iDAN

22 September 2009

Raya ooo Raya 2 (Singgahsana)

7. Jarang aku beraya sesegak ini, siap memakai samping & songkok tinggi. Rasa macam nak pergi majlis akad nikah pun ada. Serba serbi berkonsep hijau. Katanya Mila pun akan guna konsep hijau untuk beraya di Hari Raya pertama. Kira sedondon.

Satu sahaja kekuranganya raya pada tahun ini, perutnya aku semakin boroi. Jika aku kembali langsing berpinggang 30 inci awal pasti nampak bagai jejaka machoo. Tambah pula dengan hidung mancungku. Rambut pasti boleh dironakan. Bagaimana pandangan orang jika sudah setua aku merona rambutnya. Pelbagai andaian kut!. Sedap bunyi jangan kata meronakan rambut. Katakan sahaja inai rambut. Buang tebiat ke apa orang tua ini.

Nyamannya mandi air tempayan
bagai mandi air telaga.

8. Sampai di Palm Garden I O I Putrajaya baru teringat ubat-ubatanku tertinggal di Jenaris. Nak patah balik pasti Mila bising janji nak sampai Meru sekitar jam 1:00 tengah hari. Jam di Avanza menunjukkan 1:00 tengah hari lebih. Pening.

Kesihatan & janji. Mana lebih penting. Aku terbayang bunga betik & pucuk mengkudu. Lalu aku lajakkan saja. Bunga betik atau pucuk betik bagus untuk pengembalikan kestabilan darah. Daun mengkudu atau buahnya bagus untuk merawat sakit diabetes. Teringatkan alternatif ini aku beranikan diri untuk beraya tanpa memakan ubat. Setakat dua hari tak makan ubat mungkin risikonya rendah. Malam raya pula, lepas pekena lemang cinonik, lontong, pelbagai rendang, aku terus pengsan depan TV. Maknanya sekitar tiga ke empat hari tak makan ubat. Huh! bolehkah.

9. Sampai di Tol Klang Mila telah telefon. Kebetulan aku hidupkan telefon bimbit nombor rahsia yang mana Mantan PM Pak Lah & staf JPM pun tahu nombor ini. satu lagi nombor memang ramai yang tahu. Jarang aku buka nombor rahsia ini.

"Ayah tak nak balik ke, ibu & adik-adik ni dah nak pergi beraya !" Biasa ayat negatif Mila suka bertanya negatif baru tujuan. Kalau nak ajak makan mesti sebut begini. "Ayah tak nak makan ke? makanan dah siap!" Atau kejutkan tidur pepagi hari. "Ayah tak nak sembahyang subuh ke?, subuh sudah nak habis..!"

Jawapan kalau nak gaduh, senang saja."Iyer tak nak balik, ibu pergilah beraya dengan adik-adik tu!" "Tak nak makan!, kenyang... ibu makanlah sorang-sorang.." (Mila akan cakap Jawa kalau jawab macam begitu.)

"Kejap lagi ayah sampailah, dekat tol Klang ini!"

10. Pak Alang Muda & Mak Alang tak punyai anak, Maman Nordin & Ana ada tiga orang anak, serta beberapa lagi anak saudara menjadikan bilangan kami seramai belasan orang bertandang di sekitar rumah mertuaku. Termasuk ke rumah Kak Atek yang berasalnya orang Medan, dia kahwin dengan pangkat Abg Saudara sebelah Yaie (Pak Mertuaku). Kak Atek ini cantik orangnya, peramah & kalau lihat rumahnya memang dia seorang yang kemas & pembersih.

Rumahnya baharu sahaja direno; habis sekitar RM20 ribu. Kalau di bandar mahu sekali ganda. Di Meru memang upah amat murah, ramai orang dari seberang yang mahir bertukang rumah tinggal di sekitar Meru. Beli barangan & upah mereka ini berkerja. Pasti murah.

Rumah Kak Atek berkonsep santai dengan tingkap cermin gelapnya yang luas & jubin bersaiz 2 kaki lebar berkilat cantik. Siap langsir berkonsep jurai dari benang kail tangsi. Memang nampak mewah.

Makan Nasi Briyani dengan rendang, sambal udang pelbagai pastinya amat kenyang. Kebetulan di belakang rumah Kak Atek ini tumbuh sepohon betik jantan. Bunganya tengah banyak. Masalah darah tinggi aku mungkin selesai jika berulamkan bunga betik. Bila sahaja aku minta Mila agar minta izin untuk petik bunga betik tersebut. Dia membebel, takut getah kena bajulah. Tinggilah. Takkan raya nak petik bunga betiklah. Penat betul. Itulah Mila kesayanganku.

Bila Kak Atek terdengar masalah aku tertinggal ubatan. Kelam kabut dia mencari ubat darah tingginya. Tak sangka Kak Atek juga punyai masalah sakit Darah Tinggi.

"Kak Atek saya bukan nak makan ubat punya Kak Atek, saya teringin nak makan bunga betik itu, bunga betik elok untuk melancarkan aliran darah...!" Kak Atek terus keluar rumah memetik & siap basuhkan bunga betik untuk aku makan bersama Nasi Briyani. Aku memang suka makan mentah berbanding direbus. Biar pun orang seberang yang tidak serapat mana denganku, amat menghormati keinginanku.

Telah lepas satu masalah; iaitu tekanan darah tinggi. Ubat darah tinggi yang aku telan saban hari ada 3 jenis. Dengan memakan ulaman daun betik memang terasa ringan sikit badan.

Dari Dunia Maya

Khasiat Pucuk Betik

Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah darah tinggi, pemakanan harian sememangnya perlu dijaga. Tahukah anda terdapat dua jenis bahan yang sangat baik dimakan untuk menurunkan darah tinggi?

Salah satunya adalah menggunakan pucuk dan bunga betik. Apa yang perlu anda lakukan adalah mencelurkan pucuk bunga betik itu di dalam air panas sehingga ia masak kemudian di makan. Ia juga boleh dijadikan kerabu atau dimakan dengan sambal belacan. Rasanya mungkin sedikit pahit tetapi ia amat baik untuk mengubati penyakit darah tinggi.
Selain itu, jus daun betik boleh menjadi remedi yang sangat mujarab, dan berupaya mengatasi banyak masalah@penyakit. Contohnya diserang denggi, malaria dll. Jus daun betik berupaya untuk menggandakan pengeluaran sel darah yang baru supaya sel darah yang rosak akibat serangan virus denggi dapat diganti segera.

Bukan sahaja daun betik, malah di kalangan masyarakat di India, buah betik dimakan bukan sekadar untuk memudahkan sistem penghadaman@pelawasan tetapi juga dianggap sebagai satu kaedah menjarakkan anak - khas untuk mereka yang ingin membuat perancangan keluarga secara tradisi.


11. Sekitar lima, enam rumah kami bertandang maka Hari raya pertama pun bakal berlalu. Ketika hampir mahrib aku bertandang ke rumah kakak kepada birasku Hana. Rumah tersebut didirikan sekitar sebulan sahaja. Satu projek wakaf yang dibangunkan dengan kadar sewaan tapak rumah RM50 sebulan.

Pemilik rumah hanya perlu membayar belanja urusan sekitar RM3,500 untuk kos didirikan jalanraya, elektrikal, paip air & kerja kajiukur tanah. Luas tanah sekitar 50 x 70 kaki. Terpulanglah kepada pemilik mahu membuat rumah@banglow sebagaimana yang diingini. Aku lihat ada yang banyak duit buat banglow dua tingkat. Nampak mewah. Tak kurang ada 20 lot. Sebahagian telah siap rumahnya & sebahagian tanahnya masih kosong tapi semua telah punyai pemilik.

Projek begini seharusnya telah lama diperkenalkan, memang jimat berbanding mahu membeli rumah melalui Pemaju Perumahan. Pasti ramai yang berminat & mampu tinggal di rumah begini.


12. Malam raya kedua, aku telah rasa pening lalat lantaran tak makan ubat. Faham sahajalah makan pelbagai juadah raya yang pasti banyak kolestrolnya. Tambahan asyik teguk air manis. Masa berbual dengan Pak Alang Muda, di tempat dia berkerja banyak pokok mengkudu. Malam Raya kedua dia memang berkerja. Syif malam. Dia janji boleh petikkan. Kira janji & langkah terbaik. Pagi raya ke dua pasti aku akan dapat makan ulam daun Mengkudu. Memang itulah harapanku agar aku tidak tambah pening.

Ada banyak jenis mengkudu sebenarnya, salah satu yang sering kita lihat adalah Mengkudu Kampung. Daunnya lebar & buahnya agak besar. Satu lagi Mengkudu Hutan, daunnya agak kecil berbanding Mengkudu Kampung. Rupa atau bentuk daunnya sama sahaja. Cumanya Mengkudu Hutan ini buahnya kecil & burung suka memakannya. Rasa daunnya pun lebih maung & tajam. Ada juga Mengkudu Siam yang biasanya pokok ini dibuat pokok hiasan.

bersambung!..

2 ulasan:

Cetusan berkata...

sesekali segak kacak apasalahnya..
mana tau ada yang berkenan..tambah kouta..hihikk

tak boroi jalan kaki 10 km sehari ..

berkaki ayam,
sermpang dua mata..ihat tubuh sihat kaki..walaupun tapak kasarkakiserta hodoh, tapi urat sihat.

iDAN berkata...

Sdr Zeq

Banyak juga taman rekreasi menyediakan ruang jalan kaki yang disusun batu sungai. Ianya memang elok diamalkan. Bagai batu sungai tersebut menjadi urutan di tapak kaki.

Berjalan sejauh 10 km sehari mungkin tak mampu. Tapi kalau ke kompleks beli belah sambil suci mata mungkin okey kut!.