Itu baru cerita derita kesakitan di luar menunggu .. belum lagi cerita di dalam wad.
Aku diarahkan berbaring di katil empat. Empat adalah nombor bangsa cina paling ditakuti. Ada yang mengatakan empat itu bermaksud mati. Ada sekitar lapan katil dalam Wad Kecemasan. Tentunya ada lagi katil yang digunakan untuk orang kritikal mungkin di bilik sebelahan. Tak pasti. Katil tiga aku lihat pesakit yang terbaring tadi. Pembantu perubatan lelaki agak gempal sedang memasang alatan yang penuh wayar ke mesin. Penuh di dadanya dengan pelbagai radas pengesan. Sakit dada, mungkin jantung tentunya.
"Encik ada masalah sakit lain ke?, kencing manis?, jantung? atau asma?" Tanya doktor perempuan berbangsa India nampak sebaya denganku. Gempal badannya, putih kulitnya. Masih pekat pelat Indianya.
"Tak ada.."
"Alahan ubat?"
"Tak ada.."
"Sakitnya sejak bila ni?"
"Sejak sekitar jam 1:30 pagi tadi doktor, tak kurang-kurang sakitnya"
"Belum ini ada sakit yang sama?"
"Ada doktor, dua hari lalu tapi tak seteruk ini, saya telan panadol sahaja ianya hilang "
Kemudian dia mengarahkan jururawat yang aku lihat ada tiga empat orang mundur-mandir dalam wad itu. Muda lagi jururawatnya putih bertudung sopan. Selang beberapa minit jururawat tersebut membawa jarum penyuntik ke arahku. Agak besar tabung jarumnya.
"Encik kena suntik di ponggong, sila mengereng & selak sikit seluar Encik..? "
"Hah?... " Jawab aku agak panik. Aku rasa paling akhir aku kena suntik mungkin sekitar sepuluh tahun lalu semasa aku kemalangan motorsikal. Itupun di lengan bukan di ponggong.
"Lepas ini Encik boleh ke bilik air nak periksa air kencing Encik.. kemudian Encik baring di katil nombor satu sana " Sambil jururawat tersebut menghulurkan botol kecil bertutup.
Tidaklah berapa sakit disuntik dekat ponggong, macam gigit semut sahaja, cuma kebasnya terasa. Mesti ubat tahan sakit.
setelah ke bilik air, aku memberikan botol tersebut kepada jururawat tadi dan menuju ke katil satu. Selang sepuluh ke lima belas minit terasa sakit yang nyilu teramat sangat di dalam rusuk kananku makin reda. Sekitar 1:30 pagi hinggalah ke 4:15 pagi menderita. Sampaikan sesak nafas, berpeluh, duduk, baring & berdiri serba tak kena. Memang kuat kesan suntikan itu jika ke doktor panel UPM apakah dia akan suntik ubat yang sama?.. Aku terasa lapang & tidak risaukan lagi akan Malaikat Maut yang selalu mengintai pesakitnya.
Aku nampak pesakit seorang isteri yang muntah tadi, jauh berbaring di katil ujung. Nampak amat tenatnya. Aku nampak seorang kanak-kanak menghampirinya: Tentunya itu anak dia. Semasa di luar aku tak perasan dia ada bersama anaknya. Di Wad Kecemasan cuma dibenarkan seorang mengiringi pesakit. Aku nampak jururawat & Pembantu Perubatan menyediakan katil beroda, macam katil ambulan. Kesian pesakit itu, tentunya lebih lama dari aku menunggu di luar & kini terpaksa di hantar ke wad atau ke hospital lain sebab semakin tenat amat; tak pasti sakit apa.
" Kenapa awak tak datang semalam, bukankah dalam surat ini awak kena datang ke wad ini semalam? " Tanya Dr berbangsa India kepada seorang gadis sekitar 20an umurnya yang tiba-tiba muncul di wad. Agak kuat suara doktor tersebut yang sejak tadi aku lihat duduk-duduk sahaja mengarahkan kerja.
" Memang saya datang semalam, tapi katanya tak jadi buat ujian darah, doktor semalam suruh datang hari ini " Jawab gadis itu, petah dia bercakap nampak ramah & bersahaja.
" Denggi pun ... bertangguh-tangguh siapa iyer doktor bertugas semalam?..." Doktor Wanita India tadi membebel, cakap Melayu campur cakap orang putih.
Memang nampak ruam berbintik-bintik merah di wajah gadis tersebut. Pasti doktor mengesyaki denggi.
Pesakit seorang isteri tadi telah dibawa keluar wad, & jururawat yang tadinya duduk bersebelahan dengan doktor menyediakan botol air untuk gadis yang kena denggi. Selang empat katil denganku. Aku memandang dari jauh sahaja. Pesakit yang sakit dada masih terbaring di katil tapi nampak tenang tak seperti orang yang kritikal. Mana tidaknya dah jenuh menunggu di luar. Silap-silap terlelap lagi. Semua wayar yang berselirat di dadanya tadi telah ditanggalkan. Sekadar ada alat menguji tekanan darah di lengannya.
" Okey.. Encik punya jantung, tak apa-apa semuanya okey, kecuali tekanan darah Encik agak tinggi " Kata Doktor kepada Pesakit dada.
Pesakit yang sakit dada tak banyak cakap terus bangun & mencabut sendiri alat ujian tekanan darah. Dalam hatiku berkata,
".. jika sudah menunggu hampir sejam tentunya segala tekanan akan berubah. Entah seteruk mana pesakit ini berkejar semasa ke hospital & kini sampai sudah kembali puleh... kalau dibedalnya datang angin ahmar bagaimana?.. macam kes aku sampai sesak nafas; hingga sebijik sebijik menarikan nafas pendik ... hingga teringat akan takutnya mati... maka itu kami dekat subuh sanggup berkejar ke hospital..." Dalam hati. Kasihan pun ada melihat Pak Cik ini.
Serangan angin ahmar kini dikenal pasti sebagai pembunuh ketiga selepas penyakit jantung dan kemalangan kenderaan bermotor. Menurut Menteri Kesihatan, orang ramai perlu mengetahui tanda-tanda serangan angin ahmar di peringkat pemulaan bagi mengurangkan kerosakan sel-sel otak. Tanda-tanda serangan angin ahmar ialah sakit kepala, penglihatan kabur, kebas di beberapa bahagian tubuh badan dan sukar bertutur. Mereka yang menghidapi kencing manis, tekanan darah tinggi dan mempunyai kandungan kolesterol tinggi mudah diserang angin ahmar. Purata serangan angin ahmar di negara ini dianggarkan dua bagi setiap 1,000 orang. Ini menunjukkan bahawa 46,520 orang diserang angin ahmar setiap tahun.
Aku tidak memakai jam, mencari-cari jam dinding di dalam wad; Tiada. Rasanya sudah hampir sejam aku di dalam wad. Tentunya lantaran menanti keputusan ujian air kencingku, atau mungkin doktor memang tak mengizinkan aku pulang segera, takut alahan ubat yang disuntik di ponggongku tadi.
Aku memerhati seorang ayah berbangsa India mendukung anaknya, awalnya ibunya masuk sekali ke wad, doktor melarangnya. Dalam wad, pesakit hanya boleh diiring seorang sahaja. Nampak ayah anak tadi menunjuk-nunjuk & menganga mulut anaknya. Dia berbahasa India dengan doktor, doktor pula berbahasa orang putih, Melayu campur India, aku memang tak faham.
"Encik Haridan sila ke mari " Panggil doktor. Aku bergegas bangun & duduk di bangku sebelahan meja doktor.
"Sakit lagi tak? "
"Okey dah baik, tak rasa sakit "
"Encik kena pergi X-ray di Pusat Kesihatan, saya kasi ubat untuk dimakan dan ubat yang ini nanti waktu pejabat Encik ambil di Farmasi hospital ini " Dia menghulurkan nama-nama ubat kepada jururawat yang duduk bertiga tak jauh dari mejanya.
"Apa masalah sakit saya doktor, appendix ke? "
"Tak pasti "
"Batu Karang? "
"Nanti X-ray baru tahu "
Aku bangun & mendekati jururawat yang semuanya pangkat anak. Tak seorang pun mahu senyum. Tenguk wajah machooku macam orang asing!.
"Bila agaknya saya boleh pergi X-ray? " Tanya saya kepada jururawat sebab doktor macam kabur!.
"Bila sesuai iyer ... " Jururawat bertanya kepada kekawannya.
"Kalau esok Encik nak pergi, tak tahu lagi kesan ubat ini ... Pusat Kesihatan kat Jalan Semenyih tu tak buka X-ray Sabtu & Ahad kot... Encik elok pergi hari Isnin " Jururawat tak pasti, doktor senyap sahaja.
Jururawat menghulurkan empat jenis ubat untuk ditelan & sebotol ubat untuk dibancuh dengan segelas air. Bersama dua keping surat, satu ubat yang perlu diambil di farmasi & satu lagi surat untuk X-ray. Aku pun mengucapkan terima kasih & berlalu keluar.
Aku lihat Mila dah lena di kerusi. Aku mengejutkan dia & menarik pintu menuju ke parkir.
"Apa doktor kata? "
"Tak pasti Mila, tapi dia kata bukan Appendix... mungkin juga batu karang " Aku berbohong sekadar menyedapkan hati sendiri.
" ... nanti X-ray baru tahu sakit apa! ... biar ayah pandu, sudah tak sakit dah.. " Aku mencapai kunci dari tangan Mila.
Kereta Avanza Kemek telah penuh embun jantan, bila aku hidupkan enjin nampak jam telah 5:44 pagi. Empat lagi nombor hujungnya. Alahai berapa jam aku telah berada di hospital.
"Cina yang sakit tu tadi Mila tenguk dia balik ... mungkin tak tahan & pergi ke klinik lain! " Mila bersuara.
" Haa ahh! " Aku menjawab pendik, memang aku tak nampak dia masuk ke wad, aku bersuara dalam hati.
Aku terbayang wajah sakit pemuda cina itu & terfikir, beginilah layanan jika cuma bayar seringgit!. Kalau klinik swasta mungkin lebih cepat & mesra layanannya tapi kalau kes kecemasan emmm..! terpaksa juga berkejar ke hospital; Kira sudah bersyukur amat sangat, aku telah puleh dari sakitku, Itu yang sepatutnya; Sabar-sabarlah & banyakkan bersyukur. Malaikat Maut sekadar mengintai, jangan panik sangat nanti dia akan datang juga cabut nyawa kita...tapi esok, lusa bagaimana?. Masih sakitkah aku.
- bersambung
origami
Posted on 22.11.2006 3:57 AM
Posted from Malaikat Maut Mengintai Selalu 3 ( Siri Famili )
Nilai Kesihatan Kita RM1?
Saudara iDAN, saya boleh buat satu kesimpulan ke atas cerita saudara walau pun belum ada kesudahannya. Berginilah nasib saudara dan saya dan berjuta-juta yang lain dalam hal mencari bantuan perubatan di waktu kecemasan.
Puncanya adalah sikap orang kita sendiri dalam melayan pesakit dan sistem pengurusan sesuatu hospital itu. Kita tolak tepi tentang bayaran, kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan dari segi rawatan kesihatan adalah mencukupi, pembiayaan kemudahan ini datangnya dari cukai-cukai yang saudara dan saya keluarkan tiap-tiap tahun, jadi, bukankah wang kita merupakan sebahagian dari peruntukan tersebut? Dari segi logiknya bukankah kita juga membiayai segala kemudahan yang disediakan termasuk para pekerja kesihatan? Dan bukankah dengan adanya kita yang memerlukan bantuan, keperluan mereka baru ujud? Jadi, tidak ada sebab mengapa doktor, jururawat dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam profesion ini tidak dapat melaksanakan tugas mereka bersungguh-sungguh.
Gaji, elaun dan apa saja kemudahan yang mereka perolehi datangnya dari mana, kalau bukan dari peruntukan kerajaan yang datangnya dari mana, kalau bukan dari cukai-cukai dan sebahagiannya dari kita juga! Kekurangan petugas-petugas pada luar waktu pejabat adalah hanya urusan pentadbiran sahaja. Saya rasa tiap-tiap hospital sudah ada statistik bertahun-tahun untuk menentukan keperluan petugas waktu luar pejabat untuk melayan kes-kes kecemasan. Tapi saya rasa tiada usaha yang kukuh di buat untuk memastikan penyediaan petugas yang mencukupi.
Jangkamasa yang panjang yang saudara lalui semasa di hospital itu adalah kerana kekurangan petugas dan pesakit pun ramai. Saya rasa ini bukanlah pada hari itu sahaja, tetapi perkara biasa. Bukankah sampai masanya pihak pentadbir hospital membuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini? Dan bukannya sudah tiba masanya "petugas-petugas" kita hospital itu mengubah sikap sekiranya mereka tahu siapakan "tuan" mereka sebenarnya? Nilai kita bukanlah RM1 sepertimana yang mereka anggap. Salam hormat.
iDAN: Nov08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan