iDAN

02 Jun 2016

7 Tipudaya Syaitan ke Atas Umat Islam

Hafiz Firdaus Abdullah

CIRI-CIRI SYAITAN.

Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis sahih yang menerangkan ciri-ciri syaitan. Semua ini didedahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kebaikan kita kerana dengan pengetahuan akan ciri-ciri syaitan, kita akan dapat mengetahui apa sifat mereka, sekadar mana kemampuan mereka dan bagaimana mereka bertindak.[1]

Sebelum kita mengkaji ciri-ciri tersebut, sekali lagi saya ingin menasihati para pembaca yang budiman sekalian agar:

Tidak berpaling atau membantah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang dikemukakan.

Tidak menilainya dengan akal atau cuba menselarikannya kepada akal dengan alasan “ciri-ciri tersebut ialah kiasan (majaz) semata-mata.”

Tidak bertanya, berfikir dan menokok tambah dari apa yang sedia dijelaskan oleh al-Qur’an dan hadis.

Ciri # 1: Syaitan memiliki kepala.

Ciri ini diterangkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:

Sesungguhnya Kami jadikan (pokok Zaqqum itu) satu ujian bagi orang-orang yang zalim.
Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang,
buahnya seolah-olah kepala syaitan-syaitan.

[al-Saffat 37:63-65]


Ciri # 2: Syaitan memiliki dua tanduk.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَحَرَّوْا بِصَلاَتِكُمْ طُلُوعَ الشَّمْسِ وَلاَ غُرُوبَهَا فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بِقَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Janganlah kalian melaksanakan solat (sunat mutlak) pada waktu terbit matahari
(selepas subuh) dan terbenam matahari (selepas asar)
kerana pada waktu itu muncul dua tanduk syaitan.[2]

Ciri # 3: Syaitan memiliki hati, mata dan telinga.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam
banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati
(tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat).

[al-A’raaf 7:179]

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, syaitan adalah dari jenis jin. Maka ciri-ciri yang dimiliki oleh jin dimiliki juga oleh syaitan. Dalam ayat 179 surah al-A’raaf di atas, Allah Subhanahu wa Ta'alamenerangkan bahawa jin memiliki hati, mata dan telinga. Maka demikian jugalah bagi syaitan, ia juga memiliki hati, mata dan telinga.

Sebelum ini dalam bab “Asal Usul Permusuhan Syaitan Kepada Manusia”, kita mengetahui bahawa syaitan mendengar perintah Allah untuk sujud kepada manusia, menunjukkan bahawa syaitan memiliki telinga. Kemudian syaitan enggan sujud kerana takbur, dimana dua dari sikap takbur tersebut ialah ujub terhadap diri sendiri dan menghina kepada orang lain. Kedua-dua sikap ini merupakan peranan hati, menunjukkan bahawa syaitan memiliki hati.

Merujuk kepada penglihatan, syaitan dapat melihat manusia manakala manusia tidak dapat melihat syaitan. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan perbezaan ini:

Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu
dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.

[al-A’raaf 7:27]

Ciri # 4: Syaitan memiliki suara.

Syaitan juga memiliki suara dan boleh bercakap-cakap, membantah, menyoal, membisik dan menghasut dengannya. Semua ini dapat kita ketahui melalui dialog iblis dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:

“Sujudlah kamu kepada Adam”,
maka sujudlah mereka melainkan iblis; ia berkata:
“Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”

Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku,
inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?
Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat,
tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya,
kecuali sedikit (di antaranya).”

Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!
Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka,
maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.

Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat
memujuknya dengan suaramu;
dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda
serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka;
dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda
dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu).”
Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.

[al-A’raaf 17:61-64]

Syaitan menggunakan suaranya untuk mengganggu manusia dengan pelbagai cara. Antaranya, bercakap kepada manusia melalui perantaraan batu, pokok, mata air dan haiwan. Umpama seseorang yang masuk ke hutan, tiba-tiba sebuah batu bercakap-cakap kepadanya: “Wahai Azlina! Kamu seorang wanita yang shalihah. Amalan kamu selama ini telah mencukupi. Kini memadai untuk kamu berzikir sahaja, tanpa perlu solat, puasa zakat dan haji.” Percakapan tersebut sebenarnya berasal dari syaitan.

Oleh kerana suara-suara syaitan inilah sebahagian masyarakat menganggap wujudnya “penunggu” atau “penjaga” di kawasan hutan, air terjun, padang pasir dan sebagainya. Kemudian ada pula yang memberi petua, apabila memasuki hutan ucapkanlah selawat kepada nabi sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Apabila menghampiri kawasan air terjun ucapkanlah selawat kepada wali sekian-sekian kerana dia adalah penjaganya. Semua ini hanyalah tipu daya syaitan untuk menyesatkan umat Islam.

Ciri # 5: Syaitan memiliki akal.

Berdasarkan bantahan syaitan kepada Allah, dapat kita mengetahui bahawa syaitan memiliki akal. Ini kerana ia telah menggunakan logik akal untuk membantah perintah Allah, seperti kata-katanya:

· “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”
· “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”

Akal adalah sesuatu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala agar dengan akal tersebut makhluk dapat mentaati dan melaksanakan perintah larangan-Nya dengan cara yang tepat dan betul. Sebaliknya jika akal digunakan untuk mengukur logik atau tidak sesuatu perintah larangan Allah, maka ia adalah suatu penyimpangan yang mengkhianati kurniaan akal itu sendiri.

Ciri # 6: Syaitan ketawa.

Syaitan boleh ketawa. Ini dapat kita ketahui dari hadis berikut:

التَّثَاؤُبُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ

فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ الشَّيْطَان.ُ

Menguap adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian menguap,
tahanlah sedaya mungkin kerana sesungguhnya
apabila seseorang kalian menguap sambil berbunyi “Haaa”
maka ketawalah syaitan.[3]

Jika tidak dapat menahan diri dari menguap, maka tutuplah mulut yang sedang menguap dengan tangan dan jangan mengeluarkan apa-apa bunyi. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita:


إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ.

Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya
kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).[4]

Ada pun bersin, maka ia disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan perbezaan antara menguap dan bersin:


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ

فَحَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يُشَمِّتَهُ وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ

فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ.

Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap.
Maka apabila (seseorang itu) bersin maka pujilah Allah
dan merupakan hak bagi setiap muslim yang mendengar
(saudaranya bersin) untuk mendoakannya.

Ada pun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan.
Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (yang menguap)
berbunyi “Haaa” maka ketawalah syaitan.[5]

Oleh itu Bagi orang yang bersin, hendaklah dia memuji Allah dengan menyebut:


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.”
Bagi yang mendengar orang bersin, dia berdoa:


يَرْحَمُكَ اللهُ.
“Semoga Allah merahmati kamu”.

Kemudian bagi yang bersin, dia menjawab kepada orang yang mendoakannya:


يَغْفِرُ اللهُ لَنَا وَلَكُمْ.

“Semoga Allah mengampuni bagi kami dan bagi kalian.”[6]

Sekali pun bersin adalah sesuatu yang disukai, tidaklah bererti seseorang itu boleh bersin di hadapan muka orang lain, menghamburkan air liurnya atau bersin dengan suara yang kuat. Abu Hurairahradhiallahu ‘anh menerangkan:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَطَسَ وَضَعَ يَدَهُ

أَوْ ثَوْبَهُ عَلَى فِيهِ وَخَفَضَ أَوْ غَضَّ بِهَا صَوْتَهُ.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersin,
baginda meletakkan tangannya atau bajunya
ke atas mukanya (mulut dan hidung) sambil merendahkan
(atau sambil menundukkan muka dan) suaranya.[7]


Ciri # 7: Syaitan memiliki tangan dan jari.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ.

Apabila seseorang kalian makan, maka makanlah dengan tangan kanannya
dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya.
Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya
dan minum dengan tangan kirinya.[8]

Oleh kerana itu kita umat Islam sangat-sangat ditekan untuk makan dan minum dengan tangan kanannya. Penekanan ini turut merangkumi apa jua perkakas yang digunakan seperti sudu, garpu,chopsticks dan lain-lain, hendaklah semuanya dipegang dengan tangan kanan.


Pernah dahulu seseorang yang duduk bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan dengan tangan kirinya. Rasulullah menegur: “Makanlah dengan tangan kanan kamu.” Orang itu menjawab: “Aku tidak mampu.” Rasulullah menjawab: “Kamu tidak mampu?” Padahal dia enggan tidak lain kerana kesombongan. Perawi hadis, Salama bin al-Akwa’ radhiallahu 'anh kemudian menerangkan bahawa setelah itu lelaki tersebut tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya.[9] Tangan kanannya menjadi lumpuh sejak dia membantah teguran Rasulullah.


Syaitan juga memiliki jari berdasarkan keterangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ

غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَهَبَ يَطْعُنُ فَطَعَنَ فِي الْحِجَابِ.



Setiap anak Adam (manusia) ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya
oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam,
syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).[10]

Ciri # 8: Syaitan makan dan minum.

Berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “…sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya”, kita juga dapat mengetahui syaitan makan dan minum.

Syaitan makan apa-apa yang dibiarkan oleh kita, sama ada yang masih tersisa di pinggan atau apa yang terjatuh darinya. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh kita menghabiskan semua makanan dan mengutip apa yang terjatuh darinya. Tindakan ini bukan sahaja mengelak makanan tersebut daripada diambil oleh syaitan tetapi untuk kita memperoleh keberkatan yang sepenuhnya dari makanan tersebut. Anas bin Malik radhiallahu 'anh berkata:


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَكَلَ طَعَامًا لَعِقَ أَصَابِعَهُ الثَّلاًثَ.

قَالَ وَقَالَ: إِذَا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْهَا الأَذَى وَلْيَأْكُلْهَا وَلاَ يَدَعْهَا لِلشَّيْطَانِ.

وَأَمَرَنَا أَنْ نَسْلُتَ الْقَصْعَةَ. قَالَ: فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْرُونَ فِي أَيِّ طَعَامِكُمْ الْبَرَكَةُ.

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam makan,
baginda menjilat jari-jarinya tiga kali.

Anas berkata, bahawa Rasulullah bersabda:

“Jika sesuatu makanan seseorang kalian jatuh,
hendaklah (dia mengambilnya) dan membersihkan apa-apa kotoran
yang melekat padanya lalu memakannya.
Janganlah meninggalkannya untuk syaitan.”

Anas melanjutkan: “(Rasulullah) juga menyuruh kami
untuk menghabiskan apa-apa sisa makanan.”
Baginda berpesan: “Ini kerana kalian tidak tahu

di bahagian manakah pada makanan kalian terdapat keberkatan.”[11]

Untuk mengelakkan apa-apa makanan dari tersisa, hendaklah kita sejak dari awal menyukat jumlah makanan yang diletakkan ke dalam pinggan. Ambil sekadar yang perlu tanpa berlebih-lebihan. Syaitan akan menghasut kita untuk mengambil secara berlebihan kerana berlebihan adalah salah satu bentuk pembaziran dan hubungan antara orang yang membazir dengan syaitan adalah:

Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan.
[al-Isra’ 17:27]

Selain itu syaitan minum sambil berdiri.

Pada satu ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat seorang yang minum sambil berdiri. Baginda menegur: “Jangan begitu!” Orang itu bertanya: “Mengapa?” Rasulullah menjawab: “Adakah kamu suka minum bersama kucing?” Orang ituu menjawab: “Tidak.” Rasulullah meneruskan:

فَإِنَّهُ قَدْ شَرِبَ مَعَكَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مِنْهُ: الشَّيْطَانُ.

Sesungguhnya telah ikut serta minum bersama kamu
sesuatu yang lebih buruk darinya, iaitu syaitan.[12]

Oleh itu hendaklah kita sedaya upaya mengelakkan diri minum sambil berdiri. Jika suasana tidak mengizinkan, boleh minum sambil berdiri. Ini kerana dalam suasana terpencil lagi terdesak, Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam pernah minum sambil berdiri. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhumaberkata:


سَقَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ زَمْزَمَ فَشَرِبَ وَهُوَ قَائِمٌ.

Aku menghidang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam air zam-zam
dan baginda meminumnya sambil berdiri.[13]



Ciri # 9: Syaitan membuang air kecil.

Syaitan juga membuang air kecil, khasnya kepada orang yang tidur lena sepanjang malam sehingga matahari naik. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya berkenaan orang yang tidur sepanjang malam hingga pagi hari. Baginda menjawab:


ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنَيْهِ (أَوْ قَالَ) فِي أُذُنِهِ.


Itu adalah orang yang syaitan kencing dalam kedua-dua telinganya
atau salah satu telinganya.[14]


Ciri # 10: Syaitan memiliki keturunan.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya
sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku?

[al-Kahf 18:50]


Ciri # 11: Syaitan memiliki pasukan tenteranya.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا أَصْبَحَ إِبْلِيسُ بَثَّ جُنُودَهَ فَيَقُول: مَنْ أَضَلَّ مُسْلِمًا أَلْبَسْتُهُ التَّاجَ.

Pada waktu pagi, iblis mengutus pasukan tenteranya seraya berkata:

“Sesiapa yang berjaya menyesatkan seorang muslim
maka aku akan memakaikan mahkota kepadanya.”[15]

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:


Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu;
dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda
serta yang berjalan kaki… [al-Isra’ 17:64]


Dengan pasukan tentera serta para penyokongnya, syaitan berusaha untuk membuat fitnah kepada manusia. Lebih hebat fitnah yang dilakukan, lebih besar pangkat dan anugerah yang dihadiahkan kepada tentera yang berjaya melakukannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan strategi ketenteraan ini:


إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً.

يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا! فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا. قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ

فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ. قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ!.


Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air.

Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia).
Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan
yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.

Salah seorang dari tentera itu datang dan berkata:

“Saya telah melakukan sekian-sekian!”
Iblis menjawab: “Kamu belum melakukan apa-apa.”

Kemudian datang seorang tentera yang lain dan berkata:

“Tidaklah saya meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah
dia menceraikan isterinya.”

Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[16]

Di antara pasukan tentera syaitan ialah manusia, iaitu mereka yang telah berjaya dipengaruhinya untuk memusuhi Islam dan umatnya. Satu contoh ialah orang-orang musyrik dalam Perang Uhud yang Allah Subhanahu wa Ta'ala sebut sebagai penolong (al-Auliya’) syaitan:

Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap)
penolong-penolongnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang-orang yang beriman.

[‘Ali Imran 3:175]



Ciri # 12: Syaitan mencari tempat bermalam.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ

قَالَ الشَّيْطَانُ: لاَ مَبِيتَ لَكُمْ وَلاَ عَشَاءَ.

وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ

قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ.

وَإِذَا لَمْ يَذْكُرْ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ

قَالَ: أَدْرَكْتُمْ الْمَبِيتَ وَالْعَشَاءَ.

Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”

Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah
dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya,
berkatalah syaitan (kepada golongannya):
“Kalian telah mendapat tempat bermalam.”
Apabila seorang tidak mengingati Allah ketika makan,
berkatalah (syaitan kepada golongannya):
“Kalian telah mendapat tempat bermalam dan makan malam.”[17]

Demikian juga apabila kita hendak keluar rumah, maka kuncilah pintu sambil menyebut nama Allah. Nescaya syaitan tidak akan dapat membukanya. Tutuplah juga bekas-bekas makan dan minum, nescaya syaitan tidak dapat membukanya dan mencemarinya. Padamkan juga lampu agar dengan itu syaitan tidak dapat menyebabkan berlakunya kebakaran. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا وَأَوْكُوا قِرَبَكُمْ

وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرُوا آنِيَتَكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ

وَلَوْ أَنْ تَعْرُضُوا عَلَيْهَا شَيْئًا وَأَطْفِئُوا مَصَابِيحَكُمْ.

Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah
(dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan
tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah).
Ikatlah kantong-kantong air kalian dan sebutlah nama Allah,
tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah,
walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya
dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.[18]

Jika syaitan berjaya memasuki rumah untuk bermalam, syaitan akan bermalam dalam hidung para penghuni rumah tersebut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِذَا اسْتَيْقَظَ (أُرَاهُ أَحَدُكُمْ) مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ

فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ.
Apabila seseorang kalian bangun dari tidurnya dan berwudhu’,
maka (sedutlah air ke dalam hidungnya dan)
hembuslah air itu keluar sebanyak tiga kali
kerana sesungguhnya syaitan bermalam di lubang hidung kalian.[19]

Ciri # 13: Syaitan dapat bergerak pantas.

Makhluk jin dapat bergerak pantas, sekali pun dengan membawa beban yang amat besar lagi berat. Ini dapat kita ketahui dari sejarah Nabi Sulaiman ‘alaihi salam:

Nabi Sulaiman berkata pula: “Wahai pegawai-pegawaiku,
siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya
(Puteri Balqis dari Yaman ke Baitul Maqdis)

sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”
Berkatalah Ifrit dari golongan jin:

“Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun
dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat
gagah untuk membawanya, lagi amanah.”

[al-Naml 27:38-39]

Syaitan adalah dari jenis jin dan dengan itu kita mengetahui bahawa ia juga dapat bergerak pantas. Antara ketika ia bergerak pantas adalah apabila azan dilaungkan:

إِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا نُودِيَ بِالصَّلاَةِ وَلَّى وَلَهُ حُصَاصٌ.
Sesungguhnya syaitan apabila dikumandangkan azan,
ia akan berpaling dan lari dengan pantas.[20]


Ciri # 14: Syaitan dapat bergerak dalam badan manusia.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ.

Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan anak Adam
(manusia) seperti aliran darah.[21]


Ciri # 15: Syaitan dapat mempengaruhi manusia.

Tetap merujuk kepada hadis di atas berkenaan pergerakan syaitan dalam badan manusia, ia secara lebih terperinci berlaku ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang beriktikaf di masjid dan isterinya Shafiyyah radhiallahu 'anha datang menziarahi baginda. Kemudian apabila Shafiyyah ingin pulang, Rasulullah mengiringinya hingga ke pintu masjid. Pada saat itu, dua orang sahabat dari kalangan Ansar radhiallahu 'anhuma berlalu dan nampak Rasulullah bersama seorang wanita. Mereka berdua tidak tahu siapakah wanita tersebut kerana para isteri Rasulullah memakai tudung yang juga menutupi muka.

Untuk mengelakkan salah faham, Rasulullah memanggil dua lelaki tersebut dan menerangkan bahawa wanita yang bersamanya ialah Shafiyyah, isteri baginda. Kedua-dua lelaki itu menjawab:“Subhanallah!”, seolah-olah bermaksud: “Maha Suci Allah, tidaklah kami sekali-kali akan berburuk sangka kepadamu wahai Rasulullah!” Kemudian Rasulullah membalas:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ وَإِنِّي خَشِيتُ

أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرًّا (أَوْ قَالَ) شَيْئًا.

“Sesungguhnya syaitan bergerak dalam badan manusia seperti aliran darah.
Sesungguhnya aku bimbang ia melemparkan keburukan
atau sesuatu sangkaan dalam hati kalian berdua.[22]

Rasulullah membalas dengan menerangkan ciri-ciri syaitan yang mampu bergerak dalam badan manusia dan mempengaruhi hati manusia untuk berburuk sangka. Kedua-dua sahabat tersebut pada awalnya tidak berprasangka apa-apa terhadap Rasulullah. Akan tetapi mungkin sahaja syaitan menyelinap masuk dalam tubuh mereka beberapa saat kemudian sambil membisikkan sesuatu yang buruk, konon Rasulullah berdua-duaan dengan wanita yang tidak halal bagi baginda. Maka sebelum syaitan dapat memasuki dan mempengaruhi dengan sesuatu yang buruk, Rasulullah menerangkan bahawa wanita tersebut ialah Shafiyyah, isteri baginda sendiri.[23]

Berdasarkan hadis ini dapat diketahui ciri-ciri syaitan yang mampu mempengaruhi manusia dengan sesuatu yang menyelisihi tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Ia tidak terhad kepada berburuk sangka tetapi meliputi sikap-sikap lain seperti:

Syaitan mempengaruhi pemikiran manusia:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا؟

حَتَّى يَقُولَ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ.


Syaitan mendatangi seseorang kalian dan bertanya:
“Siapakah yang mencipta itu? Siapakah yang mencipta ini?”
sehinggalah ia bertanya: “Siapakah yang mencipta tuhan kamu?”
Maka jika ia bertanya soalan itu,
mintalah perlindungan dari Allah dan sudahilah

(dari melayani fikiran atau pertanyaan sedemikian).[24]


Syaitan berbisik kepada manusia:
Syaitan mampu berbisik kepada manusia sebagaimana ia mampu berbisik kepada Adam:
Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:

“Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu
pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

[Ta-Ha 20:120]

Bisikan syaitan lazimnya ke arah sesuatu yang bertentangan dengan Islam. Atau sesuatu yang kelihatan seolah-olah selari dengan Islam padahal sebenarnya bertentangan. Bagi setiap manusia ada di sisinya malaikat dan syaitan, masing-masing membisikkan sesuatu. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat ini:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً

فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ

وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ

فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ

وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.


Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (yakni manusia)
ada sentuhan (bisikan) syaitan dan sentuhan (bisikan) malaikat.
Ada pun sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran.
Manakala sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran.


Maka sesiapa yang merasai sentuhan (bisikan) kebaikan,
ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah (melalui perantaraan malaikat)
dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah).
Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan (bisikan) sebaliknya
hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada syaitan

(dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan nirrajim).[25]

Satu contoh mudah ialah adab minum air sebagaimana yang telah diterangkan dalam ciri syaitan # 8. Ketika anda memegang segelas air untuk minum, tiba-tiba hati anda berbisik untuk minum sambil duduk. Itu adalah bisikan malaikat. Kemudian muncul pula bisikan lain yang berkata: “Alaah! Tak mengapa, seteguk saja. Menyusahkan saja untuk duduk.” Itu adalah bisikan syaitan. Lawanlah ia dengan mengucap “A’uzubillahi minash syaitan nirrajim” kemudian duduk dan minumlah.

Syaitan mempengaruhi imajinasi manusia:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ الْمَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ

فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ.

Sesungguhnya seorang wanita tampil dalam gambaran syaitan
dan membelakangi dalam gambaran syaitan.
Maka jika seseorang kalian melihat wanita (yang dia tertarik dengannya),
maka kembalilah kepada isterinya
kerana itu akan menolak (lintasan jahat) dalam dirinya.[26]


Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan kemampuan syaitan membentuk gambaran atau imajinasi pada pemikiran seorang lelaki yang melihat wanita. Semua ini akan menyebabkan lelaki itu mula mengkhayal secara seksual akan wanita tersebut. Perkara ini tidak saja dilakukan oleh syaitan kepada lelaki yang melihat wanita tetapi juga kepada wanita yang melihat lelaki.

Gambaran atau imajinasi yang dibuat oleh syaitan dapat ditolak dengan masing-masing kembali kepada pasangannya. Jika belum bernikah atau tidak dapat kembali, maka jagalah pandangan masing-masing sejak dari awal.

Syaitan mempengaruhi tumpuan atau fokus manusia:

Antara tumpuan yang masyhur diganggu syaitan ialah kekhusyukan ketika solat dan membaca al-Qur’an. Seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Abi al-‘Ash radhiallahu 'anh mengadu kepada Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan menghalang antaraku dan solat serta bacaan al-Qur’anku, dan ia selalu mengelirukan aku.” Maka Rasulullah menjawab:


ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا.

Itulah syaitan yang disebut sebagai “Khanzab”,
maka apabila merasai gang-guannya,
mohonlah perlindungan Allah darinya
dan ludahlah ke kiri sebanyak tiga kali.
‘Utsman bin al-‘Ash kemudian berkata:
“Aku melakukan itu dan Allah menjauhkan gangguan syaitan itu dariku.”[27]


Syaitan tidak saja mengganggu tumpuan solat tetapi aja jua aktiviti lain yang dilakukan kerana agama. Sebagai contoh, apabila anda ingin membaca buku agama, syaitan akan mengganggu tumpuan anda dengan tangisan bayi, anak yang meminta perhatian, perasaan mengantuk dan kesukaran untuk faham.

Syaitan mempengaruhi motivasi manusia melakukan kebaikan:

Syaitan mampu mempengaruhi motivasi kita apabila ingin melakukan sesuatu aktiviti demi kebaikan agama, seperti mengkaji al-Qur’an dan hadis, bersedekah, membuat kerja sukarelawan, melaksanakanamar ma’ruf dan nahi mungkar serta berdakwah kepada orang ramai. Allah Subhanahu wa Ta'alaberfirman:


Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul
atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita
(untuk kebaikan agama yang dibawanya),
maka syaitan pun melemparkan hasutannya
mengenai usaha Rasul atau Nabi itu (dari) mencapai cita-citanya.

[al-Hajj 21:52]


Nah! Jika syaitan menghasut dan mengganggu para Nabi dan Rasul, sudah tentu syaitan juga akan menghasut dan mengganggu kita. Oleh kerana itulah, apabila kita ingin melakukan sesuatu aktiviti demi kebaikan agama, kita merasa sukar untuk memberi tumpuan penuh kepadanya. Selain itu akan ada saja pelbagai faktor yang menghalang atau menyukarkan sehingga kita hilang motivasi untuk meneruskannya. Ketahuilah bahawa semua itu adalah dari syaitan, maka lawanlah ia. Berhenti dari melakukan aktiviti yang dirancang adalah tanda mengalah kepada syaitan. Sebaliknya meneruskan apa yang dirancang dengan penuh motivasi dan dedikasi adalah tanda kemenangan di atas syaitan.


Antara contoh aktiviti yang dimaksudkan ialah bersedekah, dimana Allah Subhanahu wa Ta'alaberfirman:

Wahai orang-orang yang beriman!

Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik,
dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Dan janganlah kamu sengaja memilih
yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan
atau kamu jadikan pemberian zakat),
padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu
(kalau diberikan kepada kamu),
kecuali dengan memejamkan mata padanya.
Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya,
lagi sentiasa Terpuji.


Syaitan menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan
(jika kamu bersedekah atau menderma),
dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut);
sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya
serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah),
Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya,
lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

[al-Baqarah 2:267-268]


Syaitan mempengaruhi manusia dengan sikap terburu-buru.

Jika dalam kes di atas syaitan mempengaruhi kita dengan sikap negatif seperti malas, tidak berminat dan tiada motivasi, maka sebaliknya syaitan juga mampu mempengaruhi kita dengan sikap tergesa-gesa. Akhirnya berlaku apa yang berlawanan, seperti terlebih bersemangat (over excited), melampaui batas, mengharapkan hasil serta-merta dan kelam-kabut. Kemudian apabila apa yang diinginkan tidak menjadi, sikap tergesa-gesa di atas beralih kepada berputus asa, merungut, menuduh orang lain atas kegagalan diri sendiri dan sebagainya.

Ada pun Islam, maka ia menganjurkan sikap yang dipertengahan antara malas dan tergesa-gesa. Sikap tersebut ialah tenang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.[28]


Syaitan mempengaruhi manusia dengan perasaan cemburu:

Isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan pada satu malam baginda keluar dari rumahnya dan ini menyebabkan dia merasa cemburu. Kemudian Rasulullah kembali ke rumah dan mendapati dia sedang dalam keadaan yang cemburu. Lalu baginda bertanya:


مَا لَكِ يَا عَائِشَةُ؟ أَغِرْتِ؟ فَقُلْتُ: وَمَا لِي لاَ يَغَارُ مِثْلِي عَلَى مِثْلِكَ؟

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَقَدْ جَاءَكِ شَيْطَانُكِ؟

قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوْ مَعِيَ شَيْطَانٌ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْتُ: وَمَعَ كُلِّ إِنْسَانٍ؟

قَالَ: نَعَمْ. قُلْتُ: وَمَعَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ وَلَكِنْ رَبِّي أَعَانَنِي عَلَيْهِ حَتَّى أَسْلَمَ.


“Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?”
“Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang seperti anda?”

Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melanjutkan:

“Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”

“Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?”

“Ya.”

“Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?”

“Ya.”

(Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?”

“Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya

sehingga aku selamat dari gangguannya.”[29]

Syaitan mempengaruhi manusia dengan perasaan marah:

Sulaiman bin Shurd radhiallahu 'anh berkata:


كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلاَنِ يَسْتَبَّانِ

فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ.

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنِّي لأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ

لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ.


Ketika aku sedang duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,
dua orang sedang bertengkar sehingga salah seorang dari mereka
menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar.
Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan
nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah
“A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang.[30]

Terdapat dua faktor di sebalik kemarahan. Pertama ialah faktor peribadi, seperti orang yang marah kerana kedudukannya tidak dihormati atau kerana barangnya telah dirosakkan. Ini adalah marah yang tercela dan perlu dihindarkan. Kedua ialah faktor agama, seperti seorang muslim yang merasa marah kerana ajaran agamanya dirosakkan oleh muslim yang lain atau marah apabila umat Islam dizalimi oleh kaum lain. Ini adalah marah yang terpuji, akan tetapi tidaklah bermakna seseorang itu boleh terus bertindak kasar kerananya. Yang dituntut ialah tetap tenang dan berlemah lembut untuk menangani orang yang menyebabnya marah. Sikap tenang adalah berdasarkan hadis yang dikemukakan sebelum ini:


اَلتَّأَنِيْ مِنَ اللهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Ketenangan adalah dari Allah manakala ketergesa-gesaan adalah dari syaitan.[31]


Manakala sikap lemah lembut adalah berdasarkan hadis:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ.

Sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah lembut dalam segala urusan.[32]

Jika dirujuk kepada sirah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, akan ditemui beberapa ketika baginda marah atas faktor agama. Akan tetapi kemarahan tersebut tidaklah menyebabkan baginda mengeluarkan kata-kata yang kotor atau bertindak ganas. Sebaliknya baginda hanya memberi teguran yang tenang lagi lemah lembut. Satu contoh ialah kisah berikut yang diriwayatkan oleh Abu Mas‘ud al-Anshari radhiallahu 'anh.


Beliau menceritakan, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallamdan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjamaah) disebabkan si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabishallallahu 'alaihi wasallam amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda:



أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ

فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ

Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian
ada yang membuat orang-orang lari dari solat berjamaah.
Maka sesiapa yang mengimami manusia,
hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum)

ada yang sakit, lemah dan berurusan.[33]

Syaitan mempengaruhi manusia dengan sifat lupa:

Terdapat dua jenis lupa. Pertama lupa dalam urusan harian seperti lupa dimana letaknya anak kunci rumah atau lupa membeli barang tertentu di kedai runcit. Kedua lupa dalam urusan agama seperti lupa solat atau hafalan al-Qur’an. Lupa jenis kedua berasal dari syaitan, kerana syaitan dapat mempengaruhi manusia dengan sifat lupa. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Dan apabila engkau melihat orang-orang
yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami,
maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain;
dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka),
maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu,
sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).

[al-An’aam 6:68]



Walaubagaimana pun sesetengah kes lupa dari jenis pertama boleh berasal dari pengaruh syaitan kerana dengan kelupaan tersebut, seseorang itu mungkin menjadi marah dan merungut. Sikap negatif seperti ini adalah sesuatu yang disukai oleh syaitan. Maka jika lupa dalam urusan harian, hendaklah tetap tenang dan seterusnya mencari jalan untuk mengelaknya dari berulang pada masa akan datang. Satu contoh lupa jenis pertama ini yang berpunca dari syaitan ialah kisah berikut yang berlaku pada zaman Nabi Musa ‘alaihi salam:

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi
ketika kita berehat di batu besar itu?
Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu
dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa
daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan;
dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut
dengan cara yang menakjubkan.”

[al-Kahf 18:63]

Syaitan mempengaruhi manusia dengan kesakitan:

Penyakit adalah sesuatu yang lazim dialami oleh manusia. Akan tetapi syaitan turut serta dengan sesuatu penyakit dengan menambah pengaruh kesakitan, kepayahan, kesengsaraan dan keluhan yang dialami:


Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Nabi Ayub,
ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya
(ketika menghadapi penyakitnya) dengan berkata:
“Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kesusahan dan siksaan.”

[Shad 38:41]


Syaitan mempengaruhi manusia untuk berbuat jahat:

Syaitan mampu mempengaruhi seseorang atau menghasutnya untuk berbuat jahat. Antara kejahatan tersebut ialah mengganggu orang yang sedang solat dengan cara sengaja melintas di hadapannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنْ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ.


Apabila seseorang kalian solat dengan menghadap sesuatu
(yang diletakkan) sebagai penghadang dari (lalu lintas) orang lain,
lalu ada orang yang hendak melintas di antaranya
dan penghadang itu, maka tahanlah dia.
Jika dia enggan (dan tetap berkeras untuk melintas)
maka tahanlah dia dengan lebih tegas
kerana dia tidak lain ialah syaitan.[34]


Dalam hadis di atas, yang akan melintas di hadapan orang yang sedang solat bukanlah syaitan tetapi orang yang dipengaruhi atau dihasut oleh syaitan. Ini kerana dalam sebuah riwayat lain, hadis di atas diakhiri dengan lafaz “…kerana sesungguhnya syaitan bersama dia.”[35]


Inilah juga yang dimaksudkan sebagai “syaitan-syaitan manusia” dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:


Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu
musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin,
setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain
kata-kata dusta yang indah-indah susunannya
untuk memperdaya pendengarnya.

[al-An’aam 6:112]


Yang dimaksudkan dengan “syaitan-syaitan manusia” ialah manusia yang dipengaruhi dan dihasut oleh syaitan untuk berbuat jahat dan menjadi musuh kepada para Nabi. Penafsiran ini adalah berdasarkan perbezaan asal usul kedua-duanya, dimana syaitan berasal dari api manakala manusia berasal dari tanah.

Dalam rangka berbuat jahat, syaitan bukan sahaja mempengaruhi manusia tetapi juga mempengaruhi haiwan untuk berbuat jahat kepada manusia. Salah satu darinya ialah mempengaruhi tikus untuk menjatuhkan lampu-lampu pelita agar dengan itu dapat berlaku kebakaran di rumah.

‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa pernah seekor tikus menolak sebuah lampu pelita sehingga tumbang di atas tikar yang sedang diduduki oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Lalu terbakarlah tikar tersebut sebesar saiz satu dirham. Melihat yang sedemikian Rasulullah bersabda:

إِذَا نِمْتُمْ فَأَطْفِئُوا سُرُجَكُمْ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدُلُّ مِثْلَ هَذِهِ عَلَى هَذَا فَتُحْرِقَكُمْ.

Apabila kalian hendak tidur maka padamkanlah lampu pelita kalian
kerana sesungguhnya syaitan menunjuki ini (tikus) kepada itu (lampu pelita)
sehingga kalian terbakar.[36]


Demikian beberapa kemampuan syaitan untuk mempengaruhi manusia. Selain apa yang disebut di atas, syaitan juga mampu mempengaruhi dengan sikap-sikap buruk yang lain. Tidak ketinggalan ialah sikap-sikap yang menyebabkan ia diusir dari langit, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan akal di atas wahyu dan mempersoalkan wahyu.

Dalam kehidupan harian kita, sudah pasti satu atau lebih dari sikap-sikap di atas mempengaruhi kita. Pada waktu pagi kita mungkin marah, pada waktu petang kita mungkin cemburu, pada waktu petang kita mungkin berburuk sangka dengan rakan dan pada waktu malam kita mungkin merasa malas untuk pergi ke kuliah agama. Semua ini adalah pengaruh syaitan, maka lawanlah ia dengan mengucap“A’uzubillahi minash syaitan nirrajim” dan tinggalkan sikap-sikap yang buruk tersebut.

Ciri # 16: Syaitan dapat merasuk manusia.

Dalam dua ciri di atas, kita telah mempelajari kemampuan syaitan untuk bergerak dalam diri manusia dan melakukan pelbagai pengaruh ke atas manusia yang dimasukinya. Dalam suasana itu manusia yang dipengaruhi masih dalam keadaan yang normal. Akan tetapi adakalanya syaitan dapat mempengaruhi manusia hingga mengubah perwatakan dan tingkah lakunya, menjadi seolah-olah orang yang gila. Inilah yang disebut sebagai kerasukan atau histeria. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tentang kemampuan syaitan ini:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba
tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya
orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.
[al-Baqarah 2:275]

Kerasukan tidak saja terhad kepada orang yang melibatkan diri dalam urusniaga riba, tetapi meluas kepada pelbagai keadaan yang lain. Merujuk kepada persoalan kerasukan dan hubungkaitnya dengan syaitan, manusia terbahagi kepada tiga golongan:

Mereka yang menafikannya. Golongan ini berkata, kerasukan tidak berpunca dari syaitan sebaliknya berpunca dari penyakit tertentu seperti gangguan saraf, perubahan hormon, tekanan jiwa (stress) dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini dapat dihentikan dengan mengambil ubat.

Mereka yang berlebih-lebihan. Golongan ini mengakui bahawa kerasukan berpunca dari syaitan. Akan tetapi mereka berlebih-lebihan dalam menyandarkannya kepada syaitan sehingga apa jua perubahan tingkah laku (behaviour) yang dihadapi oleh seseorang, mereka menganggapnya sebagai kerasukan syaitan.


Mereka yang berada di pertengahan antara golongan pertama dan kedua. Golongan ketiga ini berkata kerasukan boleh berpunca dari penyakit dan boleh juga berpunca dari syaitan. Maka kerasukan pertama (penyakit) dihentikan dengan ubat-ubatan manakala kerasukan kedua (syaitan) dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti kerasukan yang dialami oleh seseorang sama ada berpunca dari penyakit atau syaitan, maka ia dihentikan dengan ubat dan zikir.

Ada pun hujah golongan pertama bahawa kerasukan hanya berpunca dari penyakit, mereka membuktikannya dengan pelbagai penemuan baru tentang apa yang sedang berlaku dalam badan. Bahkan dengan peralatan serba canggih masa kini, mereka dapat menunjuk secara tepat bahagian saraf yang sedang mengalami gangguan dan keadaan hormon badan yang tidak seimbang. Maka apabila diberi ubat, apa yang dianggap sebagai kerasukan dapat dihentikan.

Akan tetapi, sekali pun dengan segala penemuan dan alat canggih tersebut, tetap timbul satu persoalan yang masih tidak dapat dijawab oleh para pakar perubatan: Mengapa saraf mengalami gangguan dan mengapa sebahagian kelenjar merembeskan hormon secara berlebihan? Benar, bahawa semua itu dapat dihentikan dengan mengambil ubat tertentu. Akan tetapi mengapakah kerasukan berulang apabila ubat habis dimakan?


Jawapannya dapat diperolehi dengan mengkaji peranan syaitan. Apabila syaitan memasuki tubuh badan manusia, ia mampu mengganggu kestabilan saraf dan keseimbangan hormon. Bahkan ia mampu melakukan pelbagai lagi yang tidak dianggap sebagai kerasukan, seperti mematikan saraf (paralyse), menyumbat saluran darah (blood clot) dan merangsang sel-sel tertentu untuk berkembang dengan pantas secara tak terkawal (tumor and cancer). Semua ini amat mudah bagi syaitan dan semua ini akan diakui oleh sesiapa yang mengkaji secara teliti kesemua ciri-ciri syaitan yang dikupas dalam bab ini.

Walaubagaimana pun, ini tidaklah bererti semua penyakit dan gangguan tingkah laku berpunca dari syaitan. Sebahagiannya berpunca dari faktor lain seperti gizi pemakanan yang tidak seimbang, kecederaan fizikal, tekanan jiwa, usia tua dan sebagainya. Maka tidaklah benar anggapan golongan kedua bahawa semua perubahan kelakuan berpunca dari syaitan.

Yang benar adalah bahawa kerasukan mungkin berpunca dari penyakit dan mungkin juga berpunca dari syaitan. Maka apa yang berpunca dari penyakit, ia dihentikan dengan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor pakar manakala apa yang berpunca dari syaitan, ia dihentikan dengan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika tidak pasti sama ada kerasukan berpunca dari penyakit atau syaitan, maka kedua-dua kaedah digunakan serentak untuk menghentikannya.


Seterusnya, peranan syaitan dalam menyebabkan kerasukan kepada manusia terbahagi kepada dua kategori:


Kategori Pertama: Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan kemahuannya sendiri. Sengaja syaitan merasuk manusia untuk menyesatkannya, mengkafirkannya, mensyirikkannya dan memasukkan mangsa tersebut ke dalam neraka. Semua ini dapat dicapai oleh syaitan apabila mangsa atau orang di sekelilingnya cuba mengubati kerasukan itu dengan cara yang berbeza dari tunjuk ajar Rasulullah, bahkan dengan cara yang dilarang oleh Islam.

Kategori Kedua: Kerasukan yang dilakukan oleh syaitan berdasarkan perintah tuannya. Ini disebut sebagai sihir. Sihir adalah satu tindakan jahat yang memerlukan dua unsur utama:

Manusia sebagai ahli sihir sekali gus merangkap jawatan “Tuan”.

Syaitan sebagai khadam yang melakukan kerja sihir yang diperintah oleh tuannya.

Melalui sihir syaitan dapat mencapai beberapa objektifnya. Secara terperinci:


· Objektif Menyesatkan: Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka tidak tahu cara perubatan sahih yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka berjumpa dengan mana-mana bomoh atau ustaz yang masyhur di sisi masyarakat untuk berubat dan menerima apa saja kaedah perubatan yang diberikan olehnya. Bahkan mereka tidak tahu apakah maksud jampi-jampian yang dibacakan ke atas mereka. Akibatnya, mereka telah meninggalkan jalan Rasulullah kepada jalan lain yang menyesatkan.

· Objektif Memusyrikkan: Apabila orang yang terkena sihir berubat, lazimnya mereka meletakkan keyakinan bahawa pengaruh kesembuhan adalah dari bomoh atau ustaz yang sedang mengubatinya beserta bacaan-bacaan jampi mereka. Padahal satu-satunya pengaruh untuk kesembuhan ialah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila keyakinan seseorang terhadap kuasa yang dapat memberi manfaat dan mudarat kepadanya beralih dari Allah kepada sesuatu yang lain, dia telah syirik kepada Allah.

· Objektif Mengkafirkan: Satu contoh mudah, apabila Jamal ingin berbuat jahat kepada Jamilah, dia akan menemui seorang ahli sihir bernama Ahmad dan menyampaikan hajatnya. Ahmad akan memerintah khadamnya, yakni syaitan, untuk membuat apa yang dihajatkan oleh Jamal ke atas Jamilah. Perbuatan itu pelbagai, dari muntah darah, gangguan pemikiran sehinggalah kepada kerasukan. Inilah yang lazim disebut sebagai “kena buat orang!”

Untuk melawan buatan sihir itu, Jamilah akan pergi menemui seorang ahli sihir lain bernama Kamal dan menyampaikan hajatnya. Kamal akan memerintahkan khadamnya, yakni syaitan, untuk membuatkan apa yang dihajatkan oleh Jamilah ke atas Jamal. Demikianlah ia berulang antara Jamal dan Jamilah.


Dalam contoh di atas, syaitan berjaya mengkafirkan kesemua Jamal, Jamilah, Ahmad dan Kamal. Sekali pun syaitan disebut sebagai “khadam”, sebenarnya ia adalah tuan kepada semua yang terbabit, termasuklah Ahmad dan Kamal. Syaitan hanya berpura-pura menjadi khadam asalkan dengan itu tercapailah objektifnya untuk mengkafirkan manusia.

Sesiapa saja yang terlibat dengan sihir, sama ada untuk menyihir atau melawan sihir dengan sihir, akan menjadi kafir berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Mereka mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan
dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman,
padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu,
akan tetapi syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya);


Kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir
dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat:
Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon),
sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun
melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata:
“Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu),
oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajari sihir).”

[al-Baqarah 2:102]



. Objektif memasukkan ke dalam neraka: Orang yang berurusan dengan sihir akan menerima padah yang buruk di Hari Akhirat, termasuk diazab di dalam neraka. Allah Subhanahu wa Ta'alaberfirman:

Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (sihir)
yang hanya membahayakan mereka
dan tidak memberi manfaat kepada mereka.
Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui
bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu,
tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di Akhirat.
Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka,
kalaulah mereka mengetahui.

[al-Baqarah 2:102][37]


Ciri # 17: Syaitan dapat mempengaruhi mimpi manusia.

Syaitan bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنْ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ

فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.


Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang buruk adalah dari syaitan.
Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang menakutkannya,
hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan
dari Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia
(mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan apa-apa kemudaratan.[38]

Mimpi buruk dari syaitan tidak terhad kepada sesuatu yang mengerikan (nightmare) sahaja. Dalam rangka mempengaruhi mimpi manusia, syaitan adakalanya menjelma sebagai seorang syaikh, wali atau tuan guru lalu menyampaikan sesuatu ajaran agama, seperti zikir-zikir dan amal ibadah yang menyalahi apa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Orang yang sedang bermimpi menduga dia telah mendapat mimpi yang baik dari Allah padahal yang benar dia mendapat mimpi yang buruk dari syaitan. Dia menyangka telah mendapat satu syari‘at khusus dari Allah berbanding syari‘at awam yang dibawa oleh Rasulullah, padahal yang dia dapati hanyalah syari‘at kesesatan dari syaitan.


Berkaitan mimpi, ramai orang yang salah faham tentang hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


مَنْ رَآنِي فَقَدْ رَأَى الْحَقَّ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَكَوَّنُنِي.
Sesiapa yang melihat aku dalam mimpi maka sungguh dia telah melihat dengan benar
kerana syaitan tidak dapat menyerupai aku.[39]

Mereka menganggap siapa jua yang mereka temui dalam mimpi yang memiliki ciri-ciri berjambang, memakai serban dan jubah putih serta menaiki unta dalam suasana padang pasir atau sedang berteduh di bawah pohon kurma, maka orang itu ialah Rasulullah.

Memang benar bahawa syaitan tidak boleh menjelma sebagai Rasulullah. Akan tetapi syaitan boleh menjelma sebagai seseorang lain lalu orang yang bermimpi mendakwa itu adalah Rasulullah. Lebih-lebih lagi apabila orang itu sendiri sebelum tidur melakukan sekian-sekian zikir dan selawat yang dipercayai boleh menghadirkan Rasulullah dalam mimpinya. Maka syaitan datang menjelma dalam mimpi sebagai seseorang yang berjambang, berserban, berjubah dan menaiki unta, lalu segera dianggap oleh orang yang bermimpi: Itu adalah Rasulullah.


Ciri # 18: Syaitan dapat beraktiviti.

Syaitan adalah satu makhluk yang memiliki kemahiran membuat, bertindak dan beraktiviti. Antara aktiviti tersebut ialah membuat bangunan dan menyelam untuk Nabi Sulaiman ‘alaihi salam:


(Sulaiman berdoa): “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku
dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan
yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku;
sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.”

Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya
menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya,
ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya.
Dan (Kami mudahkan bagi Sulaiman memerintah) syaitan:
golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan dan yang menjadi penyelam.

[Shad 38:35-37]


Jika syaitan mampu membina bangunan dan menyelam, maka mudah sangatlah bagi ia untuk melakukan aktiviti yang dianggap masyarakat sebagai satu mukjizat atau Karamah seperti air yang tiba-tiba mengalir keluar dari tanah yang tandus, makanan yang datang dari arah kubur seorang syaikh, al-Qur’an yang terbuka dan tertutup dengan sendirinya, lampu atau pelita yang menyala dan padam dengan sendirinya dan aktiviti-aktiviti lain yang di luar adat kebiasaan.

Syaitan melakukan semua itu kerana dua sebab:

Syaitan tersebut dipelihara oleh tuannya dan tuannya ingin agar masyarakat menghormati dia dan menganggap dia sebagai wali. Maka dia mengarahkan syaitan peliharaannya melakukan aktiviti-aktiviti di luar adat kebiasaan untuk memberi pengaruh kepada masyakarat. Dengan ketipan jarinya, lampu akan menyala. Dengan tepukan tangan, rumah jiran yang condong ditiup angin kuat kembali tegak. Dengan satu senyuman, gadis yang kerasukan tiba-tiba sembuh dan tersenyum. Dengan mengangkat kedua tangannya, perahu yang tenggelam di laut dalam akan timbul. Bahkan syaitan mampu membawanya terbang dan bergerak pantas (Lihat Ciri # 13). Fenomena terakhir ini lazim dilakukan oleh pakar-pakar seni mempertahankan diri dimana mereka boleh terbang sambil melawan atau mengejar musuh. Ia juga dilakukan oleh para syaikh tareqat: sarapan di Masjidil Haram, makan tengahari di Masjidil Aqsa, minum petang di Kandahar, makan malam di rumahnya. Semua ini akan menyebabkan masyarakat memandang mereka sebagai seorang wali Allah.


Syaitan ingin menyesatkan masyarakat setempat dan membawa fitnah kepada seorang hamba yang shalih. Maka syaitan menerbitkan mata air di tanah tandus berhampiran rumah orang shalih itu, menempatkan awan di atas rumahnya agar sentiasa teduh, mengarahkan angin untuk meniup daun-daun kering dari laman rumahnya dan membuka pintu pagar bagi sesiapa yang berhajat untuk mengunjunginya. Aktiviti-aktiviti di luar adat kebiasaan sebegini akan menyebabkan masyarakat segera menganggap orang shalih tersebut sebagai wali Allah.

Dalam kedua-dua kes di atas, apabila masyarakat mula menganggap seseorang itu sebagai wali Allah, mereka akan bersegera mengambil berkat darinya, meminta air jampi darinya, berdoa dengan perantaraannya, menggantung potretnya dan bersolat dengan menghadap gambarnya. Dengan semua ini tercapailah objektif syaitan untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan mereka ahli neraka.

Khusus kepada kes kedua, ia lazim berlaku kepada para shaikh tasawuf. Mereka asalnya ialah para hamba Allah yang shalih lagi bertaqwa, yang mendisiplinkan diri untuk beribadah kepada Allah secara bersungguh-sungguh. Kemudian syaitan datang melakukan beberapa aktiviti di luar adat kebiasaan di sekelilingnya sehingga masyarakat menganggap dia adalah seorang wali Allah. Dari sini mulalah mereka mengagungkan dia dengan pelbagai amalan bid‘ah dan cerita-cerita fantasy. Akhirnya seorang hamba Allah yang shalih telah diangkat oleh masyarakat menjadi super wali dan pelbagai pemikiran serta amalan yang syirik dilakukan atas namanya.[40]


Ciri # 19: Syaitan dapat ditangkap.

Abu Darda radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk bersolat, lalu ketika sedang solat, baginda berkata:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ.

“Aku berlindung kepada Allah dari engkau!”.

Kemudian baginda berkata:

أَلْعَنُكَ بِلَعْنَة اللَّهِ.

“Aku melaknat engkau dengan laknat Allah!”

Sebanyak tiga kali, sambil menghulurkan tangan seolah-olah ingin menangkap sesuatu.
Apabila baginda selesai solat, kami bertanya:
“Wahai Rasulullah! Kami mendengar kamu berkata dalam solat
sesuatu yang tidak pernah kami dengar kamu memperkatakannya
(ketika sedang solat) dan kami melihat kamu menghulurkan tangan.”

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:

إِنَّ عَدُوَّ اللَّهِ إِبْلِيسَ جَاءَ بِشِهَابٍ مِنْ نَارٍ لِيَجْعَلَهُ فِي وَجْهِي

فَقُلْتُ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ.

ثُمَّ قُلْتُ: أَلْعَنُكَ بِلَعْنَةِ اللَّهِ التَّامَّةِ فَلَمْ يَسْتَأْخِرْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَرَدْتُ أَخْذَهُ

وَاللَّهِ لَوْلاَ دَعْوَةُ أَخِينَا سُلَيْمَانَ لأَصْبَحَ مُوثَقًا يَلْعَبُ بِهِ وِلْدَانُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ.



Sesungguhnya musuh Allah, yakni iblis, datang dengan membawa api
untuk dilemparkan ke muka aku.
Maka aku mengucap: “Aku berlindung kepada Allah dari engkau!” tiga kali.
Kemudian aku mengucap: “Aku melaknat engkau dengan laknat Allah!”
akan tetapi dia tidak mengundur diri. Kemudian aku bermaksud untuk menangkapnya.
Demi Allah! Jika bukanlah kerana doa saudara kami Sulaiman
nescaya ia akan terikat sehingga pagi
dan dijadikan mainan anak-anak warga Madinah.[41]

Berdasarkan hadis di atas, syaitan adalah satu makhluk yang boleh ditangkap, dikurung dan diikat. Hanya dari sudut syari‘at tindakan menangkap, mengurung dan mengikat makhluk jin dan syaitan tidak dibenarkan disebabkan oleh doa Nabi Sulaiman ‘alahi salam yang telah dikemukakan sebelum ini:


(Sulaiman berdoa): 
“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku
dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan
yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku;
sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya.”

[Shad 38:35]

Berdasarkan doa ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menangkap iblis sekali pun baginda mampu melakukannya. Ini kerana tindakan tersebut hanya dibolehkan kepada Nabi Sulaiman dan dilarang kepada selainnya, termasuk Rasulullah dan umat baginda.


Bagi Rasulullah dan umat baginda, Allah yang akan mengikat iblis sekali setahun, iaitu sepanjang bulan Ramadhan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ.


Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka,
pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan diikat.[42]

Berdasarkan hadis di atas juga dapat kita bezakan bahawa orang-orang yang memelihara atau menggunakan khidmat jin dan syaitan, mereka sebenarnya tidak mengikuti ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Jin dan syaitan sengaja membiarkan diri mereka diikat dan dijadikan khadam oleh tuannya agar dengan itu mereka dapat menjerumuskan tuan mereka ke dalam kesesatan.[43]

Ciri # 20: Syaitan memiliki waktu kegemaran.

Orang tua kita lazim berpesan, jangan bermain di luar ketika waktu senja. Pesanan ini berasal dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا اسْتَجْنَحَ اللَّيْلُ (أَوْ قَالَ جُنْحُ اللَّيْلِ) فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ

تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ الْعِشَاءِ فَخَلُّوهُمْ.

Apabila malam menjelang tiba maka tahanlah anak-anak kalian (dari keluar)
kerana sesungguhnya pada waktu itu syaitan-syaitan berkeliaran.
Apabila telah berlalu waktu Isya’, maka lepaskanlah mereka.[44]


Ciri # 21: Syaitan memiliki tempat kegemaran.

Syaitan juga memiliki tempat kegemarannya, atau apa yang dapat disebut sebagai tempat melepaknya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَكُونَنَّ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَوَّلَ مَنْ يَدْخُلُ السُّوقَ وَلاَ آخِرَ مَنْ يَخْرُجُ مِنْهَا

فَإِنَّهَا مَعْرَكَةُ الشَّيْطَانِ وَبِهَا يَنْصِبُ رَايَتَهُ.

Selagi mampu, janganlah menjadi orang yang pertama memasuki pasar
dan janganlah menjadi orang terakhir keluar dari pasar
kerana sesungguhnya pasar adalah medan tempur syaitan
dan di situlah benderanya dicacak.[45]


Pada zaman kini pasar bukan sahaja merujuk kepada tempat menjual ikan dan sayur tetapi meluas kepada pasaraya, pusat membeli belah dan bursa saham.

[1] Penyusunan bab ini adalah berdasarkan manhaj Imam al-Bukhari rahimahullah (256H) yang telah meletakkan satu bab khusus dalam kitab Shahihnya, iaitu Sifat iblis dan para tenteranya. Dalam bab tersebut beliau telah meletakkan hadis-hadis yang menerangkan sifat-sifat atau ciri-ciri iblis, syaitan dan para tentera mereka. Lalu saya mengikuti manhaj tersebut dan menghimpun ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih dari kitab Shahih al-Bukhari dan selainnya berkenaan ciri-ciri syaitan ke dalam bab ini.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 828-2 (Kitab solat al-Musafirin…, Bab waktu-waktu yang dilarang solat padanya).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3289 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2995 (Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, Bab bersin dan kebencian menguap).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6223 (Kitab al-Adab, Bab disukai bersin dan dibenci menguap).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 686.

[7] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud,hadis no: 5029 (Kitab al-Adab, bab berkenaan bersin). Syaikh Ismail bin Marsyud al-Rumaih memiliki buku kecil yang khas lagi menarik dalam bab ini, berjudul Adab al-Tatstsaub wa al-‘Uthas yang sudah diterjemah oleh Ismail Ali atas judul Adab Menguap dan Bersin yang diterbitkan oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2004.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2020 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2021 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3286 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2034 (Kitab al-Asyrabah, Bab disukai menjilat jari…).

[12] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi, hadis no: 2174 (Kitab al-Asyrabah, Bab orang yang dibenci minum berdiri).

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2027 (Kitab al-Asyrabah, Bab minum air zam-zam sambil berdiri).

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3270 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[15] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 6189 (Kitab al-Tarikh, Bab permulaan penciptaan, berkenaan khabar iblis yang meletakkan mahkota ke atas kepala tenteranya yang paling berjaya membuat fitnah).

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2012 (Kitab al-Asyrabah, Bab perintah menutupi bekas…).

[19] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3295 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 389-2 (Kitab al-Solat, Bab keutamaan azan…).

[21] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7171 (Kitab al-Ahkam, Bab persaksian hakim…).

[22] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2175 (Kitab al-Salam, Bab apabila dilihat mengiringi seorang wanita, disukai menjelaskan bahawa …).

[23] Dalam hadis ini terdapat beberapa petunjuk tambahan yang penting, iaitu:

1. Orang yang sedang beriktikaf di masjid boleh menerima lawatan dari kaum keluarganya dan berbincang sesuatu urusan keluarga.

2. Merupakan etika yang baik lagi bertepatan dengan sunnah yang mulia apabila isteri hendak keluar rumah (dengan izin suami), suami mengiringinya ke pintu rumah atau pagar luar rumah. Demikian juga apabila suami hendak keluar rumah, isteri mengiringinya ke pintu rumah atau pagar luar rumah.

3. 1400 tahun yang lalu, manusia mengetahui bahawa dalam badan mereka terdapat darah. Akan tetapi manusia tidak tahu bahawa darah tersebut bergerak dan mengalir dalam badannya. Hadis di atas merupakan salah satu pembuktian bahawa sabda Rasulullah berasal dari Allah dan bukan dari dirinya sendiri.

4. Apabila seseorang itu melakukan perkara yang aneh atau berlainan dari kebiasaan, hendaklah dia serta merta menjelaskan perbuatannya itu kepada orang-orang di sekelilingnya bagi mengelak syaitan mempengaruhi orang-orang tersebut dengan sesuatu sangkaan yang buruk. Ini dilakukan sekali pun orang-orang di sekeliling tidak berkata apa-apa ketika menyaksikan keanehan atau kelainan tersebut.

5. Demikian juga apabila berlaku salah faham dalam perbincangan atau komunikasi, hendaklah diluruskan salah faham tersebut serta merta sebelum syaitan sempat menghasut permusuhan antara satu sama lain. Pada masa kini terdapat banyak alat canggih untuk berkomunikasi dengan segera, seperti SMS (sistem pesanan ringkas) dan emel.

[24] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3276 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[25] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2988(Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah al-Baqarah).

[26] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1403 (Kitab al-Nikah, Bab orang yang melihat wanita…).

[27] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2203 (Kitab al-Salam, Bab meminta perlindungan dari syaitan…).

[28] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011.

[29] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2815 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).

[30] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[31] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 3011.

[32] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2165 (Kitab al-Salam, Bab larangan mendahului Ahl al-Kitab…).

[33] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 90 (Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi nasihat dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai). Syaikh Khumais al-Sa‘id Muhammad Abdullah memiliki buku yang baik berkenaan marah, berjudul Mawaqif Ghadhiba fihan al-Nabi yang sudah diterjemahkan oleh Beni Sarbeni atas judul Pelajaran Penting Dari Marahnya Nabi, diterbitkan oleh Pustaka Ibnu Katsir, Bogor, 2005.

[34] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 509 (Kitab al-Solat, Bab orang yang solat menghalang orang yang melintas…).

Terjemahan harfiyah bahagian akhir hadis di atas ialah “…Jika dia enggan (dan tetap berkeras untuk melintas) maka bunuhlah dia kerana…”. al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menukil perkataan Imam al-Qurtubi bahawa yang dimaksudkan dengan “bunuhlah dia” ialah menahan orang tersebut dengan lebih tegas. al-Qurtubi melanjutkan: “Para ulama’ sepakat bahawa orang yang solat tidak wajib memerangi orang yang melintas di hadapannya dengan menggunakan senjata kerana perbuatan itu menyalahi kaedah untuk melaksanakan solat dengan khusyuk.” [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (edisi terjemahan oleh Amiruddin dengan judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2003), jld. 3, ms. 291 (syarah kepada hadis no: 509)].

Lebih lanjut berkenaan hukum meletak penghadang bagi orang yang sedang solat, rujuk buku saya Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan (Jahabersa, Johor Bahru), ms. 129.

[35] Fath al-Bari, jld. 3, ms. 293 (syarah kepada hadis no: 509).

[36] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5247(Kitab al-Adab, Bab berkenaan memadamkan api pada malam hari).

[37] Lebih lanjut tentang sihir, sila kaji buku-buku berikut:

1. ‘Abd al-Salam al-Syukri – al-Shir bain al-Haqiqah wa al-Wahm fi al-Tashawwur al-Islami (edisi terjemahan oleh Tirmidzi & Sari Narulita atas judul Bedah Tuntas Sihir; Pustaka Qalami, Jakarta, 2004).

2. Muhammad ‘Umar Sulaiman al-Asyqar – ‘Alam al-Sihr wa al-Sya’wadzah (edisi terjemahan oleh Munirul Abidin atas judul Candu Mistik: Menyingkap Sihir dan Perdukunan; Darul Falah, Jakarta, 2005).

3. Ibrahim ‘Abd al-Alim – ar-Radd al-Mubin ‘ala Bida‘i al-Mu‘alijin (edisi terjemahan oleh Masturi Irham & Abdurrahman Salih atas judul Rujukan Lengkap Masalah Jin dan Sihir; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005).

4. Abu Ameenah Bilal Philips – The Exorcist Tradition In Islam (Dar al-Fatah, Sharjah, 1997).

5. Abu Ubaidah Mahir bin Saleh Ali Mubarak (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad atas judul Ruqyah Syar‘iyyah: Gangguan Jin, Hasad dan ‘Ain; Duta Ilmu, Surabaya, 2006).

6. Abu Mundzir Khalil bin Ibrahim Amin – al-Thuruq al-Hisan fi ‘Illaj Amradh al-Jan (edisi terjemahan oleh Mahfudz; Pustaka Progressif, Jakarta, 2005).

7. Syaikh Askari bin Jamal al-Bugisi – Meluruskan Pemahaman Tentang Hadits Sihir, Studi Kritis Buku: Benarkah Nabi Muhammad s.a.w. Pernah Tersihir Karya Ali Umar al-Habsyi; Pustaka Qaulan Sadida, Malang, 2006.

[38] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3292 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[39] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6997 (Kitab al-Ta’bir, Bab siapa yang melihat Nabi dalam mimpi).

[40] Berkenaan para wali dan sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah kepadanya, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Berkenaan amalan mengambil berkat, rujuk risalah saya Perkara Ke-13 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid: Menetapkan Keberkatan Terhadap Sesuatu Tanpa Dalil yang dimuatkan dalam bukuHimpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6). Berkenaan amalan berdoa dengan perantaraan seorang hamba shalih, rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid. Berkenaan ilmu tasawuf dan para syaikhnya, rujuk risalah saya Pandangan Ibn Taimiyyah Dalam Tasawuf yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6). Kesemuanya diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru.

[41] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 542 (Kitab al-Masajid…, Bab boleh melaknat syaitan ketika sedang solat…).

[42] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3277 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[43] Lebih lanjut berkenaan menggunakan khidmat jin, termasuk “jin muslim”, sila rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[44] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3280 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).

[45] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2451 (Kitab Fadhail al-Shahabah, Bab keutamaan Umm Salamah).

31 Mei 2016

‘Kena Sihir’ Sebagai Satu Pembelaan Dalam Kes Perceraian


Author: Darussyifa Bandar Baru Salak Tinggi

Pengenalan

Ilmu dan amalan sihir merupakan antara ilmu dan amalan yang tertua di dunia. Ilmu ini melibatkan penggunaan khidmat jin dan syaitan dan diamalkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu. Ia sering digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga, memisahkan antara suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, menyebabkan penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh. Maka tidak hairanlah jika timbul dakwaan wujudnya penggunaan ilmu sihir dalam perceraian antara suami dan isteri. Allah SWT telah menyatakan kemungkinan terjadinya hal ini melalui firmanNya yang bermaksud: “Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya…” (Al-Quran 2: 102).

Di Malaysia, isu penggunaan ilmu sihir bagi mencerai beraikan pasangan suami isteri ada dibangkitkan dalam beberapa kes dalam mahkamah Syariah. Antaranya ialah kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman [1410] JH 41, kes Re Wan Norsuriya [1418] JH 211 dan kes Muhammad Kamran Babar Nazir Khan dan Yani Yuhana Mohd Zambri. Malangnya, isu tersebut tidak mendapat perhatian disebabkan ketiadaan garis panduan dan peruntukan undang-undang berkaitan sihir.




Penggunaan Sihir Dalam Perceraian

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 102, para ulama sependapat bahawa ilmu sihir digunakan untuk memecah belahkan hubungan suami dan isteri. Perceraian dengan menggunakan ilmu sihir ini biasanya berlaku dalam keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan.

Melalui pengalaman yang penulis pernah hadapi, ada suami yang mengadu bahawa lidahnya seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isterinya. Ada pula yang mendakwa tidak sedar dan tidak ingat bila dan di mana dia melafazkan cerai. Terdapat juga suami atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaan hingga timbul rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya tanpa kerelaan hati. Penulis pernah berdepan dengan kes isteri yang beriya-iya mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa sebarang sebab. Tidak kurang juga ada isteri memohon cerai fasakh atas alasan suami mengalami lemah syahwat ketika hendak menyetubuhinya sedangkan dengan isterinya yang lain tidak begitu.

Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman, perayu mendakwa telah melafazkan talaq dalam keadaan beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Menurut perayu, gangguan sihir bermula setelah beliau berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang. Semenjak itu, fikirannya menjadi tidak tenteram, berasa benci dan marah pada isterinya tanpa sebab. Pernah beliau memukul isterinya sedangkan dia sendiri tidak menyedari apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak sedar juga beliau telah membuat permohonan untuk menceraikan isterinya. Perayu menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut. Beliau mendapatkan rawatan dari seorang perawat tradisional dan menurut perawat tersebut, beliau telah kena sihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Penyihirnya itu berasa dengki lalu menyihirnya agar rumahtangganya bercerai berai. Setelah mendapatkan rawatan dan keluar dari kantin tersebut, beliau telah pulih dan boleh berfikir secara normal. Perayu merayu agar mahkamah menyemak semula perceraian talaq tiga yang telah direkodkan oleh mahkamah sebelumnya. Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kes ini belum didengar sewajarnya dan memerintah ianya dibicarakan semula ekoran kegagalan Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan pendapat pakar (racyu al-khabīr) berkenaan isu tersebut. YAA Hakim menyarankan agar perawat yang merawat perayu dipanggil untuk diminta pendapatnya sebagai pakar.

Kes di atas adalah salah satu kes melibatkan sihir yang di bawa ke mahkamah. Realitinya, terdapat beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) lagi kes yang hampir sama dialami oleh mangsamangsa sihir di luar mahkamah. Melalui temubual yang dijalankan terhadap beberapa orang hakim mahkamah Syariah di Kuantan dan Kuala Terengganu, mereka percaya bahawa penggunaan sihir dalam kes-kes perceraian memang wujud. Malah hakim-hakim tersebut pernah berdepan dengan kes sedemikian. Oleh kerana ketiadaan satu garis panduan dan peruntukan dalam enakmen berkaitan isu ini, maka para hakim mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal. Selain itu, para hakim juga melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang dan sikap pengadu dalam membuat penghakiman. Justeru, gesaan YAA Hakim dalam kes Mustafa Batcha perlu dilihat sebagai satu isyarat betapa perlunya diwujudkan tatacara khusus bagi membicarakan kes-kes sedemikian demi menyelamatkan rumah tangga dari angkara sihir.

Hukum Syara’ Berhubung Kes Perceraian Dalam Keadaan Akal Tidak Sempurna

Isu perceraian khususnya perceraian melalui talaq merupakan satu isu yang sangat sensitif dan perlu ditangani secara berhati-hati dan teliti. Ianya salah satu perkara yang boleh terjadi sama ada dengan niat sengaja atau niat main-main. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi yang bermaksud: ”Tiga perkara yang dibuat sungguh-sungguh jadi sungguhsungguh, dan dibuat main-main jadi sungguh-sungguh, iaitu nikah, talaq dan rujuk.”

Justeru, para ulama sangat berhati-hati dalam membicarakan persoalan hukum cerai talaq ini. Syeikh Abi Bakr Usman menyatakan terdapat beberapa syarat yang perlu ada bagi menjadikan suatu lafaz talaq itu sah iaitu suami, isteri, sighah, qasad talaq dan kekuasaan suami. Kekuasaan yang dimaksudkan di sini ialah kemahuan hati yang disertai dengan kewarasan akal yang sempurna. Oleh itu, talaq yang dilafazkan oleh seorang suami dalam keadaan akalnya yang tidak sempurna atau dalam keadaan kemahuannya yang dikuasai oleh seseorang atau oleh sesuatu adalah tidak sah. Ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (1995), Abu Daud (1952) dan Ibn Majah (1972) yang bermaksud: ”Tidak gugur talak dan tidak sah memerdekakan hamba ketika dalam keadaan ighlaq (marah yang bersangatan).”

Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri menyatakan dalam kitabnya Al-Fiqh cala al-Mazāhib al-Arbacah, juzu 4 halaman 142 yang bermaksud: ”Maka disyaratkan pada orang yang mentalak
itu beberapa perkara; antaranya ialah berakal sempurna. Maka tidak sah talaq orang gila (majnun) walaupun gilanya itu terputus-putus yang datang sekejap kemudian hilang. Apabila dia menjatuhkan talaq sewaktu dalam keadaan gilanya, maka talaq tersebut tidak diambil kira. Yang dikatakan gila (junun) ialah sesiapa yang hilang akalnya disebabkan oleh sakit, demam, sakit kepala yang bersangatan.” Pendapat yang sama turut diutarakan oleh Imam As-Shāficī, Imam Al-Mawardi dan Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Tegasnya, para ulama sepakat mengatakan bahawa talaq yang dilafazkan oleh seorang yang tidak berakal sempurna atau dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya adalah tidak sah. Jika didasarkan dengan pengalaman penulis dan juga apa yang dicatat oleh kebanyakan mereka yang terlibat dalam merawat mangsa sihir, keadaan tidak sempurna akal dan hilang kawalan sering dialami oleh mereka yang disihir, bahkan lebih dari itu. Ia juga memberi kesan kepada emosi, fizikal, kerjaya, hubungan dengan orang di sekeliling hinggalah pada kediaman atau premis mangsa. Selalunya, mangsa akan mudah rasa tertekan, berserabut, benci, marah, meluat atau sedih yang bersangatan dan tidak dapat dikawal. Adakalanya mangsa mendengar bisikan-bisikan agar menceraikan isteri atau diperlihatkan gambaran-gambaran pasangannya melakukan perbuatan curang sehingga menimbulkan kemarahan yang melampau. Rasulullah SAW pernah disihir sehingga Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda SAW tidak melakukan demikian. Peristiwa ini dicatat dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ini menunjukkan kemampuan penyihir mempengaruhi pemikiran dan kehendak mangsa terutama dalam perkara berkaitan rumahtangga. Sebagai contoh, sihir pemisah atau sihir pembenci digunakan bagi memisahkan pasangan suami isteri atas sebab-sebab tertentu yang selalunya dikaitkan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya. Hasilnya, timbul rasa benci antara suami isteri, selalu berlaku perselisihan faham, timbul prasangka dan was-was terhadap pasangan, rasa marah yang tidak tahu puncanya, gelisah bila bersama, rasa ingin bercerai dan ada yang melihat rupa pasangan menjadi sangat buruk dan hodoh. Ada juga penyihir yang menggunakan bahan-bahan dari haiwan yang suka bercakar seperti tulang kucing dan anjing yang dipuja, lalu di tanam di bawah rumah atau diletakkan atas bumbung rumah mangsa. Natijahnya, kehidupan mangsa dan pasangannya yang aman bertukar menjadi huru hara dan selalu bertengkar ibarat kucing dan anjing.

Dalam kitab Fatāwa wa ishtishārāt al-Islām al-Yaum, juz 11, hal. 358, ditegaskan: Dan adapun orang yang disihir yang mana sihir tersebut menyebabkan hilang kewarasan dan kesedaran akalnya, sehingga menyebabkan dia mengucapkan apa yang dia tidak mahukan, maka sesungguhnya talaq yang diucapkan ketika itu tidak berlaku berdasarkan hadis Nabi SAW: “Tidak jatuh talaq yang dilafazkan dalam keadaan ighlaq”.

Pendapat ini selari dengan pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab Mukhtasar Al-
Fatawa Al-Misriyyah halaman 544 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang disihir sehingga ke tahap dia tidak menyedari apa yang diucapkan maka talaq tersebut tidak berlaku. Manakala sekiranya sihir yang dikenakan itu tidak menyebabkan perubahan pada kewarasan akal dan kesedarannya, seperti sihir untuk menghalangnya dari melakukan persetubuhan sahaja, maka talaq itu sah.”

Bekas Presiden Universiti Islam Madinah, Syeikh Abdul Muhsin Ibn Hamd Al-cIbād pernah ditanya berkenaan hukuman bagi seseorang yang melakukan kesalahan dalam keadaan dia dirasuk atau disihir. Beliau menjawab dengan maksud: ”Sekiranya dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan akal yang tidak waras, maka dia tidak dikenakan hukuman. Manakala sekiranya dia melakukan kesalahan tersebut sedangkan akalnya waras, maka dia dikenakan hukuman walaupun dia mengalami kesakitan, kemurungan dan ketidakselesaan. Perkara yang hanya memberikan pelepasan baginya hanya akal yang tidak waras.”

Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa sekiranya mana-mana suami menjatuhkan talaq dalam keadaan hilang pertimbangan akal akibat disihir, maka hukum talaq tersebut tidak sah. Seseorang yang melakukan perbuatan dalam keadaan tiada akal (ghair cāqil) tidak akan menanggung sebarang akibat perbuatan beliau berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud: ”Diangkat pena dari tiga golongan: Dari orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dari kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan dari orang gila hinggalah dia berakal atau sedar dari gilanya.”

Dalam pada itu, ada juga kes tuntutan cerai fasakh yang difailkan atas sebab kecederaan dan
kecacatan fizikal yang dialami oleh mana-mana pasangan seperti penyakit kusta, sopak atau kudis yang sukar diubati, ratqa (tertutup kemaluan wanita dengan daging), qarna (tertutup kemaluan wanita dengan tulang), cunnah (mati pucuk bagi lelaki). Sebenarnya, sesetengah kes mati pucuk, hilang tenaga kelakian dan lemah syahwat yang dialami oleh lelaki boleh juga disebabkan oleh angkara sihir. Jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir batang keladi dan sihir jerutan. Menurut Walter Farber, sihir jenis ini telah pun diamalkan sejak tamadun Mesopotamia lagi dan ianya berterusan sehingga ke hari ini.

Penggunaan sihir sebegini juga banyak dilaporkan berlaku di Eropah sekitar kurun ke-15. Sihir santau yang dihasilkan dari benda-benda gatal dan berbisa seperti miang buluh, rebung, ulat bulu pula boleh menyebabkan tubuh mangsa berkudis dengan bau yang busuk, badan terasa sakit seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam dan terasa bisa-bisa pada badan. Sekiranya mana-mana pasangan mengadu bahawa punca kecacatan atau kecederaan fizikal yang dialami itu dipercayai adalah angkara sihir melalui tanda-tanda yang lazim, maka pihak mahkamah perlu memberi peluang kepada pihak yang teraniaya untuk membela diri.

Beban Pembuktian ’Kena Sihir’ Sebagai Pembelaan

Pengalaman menyaksikan kes-kes pasangan suami isteri yang bercerai angkara perbuatan sihir menyedarkan penulis agar satu pembaharuan dalam perundangan perlu dilakukan bagi membela nasib mereka yang teraniaya terutama isteri dan anak-anak. Pihak yang teraniaya ini seharusnya diberikan peluang untuk membela dan mempertahankan rumahtangga mereka atas alasan pasangannya ’kena sihir’. Setiap kali cadangan seumpama ini dikemukakan kepada pihak yang mempunyai autoriti, penulis akan diajukan soalan iaitu bagaimana perkara ini hendak dibuktikan dalam mahkamah.

Untuk merealisasikan bentuk pembelaan ini, beban pembuktian oleh pihak yang mendakwa akan diperincikan. Bagi kes cerai talaq, sekiranya:
a) seorang suami mendakwa talaq dilafazkan dalam keadaan dirinya dipengaruhi sihir; atau,
b) seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talaq dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir;
maka pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
i). wujud tanda-tanda dan ’simptom-simptom lazim terkena sihir’ pada diri suami;
ii). suami mengalami ketidak warasan/ ketidak sempurnaan akal akibat terkena sihir semasa
beliau melafazkan talaq.
iii).ketidak warasan pemikiran akibat terkena sihir itu menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan apa yang dilakukannya itu benar atau salah.

Oleh itu, sekiranya seorang suami mendakwa bahawa dia telah menceraikan isterinya dalam keadaan akalnya tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas beliau untuk menunjukkan bahawa wujudnya ’simptom lazim terkena sihir’ ke atas diri beliau dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan beliau hilang kewarasan akal. Manakala jika seorang isteri mendakwa suaminya telah menceraikannya dalam keadaan akal suami tersebut tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas isterinya untuk membuktikan bahawa wujudnya simptom lazim terkena sihir pada diri suaminya dan sihir
tersebut benar-benar menyebabkan suaminya hilang kewarasan akal.

Bagi kes tuntutan cerai fasakh atas alasan yang hanya melibatkan unsur fizikal tanpa mempengaruhi mental mangsa (seperti penyakit kusta, sopak atau kudis, ratqa, qarna dan cunnah), maka pasangan yang percaya bahawa alasan tersebut berpunca dari ‘kena sihir’, maka beliau perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
a) wujudnya kecederaan atau kecacatan pada fizikalnya;
b) wujudnya simptom-simptom lazim terkena sihir yang mempunyai kaitan dengan kecederaan atau kecacatan itu;
c) kecederaan atau kecacatan fizikal itu menjadi alasan tuntutan fasakh oleh pasangannya.

Sekiranya berjaya dibuktikan, mahkamah seharusnya mengeluarkan perintah agar mangsa atau pasangannya mendapatkan rawatan pemulihan dari pengaruh sihir tersebut dalam tempoh tertentu sebelum kes tersebut dibicarakan semula.

Keperluan Meminta Pendapat Pakar Bagi mengenalpasti ’simptom lazim terkena sihir’

Mangsa-mangsa sihir biasanya akan mengalami simptom-simptom tertentu yang boleh dinamakan sebagai ’simptom lazim terkena sihir’. Bagi menilai sama ada simptom-simptom yang didakwa akibat terkena sihir itu benar-benar tergolong dalam simptom lazim terkena sihir, maka pendapat pakar yang memahami selok belok ilmu dan amalan sihir perlu diminta. Perkara ini telah pun dibincangkan oleh para ulama. Menurut Al-Khatib As Syarbini, seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli sihir, tetapi telah bertaubat dari mengamalkan ilmu tersebut boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Oleh itu, mana-mana individu yang mempunyai pengalaman yang luas dan diiktiraf masyarakat sebagai pakar perubatan Islam boleh dipanggil bagi memberi pendapat sebagai pakar. Terpulang kepada hakim untuk menerima atau menolak keterangan tersebut. Keperluan kepada pendapat pakar dalam isu sihir telah diisyaratkan oleh Y.A.A. Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd Rahman: ”Hakim yang Arif tidak langsung mencatatkan di dalam rekod perbicaraannya fakta kes tersebut dan juga beliau telah tidak memanggil dukun yang mengubati Perayu untuk mendapatkan keterangan untuk mempastikan sama ada Perayu benar-benar sakit kena buatan orang (sihir) yang menyebabkan perceraian.”

Oleh itu, sekiranya mana-mana pasangan dalam kes perceraian mendakwa wujudnya penggunaan sihir bagi mencerai beraikan rumah tangganya, maka pihak mahkamah boleh meminta pendapat pakar (yang dilantik oleh mahkamah atau oleh pihak yang mendakwa) bagi mengenal pasti dan menentukan perkara-perkara berikut:
a) Adakah benar simptom-simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari perbuatan sihir, ataupun hanyalah simptom akibat gangguan makhluk halus yang berpunca dari saka yang diwarisi, amalan kebatinan khurafat, rawatan tradisional yang menyeleweng atau selainnya;
b) Sejauh mana sihir yang dikenakan itu memberi kesan terhadap mental dan fizikal mangsa;
c) Adakah wujud sebarang kolerasi dan pertalian antara simptom yang dialami, bahan sihir (jika ada) dan kesannya kepada mangsa;
d) Adakah wujud qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan yang dikemukakan;
e) dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah negeri negeri di Malaysia yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil seseorang yang pakar dalam suatu sains atau seni untuk memberikan pendapat mereka di mahkamah.

Sekiranya hakim (setelah meneliti dan mendengar pendapat pakar tentang hal tersebut) mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang yang mendakwa itu benar-benar mengalami simptom-simptom disihir, maka beliau boleh mengeluarkan perintah agar orang tersebut dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai dan diberikan tempoh tertentu untuk menjalani rawatan. Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan mangsa benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan beliau sempurna akal. Kebiasaannya, apabila mangsa bebas dari ikatan sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang telah diambilnya dengan lebih rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh mendengar semula tuntutan yang difailkan sama ada oleh mangsa atau pasangannya. Kaedah ini lebih adil kerana semua pihak dalam tuntutan atau permohonan tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, isu penggunaan sihir dalam rumahtangga memang berlaku dan pernah dibangkitkan dalam beberapa kes di Mahkamah Syariah. Para ulama Islam juga sepakat mengatakan bahawa perceraian yang didalangi ilmu sihir tidak sah di sisi syara. Justeru, isu ini perlu diteliti dan diperincikan agar menjadi panduan untuk para hakim dalam menghakimi keskes perceraian yang melibatkan sihir. Dibimbangi sekiranya hakim tidak memahami selok belok isu ini akan tersalah hukum. Secara tidak langsung, misi iblis dan syaitan untuk mencerai beraikan anak Adam dapat direalisasikan melalui institusi kehakiman Islam. Penelitian terhadap isu ini bukan sahaja dapat memberikan keadilan kepada pasangan suami dan isteri, malah dapat mengembalikan kerukunan dan keharmonian rumahtangga mereka. Langkah-langkah yang dicadangkan dlam kertas kerja ini merupakan salah satu langkah bagi membela nasib pasangan yang teraniaya akibat diceraikan angkara penggunaan sihir.

Sumber:
Dr. Mahyuddin bin Ismail, Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Pahang.
Tajuk kajian: ‘Kena Sihir’ Sebagai Satu Pembelaan Dalam Kes Perceraian: Analisa Dari Sudut Hukum Syara’ Dan Pengaplikasiannya Di Mahkamah Syariah Di Malaysia,

Mengenalpasti Bentuk Sihir dan Tanda-Tanda Sihir

Author: Darussyifa Bandar Baru Salak Tinggi

Muqaddimah


Hubungan manusia dan sihir merupakan hubungan yang cukup lama, ia terbentuk sewaktu awal kejadian manusia diatas muka bumi ini sehinggalah hari ini. Berpunca dari perasaan dengki, cemburu, cinta dan kasih dan sebagainya mewujudkan ilmu sihir ini. Untuk membicarakan pengertian sihir secara terperinci adalah terlalu sukar, ini memandangkan sihir terlalu seni untuk dibicarakan.
a) Berkata Ibnu Manzur : "Tukang sihir menampakkan sesuatu yang bathil itu benar dan mengubah sesuatu daripada hakikatnya.Sesungguhnya tukang sihir telah mengubah sesuatu daripada bentuknya yang asal"
b) Ibnu Qayyim: "Sihir ialah berpunca daripada kesan campurtangan ruh-ruh yang jahat (jin&syaitan)."
c) Abu Laits berkata : "Sihir adalah suatu perbuatan yang di lakukan dalam rangka mendekatkan diri pada syaitan dengan bantuan syaitan tersebut."





Taarif Sihir

Al-Qurtubi dalam menakrifkan sihir menyebut bahawa sebahagian dari jenis sihir memiliki pengaruh terhadap hati seseorang seperti: perasaan cinta, benci, mendapatkan kebaikan dan musibah, disamping itu mampu terkesan kepada sakit badan atau sebuah ungkapan tentang perkara yang tidak nampak pada pandangan kasar manusia tetapi mampu dimiliki bagi mereka yang berusaha untuk menyakiti orang lain seperti menganggu kesihatan, harta kekayaan atau hubungan antara manusia dengan menggunakan mentera dan alat alat khusus.

Dalil Al Quran

Kedapatan hujjah yang kukuh terhadap sihir ini antaranya dalam surah Al Baqarah ayat 102 (terjemahan). (Tafsir Al-Qurtubi 2/55)

"Dan mereka mengikuti apa2 yang dibaca oleh syaitan-syaitan3 pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (Tidak mengerjakan sihir), Hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat4 di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami Hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya5. dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah. dan mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, Sesungguhnya mereka Telah meyakini bahwa barangsiapa yang menukarnya (Kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka Mengetahui."

Dalil Hadis

Rasulullah s.a.w menerangkan permasalahan sihir ini di beberapa keadaan antaranya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Bajalah bin 'Abdah meriwayatkan bahwa Umar bin Al-Khaththab -Radhiallahu 'anhu telah menetapkan perintah, yaitu: "Bunuhlah tukang sihir laki-laki maupun perempuan." Kata Bajalah selanjutnya: "Maka kami pun melaksanakan hukuman mati terhadap tiga tukang sihir perempuan."

Dalil Sirah

Pada tahun ke 7 hijriah selepas balik dari Hudaibiyah, seorang penyihir Yahudi yang terkenal telah menyihir Rasulullah s.a.w sehingga Rasulullah merasakan seolah-olah telah bersama dengan isterinya selama enam bulan sedangkan ia tidak bersama. Sehinggalah Rasulullah didatangi oleh malaikat jibril dan mikail berada di kepala Rasulullah dan di hujung kaki Rasulullah lalu di beritahu yang Rasulullah s.a.w telah disihir dan sihir tersebut di letak di dalam telaga Zarwan sehinggalah Rasulullah mengambil bahan tersebut dan ditanam bahan tersebut.

Sifat yang ada kepada Penyihir

1- Mempersembahkan hidup dan matinya untuk syaitan serta semua milik harta dan keturunan untuk syaitan.
2- Harus bersedia untuk mendurhaka kepada Allah.
3- Harus menjadi keras hatinya dari perasan kasihan kepada mangsa.
4. Tidak takut dan gentar ketika datangnya jin atau iblis walaupun dalam keadaan yang menakutkan.
5. Tidak ada perasaan penyesalan apabila ia melakukan khianat dan tidak dibantu oleh iblis dalam kerja terkutuknya dan seharusnya ia sentiasa merintih kepada iblis dalam setiap kerjanya.
6. Harus ada keyakinan dengan mantap kepada kekuatan syaitan dan harus baginya memusuhi agama Islam.
7. Seboleh mungkin memencilkan diri dari orang ramai kecuali apabila menjadi satu tuntutan dalam ilmu sihirnya dengan tujuan untuk mendatangkan mudharat kepada manusia.

Bagaimana cara penyihir menimbulkan kesan kepada badan

Terjadinya hubungan bahan bahan ini dengan orang yang di sihir dengan cara :
1- Melalui makanan atau minuman. Orang yang akan disihir harus memakan atau meminumnya agar pengaruh sihir masuk kedalam badan
2- Melalui perantaraan tanah yang ditabur di jalan yang akan di lalui oleh orang yang akan di sihir. Jika orang tersebut melangkahinya maka terkena sihir ini.
3- Melalui rambut, kuku, baju yang ada peluh orang yang akan disihir, ini termasuk bahan yang boleh di tampal di tanam , ditusuk di balikkan patung, ditanam atau di masukkan kedalam sungai atau laut. Jin hamba kepada tukang sihir mengenali orang yang akan disihir dengan bau peluhnya.
4- Melalui angin yang diseru dan di panggil nama orang yang akan di sihir.

Jenis jenis sihir

1- Sihir pemisah (perceraian)  Berubah keadaan dari cinta menjadi benci, semakin banyak keraguan yang timbul antara suami isteri, saling bertengkar walaupun perkara yang remeh temeh dan sukar memaafkan, berubah bentuk isteri di mata suami dan sebaliknya, orang yang di sihir membenci semua perbuatan yang dilakukan oleh pihak lain, orang yang terkena sihir benci tempat yang di duduki oleh pihak lain, di luar rumah merasa tenang dan apabila pulang kerumah merasa bosan. Bahan yang di gunakan seperti tahi besi yang di tabur di jalan yang di lalui oleh mangsa atau di tanam di mana-mana kawasan rumah

2- Sihir Percintaan (penunduk)  Puncak cinta dan keadaan nafsu yang berlebihan, hasrat yang kuat untuk selalu bersama, tidak ada kesabaran untuk berhubungan badan, kerinduan yang sangat dan selalu ingin bertemu, ketaatan yang buta terhadap pasangan
.
3- Sihir membatal atau menunda perkahwinan  biasanya melalui 2 cara jin merosakkan. 
a) Jin masuk dan menutupkan keinginan perempuan terhadap orang yang mahu meminang atau menikahinya.
b) Jin tidak dapat masuk tetapi menyihirnya dengan memberi khayalan dari luar, ia memberi khayalan kepada pasangan bahawa ia saling buruk. Dengan demikian maka setiap lelaki yang meminangakan mengundur diri tanpa sebab padahal sebelumnya sudah saling setuju.

4- Sihir yang mengikat lelaki dan perempuan 
A) Kepada lelaki 
1) sebelum kahwin alat kelamin berfungsi dengan baik tetapi selepas kahwin maka alat kelamin tidak mampu berfungsi. 
2) alat kelamin berfungsi dengan baik di luar rumah akan tetapi apabila mendatangi isteri alat kelaminnya hilang fungsi. 
3) Alat kelamin berfungsi dengan isteri ketika bergurau senda tetapi apabila bersama hilang fungsi.
B) Kepada perempuan pula : 
1) Ada penghalang di dalam alat kelamin isteri berupa daging yang menutupi lubang vagina isteri. 
2) Ketika ingin mengauli isteri, isteri merapatkan paha agar suami tidak dapat bersama kerana halangan perasaan atau kesakitan. 
3) Adanya pendarahan apabila disetubuhi, tetapi apabila menjauhi isteri maka darah tersebut berhenti.

5- Sihir dimandulkan  tidak dapat zuriat walau pun di sahkan oleh doctor pakar bahawa ia tidak mempunyai masalah.

6- Sihir pukau  
1) Menyebabkan sesorang itu kaku, kelu dan tak mampu bertindak balas samada melalui pandangan, pendengaran atau anggota badan yang lain. Ia sudah berada di bawah penguasaan pemukau tersebut dan bertindak mengikut arahan yang diberi oleh pemukau tersebut. 
2) menyebab mangsa tidur lena tidak mengetahui perkara yang berlaku di sekelilingnya. Bagaimana terjadi pukau? 
1) pandangan mata yang tajam yang mengandungi racun syaitan (member salam dan mengarahkan). 
2) Melalui sentuhan dengan berjabat tangan atau menepuk belakang mangsa. Rasululullah menyebut :
“Pandangan mata itu merupakan panahan dari panahan iblis yang boleh terkena kepada hati mukmin.”

7- Sihir Gila  mangsa menjadi sasau, meracau, bertempik, kebingungan, pelupa, kadang kadang tidak sedar diri, mata mangsa terbeliak dan melilau, ditahap yang kritikal berjalan yang tidak ada arah tuju dan tidur tidak menentu dan mula ingin berada pada tempat yang gelap.

8- Sihir Sakit anggota badan  Tandanya mengalami sakit yang berpanjangan pada salah satu anggota badan, kerap kali di serang sawan, mengalami kelumpuhan pada salah satu anggota tubuh, melumpuhkan semangat dalam melakukan aktiviti seharian.

9- Sihir Pendarahan (Darah istihaadah)  Tandanya darah yang tidak berhenti pendarahan walaupun sudah melalui tahap masa kebiasanya. Menurut ibn Al athir darah isthihadah ialah darah yang keluar dari kemaluan wanita selepas hari hari haid sebagaimana biasa. Jin yang bergerak di dalam saluran darah orang yang disihir tersebut. Biasanya jin akan menendang rahim sekuat hatinya dan darah keluar dari saluran tersebut. Inilah yang berlaku kepada seorang wanita di zaman Rasulullah Hamnah binti Jahsy lalu Rasulullah menyebut :
“Sesungguhnya darah itu hasil sepakan syaitan, syaitanlah yang menendangnya”

10- Sihir Santau  Santau dapatlah di bahagikan kepada dua bahagian. 1) santau menggunakan bahan yang gatal dan miang lalu di jampi serapahnya untuk di tujukan kepada seseorang. 2) Santau yang menggunakan bahan miang, bisa terdiri dari lipan bara, bisa ular, ubur-ubur, ulat mati berangan dan sebagainya. Di gaul dan di peram beberapa bulan dihantar kepada yang ingin dituju tanpa dibaca. Tanda-tandanya ialah gatal, batuk berdarah dan miang seluruh tubuh badan terutama menjelang senja dan batuk berdarah serta kulit membengkak pecah dan berair disertai rasa bisa. Biasanya kalau sekiranya tahap yang kritikal seseorang tersebut akan Nampak kebiruan dan kehitaman pada jari jemarinya.

11- Sihir Penutup  Biasanya di kenakan kepada peniaga. Antara tandanya, bau hanyir di tempat perniagaan, lesu untuk datang bekerja, pertengkaran sesama anggota kerja yang tak berkesudahan walaupun perkara kecil, seringkali orang melihat tempat kerja tertutup sedangkan kedai di buka.


Tanda-tanda Umum di sihir

1) Pening kepala yang berpanjangan terutama pada waktu senja
2) Mimpi yang menakutkan
3) Sakit dada dan resah menjelang senja
4) Sakit di dalam perut bagaikan di pulas urat perut atau terasa bagaikan ada benda yang bergerak di dalam tubuh dan sering terasa bagai di tusuk di perut.
5) Mula nampak alam ghaib
6) Berlaku perkara yang pelik di sekitar umpamanya berbau kemenyan, hanyir, wangi dan sebagainya
7) Berlaku sakit yang tidak di ketahui punca dari doktor
8) Terdengar suara-suara yang memanggil namanya
9) Pening atau pengsan apabila dibaca ayat ruqyah kepadanya.

Penutup

Mudah-mudahan kertas kerja yang ringkas ini akan berjaya membuka sedikit ruang ilmu agar menambahkan lagi amalan kita di sisi Allah agar kita terjauh dari syirik kepada Allah. Wallahua’lam.

Akhukum fiddin

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani

Lahir di Jerantut Pahang, mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Damak Jerantut kemudian melanjut pelajaran terakhir peringkat menengah di Maahad muhammadi (L) pengkalan Chepa kelantan dan peringkat ijazah di Universiti Al Azhar mesir dalam bidang Syariah dan undang-undang syukbah Islamiah pada tahun 1999. Sekarang sebagai pendakwah bebas di samping menjadi penasihat Rumah kebajikan Anak yatim Al munirah Johansetia klang serta pengamal perubatan nabawi di Darul At Tibb an-nabawi Johan setia Klang.