MURNI ABDUL RASHID
KOTA BHARU - Seorang ibu yang masih berpantang mendakwa dijerut leher
dan dihentak dengan kapak di bahagian kepala gara-gara gagal memberikan
wang yang minta suaminya dalam kejadian di Kampung Temusu, Limbat,
petang kelmarin.
Mangsa, Nor Anis Mohamad Nor, 21, ditemui ketika menerima rawatan di
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) memberitahu masih trauma
dengan kejadian tersebut memandangkan baru sahaja melahirkan anak kedua,
November lalu.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila dia gagal memberikan wang RM100
yang diminta suaminya dengan alasan tidak mempunyai pendapatan.
“Selepas itu dia mengarahkan saya ke rumah rakan dan saudara perempuan untuk meminjam wang untuknya tetapi gagal.
“Berang terlalu lama menunggu suami saya menjadi marah dan datang
membawa kapak, kerana bimbang diapa-apakan, saya terjun melalui tingkap
tetapi dia terus mendapatkan saya dan bawa pulang ke rumah,” katanya
semalam.
Tambahnya, apabila tiba di rumah suspek bertindak di luar kawalan lalu
mengasarinya dengan menjerut leher menggunakan rantai besi namun
bersyukur tidak diperlakukan lebih teruk kerana ketika itu polis sampai
tepat pada masanya.
Ibu kepada dua anak itu yang masih trauma untuk kembali ke rumahnya
menganggap hubungan antara dia dan suami sudah berakhir memandangkan
sebelum ini suspek sering bertindak kasar kepadanya.
Mangsa yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan suspek kini
mahu menumpukan perhatian sepenuhnya bagi membesarkan dua anaknya dan
berharap perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham
Othman mengesahkan kejadian tersebut dan mendapati suspek didakwa
merupakan seorang penagih.
“Suspek bertindak memukul isteri dengan menggunakan kapak sebelum di
rantai dan dikunci dengan mangga di bahagian leher namun gagal ditahan
kerana melarikan diri dengan terjun melalui tingkap setelah sedar
kehadiran pihak polis.
“Tindakan mengesan dan menangkap suspek mempunyai dua kes kesalahan
lampau iaitu memiliki dadah dan kes ugutan jenayah itu sedang dijalankan
dan polis menasihatkan lelaki tersebut serah diri untuk bantu
siasatan,” tegasnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau
mana-mana dua daripada hukuman berkenaan sekiranya disabitkan kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan