iDAN

31 Mac 2011

Ratusan mayat di zon larangan nuklear Jepun

2011/04/01

HONG KONG: Kira-kira 1,000 mayat mangsa gempa bumi dan tsunami masih tidak dikutip dalam kawasan zon larangan di sekitar loji nuklear kerana kebimbangan terhadap kesan radiasi, kata laporan hari ini.

Memetik sumber polis, Kyodo News berkata, pihak berkuasa berhasrat menghantar mayat keluar daripada zon larangan 20 kilometer di sekitar loji Fukushima tetapi menimbang semula rancangan berkenaan.

Mayat itu sudah "terdedah dengan kesan radiasi tinggi selepas kematian", kata laporan itu memetik sumber.

Polis tempatan memutuskan untuk tidak mengutip mayat-mayat berkenaan kerana kebimbangan terhadap radiasi.

Kira-kira 28,000 orang disahkan terkorban atau disenaraikan sebagai hilang sejak gempa bumi dan tsunami melanda pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun serta melumpuhkan operasi loji nuklear berkenaan dan berlaku kebocoran sehingga menyebabkan kesan radiasi. - AFP

Berikut merupakan kejadian tsunami utama dalam sejarah:

* 2011: Gempa bumi berukuran 8.9 di Utara Jepun dan mengorbankan lebih 28,000 orang.
* 2004: Gempa bumi di Lautan India menyebabkan tsunami melanda banyak negara dan mengorbankan lebih 150,000 orang.
* 1998: Gempa bumi berukuran 7.0 di perairan Papua New Guinea menghasilkan ombak setinggi 10 m, dan membunuh lebih 6,000 orang.
* 1976: Tsunami yang melanda Filipina mengorbankan lebih 5,000 orang.
* 1960: Gempa bumi paling besar dalam sejarah (berukuran 9.5) di selatan perairan Chile menghasilkan tsunami di Lautan Pasifik dan membunuh lebih 3,000 orang di Chile dan Hawaii.
* 1946: Gempa bumi berukuran 7.8 berhampiran Alaska, Amerika Syarikat menghasilkan ombak besar setinggi 35 m, dan membunuh sebanyak 165 orang.
* 1883: Letupan gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda menghasilkan tsunami setinggi 35 m, dan mengorbankan 36,000 orang.
* 1755: Tsunami menghancurkan Lisbon, Portugal dan mengorbankan kira-kira 60,000 orang.

30 Mac 2011

MB: Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco



Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.

Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.

Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

- Bernama

Pemuda PAS dakwa Zambry teruskan amalan syirik Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kecewa dengan tindakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang didakwanya masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong dua minggu lalu.

Dalam majlis perasmian itu, Dr Zamri didakwa telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya. DUN Manong terletak dalam kawasan parlimen Kuala Kangsar.

Ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan mendakwa upacara tersebut adalah amalan yang diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri – tiang tengah rumah – dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman… Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini

Zawawi memberitahu demikian ketika ditanya mengenai langkah dewan itu menghantar memorandum bantahan mereka kepada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 22 Oktober lalu berhubung perkara itu.

Katanya, dewan itu hari ini turut menghantar bantahan yang sama kepada kesemua mufti di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, meminta penjelasan mengikut hukum Islam berhubung perkara ini.

Zawawi berharap para mufti dapat mengeluarkan ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam tidak terkeliru.

Menurutnya, gambar dan rakaman video ucapara tersebut boleh dilayari dalam lamanweb mereka dan Youtube.

Zawawi berkata, rombongan 15 orang anggota Pemuda PAS Perak menemui Harussani pada 22 Oktober lalu untuk menyampaikan memorandum bantahan tersebut.

Dalam pertemuan di pejabat tokoh agama itu, katanya, Pemuda PAS meminta Harussani menegur atau mengeluarkan fatwa terhadap tindakan Zambry itu.

Zawawi mendakwa Mufti Perak itu menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Zambry itu dan berjanji akan menegurnya.

iDAN: Tak dapat dinafikan sejak berzaman kita masih terikat dengan adat resam turun temurun tanpa kita sedari amalan yang kita lakukan adalah salah di sisi agama & boleh membawa kita berlaku syirik atau menyekutukan Allah SWT.

Ada beberapa kemungkinan antaranya sekadar mengikut adat resam lama terkadang nak jaga hati orang tua umpamanya pun sementelah tiada yang menegur akan kesalahan ini.

Isunya sama, kenapa kita pasang lilin di kek hari jadi; siap menyanyi lagi, pun kenapa kita berinai pun bersanding semata-mata nak rasa kemeriahan. Kemeriahan ini pula akan menjadi ianya menunjuk-nunjuk & boleh jatuh riak dan pelbagai tanggapan.

Ish! kita buat juga!.

Tarian poco-poco haram?

Sinar Harian

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib.

Barangkali ramai peminat tarian poco-poco di negara ini terkejut apabila mengetahui tarian yang berasal dari negara seberang ini adalah haram. Tarian ini sangat popular di negara kita pada masa kini. Ia bukan sahaja dilakukan oleh orang kebanyakan malah oleh golongan atasan dalam pelbagai bentuk majlis keraian. Jabatan kerajaan juga tidak ketinggalan mengadakan tarian poco-poco sebagai menggantikan senaman pagi untuk peserta kursus.

Namun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang diadakan pada 24 hingga 26 Januari 2011 lalu memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Surat berkenaan ditandatangani Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Asas pengharaman kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. Mesyuarat tersebut juga telah mengambil keputusan bahawa pengharaman tersebut akan diwartakan.

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib. Sinar Harian cuba mendapatkan komen atau pendapat daripada tokoh agama berkenaan pengharaman tarian poco-poco ini.

29 Mac 2011

Easyjournal lagi Popular


Telah lebih seabad aku menjadi Pemblog atau Penulis Jurnal; dari catatan yang tertera sekitar 1 Januari 2000 ianya sebermula. Ini tak termasuk laman sesawangku di Komputer Pelayan (Server) Geocities atau Server Tripod jika tak silapku aku mula rapat dengan dunia maya ini sekitar tahun 1997.

Satu yang menarik bilamana aku selidiki mana satu blog kepunyaanku yang amat popular ternyata Server Easyjournal mendapat tempat teratas waima aku tidak sering mengemaskini bagai di Blogspot. Pelik. Dari catatan kaunternya bulan ini sahaja purata sehari dibuka oleh 360 orang pengunjung. Bermakna setiap jam ada sekitar lima belas orang pengunjung. Sekadar 4 minit lebih kurang seorang pengunjung. Menarik tu!; tak kisahlah biar pun terklik cumanya aku tak reti nak masukkan Nuffnang di Server Easyjournal; jika reti pasti lumayan tu!. (Jika mengikut syarat keahlian memang Server Easyjournal tidak membenarkan sebarang iklan diselitkan di laman sesawang mereka)

Ini adalah URL blogku di Server Easyjournal;

http://idanradzi.easyjournal.com

Memang ada banyak tulisanku yang menarik. Malahan ada beberapa siri masih tergantung & tak sempat aku sambung. Aku beralih ke Server Blogspot lantaran Server Easyjournal ini asyik meragam; pulak tu agak sukar nak letak imej di sana. Sekitar penghujung tahun lalu sekitar sebulan dua servernya tak dapat ku akses. Maka itu aku sedang berusaha memindahkannya ke Server Blogspot.

Ini URLnya

http://desatualang.blogspot.com

Bukan kerja mudah nak klik satu persatu; dulu aku pandai guna FTP, namun tak semua server membenarkan kita menggunakan perisian FTP ini. Alasannya adalah kerana virus senang masuk ke server yang boleh guna FTP ini.

Agar aku punyai kekuatan untuk memindahkan semua tulisanku ke Server Blogspot seyogia adalah salinan atau URL lain; jika salah satu blogku ditutup bagai di Server Geocities.

istilah bahasa
waima: dari Bahasa Arab, walaupun, sungguhpun

28 Mac 2011

Wajah10



Barat & Timur

RM12.60 Sarapan




"Moh! temankan ayah pekena teh tarik Angah!" Aziq menolak alasannya dia masih mengantuk. Aku lihat Azim sedang leka mengadap Astro, lagu orang putih bergema di ruang tamu.

"Kejap Azim nak basuh muka!" dia terus ke bilik air.

"Tadi kan kah baru basuh muka, dah sembahyang subuhkan?" aku hilang rasa mengantuk lantaran Mila asyik membebel anaknya payah nak bangun solat Subuh, siap dengar dia mengeluh lantaran bajunya terbakar. Seterika mula meragam kena ganti barulah nampaknya.

"Nak jalan kaki atau naik moto?" Aziq senyap sahaja, anginnya tak berapa baik pagi ini, lagi pun telah agak lama aku tak minum di kedai mamak bersamanya.

Aku mencapai kunci kapcai & memberi kunci rumah kepada Azim. Kereta perangku dah lama tersadai. Masalah enjinnya panas buat aku malas nak hidupkan enjinnya. Baterinya sah dah mula kondem.

Kedai mamak terdekat sekitar 50 meter sahaja dari rumah; ada dua buah. Tapi aku suka pergi kedai Naina Maju sekitar 100 meter. Tak ramai sangat orangnya, masakan mamak ini sama saja.

Tauke, mamak Naina Maju bertanya jua kenapa lama aku tak nampak, iyer sejak Husna ada di rumah aku jarang amat ke kedainya. Jika dulu sebut saja bab minuman, tak payah dipesan pekerjanya telah tahu apa minuman kegemaran kami.

Aku makan Tosei, Azim pula Roti Telor; minumannya biasalah aku Teh Tarik kurang manis & Azim dengan Holick Aisnya. Di samping itu selalunya kami akan makan telor rebus atau separuh masak. Kemudian aku bungkus 3 Roti Telor kut Aziq, Afiz & Husna nak bersarapan.

Teh Tarik mamak ini memang sukar ditandingi aromanya. Ianya tak kira baik pagi tengah hari petang atau malam sentiasa sesuai untuk dinikmati. Toseinya pula biasalah; ada kuah kelapa pun sesuai dimakan bila-bila masa. Biasanya aku makan dua keping Roti Canai banjir besar; kuah jika tak banyak aku akan ambil sendiri kasi betul-betul banjir. Roti Canai yang dicicah memang tak terasa aroma; jika kari mamak tak masih aku sekadar berkuahkan kari; jika karinya masin aku akan taruh Kuah Dal. Aku memilih kari ikan jarang sekali aku makan kari kambing lantaran penyakit kronikku.

4 keping Roti Telur, sekeping Tosei, tiga biji Telor Rebus, segelas Teh Tarik & segelas Holick Ais; jumlahnya tertera di atas. Selalunya aku terpaksa minum air kosong segelas dua selepas sarapan di kedai mamak ini. Jika tidak memang kolestrol akan tambah menyengkang salur darahku.

Kita beruntung duduk di negara nan pelbagai kaum; jika jemu juadah orang Melayu di mana jua tersaji masakan dari India atau negara lain.

KESAN TSUNAMI JEPUN SAMPAI KE BATU BURUK

KUALA TERENGGANU - Air laut telah melimpah sehingga membanjiri jalan di pantai Batu Burok disini semalam selepas beberapa jam berlaku bencana Tsunami terburuk yang melanda Jepun ekoran gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala richter

Sumber memaklumkan orang ramai yang melihat kejadian tersebut mengaitkan kejadian itu adalah berkait dengan apa yang berlaku di negeri matahari terbit itu.

Kejadian tersebut jelas kelihatan pada rakaman video yang telah dimuat naik lewat malam semalam.

Sekitar 10,000 orang yang tinggal di sebuah bandar pelabuhan di timur laut Jepun dikhuatiri hilang akibat gempa bumi paling buruk dalam 140 tahun lalu dan tsunami setinggi 10 meter.

Situasi itu dikhuatiri akan menaikkan angka kematian yang setakat ini disahkan sekitar 1,300 orang.

Kesan Tsunami dijangka lebih buruk apabila letupan berlaku di loji tenaga nuklear Fukushima Dain.

Stesen TV NHK melaporkan bahawa beberapa pekerja cedera dalam letupan di Unit 1 loji tersebut.

Agensi berita Kyodo pula berkata, radiasi dikeluarkan setiap jam bersamaan dengan kadar yang dibenarkan bagi tempoh satu tahun.

Laporan msnbc memetik stesen Sky News dari Britain berkata, penduduk di kawasan sekitar diminta tidak keluar rumah, tidak minum air paip dan perlu menutup muka mereka dengan topeng pernafasan ataupun tuala basah.

Operator-operator di Unit 1 loji Fukushima Daiichi telah mengesan kadar radiasi lapan kali ganda di luar dan 1,000 kali ganda di dalam bilik kawalan. - TMinsider

Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

Berita gempa bumi hari ini sekali lagi menggemparkan Jepun, kesan kemusnahan yang mengerikan dari gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu telah meragut ribuan nyawa ditakuti berulang.





Ombak air yang laju itu dengan cepat menyapu segalanya - termasuk kereta, kapal dan bangunan.

Hilang sekelip mata: Dalam masa beberapa minit tempat letak kereta di dalam gambar sebelum ini telah ditenggelami air yang mengalir deras - menyebabkan penduduk tidak mempunyai cukup masa untuk bertindak.



TERKINI: Ketika penggera amaran masih berbunyi di atas kota, arus air terus menghambat di sekitar Kesennuma Bay dan memasuki jalan raya.

Kekuatan arus air sangat sukar dipercayai. Lebih menakutkan adalah suara tsunami yang menghancurkan dan menyapu semua benda yang berada di laluannya.

Juru kamera amatur berjaya merakamkan arus air yang mengalir cepat. Penggera kecemasan berbunyi dengan diselangi rakaman suara memaklumkan amaran tsunami kepada penduduk Kesennuma.


Gelombang tsunami yang tidak dapat dikawal ini terus melanggar kabel elektrik dan lampu jalan dan kemudian melalui bangunan berbumbung hijau melanggar, sebuah bangunan bertingkat dan memuntahkan isinya ke dalam arus tsunami.

Kerajaan Jepun dan US Geological Survey mengumumkan bahawa berlaku gempa bumi berkekuatan 6.5 melanda pantai timur laut Jepun hari ini.

Ia juga berlaku di Wilayah Miyagi, di mana terletaknya Kesennuma dan bandar-bandar lain.

Badan Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami untuk pantai Pasifik wilayah Miyagi, tetapi kemudian amaran itu ditarik balik.


27 Mac 2011

RM38.52 di Giant


Sekadar nak beli dua tiga jenis barangan malas nak ke TESCO, sebabnya TESCO agak jauh dari rumah sekitar 1km banding Giant sekitar 300 meter sahaja dari rumah.

Ayam seekor tak besar mana pun RM15.95 Pari Siap Potong dalam peket 1kg RM7.49. Cabai Masak sepeket RM4.69 & Sunquick RM10.39. Hanya itu 4 jenis barangan. Jumlah sebanyak di atas. Sayur memang mahal di Giant, jika aku sempat ke pasar malam akan lebih jimat. TESCO jauh lebih murah. Berapa lamalah tahannya sayur di peti ais. Jika bendi atau kobis mungkin tahan lama; sawi, bayam atau sayur daun yang lain manalah tahan lama.

Jika sehari kita berbelanja dapur sekitar RM30, congaklah berapa sebulan. RM30 ini selalunya sekadar boleh menampung barangan basah; apa cerita beras, gula, bawang dan pelbagai lagi rempah ratus.

Sekarang keluargaku makin besar, kami telah bertujuh orang. Jika terusan beli lauk di luar memang akan bertambah tinggi belanjanya. Seekor ikan keli atau seketul ayam potong kecik sekitar Jenaris telah pun berharga RM2.50 ke atas. Siang Mila kerja makan berenam orang lauk sahaja telah RM15 belum sayur. Pastinya sekitar RM20 makanan siang (tak masuk sarapan) malam sekitar itu jua. Dah jadi RM40. Maka jika dicongak mesti kos makan luar berbanding masak sendiri sekitar RM10 ke atas lebih mahal untuk sehari. Sebulan sudah tentu sekitar RM300 terbuang begitu sahaja. Jauh lebih jimat masak sendiri.

Beruntunglah Mila punyai menantu seperti Husna; nampaknya dia rajin memasak, boleh dikatakan tiap hari dialah yang memasak; kecuali Sabtu & Ahad di mana Mila cuti. Jika angin Mila tu okey memang dia rajin memasak sampaikan sarapan pun dia rajin memasaknya, jika angin barat dayanya datang memang dia tak berdaya, main beli juga lauknya. Apatah lagi jika ada jemputan, Husna jadi mangsalah masak di rumah sebab Afiz buat masa ini tengah hari selalunya balik ke rumah untuk makan tengah hari bersama isterinya.

Masalah makan atau beli lauk di luar adalah rasa resipinya. Mana mungkin dapat kita tentukan; di gerai Sg Kantan, aku telah tahu biar pun agak murah, tapi pedasnya jangan cakap, di gerai Kantan Permai pula agak mahal aromanya lebih kurang sahaja. Mana mungkin orang sakit seperti aku dapat mengawal keadaan makanan di luar. Sebaiknya orang seperti aku mestilah makan ikan yang dibakar atau rebus sahaja; begitu jua dengan sayuran sebaiknya makan sayur yang dimasak rebus sahaja. Tumis lemak atau gulai yang masin amat alahan.

Jika sesekali nak makan nasi ayam pun sekitar Jenaris ini semunya telah berharga RM4.50 sebungkus jika dikalikan tujuh orang berapa tu!. Pulak tu orang yang boroi seperti aku memang takkan kenyang jika makan nasi ayam, biasanya bersukat satu mangkuk. Alahai kecil amat mangkuknya. Melayang sahaja jika dimasukkan dalam bungkusan. Terpaksa tambah nasinya jika mahu kenyang tapi jika ikut hukum hakam@rukun makan; berhenti makan sebelum kenyang seyogia nasi ayam adalah menu yang paling sesuai.

Hidup di kota tak semudah nan diduga.

25 Mac 2011

Siti



Anak Saudara... menantu ketiga Kak Nomie

Batu Hempedu


Kristal yang menyakitkan

Oleh SHANIKA ABDULLATIB


PUNDI hempedu merupakan organ badan yang terdiri daripada karung kecil berbentuk buah pear yang terletak di bawah bahagian kanan hati. Jus hempedu yang dirembeskan oleh hati disimpan sehingga diperlukan oleh tubuh bagi penghadaman lemak.


Meskipun bahagian ini jarang diberi perhatian, namun kegagalan pundi hempedu berfungsi sebaiknya akan menyebabkan kemudaratan yang cukup berbahaya.

Menurut Pakar Pembedahan Hepatobiliari Klinikal Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Hairol Othman, kesakitan yang dialami bukan sahaja melibatkan bahagian abdomen malah terasa sehingga ke tulang belikat.

INILAH fizikal batu hempedu yang dikeluarkan dari pundi hempedu yang gagal berfungsi dengan baik.

Gejala yang sering dihadapi adalah radang pada pundi hempedu berkenaan. Ini berlaku apabila batu terbentuk di dalam pundi hempedu pesakit. Keadaan menjadi kritikal sekiranya batu tersebut tersekat dan menghalang jus hempedu daripada dirembes keluar.

Beliau menjelaskan, terdapat dua faktor utama terjadinya batu dalam pundi hempedu iaitu kolesterol dan kalsium bilirubinate yang tinggi dalam badan.

“Batu hempedu terbentuk apabila kolesterol dan garam hempedu menjadi tepu. Ia akan membentuk kristal dan lama-kelamaan akan membesar lalu menjadi batu,” ujarnya.

Kesakitan yang dialami oleh pesakit biasanya disebabkan batu tersebut bergesel pada dinding pundi hempedu. Seringkali terjadi apabila seseorang itu mengambil makanan berlemak, pundi hempedu akan mengecut untuk merembeskan jus hempedu ke dalam usus untuk ‘meleburkan’ lemak tersebut.

BATU hempedu ditarik keluar dengan menggunakan endoskopi.

Jika batu hempedu tersekat di pangkal pundi hempedu, ini membolehkan berlakunya radang pundi hempedu. Lebih parah jika serpihan batu hempedu tersumbat pada saluran hempedu yang menyambungkan pundi tersebut pada usus. Ia seterusnya akan menyebabkan jaundis.

“Kerana itu, ramai antara pesakit yang mengalami penyakit kuning (jaundis) jika lambat menerima rawatan,” katanya.

Tambah Hairol, batu hempedu terdiri daripada tiga jenis iaitu batu hempedu kolesterol, pigmen dan campuran kedua-duanya yang dapat diketahui melalui warna.

“Batu kolesterol biasanya berlaku di kalangan masyarakat Barat, lembut serta berwarna kuning seolah-olah tanah liat,”

“Batu pigmen pula terdapat pada mereka yang menghidap penyakit berkaitan darah seperti anaemia hemolitik dan berwarna hitam serta agak keras,” jelasnya.

Bagi batu bercampur pula, kriterianya mirip kedua-dua batu tadi. Jenis ini selalunya terdapat di kalangan masyarakat Asia yang disebabkan oleh jangkitan atau pemakanan yang mengandungi kolesterol dan kalsium tinggi.

Justeru, tidak kira besar atau kecil saiz batu hempedu, ia perlu dibuang dengan teliti bagi mengelakkannya tersumbat atau beralih dan terlekat pada salur hempedu.

Rawatan

Proses bagi membuang pundi hempedu beserta batu-batu hempedu di dalamnya boleh dilakukan menerusi kaedah kolesistektomi laparoskopik .

“Di PPUKM, kami menggunakan kolesistektomi laparoskopik iaitu dengan memasukkan kamera melalui luka di bahagian pusat dan tiga lagi luka kecil di bahagian atas abdomen untuk mengeluarkan pundi hempedu berkenaan,” jelas Hairol.

Tambahnya, kaedah pembedahan lubang kekunci tersebut memiliki beberapa kelebihan iaitu ia lebih selamat, kurang meninggalkan kesan parut dan tempoh pemulihan yang lebih pantas.

Pencegahan

Corak dan gaya hidup adalah faktor utama dalam mencegah masalah pembentukan batu hempedu.

“Ia melibatkan cara hidup kita, terutama melibatkan aspek pemakanan. Hanya itu caranya untuk mencegah kewujudan batu hempedu tepu kolesterol dalam pundi,” tegas Hairol.

Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi kolesterol seperti makanan segera, berminyak dan berlemak adalah penyumbang utama dalam masalah pundi hempedu ini

Disebabkan faktor tersebut, mengikut statistik, 15 hingga 20 peratus daripada populasi masyarakat akan mendapat masalah batu hempedu terutama di negara Barat.

Dalam pada itu, jus hempedu dihasilkan oleh hati dan jus hempedu yang dikeluarkan setiap hari boleh menampung keperluan badan.

Waima hempedu dibuang, Hairol menjelaskan tiada kesan sampingan pada sistem tubuh manusia biarpun dengan ketiadaan organ tersebut.

24 Mac 2011

TERAS ITU SERING MENGECEWAKAN

Salah satu syarat yang Sime Darby kenakan: Jika anak staf mahukan hadiah kecemerlangan
Pelajar kena mendapatkan kelulusan 8A ke atas serta Bahasa Inggeris (BI) Bahasa Malaysia (BM) & beberapa mata pelajaran teras mesti A; Aziq pula memang tersilap baca soalan
terperangkap dengan BI; dari UPSR hingga PMR pun di peperiksaan percubaan SPMnya
Aziq belum pernah mendapat B untuk BI. Ini yang dia amat terkilan.

Wisma dia tak layak pun memohon untuk mendapatkan hadiah penghargaan kecemerlangannya di Sime Darby kata Mila hadiahnya agak lumayan sekitar RM1,000. Begitulah jika telah tiada rezeki biarpun dia dapat 9A 1B (B+) terimalah seadanya.

Maka itu aku sering mengatakan hukum alam atau peraturan manusia manalah ada tepat & adilnya. Apalah salahnya jika tak memenuhi syarat utama tersebut, berilah sekadar sebahagian kadar penuh. Lagipun kita duduk di Malaysia apakah Bahasa Inggeris itu adalah segalanya,
seandainya pun jika BM itu jua mesti A, apalah salah jika mendapat B dalam BM masih layak diberikan penghargaan tapi tidaklah dapat sebanyak syarat utama. Rasanya itu lebih adil asalkan syarat 8A ke atas itu dapat dimiliki oleh pelajar. (Seperti Kesatuan Penduduk Jenaris lakukan cuma perlu 6A tanpa syarat mata pelajaran teras.)

Cara Sime Darby lakukan memang melukakan hati anak-anak kita malahan kita sebagai ibu ayah pun rasa amat kecewa. Bagiku syarat begini samalah nasib kaum kita yang mahu kerja
di kompeni kaum asing yang mensyaratkan kita pandai berbahasa cina. Bumi ini bagaikan hilang martabatnya bila kita sebut asalnya nama bumi ini Tanah Melayu pasti ramai pula yang menyanggah menuding jari ke arah kita; katakan kita mainkan isu perkauman.

"Tak payahlah ayah nak minta duit macam itu buat malu saja kalau kita tak memenuhi syarat lupakan saja...!" desah Aziq buat aku malas nak fikirkan tentang Sime Darby, semua tahu Sime Darby itudalam pengaruh siapa pun kaum mana yang mentadbirnya.

(Mila kini kerja di Sime Darby, asalnya di Island & Peninsular kemudian Golden Hope semuanya gara-gara Penggabungan)


Pahit tapi Benar


Amat payah kita dapat menerima kelemahan diri. Apatah lagi jika asyik melakukan dosa yang sama. Andai kata ada orang yang menegur kelemahan diri ini, sering mereka jadikan musuh. Padahal musuh anda selalunya memang benar & tegurannya berasas. Rakan yang suka mengampu anda belum tentu mahu menegur kelemahan diri anda.

Bagi lelaki sering ada masalah kewangan, sering berbelanja pada bukan setaraf pendapatannya; siapakah rakan berani menegur masalah ini. Sampaikan makin hari makin berjimat, jika perokok rakan sendiri jadi mangsa, buat sardin sahaja menempek rokok kawan. Sudahlah merokok itu semakin dipersoalkan hukumnya, mahal lagi, rakan yang asyik menempek ini memang tak rasa malu. Silap-silap rakan begini asyik pinjam wang, melunaskan hutang entah bila.

Ramai juga kalangan rakan kita yang masih kaki nombor ekor, biar pun kita tahu ianya haram tapi beranikah kita menegur. Takut hilang kawan. Malahan kita pun sering menemani rakan kita pergi bersama ke kedai empat nombor ekor, sekarang dah banyak amat, Toto, 3D, 1+3D pun ada entah aku pun tak reti nak menyebut bab ekor berekor ini.

Ramai lelaki juga suka mengejar perempuan, jika tak ke kelab malam, dia akan mengayat perempuan melalui SMS atau e-mel; ada peluang berjumpa dia sanggup perabis duit. Silap gayanya melarat sampai jatuh cinta & rumah tangga jadi porak-peranda. Beranikah kita tegur perkara ini.

Sekarang masalah perempuan keluar rumah makin meruncing; jika dulu ramai kalangan suami berlaku curang, sekarang isteri pula sudah makin berani. Bagaikan dosa di luar rumah itu dia boleh minta ampun tanpa meminta maaf dengan suami. Ramai secara senyap berani menyimpang dari tempat kerja untuk jumpa jantan lain. Dia beralasan urusan pejabat sebenarnya urusan sendiri, buat jualan MLM asyik kena tipu oleh jantan luar.

Sampaikan dia lupa, dalam agama menyarankan isteri hanya boleh keluar rumah dengan izin suami. Suami mengizinkan berkerja bukan menyimpang ke lain. Agama apa yang isteri ini pakai, sedangkan nak buat baik seperti puasa sunat pun kena minta izin suami apatah tak bertemu dengan orang luar ikut suka hati; bertindak ke arah yang amat membahayakan jalinan. Siapa ambil tahu & mahu menegur perempuan sebegini.

Ramai juga isteri makin lupa nilai kerukunan rumah tangga, seperti ada kalangan isteri makin malas memasak, bila buat kerja rumah dengan perasaan terpaksa, tidak menjaga harta suami, Tau-tau pelbagai barangan suami lenyap entah ke mana. Ada isteri makin asyik berSMS dengan lelaki luar atau leka bercit-cat di dunia maya. Jika waktu senggang tak apa, masalahnya banyak urusan yang wajar dilakukan semakin dilupakan.

Sementelah itu di zaman kini tak hairan lagi Imam pun ditangkap khalwat. Sebabnya sikap menjaga tepi kain orang kita makin amat terhakis & tiada lagi.

Ini kisah Ustazah Lemas

KUALA LUMPUR:

Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.

Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.

Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.

Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu, baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.

Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.

Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.

Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.

“Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.

“Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.

“Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.

Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.

Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg. Sementara itu, Harian Metro difahamkan, ustazah terbabit dan pasangannya akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi, atas tuduhan berkhalwat.


iDAN: Jika khalwat semata tidaklah sebesar mana dosanya berbanding telah terlanjur, amat sukar kita mengekang iman sebenarnya maka itu jangan sesekali bersunyian dengan perempuan yang bukan mahram kita.


22 Mac 2011

Wajah 9




Apa kata jika kita makin rajin menconteng wajah
pasti menarik tiap hari wajah kita berubah
silap-silap orang anggap kita lainlah pula...

21 Mac 2011

Wajah 8




Apa pandangan anda tentang wajah perempuan?
Apakah cinta akan mudah berputik lantaran wajah nan cantik?
Apakah anda meminati kaum Melayu atau kaum nan lain?