iDAN

03 Jun 2014

Musafir Penerbangan dan Beberapa Permasalahannya

Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya
Hafiz Firdaus Abdullah

Kebiasaan kita tetap solat di atas sejadah atau lampiran permaidani menyebabkan adakalanya timbul keraguan di hati fikiran apabila berhadapan dengan suasana bersolat tanpa sejadah. Contohnya ialah solat dalam pesawat yang tidak disediakan sejadah dalamnya oleh pihak penerbangan atau solat di atas lantai yang tidak dihampar permaidani bersih atau solat di bangunan terminal lapangan terbang yang tidak dilengkapi dengan surau. Beberapa contoh ini menyebabkan kita tiada punya pilihan kecuali solat tanpa beralaskan dengan sesuatu. Maka persoalan yang timbul - Adakah sejadah atau alas lapik untuk bersolat di atasnya itu satu kewajipan hukum atau adakah penjelasan lain di sebaliknya ?
Sebenarnya solat di atas sesuatu alas lapik hanya merupakan satu anjuran sunnah dan ia tidak lebih dari itu. Dikatakan ia sebagai anjuran kerana al-Qur'an dan as-Sunnah tidak pernah mewajibkan umat untuk bersolat di atas sesuatu, malah sumber nas  menerangkan bahawa umat Islam boleh bersolat di mana sahaja di bumi ini seluruhnya. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Kamu diberikan kelebihan atas manusia dengan 3 perkara: Dijadikan barisan-barisan kamu seperti barisan para malaikat, dijadikan bumi seluruhnya sebagai tempat solat dan dijadikan bagi kamu debunya sebagai penyuci apabila kamu tidak mendapatkan air.[1]
Dalam satu hadith lain beliau juga telah bersabda: Telah dijadikan bumi untukku menjadi alat bersuci dan tempat bersujud. Kerana itu hendaklah seseorang di antara kamu solat di mana sahaja ia dapat.[2]  Ditambahi lagi oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bahawa keseluruhan bumi ini adalah masjid untuk umatnya dengan sabda beliau: Di mana sahaja kamu dapati solat maka kerjakanlah ia. Semua tempat adalah masjid (bagi kamu).[3]
Dikatakan bahawa solat berlapik itu adalah suatu sunnah yang dianjurkan kerana Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah bersolat di atas sehelai tikar sebagaimana yang diterangkan oleh isteri beliau - Maimunah radiallahu-anha: Beliau (Nabi) mengerjakan solat di atas sehelai tikar yang kecil yang dianyam dari pelepah-pelepah kurma (al-Khumrah).[4] Malah di dalam satu riwayat lain dari A'isyah radiallahu-anha, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah meminta agar dibentangkan tikar untuk dia bersolat di atasnya.[5] Jikalau tiada tikar yang tersedia khas maka adakalanya beliau bersolat sahaja beralaskan pelepah kurma sepertimana terang Hudzaifah al-Yaman radiallahu-anhu: Satu malam di bulan Ramadhan (aku melihat) Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam solat dalam sebuah bilik yang berlantaikan pelepah kurma.[6]
Jikalau tiada sesuatu untuk dijadikan pelapik maka memadai di alas tempat sujud sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat dalam hadith berikut: Kami sering bersama Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di waktu panas terik. Apabila seseorang di antara kami tidak kuat untuk merapatkan mukanya ke bumi (kerana tanah yang panas), dia menghamparkan kainnya lalu bersujud di atasnya.[7] Jikalau tiada langsung alat atau sesuatu untuk digunakan sebagai alas untuk bersolat maka dibolehkan solat terus di atas permukaan yang dipijaknya. Baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat di atas tanah sekalipun ia dalam keadaan becak dari kesan hujan sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu: Pada suatu malam hujan turun dengan lebat sehingga basah tempat solat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Ketika berdiri dari solat subuhnya (iaitu selesai solat), aku melihat wajah beliau terkena kesan-kesan air dan tanah.[8]
Walaubagaimanapun terdapat beberapa pengecualian terhadap tempat-tempat yang dibolehkan solat di atasnya. Solat adalah ibadah yang paling mulia di sisi agama dan dengan itu sudah tentu dilarang perlaksanaannya di tempat-tempat bernajis atau kotor. Umar al-Khattab radiallahu-anhu menerangkan dalam hadith berikut: Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam melarang seseorang mengerjakan solat di tujuh tempat - (1) tempat pembuangan sampah, (2) tempat penjagaan dan penyembelihan binatang, (3) di kawasan perkuburan, (4) di tengah jalan, (5) di tempat / bilik mandi, (6) di tempat pertambatan unta dan (7) di atas Ka'abah.[9]   Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh mengenai hadith di atas. Ada yang memandang ia sebagai satu larangan yang tidak sampai ke tahap haram manakala ada yang memandangnya sebagai sesuatu yang haram secara mutlak. Selain itu ada yang berpendapat tempat yang kotor atau bernajis di atas seperti kawasan pembuangan sampah, penyembelihan haiwan dan di tengah jalan - dibolehkan solat dalamnya apabila ia dilapik dengan sesuatu alas manakala ada pendapat lain yang berkata itu semua tetap juga tidak boleh.[10] Di antara beberapa pendapat ini yang terbaik ialah seharusnya kita berusaha sekuat mampu untuk mengelak diri dari bersolat di tujuh tempat terlarang tersebut.
Kesimpulan dari himpunan dalil-dalil di atas menerangkan kepada kita bahawa boleh mendirikan solat di mana-mana kecuali di beberapa tempat tertentu yang kotor atau bernajis atau tidak sesuai bagi menempatkan amal ibadah yang mulia ini. Solat di atas sejadah atau apa-apa bentuk alas dan lapik adalah merupakan satu sunnah yang baik untuk kita teladani tetapi ianya tidaklah mencapai taraf hukum yang mewajibkan. Apabila seseorang itu mencari tempat untuk bersolat dalam pesawat terbang atau di terminal lapangan terbang atau di mana-mana lain maka perhatikanlah garis petunjuk yang diberikan oleh dalil-dalil di atas.
Kebiasaannya ruang yang agak luas untuk kita bersolat dalam pesawat terbang ialah berhampiran pintu pesawat dan di situ adalah tempat keluar masuknya orang ramai ketika di terminal dan ia nyata tidak bersih. Maka oleh itu sebaiknya kita mempersiapkan sehelai sejadah dari rumah sebelum memulakan penerbangan. Jikalau tiada atau terlupa maka gunalah selimut terpakai, surat khabar atau apa-apa lain yang boleh dicari. Alas sapu tangan atau kertas tisu tebal adalah juga mencukupi bagi dibentang atas tempat yang akan disujud, bersandarkan perbuatan para sahabat dalam salah satu riwayat di atas.
Selain itu lokasi ruang untuk solat dalam pesawat selalunya berhampiran dengan bilik air; malah adakalanya seseorang itu terpaksa terus menghadap bilik air untuk solat, samada kerana arah qiblat ketika itu sememangnya di sana atau tiada ruang lain untuk menukar arah solat. Maka dalam hal ini ketahuilah bahawa larangan solat menghadap bilik air hanyalah merupakan ijtihad orang sebagai menghormati kemulian ibadah solat dan ia bukanlah tegahan yang berasalkan sumber nas. Oleh itu jikalau tiada pilihan atau alternatif lain maka teruslah solat berhampiran bilik air sekalipun terpaksa menghadapnya.
Solat di bangunan terminal yang tidak bersurau adalah juga mirip kepada penerangan di atas. Seseorang itu harus mencari tempat yang paling bersih menurut perkiraannya dan kemudian mengalas tempat tersebut dengan apa-apa yang mampu diusahakan. Sebolehnya carilah tempat yang dipenjuru atau tersorok dengan mengelak tempat yang menjadi laluan orang ramai sebagaimana hadith larangan di atas.
Jikalau tetap gagal mencari tempat yang bersih atau gagal menutupinya dengan alas yang memadai setelah diusahakan sekuat mampu maka seseorang itu tetap wajib solat seperti biasa. Hanya sahaja kaedah sujudnya yang sedikit berbeza, iaitu bahagian muka tidak disentuhkan ke permukaan. Dalam erti kata lain, seseorang itu sujud seperti bentuk dan posisi yang biasa dengan kedua lutut dan tangannya mencecah permukaan manakala mukanya direndahkan semaksima mungkin tetapi tidak sehingga mencecah permukaan. Pendapat ini dihujahkan kesahihannya oleh Imam Ibnu Hazm dan ia didokongi juga oleh ahli-ahli fiqh mutakhir seperti Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie dan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili.[11]
Seseorang yang telah berusaha sekuat daya tetapi tidak mampu menemui tempat solat yang bersih atau alas solat yang memadai maka dia tetap wajib mendirikan solat-solat fardhunya itu dalam suasana sebegini dan dia tidak perlu mengulangi solat tersebut di lain masa kerana dia dipandang sebagai menghadapi situasi keuzuran agama yang nyata. Demikian menurut majoriti para fuqaha. Hanya sahaja perlu dipastikan dengan ikhlas bahawa dia telah benar-benar berusaha mencari tempat solat yang bersih dan kekotoran yang wujud itu adalah benar-benar jijik dan bernajis besar, bukan semata-mata lintasan hati yang ragu-ragu atau mencari helah kemudahan. Walaubagaimanapun sebagai analisa perbandingan, qaul yang asah dari Mazhab Shafie menerangkan bahawa seseorang itu wajib mengulangi solat tersebut apabila dia berjaya menemui tempat yang bersih di kemudian masa atau ketika.[12]
Nota Tambahan
Terdapat perbincangan di kalangan ramai mengenai kedudukan hidung apabila seseorang itu sujud dalam solatnya - perlukah hidung menyentuh permukaan bersama-sama dengan dahi muka atau adakah hanya memadai dengan dahi sahaja ? Hadith berikut yang tercatit dalam kitab Sahih Bukhari disajikan sebagai jawapan kepada persoalan ini.
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Aku diperintahkan supaya bersujud di atas tujuh tulang, iaitu dahi. Ketika Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengatakan ini beliau menunjukkan isyarat dengan tangannya pada hidungnya, bererti sewaktu sujud dahi dan hidung perlu menyentuh ke bumi.
Kemudian beliau meneruskan sabdanya: Dan dua tangan, dua lutut dan dua hujung telapak kaki, juga janganlah dia mengumpulkan (menggengam-P) pakaian dan rambutnya dengan kedua tangan.[13]
Dari hadith di atas, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah menerangkan anggota-anggota sujud iaitu dua hujung kaki, dua lutut, dua telapak tangan dan muka. Apabila menyebut perihal muka, beliau menunjukkan bahawa bahagian muka yang perlu menyentuh permukaan apabila sujud ialah hidung dan dahi seseorang itu. Oleh itu jelas jawapan dari as-Sunnah bahawa bahagian muka yang perlu menyentuh permukaan ketika sujud ialah hidung dan dahi.
 
Kesimpulan
1.     Mendirikan solat dengan beralaskan sesuatu seperti sejadah adalah suatu perbuatan sunnah yang baik untuk diikuti tetapi ianya tidaklah wajib.
2.     Solat ditempat yang kotor dan bernajis adalah terlarang akan tetapi sebahagian para ahli fiqh membolehkan solat di tempat sebegini jikalau dapat dialas dengan sesuatu yang tebal dan tidak telus.
3.     Jikalau benar-benar tiada ruang lain untuk bersolat melainkan di tempat yang kotor atau bernajis dan tiada punyai alas untuk digunakan, seseorang itu tetap wajib mendirikan solatnya. Solat tersebut dikira sah dan tidak perlu diulangi kecuali menurut pendapat Mazhab Shafie, ia wajib diulangi.

 

[1]              Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih, 1/725/186.
[2]              Maksud sebahagian dari hadith yang panjang, Sahih Bukhari - no: 1/418.
[3]              Maksud hadith riwayat Imam Ahmad, Koleksi Hadith-hadith Hukum as-Shiddieqie -  no: 0564.
[4]              Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0626.
[5]              Ringkasan ajaran dari satu hadith yang amat panjang dari Musnad Ahmad, 6/169.
[6]              Maksud hadith riwayat Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, 2/90/2.
[7]              Maksud hadith dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, Sunan Abu Daud - no: 0630.
[8]              Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 1330.
[9]              Maksud hadith dari Sunan Ibnu Majah - no: 0746. Hadith ini diriwayatkan melalui dua jalur dan kedua-duanya pada asal adalah berkedudukan daif tetapi hadith ini mempunyai banyak sokongan dan hujah penguat dari berbagai riwayat-riwayat yang lain. Walaupun tidak sama susunan kata tetapi mempunyai pengajaran yang sama. Lihat keseluruhan himpunan hadith dan perbincangan mengenainya dalam Nail-ul-Authar, vol 2, ms 244-262.
[10]            Huraian yang lebih mendalam lihat - Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/155-157, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/326-335 , Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/244-262,  Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/596, Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 1/489-491 dan lain-lain kitab fiqh muktabar. Walaubagaimanapun yang disepakati para ahli usul dan fiqh ialah haramnya solat di perkuburan samada di atasnya atau menghadapnya kerana ia membuka pintu-pintu ke arah perbuatan syirik dan kurafat.
[11]            Imam Ibnu Hazm - al-Muhalla, 4/27 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/340 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1-597.
[12]            Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/597.
[13]            Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no: 2/0761.

Tiada ulasan: