Perjalanan ke Hospital Kajang mengambil masa lebih kurang dalam 10 minit mengikut jalan pintas yang memang jarang aku lalui sejak ada Lingkaran Tengah ke Semenyih. Bukannya apa aku pernah disergah Penanggal, ketika jalan pintas ini. Api berselerakan melintas di hadapan betul-betul dekat jirat cina lama Sungai Kantan. Masa itu bukan hari raya. Apakah jadahnya ada orang main bunga api jam 4:00 pagi. Bukan musim perayaan lain pun.
Mila meletakkan Avanza Kemek di parkir yang lapang. Ada dua tiga buah sahaja kereta di parkir itu. Aku terpaksa berjalan kaki agak jauh untuk ke Wad Kecemasan. Dalam bualan di telefon dengan Tok Perak dia kata ada kaunter penerima pesakit sebelah kiri tak jauh dari Foyer Wad Kecemasan. Bila aku masuk ke bahagian penerimaan pesakit kecemasan, agak ramai juga orang. Penyambut tetamau di kaunter tersebut nampak malas & tak ceria, biarpun masih muda mungkin masih belum kawin. Macam muka orang putus cinta. Isk! lewat dinihari kot mengantuk.
"Encik ke depan sana, mereka akan kasi kad & baru boleh mendapat nombor di sini "
Begitu rupanya prosuder kecemasan, kecuali pesakit sudah tercungap-cungap barulah terus ke doktor... mungkin!: bisikku dalam hati.
" Encik bukan rakyat asing kan? Orang tempatan kena bayar seringgit sahaja & tunggu nombor encik akan tertera di skrin.." Aku menghulurkan kad pengenalan. Muka aku memang macam Abuya di Kad pengenalan. Macam bangla pun ada, macam arabpun ada. Apalah Makwe Lesu ini, aku Perak maripun dia tak pasti. Muka aku ada macam pendatangka?.
No 2027 jam 3:26 pagi tertulis tiket menunggu. Aku duduk dengan kesakitan yang tak reda. Tekak terasa amat kering, aku sekadar mengurut-ngurut sendiri. Perut boyotku tak rasa apa-apa pun bila diurut, keras, sejuk macam batang pisang. Mila asyik tanya masih boleh bertahan lagi tak. Aku tetap bersabar. Di depanku ada seorang pesakit umurnya sekitar 40an. Terbaring di bangku berkembar menunggu nombornya terpocol di skrin. Tentunya dia macam aku juga menderita sakit tapi masih tetap bertahan. Di sudut kanan aku melihat sepasang suami isteri mungkin. Isterinya nampak uzur sangat sedang menahan kesakitan. Di belakang ada sepasang ibu & anak tidur-tidur ayam. Ada lima enam orang lagi nampak bagaikan pengiring pesakit yang sedang dirawat. Betulkah ini Wad Kecemasan?.
Nombor aku dipanggil ke pintu lima. Aku rasa lega tentunya sakitku akan dapat dikawal. Mila memang sejak kebelakangan ini amat kurang berbulan, nampak pendiam, aku jeling wajah selambanya; sambil aku bangun menuju ke pintu tiga. Mamailah itu, aku dongak ke atas pintu... isk! silap pintu tercari-cari pintu lima. Apabila masuk nampak bukan Doktor yang menyambutku. Pakaian biru, mesti Pembantu Perubatan... bisikku dalam hati.
Setelah bersoal jawap lebih kurang dia menyuruh aku kembali menunggu di luar.
"Apa kata doktor? " Bila bertanya.
"Entah siapa Mila... bukan jumpa doktor; ada saringan pulak! "
Azim & abang-abangnya tidur lena tak sedarpun ayahnya ke hospital.
Begini rupanya jadi pesakit kecemasan. Aku ingat macam dalam TV, ada yang menunggu kalau tak boleh jalan, terus naik katil sorong & terus dirawat di wad. Macam cerita hindustan itu siap hero hindustan berkejar-kejar sebelah heroinnya. Mungkin aku masih boleh berjalan, badanpun tak berlumuran darah. Biasa kot orang macam aku datang jam 3:00 pagi minta bantuan doktor menahan sakit. Biasa kot!. Pesakit yang terbaring masih tak dipanggil. Isteri yang nampak uzur sangat nampak bagaikan mahu pitam. Masih tak dipanggil. Selang beberapa minit ada keluarga India membawa anak kecil. Nampak dia macam biasa saja terus ke kaunter dapat nombor. Aku pula sudah disaring tiga peringkat masih menahan sakit. Sekitar 3:45 pagi.. Huh! telah dua jam lebih aku bergelut dengan kesakitan. Nampak wajah Malaikat Maut makin menjeling aku.
"Mila macam ini rupanya di hospital, bila agaknya boleh jumpa doktor... sakit sangat dah ini "
"Abang pergilah tanya kat kaunter itu.. " Aku nampak Makwe Lesu lagi kemalasan itu. Aku terus bangun.
"Adik, doktor ada ke? ngapa lama sangat ini saya sudah dua jam lebih menahan sakit... sakit sangat-sangat ni!.. "
"Ada dalam ... tu dia sedang merawat seorang pesakit... jika Encik tak tahan lagi masuk saja pintu tiga itu untuk jumpa doktor. " Emmm! macam itukah boleh rempoh sahaja.
"Seorang lagi ke? tak apalah..? Yang lain pun nampak sakit macam saya juga! "
Aku kembali ke bangku sebelah Mila. Sejak awal datang itulah bangku yang Mila duduk. Tak bergerakpun. Dalam kotak fikiranku makin tonggang-langgang. Hendak tolak pintu tigakah; gesa doktorkah. Sudah dapat lampu hijau dari Makwe Lesu lagi kemalasan itu.
Mahu aku tinggalkan sajakah hospital yang Tok Perak banggakan sangat ini. Lama amat menunggu, lainlah kalau aku ini sakit deman... aku takut nafas aku semput lagi macam di rumah. Pergi ke Klinik Penawar di Taman Seri Serdang sahajakah. Atau.. hendak ke klinik swasta, mampukah aku. Dibedalnya kena tahan wad, kena bedah segala, insuran kelompok aku yang ada boleh ke menampung?. UPM hanya tanggung perubatan Doktor Panel yang dia sinaraikan & hospital kerajaan sahaja. Itulah nasib@hakikat pegawai kerajaan kerja dalam kelompok sokongan. Jika tahan di wad pun kelas dua sahaja. Lainlah aku ini menteri. Ratusan ribu guna duit ke luar negara untuk mendapat rawatan terbaik pun mampu.Duit rakyat belasah sahaja. Aku makin meraban.
Aku lihat seorang pesakit cina, muda orangnya datang seorang diri. Mengambil nombor giliran & duduk di bangku depan. Selang beberapa minit dia bangun jumpa Makwe Lesu, yang duduk saja di bangku itu. Nampak Makwe Lesu itu berbual dengan Aci sedang makan di belakang dia. Pemuda cina itu menuju ke bilik air sebelah kanan ruang menunggu. Selang beberapa minit dia keluar semula. Macam kes sama denganku. Sakit perut dan dia gelisah, duduk & berdiri tak menentu. Memang gelisah!.
2024, pesakit yang terbaring tadi masuk. Mana satu yang betul, Makwe Malas lagi lesu tadi kata cuma ada seorang pesakit. Nombor aku pula 2027, jauh lagi tu... lagi tiga orang kalau seorang ambil masa setengah jam!; Aduhai!.
" Mila kalau seorang mengambil masa 15 minit ke setengah jam, pukul berapa giliran kita nak jumpa doktor? " Aku menahan sabar.
Mila macam biasa, bercakap benda yang penting sahaja. Diam nampak lesu jangkit sakit Makwe kat kaunter itu. Makwe Lesu. Aku terus melayan fikiran dengan kesakitan. Tiba-tiba pasangan suami isteri yang isterinya nampak uzur sangat itu termuntah, meluru ke luar tempat menunggu. Masuk semula & suaminya menarik tangan isterinya masuk ke bilik nombor tiga. Tak menoleh pun ke arah Makwe Lesu. Tentunya dia juga dapat lampu hijau macam aku. Kenapa aku tak ikut cara dia. Nampaknya tinggal aku paling lama menunggu dalam keadaan uzur. Mungkin pemuda cina itu orang selepas aku kena bantuan segera.
Aku membaca satu persatu di papan kenyataan berkenaan apa itu kecemasan. Macam-macam ada. Luka darahnya terus mengalir, sakit jantung atau dada, perempuan mengandung, pengsan ... banyak dekat dua puluh kes. Sakit terlalu kuat mungkin kena dengan masalah uzurku, sekitar kategori ke tujuh. Padanlah tak diutamakan. Atau aku silap buat laporan kepada Pembantu Perubatan tadi. Kena ngadu auta sikit, kata sakit dada, sesak nafas, dah sakit sejak siang tadi, berpeluh, rasa nak pitam telah muntah banyak, aduh.. aduh... dah nak pengsan ni... macam filem India!. Padahal segi lojiknya kalau dah nak jumpa doktor lewat jam 3:00 pagi memang sudah tak tahan lagilah sakitnya. Kalau tidak kenapa pesakit tak tunggu siang hari sahaja.
Aku lihat seorang gadis keluar dari Wad Kecemasan, cantik gadisnya tapi muka sebelah kanannya bengkak agak besar. Tangannya nampak luka telah berhenti darahnya. Sebahagian jari berbalut. Jalan kena dipimpin. Ada dua orang hampir sebaya dengannya mengiringi. Kemalangan jalan raya tentunya. Pesakit luar, tidak ditahan di wad. Tentunya itu yang dimaksudkan Makwe Lesu seorang pesakit yang sedang dirawatan doktor tadi.
2027; Aku jeling jam di dinding 4:09 pagi. Tolaklah 3:26 dengan 4:09. berapa minit; Itulah khidmatnya di hospital kerajaan dalam bab kecemasan; Kenapa tidak terus dirawat, tak cukup katilkah, Doktor cuma seorangkah? Isk! aku ini nak minta dirawat atau merawat keadaan hospital.
Tapi apa cerita pesakit yang terbaring itu. Sudahlah datang sendirian tak berteman. Kot mati pulak dia tak sempat mengucap. Paling sedih pasangan suami isteri itu, sampai termuntah di ruang menunggu. Entah berapa lama dia menunggu di luar, akupun sudah dekat sejam. Pemuda cina itu, entah berapa kilometer akan menahan sakit, kejap-kejap ke tandas. Tak senang duduk. Semua pesakit ini orang susah tak banyak duit termasuklah aku, kalau tidak aku mesti ke klinik swasta. Mungkin tidak dilayan begini... bebel hatiku.
Itu baru cerita derita kesakitan di luar menunggu .. belum lagi cerita di dalam wad.
- bersambung
iDAN: Nov08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan