22 Disember 06
"Bagus lagi cerita Diamond Girl Angah! " Terkadang aku panggil Aziq .. Angah.
"Haa ahh..! ayah yang pilih..." Dia bersungut lantaran cerita With Love agak kurang sesuai untuk tontonan keluarga.
Siri drama Jepun yang aku beli di TESCO memang payah nak mengagaknya. Di kulit VCD yang terdapat 9 keping semuanya tulisan cina, bergantung dengan gambar sahaja sememangnya payah mengagak cerita di dalamnya. Diamond Girl memang menarik ceritanya. Pelakonnya utamanya Alisa Mizuki memang berkesan wataknya. Ada moral cerita yang baik. Kisah kehidupan syarikat guaman yang menarik. Tapi With Love - Cinta Internet juga 9 keping VCD agak banyak adengan ranjang & kecurangan cinta yang & kelonggaran moral cinta & cerita.
Alisa Mizuki
Leka menonton Drama Jepun hingga lewat malam tiba-tiba terganggu lantaran sakitku menyerang lagi. Dari Jam 10:00 malam memang terasa sakitnya tapi aku bertahan. Tetapi apabila kira-kira jam 1:00 pagi aku bagaikan tidak tahan lagi. Mahu mengejutkan Afiz atau Aziq tak sampai hati. Tidak sampai hati mahu menganggu mimpi manis anak-anak. Mahu telefon Mila kasihan pula takut dia risau di Pulau Carey. Sememangnya bila dia berada di Pulau Carey, tiada e-mel cinta tiada SMS ... terasa amat akan betapa jauhnya nilai cinta di hati seorang kekasih yang bergelar isteri. SMS yang saban hari dia kirim amat payah sesat ke telefon bimbitku. Kalau ada SMS pun cuma kepada Aziq atau Afiz. Itu aku perasan. Apatah lagi aku pun bukan jenis orang yang menyukai telefon bimbit, jika aku buka telefon bimbitpun sekadar terdesak ingin menggunakannya.
Amat berbeda cinta sebelum pernikahan & cinta yang makin ke hujung usia begini. Bagiku cintaku makin bersemarak tapi nampaknya bahang cintaku bagaikan merentongkan serinya cinta seorang kekasih. Ah! kenyanyukkan seorang pesakit tua. Titik.
Bila aku terkenangkan tangis Arwah Apak ketika Arwah Emak pergi; aku amat mengagumi cinta Arwah Apak. Biarpun dia punyai lebih dari seorang isteri, tapi jelas dia amat kehilangan cintanya terhadap Arwah emak. Aku tahu cinta Arwah Apak tak pernah berpura-pura terhadap Arwah Emak. Cintanya kepada Cik Peah sekadar sikap remajanya. Cinta Arwah Apak kepada Opah Bi lebih kepada ingin membantu Opah Bi. Tak sama cinta Arwah Apak kepada Arwah Emak.
Bila aku kenangkan cinta Mak Mertuaku terhadap Arwah Pak Mertuaku, aku masih tertanya-tanya akan hujungnya. Aku tak nampak langsung Mak Mila menangis ketika pemergian Arwah Pak Mertuaku, malahan aku lebih terkesan akan tangisan isteri muda Arwah Pak Mertuaku yang sampai kini aku tak tahu di mana dia berada. Seolah-olah cinta keluarga mertuaku pecah lantaran keputusan Arwah Pak Mertuaku nikah lagi seorang di akhir hayatnya. Mungkin juga Mak Mertuaku tidak mahu menunjukkan kesedihannya. Meraung menangis ketika kematian itu selalunya orang India. Tetapi berbeda dengan Opah Bi & Arwah Apak bagaikan melimpah tidak hentinya kehilangan cinta di hati mereka. Aku teringat Arwah Opah Bi meraung menangis ketika pemergian Arwah Apak.
Apakah semua poligami ini akan pincang & payah menimba akan kejernihannya.
Selain cinta terhadap Allah Azzawajalla , bagiku dalam hidup ini seharusnya hanya ada satu cintaku terhadap seseorang. Mutlak untuk seorang kekasih yang kini bergelar seorang isteri; Sayogia usiapun makin ke akhirnya. Tua. Jika dalam usia yang mencecah 40an masih memikirkan kesepian & cinta lain rasanya dunia ini pasti menuju ke arah kiamat. Aku tak faham kenapa seusia begini masih ada kalangan suami atau isteri mengejar cinta lain. Apakah tidak cukup cinta yang dianugerahkan Ilahi. Setua ini. Apakah Jodoh yang telah melahirkan Zuriat ini masih silap. Apakah yang masih ada bagi isteri atau suami ke arah lain sedari cuba membahagiakan anak-anak. Mengikut kata hati & membiarkan seisi keluarga terpisah & terbiar akan kasih sayang.
Bila aku terbaca akan kisah Mak Mertua yang kian mendesak meminta bantuan kewangan kepada seorang anak perempuan yang telah bernikah. Aku teruji & terfikir, apakah perjalanan hidup ini amat perlunya mengumpul harta. Apakah wang ringgit itu amat perlu untuk keluarga yang ditinggalkan oleh seorang isteri sampai memiskinkan keluarga sendiri. Apakah tanggungjawab seorang anak perempuan itu masih amat perlu terhadap keluarganya berbanding rumahtangga, suami & anak; Apakah dalam saranan agama Islam itu ramai kalangan pasangan suami isteri tidak amati. Anak lelaki yang diutamakan menjaga ibu & ayah. Bukan anak perempuan. Isteri seharusnya mengutamakan suaminya berbanding keluarga sendiri.
Aku sering mendengar masalah yang sama, aduan yang sama dari kawan & taulan. Isteri terus membantu keluarga hinggakan suami tak langsung punya simpanan. Apakah kata-kata ini tidak ujud.
"Ani berkerja semata-mata ingin membantu abg & keluarga; Keizinan abg untuk Ani berkerja tidak akan Ani persalahgunakan.." Pernah ayat ini diceritakan olah temanku dilafaz oleh isterinya. Bagi isterinya suami bagaikan Tuhan ke dua. Selebihnya dia tidak pernah hiraukan selain keluarga. Memang aku melihat akan kebahagiaan mereka.
Huh! sakitku semakin kuat; aku telah menelan ubat tahan sakit telah 3 biji. Makin bertambah sakit. Berbaring mengiring ke mana pun sakit. Berdiri apatah lagi. Nafas memang semakin payah. Aku sekadar dapat banyak berdoa, agar aku lebih kuat & dapat bertahan hingga siang esok. Lagipun kad pengenalanku & semua dokumen entah cicir di mana. Aku syak di makmal. Aku telah tefeon Eris kot tercicir di dalam keretanya. Bagaimana tanpa kad pengenalan mahu mendapat khidmat doktor.
Afiz & Aziq lena tidur, aku naik ke tingkat atas & turun ke bawah. Mundar-mandir menahan sakit sendirian.
Aziq makin pandai mengail & memintal cacing ke mata kail.
Awal pagi, setelah syolat subuh aku terus berkejar ke tempat kerja. Pelupa aku ini rupanya. Beg duit & pengenalan diri ada terletak di meja tulis di makmalku. aku membawa akan filem X-ray. Aku mereka-reka ke mana mahu aku pergi mendapat rawatan; apakah ke Hospital Kajang lagi; emmm! .. telah lebih 10 jam aku menahan sakit. Tahankah lagi. Aku terfikir pergi ke Pusat Kesihatan UPM (PkUPM). Kebetulan Pak Wahid pun sakit gigi & mahu ke klinik yang sama; pada awalnya sememangnya aku ingin mengajak Fairuz menemaniku. Fairuz memang pembaca Forum Pancing yang setia. Baca saja forumku, dia tahu aku sakit; terus telefon ku...
"Tak apalah Fairuz terima kasih!.." & aku terus ke PkUPM.
Pak Wahid perasan nombor tiketku untuk berjumpa doktor ujungnya 4. 1094. Empat nombor mati katanya... Asyik kena sakat aku ini.
"Tekanan darah Encik terlau tinggi..! " Aku diam sahaja. Nampak sopan sangat doktor perempuan yang tentunya hampir sebayaku.
"Apakah Encik sebelum ini ada masalah Tekan Darah Tinggi "
"Tak pernah, saya kerap juga pergi buat ujian tekanan darah.." Kataku dengan kesakitan yang makin reda.
"Kena beri suntikan & ditahan di Wad Kecemasan " Huh! wad yang sama lagi.
"Mungkin kerana Batu Karang, sampai membuatkan tekanan darah Encik berubah "
Aku dibawa oleh pembantu doktor ke Wad Kecemasan. Katil 4. Nak buat macam mana memang asyik nombor itu. Aku terbaca di internet, Darah Tinggi antara punca Angin Ahma menyerang. Strok menyerang. Padanlah nafasku sesak tiapkali sakit.
Aku memang tak sabar untuk discan cara ultrasound. Tapi kata doktor tadi, semalam dia buat panggilan sendiri, ke Hospital Serdang lagilah lewat 16 Januari baru ada kekosongan bagi pesakit di PkUPM membuat scan ultrasound itu.
Aku cuba terlelap di Wad Kecemasan, anehnya ... tiap kali aku pejamkan mata. Asyik nampak bayangan kerenda yang diusung orang. Apatah lagi dalam Wad Kecemasan cuma aku seorang sahaja. Wadnya jauh lebih besar & selesa berbanding Hospital Kajang. Kebas cucukan jarum suntikan diponggong masih sakit. Tapi sakit di dalam diri makin kurang.
Hampir sejam & jururawat amat muda yang mungkin pelajar tahun akhir datang membawa alat ujian tekanan darah.
"Okey dah kot & mestinya saya boleh balik "
"Nanti dulu takut bila Encik bangun... pening & boleh tumbang... nanti saya tanya doktor " Mungkin dia perasan tekanan darahku tak normal.
Beberapa Minit kemudian baru aku diarahkan berjumpa doktor di pintu 5. Doktor perempuan yang amat sopan yang sama.
"Tekanan darah Encik masih border, masih tak terlalu baik tapi menurun sedikit berbanding tadi, saya kasi dua ubat satu tahan sakit & satu lagi ubat untuk cuba pecahkan batu karang tu " Aku diam sahaja.
"Jika berulang lagi sakitnya Encik boleh datang sini untuk suntikan atau apa-apa ikhtiar sementara menunggu scan ultrasound itu.. "
Aku mengucapkan terima kasih & ke kaunter 8 untuk mengambil ubat. Aku tertembong Ana yang sememangnya berterusan mengambil ubat di PkUPM. Diabetes. Aku terfikir bagaimana layanan di UPM berbanding Hospital Kajang, memang antara langit & bumi, & ubat yang diberipun amat berbeda. Tahan sakit & Rowatinex. Apakah akan pulih segera dengan ubatan ini. Emmm! sakitnya telah terbiar lebih dari sebulan. Bolehkah. Yang Pasti sakit & penantian aku masih panjang! & aku memang takut akan bayang-bayang itu.
- Bersambung
iDAN: Nov08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan