi asalkan mampu terus menyekolahkan anak.

“Saya reda dengan apa yang lalui dan tidak mungkin menukar agama hanya kerana dugaan sebegini. Hidup mati saya dalam Islam dan tiada siapa mampu menggugat kepercayaan saya,” katanya yang berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggungnya.

Harian Metro

Tiada ulasan: