iDAN

09 April 2011

Impak HKLBR, Fenomena Usop Wilcha Kini Dah Jadi Culture!

KUALA LUMPUR, 7 APRIL 2011: Penghujung minggu lalu sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) hampir tiba kemuncak siarannya, audiens di dewan serta penonton di rumah dikejutkan dengan kemunculan dua watak komedi dari filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) arahan sutradara Mamat Khalid untuk menyampaikan keputusan bagi anugerah terbesar pada malam itu.

Sudahnya, satu dewan arena gamat gelak tawa audiens yang nyata sangat terhibur dengan telatah Shy8 yang memegang watak Usop Wilcha serta Johan sebagai Abi Hurairah (nama wataknya sahaja sudah menggelikan hati). Jika difikirkan rasionalnya, tiada signifikan membawa watak-watak ini ke atas pentas, tetapi jika dilihat dari perspektif berbeza, mungkin penganjur ingin mengurangkan debaran serta menghiburkan calon-calon yang sedang gelisah menanti keputusan siapakah bakal pemenangnya.

Justeru timbul pula satu persoalan, sejauh manakah kuatnya impak filem HKLBR ini sehingga apa sahaja yag dituturkan atau gerak tubuh dari watak-watak filem ini, sudah dapat ditangkap penonton. Ini boleh dirungkaikan dengan melihat sendiri pada filem HKLBR yang padat dengan stail komedinya yang sarkastik, sinikal, serta parodi yang berat dalam dialog-dialognya.

Dialog-dialognya? Ya, dialog-dialoglah yang merupakan 'senjata' terkuat dalam filem ini. Jika direnung kembali, selepas filem-filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, jarang ada filem yang kita ingat akan dialog-dialognya seperti mana kita kita ingat dialog dalam filem HKLBR.

Ambil contoh, trend ayat "cer citer, cer citer" kini mula berleluasa di kalangan media, remaja-remaja sekolah atau sesiapa saja yang pernah menonton filem ini. Penggunaan ayat itu acap kali digunakan apabila kita ingin bertanya tentang sesuatu peristiwa dikalangan sahabat handai kita dan tanpa sedar, pengaruh HKLBR mula meluas dikalangan masyarakat majmuk hari ini.

"Kita bakor, kita bakor", satu lagi dialog yang bila dituturkan saja, terbayang adegan betapa semangatnya Usop yang ingin menyelesaikan masalah hantu yang melanda Kampung Pisang dengan membakar rumah Kak Limah sendiri. Tak dilupakan aspek Usop meminta persetujuan penduduk kampung yang mana, sesiapa yang setuju dengannya membakar rumah Kak Limah, perlu mengangkat tangan sambil menggoyangkan dengan penuh gemalai. Babak ibarat melekat di dalam otak dan apabila diimbas tayang, kita pasti tersenyum sendirian.

Banyak lagi babak yang meninggalkan kesan sebenarnya dalam filem ini, contohnya babak cemas ngeri di mana Usop digeles kubota oleh Wan Kaswi yang sedang seronok bercakap di telefon tanpa sedar jenteranya bakal menjadi penyebab Usop hilang keupayaan diri dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda (wheel chair, yang mana kemudian disebut sebagai wilca oleh penduduk kampung).

Babak itu telah dirakamkan secara long shot, oleh itu keadaan yang sepatutnya ngeri dan tak lepas tapisan LPF, (Usop terbaring dengan pancutan darah yang tersembur dari kubota dan dalam masa yang sama, Wan Kaswi masih tidak sedar dan bergelak menggunakan telefon) telah menjadi babak komikal dan kita masih boleh ketawa sedangkan ia sepatutnya memberikan kesan yang sadis.

Filem ini juga tanpa kita sedar atau tidak, terdapat babak yang senagaja dibuat palsu untuk menyindir negara jiran kita, Indonesia. Babak merapu di mana Sofi Jikan sebagai Wak Joko Erwin Anwar telah mengalahkan mummy di Mesir dan kemudiannya menewaskan Yeti, sejenis makhluk mitos ala-ala Big Foot. Babak itu sengaja dibikin sebegitu "fake" untuk menyindir Indonesia dan kemudian Wak Joko Erwin Anwar ini tewas dengan sekali penampar dari Kak Limah.

Permainan psikologi yang membangkitkan isu-isu masyarakat Melayu juga begitu kerap sekali dibangkitkan dalm filem HKLBR. Salah satu adegan klise ialah Husin yang kini telah merantau ke luar kampung, kembali dengan motor besar sebagai tanda dia sudah berjaya. (Bukankah kerap terjadi dalam masyarakat Melayu anak kampung keluar kampung dan kembali dengan kerjaya? Dan kejayaan itu diterjemah dengan kenderaan mewah).

Juga isu Usop yang kini menjadi orang kurang upaya terpaksa menggunakan kerusi roda bantuan kerajaan. Punyalah hendak dijaga kerusi roda itu, sampaikan nampak hantu pun, Usop terpaksa 'berlari' sambil menolak kerusi roda itu.

Oh ye, program realiti TV yang menjadi pengaruh utama intelektual masyarakat kampung juga disentuh apabila Husin secara sinis bertanya kepada Kak Limah, "Tak tengok Akademi Fantasia ke Kak Limah?". Harus diingat, kegilaan program realiti TV adalah lebih berleluasa di kalangan kelompok masyarakat kampung berbanding mereka yang berada di kawasa bandar.

Itu belum lagi disentuh isu-isu mentaliti,sosial-politik orang Melayu seperti isu subsidi, jumud, PPSMI, hospitaliti dan kesihatan. Semuanya dibangkitkan dengan nada sinis oleh Mamat Khalid sebagai pengarah filem ini.

Keseluruhannya, di sebalik pelbagai kelemahan aspek teknikal filem ini, nyata ia telah mencapai status cult sekarang di mana pelbagai perbuatan masyarakat marhaen hari ini, adalah ibarat homage kepada filem itu (yang mana juga merupakan homage kepada sesuatu yang lain seperti MTV Muzikal Husin dan Che Nin untuk lagu Cinta Kristal).

Syabas untuk Mamat Khalid kerana telah berjaya mencipta satu budaya dan fenomena. Adakah pengarah lain yang boleh mencetuskan satu lagi fenomena seperti ini atau Mamat Khalid sendiri mampu mengulangi kejayaannya? Kita tunggu...

Tiada ulasan: