Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

15 Januari 2012

TAKLUK HATI PASANGAN


LELAKI dan wanita disyariatkan untuk berkahwin dan berkongsi kehidupan bersama. Ini kerana fitrah ciptaan wanita adalah untuk melengkapkan sebahagian kekurangan lelaki sebagaimana dipaparkan dalam sejarah penciptaan Adam dan Hawa. Tidak dinafikan ciptaan manusia adalah sempurna sebagaimana disebutkan di dalam al-Quran, mafhumnya:

“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dalam keadaan ciptaan yang sempurna” - At Tin: 4
Namun dalam kesempurnaan ciptaan makhluk pertama tersebut, ALLAH menggambarkan kesempurnaan yang hakiki apabila dilengkapkan penciptaan wanita, Hawa. Adam digambarkan sunyi dan kosong sehinggalah ALLAH menciptakan Hawa sebagai pasangannya. Dan sudah tentu terdapat kelebihan dan kelemahan yang dilengkapkan oleh jantina yang berpasangan.

Perkahwinan di antara lelaki dan wanita merupakan tuntutan syariat ALLAH di samping memiliki fitrah kemanusiaan yang saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, teori hidup bersama melengkapkan kelemahan masing-masing bukanlah suatu proses yang mudah dilaksanakan.

Istilah tiada sehaluan, tidak boleh tinggal bersama, sering bertentangan satu sama lain atau tiada persefahaman adalah antara ungkapan yang menjadi alasan kepada pasangan suami isteri untuk memutuskan ikatan suci.

Ramai yang mengimpikan jalinan dua sejoli berterusan bahagia sehati sejiwa dan seia sekata. Namun, adalah mustahil dua hati dari spesies yang berbeza akan bersetuju dalam kesemua perkara tanpa sebarang konflik.

Kita sering mengharap untuk melakukan setiap aktiviti kehidupan bersama-sama, namun lebih bahagia jika membahagikan aktiviti-aktiviti kehidupan kita menurut kekuatan yang berbeza. Cara sebegini lebih menepati definisi kerjasama dalam membangunkan kehidupan dan bukannya membuat kerja yang sama kerana terlalu inginkan perkongsian dan persamaan.

Pernah dengarkah orang selalu berkata, fitrah ciptaan wanita... terdiri daripada satu akal dan sembilan nafsu manakala lelaki pula sebaliknya? Secara jujurnya, saya tidak menemui sebarang hadis yang sahih menyebut perkara tersebut secara jelas tetapi ia boleh dijadikan panduan dalam kehidupan kita.

Jika kenyataan ini difahami sebaiknya, inilah rahsia perbezaan ciptaan manusia lelaki dan wanita. Ayat al-Quran umpamanya menceritakan betapa lelaki adalah lebih kuat daripada kaum wanita, mafhumnya:

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Oleh kerana itu wanita yang saleh ialah yang taat kepada ALLAH lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada sebab ALLAH telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu bimbangkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar. - An Nisa’: 34

Saya tertarik membaca tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang menyimpulkan perkongsian hidup suami isteri sebagai Satu Rasa Dua Hati ataupun ‘kebersamaan dalam setiap perbezaan’. Selamanya, suami dan isteri akan terus berbeza, namun persamaan tujuan dan niat masih perlu diharmonikan.

Pada sudut luarannya, lelaki memiliki fizikal yang lebih kuat berbanding wanita. Lantaran itulah, peranan suami lebih kepada memimpin, melindungi dan menjaga kebajikan wanita sebagaimana yang diamanahkan oleh ALLAH S.W.T.

Terdapat beberapa aspek yang dilihat berbeza pada karakter lelaki dan wanita, umpamanya orientasi, karakter, bahasa, minat, media bahasa, harga diri, objek tarikan dan keinginan utama dalam perhubungan suami dan isteri.

Pada sudut orientasi pemikiran, lelaki lebih didominasi oleh rasional manakala wanita lebih dilihat cenderung menggunapakai kekuatan emosi. Ini berkait rapat dengan fitrah kejadian wanita yang sering digembar gemburkan sebagai hadis oleh generasi ibu bapa kita di mana ciptaan wanita itu satu bahagiannya adalah akal, manakala 9/10 adalah nafsu.

Saya menerima mafhum riwayat nas ini sebagai panduan di mana 1/10 bahagian ciptaan wanita ialah dominasi akal ataupun al-aqlu sementara 9/10 ciptaannya didominasi oleh an-nafsu, bermaksud kejiwaan atau emosi. Maksud sebegini adalah lebih dekat dan mudah untuk difahami. Menurut ilmu psikologi, kecerdasan manusia terdiri daripada akal dan emosi, ataupun IQ dan EQ.

Dengan andaian penciptaan wanita dan lelaki sebagai makhluk yang dikurniakan kecerdasan, kedua-duanya memiliki kecerdasan IQ dan EQ. Perbezaannya, wanita memiliki kekuatan kecerdasan EQ melebihi IQ, manakala lelaki memiliki kekuatan kecerdasan IQ melebihi EQ. Oleh kerana itulah, orientasi pemikiran lelaki dan wanita seringkali dari sudut yang berbeza, dengan persepsi yang tidak selari di antara satu sama lain.

Kadangkala perkara remeh bagi wanita dipandang secara fokus oleh suami. Begitu juga adakala perkara yang menggembirakan isteri tidak semestinya menghilangkan kesedihan suami. Malah perkara yang disepakati difahami oleh kedua-dua suami isteri juga sebenarnya difahami secara berbeza.

Suami seringkali menggunakan bahasa yang pada anggapannya mudah difahami oleh IQ, tapi akhirnya kecewa kerana isteri gagal memahami dengan tepat. Suami menegur pakaian isteri yang katanya, terlalu kehijauan seperti warna katak pisang. Bagi suami, apa yang disamakan dengan katak pisang adalah warna sahaja, bukanlah mengatakan isterinya seperti katak pisang.

Begitu juga, dalam keadaan suami terasa isteri­nya melakukan sesuatu perkara terlalu terperinci dan sempurna hingga menyebabkan lambat disiapkan, suami akan menyifatkannya sebagai lembap.

Logiknya, tiada apa yang perlu dijadikan isu, tapi si isteri mudah terasa teguran tersebut sebagai sindiran apatah lagi jika isteri sedang tersentuh hati dengan perlakuan suaminya sebelum itu. Cara perumpamaan itu juga diterima sebagai kasar dan menyentap perasaan isteri.

Sebaliknya apabila isteri ingin menyampaikan sesuatu mesej kepada suami, kerap menggunakan cara merajuk, menutup pintu bilik dengan kuat atau menunjukkan air muka tanda tidak bersetuju dengan harapan suami akan menyedari mesej tersebut atau bertanya padanya.

Bagi suami, tanda-tanda melawan tersebut sebagai tidak menghormatinya dan ini sudah tentu membangkitkan kemarahan terhadap isteri. Hah... lihatlah apa terjadi... perhatian yang diinginkan oleh si isteri sebaliknya kemarahan dan hukuman yang diperolehi. Ini berlaku ketika kedua-dua suami isteri ego dengan dominasi IQ dan EQ mereka.

Pada sudut minat terhadap sesuatu secara umumnya, lelaki lebih melihat dari sudut nilai keperluan manakala isteri pula melihat sebagai peluang meskipun tidak diperlukan. Sepanjang tinjauan terhadap pasangan pengantin yang mengikuti kursus pra perkahwinan, tidak ada wanita yang mengaku mereka boros berbelanja dan tidak juga menerima kenyataan bahawa lelaki lebih jimat berbelanja.

Saya menyokong pendirian ini kerana boros dan jimat mempunyai persepsi berbeza dalam kalangan suami dan isteri. Cuma, ia berbeza pada sesuatu objek itu sama ada dilihat nilai keperluan atau perhiasan. Bagi lelaki, perhiasan atau aksesori dilihat sebagai pembaziran sementara bagi wanita pula ialah keperluan.

Terdapat juga wanita yang mengaku tidak meminati perhiasan. Pernah saya temui seorang wanita seperti ini, bersungguh-sungguh menafikan dirinya sukakan perhiasan. Namun apabila saya bertanya lebih lanjut, dia mengakui hanya memiliki dua utas gelang, beberapa bentuk cincin, tiga utas rantai dan sepasang anting-anting. Ohh... ini rupa-rupanya maksud tidak sukakan perhiasan?

Media komunikasi suami terletak pada lisannya manakala isteri lebih mengutamakan bahasa badan melebihi kata-katanya. Lantaran itulah, adakala isteri mengungkapkan kata-kata yang tidak masuk akal, umpamanya apabila merajuk, `Saya tak nak maafkan abang sampai bila-bila’, ‘Tak ingin sampai mati!’ atau ‘Kalau dah tak nak kat saya, ceraikan saya sekarang!’

Namun beberapa wanita yang pernah meng­ungkapkan kata-kata seperti itu mengakui tidak bermaksud sebegitu, sebaliknya hanyalah untuk menarik lebih perhatian atau mengharapkan suami memujuknya lebih bersungguh-sungguh. Bagi suami pula, kata-kata sebeginilah menyebab­kannya mula mencari pengganti kerana jelas isterinya tidak akan berbaik dengannya... SAMPAI MATI!

Dalam hal ini, suami yang paling baik dan memahami (dalam sejarah) ialah Sayidina Ali KW. Dalam satu kisah, diriwayatkan sekembalinya dari satu peperangan, beliau mendapat bahagian berupa tawanan seorang wanita, lalu menyatakan hasratnya untuk memerdekakan tawanan tersebut dan mengahwininya. Siti Fatimah, sebagai isteri yang taatkan suami, pantas bersetuju.

Namun, pada waktu petang, sekembalinya dari urusan, Sayidina Ali KW menyatakan hasratnya untuk membatalkan perancangan tersebut lalu bertanya pandangan Siti Fatimah. Siti Fatimah menyatakan yang beliau gembira dengan perancangan tersebut tetapi lebih gembira dengan pembatalan itu.

Rahsianya, Sayidina Ali KW membatalkan hasrat tersebut kerana mendengarkan persetujuan oleh Siti Fatimah menerusi nada suara, gaya penyampaian serta bahasa badan yang jelas tidak gembira sebenarnya. Persetujuan tersebut hanyalah tanda ketaatan dan rasa hormat seorang isteri kepada suami, meskipun hakikatnya amat kecewa. Inilah sebabnya menurut riwayat, Rasulullah s.a.w mengiktiraf Sayidina Ali KW sebagai suami yang sangat prihatin, mengambil berat serta amat memahami naluri seorang isteri.

Pada sudut yang lain, suami lebih mementing­kan penghormatan terhadapnya berbanding isteri yang lebih menghendaki perlindungan dan belaian kasih sayang oleh suaminya.

Seorang wanita akan terbuai dengan ke­seronokan dan berasa amat bahagia apabila pasangan­­nya mampu menjanjikan keselamatan, per­lindungan dan penjagaan dengan penuh belaian kasih sayang. Oleh kerana itulah, janji seorang lelaki untuk bertanggungjawab terhadap pasangannya sering menjadi senjata lelaki dan racun yang mencairkan emosi wanita.

Pada sudut tarikan kontras antara lelaki dan wanita, umum menerima bahawa golongan lelaki lebih tertarik dengan kejelitaan, tarikan gaya serta luaran diri wanita berbanding wanita yang lebih tertarik dengan keprihatinan, perhatian, nilai romantis dan sifat memahami lelaki.

Andai diberi pilihan, wanita akan lebih mudah jatuh cinta jika lelaki menawarkan perhatian yang mendalam serta sifat ambil berat meskipun tidak begitu menarik pandangan luarannya. Berbeza pula bagi lelaki, kebiasaannya akan lebih mudah tertarik dan sukakan wanita-wanita yang cantik.

Jika diteliti, senario inilah yang terjadi dalam rumah tangga kita. Suami yang romantis, lemah lembut dan prihatin di tempat kerja boleh berubah serius, tegas dan hilang romantik apabila berada di rumah. Ini bukanlah kesilapan sebelah pihak kerana isteri yang sentiasa anggun bergaya ketika keluar bekerja juga akan bertukar comot, mengerbang dan kusut masai sebaik pulang ke rumah. Hasilnya, ramai isteri hilang mood manakala ramai suami pula yang lebih gembira menghabiskan masa di luar.

Isteri sentiasa dahagakan hubungan intim dan mengharapkan kasih sayang suami yang berterusan; ingin dibelai, dimanja dan diberi perhatian sepenuhnya. Suami pula menginginkan hubungan yang intim dengan mendambakan layanan isteri dalam bentuk hubungan seksual.

Inilah yang sering menimbulkan silap faham sehinggakan isteri beranggapan bahawa suami tidak lagi mempunyai emosi kasih sayang sebaliknya hanya mengharapkan hubungan seksual semata-mata. Di sinilah sebenarnya hikmah di sebalik bimbingan Rasulullah s.a.w agar pasangan suami isteri yang berhubungan intim menyeimbangkan antara rangsangan dan cumbuan kata-kata cinta sebelum hubungan bagi tujuan keadilan untuk kedua pihak.

Ramai penulis dan pengkaji psikologi me­rumuskan perbezaan wanita dan lelaki yang perlu difahami dalam mencapai persefahaman hidup yang harmoni. Salah satu buku jualan terlaris dunia karangan Shaunti Feldhahn membongkar rahsia kajian terhadap lebih 1000 lelaki dengan rumusan penting yang amat selari dengan kupasan yang saya jelaskan di atas. Antaranya:

1. Lelaki lebih suka dihormati berbanding disayangi. Malah adakala, jika ditunjukkan sayang keterlaluan di hadapan khalayak boleh menyebabkan lelaki berasa rimas dan tidak selesa. Kaum lelaki lebih mementingkan pasangannya menunjukkan rasa hormat di hadapan khalayak.

2. Lelaki akan berasa bangga apabila si isteri percaya dan mengakui kehebatannya. Oleh kerana itu, seringkali apabila lelaki terluka dengan perbuatan isteri, dia akan mengaitkan soal tidak menghormatinya sebagai suami.

3. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin ter­hadap diri sendiri, tentang kehebatan dan ke­sempurnaannya. Lantaran itu, kata-kata pengiktirafan daripada isteri sentiasa diharap­kan untuk memperkukuhkan keyakinan diri.

4. Lelaki sebenarnya rasa terbeban dengan status sebagai pencari nafkah untuk keluarga. Untuk menutup perasaan ini, suami akan berusaha membuktikan pe­ranan tersebut mampu dilaksanakan dengan cara menyediakan kemewahan sehingga tertinggal peranan memberikan kasih sayang dan keprihatinan kepada ahli keluarga.

5. Suami akan terasa diri tidak berguna apabila permintaannya berkaitan hubungan seksual ditolak. Penolakan oleh isteri memberi petanda penolakan bukan sahaja fizikal tetapi juga mental, malah suami akan terasa bahawa isteri tidak meng­hormati atau memerlukannya lagi.

6. Lelaki kebanyakannya tidak romantik, secara asasnya. Memandangkan wanita mendambakan lelaki yang romantik, maka mereka terus mencuba sebaiknya tetapi masih tidak dapat memenuhi citarasa yang diimpikan oleh wanita.

7. Jauh di sudut hati suami, pasti menginginkan isterinya sentiasa berpenampilan menarik dan mampu menggoda perhatiannya setiap saat bersama.

8. Lelaki yang bergelar suami mahu isterinya mengetahui bahawa kasih sayangnya amat mendalam, jujur dan setulus hati. Adalah sesuatu yang mengecewakan suami apabila isteri mempersoalkan kejujuran malah selalu prejudis dengan kasih sayang yang diberikan.

Shaunti Feldhahn, dalam buku terlarisnya For Women Only, beliau memulakan penulisan tentang betapa kaburnya pe­ngetahuan seorang wanita tentang pandangan sudut dalaman seorang lelaki. Beliau seterusnya menekankan soal kepentingan hormat pada lelaki berbanding hanya kasih sayang yang sering di­tunjukkan oleh isteri.

Suami juga amat meng­utamakan hubungan seksual sedangkan ramai isteri tidak menyedarinya. Betapa kunci mengikat kasih sayang suami adalah sesuatu yang dimiliki oleh wanita. Dalam bahasa mudah, isteri yang mahu meng­ikat kasih sayang suami perlulah sentiasa ha­ngat dan menggoda!

Suami juga digambarkan sebagai seorang yang mudah melupakan apa yang dilihatnya dan ini amat berkait rapat dengan fitrah lelaki yang tidak begitu tinggi kecerdasan emosinya. Suami sering menggunakan kaedah mind to heart sedangkan isteri sering menghendaki sesuatu de­ngan hatinya agar boleh difahami oleh minda lelaki. Dan ia adalah sesuatu yang sukar sebenarnya!

Dalam buku yang lain, Shaunti mendedahkan tentang rahsia wanita, memulakan penulisannya dengan gambaran umum tentang dunia wanita. Perbahasan awal menggambarkan kebanyakan pengakuan atau kenyataan daripada wanita ataupun isteri kebiasaan­nya memberi hint agar maksudnya berlaku secara terbalik pada pasangannya.

Umpamanya, seorang isteri ketika merajuk akan membebel betapa dia sa­yangkan suaminya, walaupun sebenarnya lebih bertujuan untuk me­narik perhatian agar si suami lebih menyayanginya ataupun meluahkan kasih sayang kepadanya. Beliau juga mendakwa seorang isteri sentiasa berasa memiliki kecerdasaan yang tinggi dalam menguruskan rumah tangga dan mengharapkan diakui oleh si suami.

Kebiasaannya, suami akan memandang rendah terhadap wanita dan mengganggap dirinya lebih cerdas daripada isteri. Si isteri lebih memerlukan suaminya sentiasa berdampingan kerana terasa lebih selamat dan di­lindungi. Ini memberi makna keprihatinan dan kasih sayang suami yang diperlukan oleh isteri dan kunci menambat ikatan hormat isteri sebenarnya ada pada lelaki.

Pada sudut yang lain bagi seorang isteri, mendengar masalah adalah cukup sebagai solusi meskipun tiada solusi sebenarnya. Dalam konteks hu­bungan seksual, penolakan isteri untuk mengadakan hubungan seksual bukanlah bermakna dia menolak diri lelaki atau tidak menghormati suami tetapi kemungkinan terdapat 1001 alasan yang lain.

Seorang isteri juga mendambakan pasangannya untuk sentiasa berusaha mengenali dirinya sebagai tanda kejujuran menyayanginya sepenuh hati. Lagi kuat rasa sayang isteri kepada suami, lagi tinggi harapannya agar si suami berusaha mengenali segala-gala tentang dirinya.

Realiti ini disokong oleh banyak pengalaman dan kes yang berlaku sepanjang kehidupan kita. Andai benar kita menyedari hakikat perkahwinan adalah suatu perkongsian antara dua insan berbeza, banyak aspek yang harus ditoleransikan, juga banyak perkara yang harus dikorbankan untuk keharmonian dan ketenangan hidup bersama.

Malah, andai lebih diperhalusi, peranan yang ALLAH S.W.T tentukan kepada kita juga menjelaskan perbezaan yang perlu dikongsi secara sinergi. Perbezaan antara peranan suami dan isteri me­lengkapkan keperluan kehidupan dalam rumah tangga. Tidak timbul soal iri hati mahupun tidak berpuas hati kerana ALLAH tidak menugaskan suami dan isteri dengan tugas yang serupa.

Kita laksanakan tugas hakiki masing-masing dan selebihnya adalah bantu membantu untuk meringankan tugas pasangan. Seharusnya tidak wujud situasi ja­dual giliran untuk melaksanakan tugas yang sama dalam rumah, tetapi lebih kepada per­sefahaman untuk membantu sahaja dan ia perlulah dihargai oleh satu sama lain.

Jelasnya, peranan suami dan isteri yang ketara dilihat berbeza dan boleh disinergikan secara bersama, iaitu menjalankan tugas dan peranan ma­sing-masing bagi melengkapkan tugas oleh pa­sangan kita. Umpamanya, tugas hakiki suami adalah menghormati dan mentaati ibu bapa termasuklah ibu bapa mertua manakala tugas hakiki isteri adalah menghormati dan mentaati suami. Inilah indahnya rumah tangga menurut tatacara hidup secara Islam.

Secara ringkas, perbezaan peranan yang jelas antara suami dan isteri pasti tidak memungkinkan untuk kita iri hati dan salah menyalahkan satu sama lain. Antaranya:

Jika dilihat senarai contoh tanggungjawab yang disebutkan, ternyata kita diamanahkan dengan peranan yang amat berbeza di antara satu sama lain. Perbezaan tugas inilah yang akan memantapkan keseluruhan aspek kehidupan kita apabila setiap keperluan hidup disempurnakan secara kerjasama di antara suami isteri.

Umpamanya, perbezaan fitrah luaran di mana suami lebih kuat fizikal berbanding isteri yang lebih kuat mental juga membezakan kesesuaian peranan. Misalnya, kerja-kerja berat amat sinonim dengan kelebihan yang ada pada suami manakala tugas yang memerlukan ketabahan, kesabaran dan kehalusan emosi amat sesuai dengan seorang isteri.

Rasulullah s.a.w pernah mengarahkan Sayidina Ali supaya bekerja (mencari nafkah) di luar rumah dan menyuruh Siti Fatimah tinggal di dalam rumah. Ini kerana kerja-kerja berat di luar rumah adalah menjadi tugas suami manakala tugas isteri hanyalah kerja-kerja yang tidak memerlukan kekuatan fizikal.

Rahsianya, kita akan redha dan bahagia apabila boleh menerima perbezaan di antara suami dan isteri, diciptakan oleh ALLAH untuk kita saling menghargai dan menghormati kelebihan satu sama lain. Mengetahui perbezaan kita memandu kita untuk bertindak bijak menawan hati pasangan di samping mudah tenang apabila menerima keanehan tindak balas pasangan yang adakalanya tidak menggembirakan.

Cuba hayati dan renungkan beberapa situasi yang mungkin berlaku dalam kehidupan kita:
Ramai isteri yang mengimpikan suami akan tahu apa yang perlu dibuat untuk memujuk ketika mereka merajuk. Sedangkan ramai suami yang rimas dan marah dengan sikap isteri yang suka merajuk dan tidak mahu mendengar teguran. Isteri mahukan perhatian dan belaian sehingga kalaupun perlu penghormatan diberikan mestilah dengan penuh kasih sayang. Sebaliknya pula bagi suami yang mengharapkan kasih sayang yang ditunjukkan kepadanya mestilah dalam bentuk penghormatan.

Seorang isteri yang mendengar cerita tentang sesuatu perkara yang boleh menimbulkan prasangka, lantas merajuk dengan mengurungkan diri di dalam bilik. Suami yang tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan dan tidak memahami situasi tadi lalu mengajak isterinya keluar makan malam. Hasilnya, terdengarlah laungan berbaur rasa geram dari dalam bilik. “Tak nak! Orang sakit kepalalah! Lagipun dah kenyang!” bentak si isteri walaupun sebenarnya tidak.

Jauh di sudut hati, si isteri mengharap agar si suami perasan yang dia sedang merajuk dan segera me­mujuknya. Suami terkejut dengan suara tinggi sebegitu, lantas terus keluar makan bersama rakan-rakannya. Hati isteri semakin remuk mendengar deruan enjin kereta meninggalkan rumah. Derhakakah si isteri dengan perbuatan tersebut? Atau suamikah yang bersalah?

Dalam satu majlis yang pernah saya kendalikan, saya bertemu dengan sepasang suami isteri yang ber­jaya mengharungi gelombang rumah tangga mereka lebih 30 tahun.

Menurut si isteri, mereka berdua mem­praktikkan jadual giliran hari mengemas rumah, memasak, membasuh kain, mengambil anak-anak pulang dari sekolah sehinggalah ber­sengkang mata menjaga atau menyediakan susu untuk bayi mereka. Dia bersyukur kerana suaminya tidak seperti lelaki lain, yang berat tulang melaku­kan kerja-kerja rumah apatah lagi menjaga dan memberi bayi susu pada tengah malam.

Apabila saya cuba menyelami hati suaminya, pantas si suami men­jawab, “Suka ke tak suka, dah nasib... life without choice! Kan kita dah kahwin...” Namun, apabila saya menceritakan fitrah lelaki yang berbeza keinginan dan keperluan, air matanya bergenang dan perlahan menjawab, “Memanglah... kalaulah saya boleh undur dan mulakan semula sejarah hidup saya...”

Kisah ringkas ini memberitahu kita bahawa peraturan hidup yang mengongkong fitrah akan hanya menyebabkan kita terseksa. Meskipun dari luarannya kita menerima demi menyedari tanggungjawab untuk mengekalkan kerukunan rumah tangga namun batin menderita terseksa!

Tiada ulasan: