iDAN

04 Ogos 2011

APA ITU GAMAT?



Masyarakat Melayu, khususnya Langkawi telah menggunakan gamat sejak 400 tahun lalu, malah gamat juga digunakan secara meluas di negara China sejak tahun 1757. Gamat juga dikenali dengan nama lain iaitu ´ginseng laut´. Gamat ialah sejenis hidupan yang terdapat di dasar laut dan digunakan turun-temurun di kalangan masyarakat Melayu untuk menyembuh luka luaran mahupun dalaman, dan ia turut digunakan oleh wanita-wanita selepas bersalin.

Terdapat kira-kira 1000 spesies gamat di seluruh dunia. Di Malaysia terdapat lebih kurang 30 spesies gamat di pantai-pantai seperti Langkawi, Pangkor, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Gamat hidup di kawasan perairan yang bersih, berpasir dan berbatu karang. Kawasan-kawasan perairan ini mengandungi banyak galian penting yang diserap oleh gamat menerusi pemakanannya.

Gamat boleh didapati dalam pelbagai saiz, warna dan bentuk. Tekstur kulitnya licin, bergerutu dan lain-lain. Gamat bersifat unik kerana ia membolehkan sel-selnya berkembang dan bersambung semula dengan cepat apabila tisu badannya luka dan terputus. Keunikan ini menyebabkan gamat menjadi dua ekor apabila badan asal dipotong dan dikembalikan ke laut.

Gamat juga dikenali dengan pelbagai jenis nama antaranya ialah Trepang, Balat, Timun Laut dan dalam bahasa Cina pula ´Hoi Sum´. Bagi masyarakat Barat mereka mengenali gamat sebagai ´sea cucumber´ atau timun laut.

Gamat tergolong dalam kumpulan Phylum Echinodermata kelas Holothuroidea dan boleh membesar lebih kurang 60 hingga 90 sentimeter panjang. Gamat yang terdapat di kawasan perairan yang sejuk adalah yang paling kecil. Haiwan ini mempunyai mulut berbentuk tentakel yang terletak di hujung badannya. Ini dapat membantu ia menangkap dan menghantar makanan ke dalam mulut.

Gamat mengandungi bahan mineral seperti potasium, magnesium, fosforus, kalsium, zat besi, zink, kromium, mangan dan kandungan lain yang terdapat dalam gamat ialah air sebanyak 8.9%, protein 82%, lemak 1.7%, karbohidrat 4.8% dan ash 2.6%. Malah satu kajian terbaru menunjukkan gamat juga mengandungi kandungan lemak polyunsaturated yang tinggi iaitu Omega-3FA: EPA, DHA.

Bagi sesetengah orang, mereka berasa geli melihat haiwan ini tetapi jika kita makan atau minum ekstraknya, kita dapat merasai kebaikan dan khasiatnya. Ekstrak gamat mengandungi kolagen penting untuk industri kosmetik kerana mampu memberi ketegangan pada tisu muka dan kulit kita. Selain itu, dua ciri ekstrak gamat yang bersifat antifungal dan antimirobial berkesan untuk rawatan kulit kerana dapat mengelakkan kulit muka berkulat. Malah kandungan glukosamina dan kondroitin dapat melegakan sakit sendi seperti artritis dan gout.

Antara kebaikan haiwan ini ialah ekstrak ia menolong melancar dan meningkatkan pengaliran darah dengan baik. Air gamat atau minuman jeli gamat dapat mengurangkan bengkak, inflamasi, meredakan luka dalaman, dan sakit-sakit badan. Selain daripada itu, ia juga dapat membantu mengurangkan tahap darah tinggi bagi pesakit hipertension. Malah air gamat juga baik untuk pesakit yang mengalami ulser dan sakit tekak. Minyak dan jel gamat boleh digunakan untuk luka luaran dan gigitan serangga.

Masyarakat di Taiwan lebih gemar memakan daging gamat. Daging haiwan ini juga dikeringkan dan dijadikan dalam bentuk serbuk untuk kegunaan merawat luka-luka luaran. Selain itu, serbuk tersebut turut digunakan untuk dijadikan minuman. Amerika Syarikat dan Australia telah menjalankan kajian ke atas gamat serta menggunakan gamat dalam beberapa produk kesihatan.

Produk daripada gamat sesuai untuk kegunaan semua peringkat umur. Kanak-kanak yang berumur lebih daripada satu tahun boleh diberikan 1/3 dos daripada orang dewasa tetapi tidak sesuai untuk bayi di bawah umur satu tahun. Walaupun begitu terdapat alahan pada peringkat awal bagi mereka yang mencuba produk gamat seperti kerap membuang air kecil, cirit-birit dalam dua atau tiga hari pertama mencuba produk tersebut. Produk gamat juga dapat meningkatkan selera makan. Bagi kes gout, banyak respons diterima yang menyatakan bahawa kesakitan agak berlebihan di peringkat awal tetapi beransur kurang pada tahap seterusnya. Tetapi penggunaan gamat haruslah disesuaikan dengan tahap kesihatan seseorang.

Gamat, haiwan yang mampu hidup walaupun badannya telah terputus dua. Keunikan dan keistimewaan inilah yang dimiliki oleh gamat, iaitu timun laut yang berbentuk seperti lintah atau ulat beluncas. Gamat adalah spesies yang amat sensitif kepada sentuhan.

Gamat sangat sensitif kepada pencemaran dan akan bertindak membunuh diri jika disentuh manusia. Yang anehnya, ia mampu hidup walaupun badannya dipotong-potong dan akan bercantum semula setelah dicampak ke laut. Ataupun gamat yang dipotong dua, campakkan ke laut akan menjadi dua ekor gamat. Kalau dipotong empat, campakkan ke laut akan menjadi empat ekor dan begitulah seterusnya.

Gamat boleh dianggap berfungsi sebagai penyedut hampa gas, memakan bahan mati yang mendap di dasar lautan, mencernakan bahan tersebut dan membuangkan pasir yang hampir bersih. Pembiakan gamat dengan cara melepaskan telur dan sperma ke dalam air dan persenyawaan akan berlaku di laut terbuka. Hasilnya, anak-anak gamat wujud sebagai plankton, sebelum mula mendap ke dasar dan meragut alga-alga mikro di dasar laut.

iDAN:

Aku pernah melawat kilang buat produk gamat di Langkawi. Yang masih aku ingat pihak kilang membenarkan kami melihat bagaimana minya gamat dimasak. Dalam minyak itu mendidik dia mencabar kami untuk mencelup tangan ke minyak gamat yang mendidih; dia gerenti tak akan melecur. Ramai kalangan rakan rombonganku yang mencelup tangan mereka. Memang tak apa-apa. Aneh!.

Malahan dia membenarkan kami menyapu sebanyak mana minyak ke seluruh badan. Aku sekadar sapu tangan & kaki sahaja. Ada kalangan rakan yang buka baju & seluar lumur seluruh badan. Tak bolehlah taruh dalam botol kicap bawa balik. Tapi harga tawaran memang diberikan kepada pelawat. Untung orang duduk di Langkawi. Di sini minyak gamat memang mahal apatah lagi air gamat untuk buat ubat dalam badan.

1 ulasan:

leeya abdul berkata...

salam ramadhan al-karim.
Itulah kebesaran Allah. Hebat sungguh Dia mencipta gamat utk kita semua.

lawat leeya http://way2healthynbeauty.blogspot.com/2011/08/di-antara-fatwa-dan-takwa.html