iDAN

11 April 2012

Dilema Anif 3

KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Pelajaran mempertimbangkan kemungkinan setiap guru selepas ini perlu melalui penilaian integriti secara berkala dari semasa ke semasa bagi membolehkan sebarang penambahbaikkan dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi bayangan itu berkata, ia perlu bagi membolehkan aspek kefahaman serta kesedaran mengenai integriti dapat disebar luas kepada warga pendidik.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses untuk memantapkan nilai integriti di kalangan warga pendidik termasuk penilaian secara berkala, memerlukan penglibatan serta usaha bersungguh-sungguh dari semua peringkat pengurusan pendidikan.

"Justeru strategi serta pelan tindakan secara berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti setiap warga pendidik bukan sahaja sentiasa tinggi tetapi dapat dipertingkatkan lagi.

"Ini kerana sebagai pendidik, guru-guru mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk sahsiah pelajar. Ia menjadi prasyarat utama kepada kejayaan kita melahirkan generasi yang berintegriti.

"Bagi menjayakan hasrat itu, kepimpinan organisasi pendidikan harus mempunyai kefahaman jelas mengenai aspek berkait integriti supaya pembudayaan itu dapat disuburkan dalam organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutup Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran 2012, di Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pada pertandingan pidato tersebut, penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik, Mohd. Rafee Mohamad muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, piala iringan serta piala pusingan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setiap bakal pendidik juga perlu mendalami falsafah dan budaya integriti sebagai persediaan untuk menjadi seorang guru yang berwibawa.

''Guru yang berwibawa tidak hanya dinilai dengan kebolehan melahirkan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran tetapi turut dinilai dari segi keupayaan mendidik murid menjadi insan mulia,'' ujarnya.

Beliau berkata, tugas seorang guru tidak hanya terhenti setakat mengasah kecerdasan minda murid tetapi juga mendidik jiwa serta sanubari mereka agar menjadi insan mulia dengan sentiasa mengamal nilai-nilai murni dalam kehidupan.

iDAN:

Aku benci mendengar masalah pelajar asrama yang masih mencuri; buli pun tidak menghormati insan lain. Sampaikan tiada rasa keselesaan pelajar tinggal di asrama yang terpaksa berjauhan dengan keluarga. Minggu lalu aku masih mendengar ibu mengeluh anaknya kehilangan wang RM200 di STTJ.

Aku pernah menyuarakan agar pihak sekolah mengada ceramah atau bengkel modal insan; kesedaran sivik agar pelajar/murid sentiasa bersikap jujur lagi amanah. Tak guna berpelajaran tinggi tetapi masih mencuri, menjadi samseng atau rosak moralnya.

(Masalah ini bukan berlaku di STTJ tapi menyeluruh di seantero negara; melalui FB aku mendapat khabar; ada pelajar asrama perempuan kena rogol, ada pelajar senior menggunting rambut pelajar junior gondol; ada yang kalangan pelajar buli dengan memaksa memberi buah tangan setiap kali balik kampung)

Semua kalangan kita mahukan anak-anak mendapat keputusan cemerlang tapi akan jadi satu musibah jika moral anak-anak tidak terdidik dengan baik. Nak buat apa seperti hari ini Cuti Umum pelajar tak dibenarkan balik kampung tapi dikurung di asrama tanpa satu pun aktiviti pendidik moral dijalankan. Hanya ada aktiviti sukan atau koko yang tidak melibatkan semua pelajar. Malahan semasa aku melawat ke STTJ secara mengejut; hampir dua jam aku mencari Warden asrama pun tidak ditemui. Sementelah ada kerani yang datang buat kerja lebih masa sambil membawa anak memberi maklumat salah dan mengunci diri di pejabat tanpa ada sikap mesra pelanggan.

Angin rasanya seluruh badan lantaran terpaksa bersalai lebih dari dua jam. Sudahlah anakku dalam bermasalah; ditimbulkan lagi masalah pelik lagi benar ini. Payah amatkah nak mendapat pelepasan untuk membawa anak sendiri makan di luar. Lainlah di asrama ada aktiviti wajib atau koko. Jika pegawai di pentadbiran tidak dapat maklumat sebenar kenapa mesti mengarahkan kami berjumpa warden. Tiga kali anakanda saya panjat tangga ke rumah Warden tapi tiada kenapa tidak ditinggalkan sebarang nota atau talian yang boleh dihubungi untuk ibu ayah mendapat kebenaran atau larangan membawa anak keluar asrama barang seketika.

Janji cikgu kaunseling juga tidak ditepati; nak tunggu anak saya itu meraban teruskah atau apakah memang cikgu di STTJ ini endah tak endah sahaja terhadap aduan ibu ayah pelajar. E-mel saya telah dua buah tidak dilayan; telah bersemuka tetapi apa sebenarnya masalah STTJ ini. Dalam kad kebenaran pelajar tercatat hanya sekali sahaja sebulan pelajar dibenarkan balik kampung; dia awal bulan atau di hujung bulan. Munasabahkan peraturan begini sedangkan tak semua ibu ayah tinggal berdekatan untuk datang melawat.

Sedih amat rasanya jika setelah mendapat tempat dari kalangan ribuan yang memohon tetapi ianya menjadikan anak-anak tidak selesa atau bagaikan satu bebanan batin mereka dengan kongkongan aktiviti yang ketat. Saya lihat anak saya makin cengkung matanya; Bila ditanya dia hanya dapat tidur sekitar 4 ke 5 jam sehari. Mampukah mereka?. Dalam peraturan asrama 11:15 malam lampu kena dipadam. Tetapi kenapa masih ada aktiviti yang dibenarkan sampai jam 11:45 mlm dan 5:45 pagi memang rutin harian kena dibangunkan.

Tiada ulasan: