oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
AKHIL Hayy pernah memeriahkan industri muzik rock pada tahun 1990-an bersama kumpulan rock, D’Riyadh.
Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hayy, 39 kini popular sebagai artis tetapi kemunculannya bukan setakat menyanyi semata-mata tetapi Akhil turut memainkan peranannya sebagai pendakwah.
Berasal dari Gopeng, Perak, Akhil lebih dikenali sebagai penggiat keseniaan Islam selain menjadi pendakwah bebas.
Seperti artis-artis lain, Akhil juga tidak pernah terlepas daripada gosip yang dianggapnya sebagai lumrah dunia artis dan perlu ditangani dengan bijak.
Popular dengan pendekatannya yang lebih terbuka untuk mendekati remaja, Akhil berusaha mengajak golongan ini ke arah kebaikan.
“Ramai yang berpendapat, imej saya ini agak tidak bersesuaian dengan imej seorang ustaz tetapi itu bukan penghalang saya untuk meneruskan dakwah,” katanya.
Walaupun sibuk dengan karier, Akhil tidak sekali-kali mengabaikan kesihatan. Katanya, amalan solat yang dilakukan setiap hari merupakan tip kesihatan yang paling mujarab.
“Pergerakan solat yang kita lakukan sebenarnya membantu menjaga kesihatan kita. Selain bersukan, amalan wajib ini sebenarnya membantu melancarkan aliran darah dalam badan,” jelasnya.
Akhil Hayy – Bersolat menjamin kesihatan
Untuk sihat, kita tidak perlu bersenam dan mengeluarkan peluh. Seperti saya, solat yang menjadi tiang agama merupakan amalan sihat yang paling berkesan. Misalnya, ketika kita sujud dan rukuk, ia sebenarnya satu senaman semula jadi. Amalan ini paling mudah untuk dilakukan.
Bagaimana pula dengan senaman dan bersukan?
Tidak dinafikan ia baik untuk kesihatan. Cuma wujudkan kelainan, misalnya ketika bersenam, putarkan lagu-lagu zikir dan nasyid. Sambil bersenam, kita pun boleh berzikir.
Bagaimana pula dengan amalan pemakanan pada bulan Ramadan?
Saya amalkan keseimbangan dan kesederhanaan. Amalan pun perlu seimbang dunia dan akhirat. Begitu juga aktiviti seharian kita seperti tidur dan sebagainya.
Apakah aktiviti pada masa lapang anda?
Selain menyampai ceramah, saya juga suka mengembara.
Apakah aktiviti seni anda sekarang?
Sekarang saya terlibat dengan beberapa program Astro Oasis seperti Ustaz Akhil Hayy & Remaja dan slot Indahnya Iman. Selain memenuhi undangan nyanyian.
Bagaimana anda mendekati golongan remaja?
Tidak dinafikan, ramai golongan remaja pada hari ini terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Pendekatan terbaik, fahami dan dekati mereka dengan baik. Mungkin ramai tertanya, kenapa saya berambut panjang seolah-olah masih mengekalkan imej rock. Sebenarnya, saya ingin semua golongan menerima saya dan dalam masa yang sama saya boleh berdakwah dengan mereka.
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan