iDAN
18 Ogos 2010
Raya di Kota apa kurangnya (Singgahsana)
Jika aku diberikan pilihan pastinya aku mahu beraya di kampung halaman sendiri; Hari Raya ibarat mengembalikan kenangan lama, tak kiralah jika telah tiada ibu & ayah. Kampung halaman tempat tumpahnya darah amat damai & indah untuk dikunjungi.
Jika di kampungku meriahnya biarpun sekadar sehari dua sahaja tetapi ianya amat bererti. Paling terasa meriahnya selalunya akan bermula hari memasak lagi; kalau pun tak membakar lemang tolong emak buat kerja di dapur pun sudah cukup seronok. Selalunya emak pasti akan buat Rendang Tok, juadah untuk dicicah dengan ketupat atau lemang. Rendang Tok hanya popular di Perak. Kak Nomie selalunya akan menganyam ketupat; aku tahulah takat buat satu dua jenis ketupat, ketupat jantung & sate. Kami jarang bakar lemang, kut! sesekali raya sahaja kalau ramai berkumpul, biasanya kami buat tempahan lemang sahaja. Wan Midah antara orang yang mahir membuat lemang. Memang sedap lemangnya.
Berbuka kali terakhir sebelum raya sememangnya suasana paling meriah; sebabnya juadah sudah pasti banyak; esok sudah boleh makan siang. Biasanya selepas berbuka aku akan memasang panjut (pelita) sekeliling rumah. Memang tak sabar mendengar pengumuman berhari raya di radio atau TV. Bila telah ditetapkan esok hari raya sungguh meriah satu kampung. Bunyi meriam buluh & meriam tanah tak pernah berhenti. Biasanya aku akan bersiar sekeliling kampung untuk melihat kerdipan panjut & anak-anak bermain bunga api.
Pagi Raya setelah bersarapan di rumah, boleh dikatakan seluruh penghuni kampung akan bertumpu ke masjid untuk Sembahyang Sunat Raya. Pakaian baru & bersalam-salaman dengan orang kampung amat berserinya. Boleh dikatakan semua penduduk di kampung dikenali maka tidak terasa asing. Ukhuwah antara penduduk kampung amat terjalin intim.
Selepas Sembahyang Sunat Raya jemaah bertumpu ke Tanah Perkuburan Pedas; sebelum arwah Apak & Emak tiada aku memang pasti kekubur; menziarahi pusara dua orang Abang Kandungku & seorang Kakak Kandung yang meninggal semasa kecil. Selain itu aku rajin menebas kawasan pusaka Opah & Atokku yang aku sendiri tak pernah berjumpa mereka. Aku lahir mereka telah tiada. Biasanya akan ada majlis tahlil & selepas itu orang kampung bersedekah duit. Tabur duit siling kepada kanak-kanak yang hadir di Tanah Perkuburan Pedas sejak berzaman masih diamalkan.
Di tanah perkuburan ini jua akan mudah berjumpa kenalan yang jauh & dekat. Selalunya rakan yang telah berpindah dari kampung ketika inilah akan menjenguk kampung halaman.
Selepas menziarahi tanah perkuburan barulah ramai saudara mara, rakan & taulan bertandang dari rumah ke rumah. Suasana bertandang ini akan berterusan hinggalah raya kedua & ketiga. Kemudian akan berkurangan lantaran tak seramai mana orang kampungku. Kut! ada saudara mara dari jauh yang datang di hari-hari seterusnya.
Memang ini suasananya berhari raya di kampungku di Perak sana. Bila apak & emak telah tiada; maka aku banyak beraya di Meru. Suasananya 100% berubah.
Bagaimana pula di kota. Katakanlah di Meru; memang ini amat disukai oleh anak-anakku. Sebabnya akan banyak dapat duit raya. Di kampungku memang amat jarang tuan rumah menghulurkan duit raya kepada anak-anak. Di Meru bagaikan sudah menjadi kemestian; setakat nak dapat kumpul RM100 ke RM200 sepanjang musim raya memang tak jadi masalah. Bersembahyang Sunat Raya pula ada banyak pilihan. Aku suka ke masjid di bandar Meru; seronok suasananya dengan ramai kalangan pelbagai bangsa; Melayu, Jawa, Bangla, Indon, Pakistan & entah bangsa apa lagi. Meriah sangat lantaran kaum wanitanya pun sarat melimpah dari ruang bawah & atas. Selalunya aku akan sembahyang di tingkat atas baru nampak suasana kemeriahannya.
Mila pula selalunya takkan cukup tiga hari untuk berkunjung ke rumah saudara mara; keluar pagi balik lewat malam; memang rutin begitu. Aku sekadar pengiring lantaran tak pandai berbahasa Jawa. Juadah raya di Meru biasalah dengan Lontong, Lode, Lemang, Ketupat & kuih-muih. Biarpun dikatakan balik kampung; suasana di Meru bukan kampung lagi; sudah macam di bandar.
Aku suka ke rumah Kak Eton sebab di situlah rasa kampung sikit lantaran agak terpencil ada anak sungai, pokok durian, kandang lembu & ternakan ayam itik. Ada kera peliharaan & ikan yang dibela di dalam kolam. Rasa tak meriah raya di Meru kalau tak ke rumah Kak Eton. Samalah rumah Pak Toyo jauh di dalam ladang yang banyak ulam-ulaman nak cari bunga betik atau terkadang Kak Enum isterinya rajin tanam pokok Ulam Raja memang jarang kecewa jika mengidam ulaman.
Sebelah malam jika jadual Mila tak ketat aku suka pergi menonton sekitar bandar Klang.
Setelah selesai majlis bertandang ke rumah saudara mara Mila biasanya aku barulah bertandang rumah Yot (Abang Kandung) di Jalan Bukit Gadung Klang tak sejauh mana & rumah Kak Nomie (Abang Kandung) di Seri Gombak.
Aku pernah juga beraya di Kajang; aku suka bersembahyang raya di Masjid Penjara Sungai Jelok. Jemaahnya tak seramai mana, selepas sembahyang selalunya akan ada Jamuan Hari Raya, lepaslah jika rasa mengidam lemang & rendang. Tetapi boleh dikatakan 99% berwajah asing sebab bukan tempat orang kita kenal; maka kena bawa anak-anak jika tidak memang terasa asing amat.
Di Jenaris bukan tak ada Sembahyang Raya tetapi suasananya amat hambar; selalunya ramai sangat jemaah & tak ada pun sebarang jamuan. Tak tahulah tahun ini berubah sebab aku lihat sejak diadakan Sembahyang Jumaat nampaknya Surau Jenaris makin kaya raya semakin kerap diubahsuai bangunannya; tenguk pagarnya pun aku lihat telah mengalahkan surau malahan masjid di kampung-kampung.
Selamat Hari Raya dari aku sekeluarga buat saudara mara, rakan & taulan; pun buat pengunjung setia blog ini. Maaf zahir & batin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 ulasan:
Salam,
Selalu juga saya raya kat Bangi sendirian...tanpa sesiapa, tanpa makanan rayapun...
Betul tu Bang IDAN.. Saya sudah 2,3x beraya di KL boleh tahan juga meriahnya. Yang penting bagi saya, asal saja keluarga saya bersama saya, dah lengkap.
Sdr Anyss,
B B bangi adalah taman perumahan nan tersusun; kena lari jauh dari Bangi sana baru dapat suasana kampung; Dulu aku jua pernah sendirian di Seri Kembangan, perkampungan cina langsung tak rasa suasana kampung di sana.
Penat nak fikirkan semua itu.
Dik Azah;
Bila di Ambang Warga Emas ini; rasanya tak larat lagi nak bersesak-sesak di jalan raya.
Sebaiknya; anak atau saudara mara datang berkunjung ke rumah kita; bukan kita yang mengejar mereka.
Masalah besarnya rumah abg ni pinggir kota ini masih tak sempurna; Nak sambut tetamu pun segan.
Ingat nak buat rumah kampung masih tak tercapai!
Catat Ulasan