01 Januari 2011

Serah RM200 elak diperkosa drebar teksi

KUALA LUMPUR: Bimbang diperkosa, seorang wanita berusia awal 20-an menyerahkan wang tunai lebih RM200 dan telefon bimbit miliknya kepada seorang pemandu teksi selepas lelaki terbabit mengugut mahu merogolnya, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam di Bukit Bintang, di sini, pemandu teksi berusia lewat 30-an itu mendakwa mahu merogol mangsa kerana tertarik dengan kecantikannya.


Menurut sumber, mangsa yang baru pulang dari bekerja diugut suspek sebaik memasuki teksinya.

“Mangsa yang bersendirian dan panik dengan ugutan itu merayu berulang kali supaya tidak diperlakukan demikian.


“Pada mulanya suspek tidak mengendahkan rayuan itu sebaliknya berkeras untuk membawa mangsa ke tempat sunyi dan merogolnya,” katanya.


Sumber berkata, mangsa mengugut membunuh diri dalam teksi berkenaan membuatkan suspek terdiam seketika.

“Suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan berharga kepadanya.


“Mangsa yang akur dengan arahan suspek dibenarkan keluar daripada teksi berkenaan sebelum suspek melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

MyMetro

Tiada ulasan: