Aku mendapat e-mel dari Jabatan Perdana Menteri; dari Pengarah Biro Aduan Awam; Dari e-mel yang kubaca, semua mereka agak terkejut dengan kuputusan drastik aku untuk memilih opsyen berpencen awal. Pen. Pengarah Biro Aduan Awam memberikan aku nombor telefon Setiausahanya; agar aku dapat menetapkan hari untuk ketemu & berbincang masalah kerjaya kami di UPM pun pekerja keseluruhan di perkhidmatan awam yang senasib dengan kami.
Aku menolak pertemuan tersebut lantaran, sementelah e-melku kepada PM melalui Warkah untuk PM pun telah menjadi isu panas di UPM kemudiannya berebak ke serata alam. Ini kan pula aku nak panjat tangga ke Jabatan Perdana Menteri. Tak sanggup lagi aku melihat mata terbeliak orang-orang kesatuan pekerja menempelak aku. Padahal aku mahukan satu hakikat yang baik buat semua. Jika ada kesatuan sekerja pun tak jalan kenapa tidak kita gunakan kuasa mata pena. Mata pena itu lebih tajam dari mata pedang; dalam perjuangan apa sekalipun.
Semua e-mel aku untuk Warkah untuk PM, balasan dari Pengarah Biro Aduan Awam & pergolakan kerjayaku aku kirimkan kepada Sdr Omar Osman President Cuepacs (Bagindo) yang memang aku kenali. Mungkin Bagindo kurang mengenali aku, tapi dia pernah berjanji perbagai kepadaku.
Antara yang aku tulis ke Jabatan Perdana Menteri, aku mahu melihat rakan sekerja yang telah berkhidmat lebih dari 15 tahun dapat dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat yang lebih munasabah. Aku tidak sanggup melihat Budak Pejabat yang telah berpangkat Atuk ke hulu ke hilir menghantar surat & perbagai urusan. Kalangan mereka sudah boleh dinaikkan sebagai Kerani Rendah jika bukan Kerani. (Sekarang Kerani jadi Pembantu Takbir, Kerani Rendah digelar Pembantu Takbir Rendah) Aku pernah menceriterakan masalah ini panjang lebar dalam jurnalku di easyjournal.
Bagi mereka di bidang teknikal, lebih afdal diujudkan jawatan Pembantu Am Makmal bukan dicampak sebarangan menjadi Pembantu Am Pejabat. Diujudkan semula Pembantu Makmal Rendah, Juruteknik Rendah, untuk tangga kenaikan mereka di bawahan jika memang tidak layak menjadi Tukang Kadar atau terus ke jawatan Juruteknik. Perbanyakkan jawatan Juruteknik Rendah, Pembantu Makmal Rendah, Operator & Tukang Kadar bagi kenaikan golongan marhaen yang terhimpit ini.
Begitu juga dengan Juruteknik, kenapa nasib jadi macam Pak Wahid, sampai pencen pun masih Juruteknik, kenapa tidak diperbanyakkan jawatan Juruteknik Kanan bagi mereka yang telah lulus PTK, Pembantu Teknik bagi mereka yang ada diploma. Aku tidak risau sangat golongan sokongan di taraf C & B ini. Mereka aku lihat boleh meniti hidup ini dengan sederhana, malahan ada yang bermewah jika punyai pasangan yang berkedudukan di bidang kerjayanya.
Golongan sokongan kumpulan D yang amat kusasarkan, Dari N1 yang bertaraf skim gaji Darjah Enam ini yang amat naif. Skim gaji Darjah Enam ini mestilah dimansuhkan. 15 tahun memegang jawatan yang sama dengan gaji yang amat minimum rasanya adalah satu pemhambaan moden.
Bila semalam Perdana Menteri Rakyat kita mengumumkan peluang kenaikan pangkat untuk mereka yang berkhidmat 15 tahun ke atas ini; sememang aku merasakan satu kejayaan perjuangan aku selama ini. Biar pun aku tidak dapat merasai kenaikan tersebut. Cukuplah aku menumpang gumbira jika rakanku mendapatnya. Tugasan aku sebagai Juruteknik tanpa gaji mutlak sepanjang belasan tahun sudah cukup mengajar aku erti pengorbanan.
Mantan PM kita Pak Lah telah pun menaikkan ramai kalangan staf bawahannya ke Pembantu Takbir Rendah. Aku mendapat e-mel tersebut & e-mel tersebut mempelawa aku untuk berhijrah ke sana. Kenapa kita masih berdolak dalik untuk menaikkan pangkat anak buah kita. Malahan orang seperti aku yang sejak berzaman nampak kepincangan ini pula jadi bahan kecaman.
Emmm! sekarang aku menjadi Penyair sepenuh masa. Rasanya lebih aman lagi.
- bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan