5:11 Ptg 1/21/2007
Dekat sahaja jaraknya Pusat Kesihatan UPM & hospital Serdang, takkan lebih empat kilometer mengikut ladang MARDI. Aku terus dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Serdang. Ramai sangat orang, Pesakit Kritikal bercampur aduk dengan pesakit luar.
" Abg iDAN kat mana ni? Apa kata doktor.." Tetiba sahaja aku terima panggilan dari Fairus.
" Sedang kat dalam ambulan ini menuju ke Hospital Serdang, doktor tak kasi abang kau ini duduk rumah, darah tinggi aku ini naik "
" Wad apa tu... "
" Wad Kecemasan, nanti kalau kena tahan kat wad aku telefon Fairus!... dah sampai hospital ni " Aku terus mematikan telefon, bateri pun tinggal sedikit, lagipun malas diganggu ketika begini.
Memang cantik Hospital Serdang, aku tak pernah sampai ke Hospital Serdang. Mana tak cantiknya baru sangat beroperasi.
" Abang pergi ke kaunter itu kasi surat yang doktor kasi tadi... kami balik dulu " Pesan rakan pemandu sebaik sahaja aku dihantar di muka pintu Wad Kecemasan Hospital Serdang.
" Terima Kasih!.." Aku melihat ambulan berlalu. Badan ketika itu sememangnya rasa melayang sahaja. Pandangan mataku pula bagaikan berpinar-pinar. Sememangnya bila darah tinggi naik, akan terasa diri akan melayang, pening & pandangan mata kabur. Apatah lagi sendirian menerokai saat sakit begini. Tidak ada siapa menemani, aku kena redah sendiri. Kalau aku rebah pun tentunya ada yang akan memimpinku. Harap-harap begitu sebab aku berada di Wad Kecemasan kini.
Bau ubatan di Wad Kecemasan memang akan tambah menyesakkan nafas. Aku menghulurkan surat Dr Datin ke Pembantu Perubatan yang berpakaian seragam serba biru. Tak kurang ada lebih dari tiga orang Pembantu Perubatan di wad tersebut. Di samping beberapa orang Pembantu Hospital, pakaian biasa & seragam putih.
" Encik duduk di bangku menunggu depan tu nanti kami panggil nama encik "
Aku terbayang saat yang sama semasa aku di Wad Kecemasan Kajang dinihari November lalu. Entah berapa lamalah aku terpaksa menunggu. Kali ini aku tidak berapa cemas, tadi awal pagi aku telah telan ubat darah tinggi & tahan sakit. Ke Pusat Kesihatan UPM sekitar 10:45 pagi; Kini baru jam 11:44 pagi rasanya aku boleh bertahan. Tiada serangan batu karang di buah pinggangku tidaklah merisaukanku.
Di bangku menunggu ada dalam belasan orang. Selain aku, ada empat lima orang yang nampak dalam kritikal. Yang sekadar menemani. Dua orang pesakit duduk di kerusi roda, Salah seorang darinya, wanita sekitar 30an nampak amat uzur. Senyap tak berkata, tak nampak di mana orang mengiringinya. Tak pasti dia sakit apa. Di depanku ada seorang ayah sebayaku dengan anak perempuannya berpakaian seragam sekolah. Sebelah kanan bangku depanku seorang Ibu sedang memujuk anaknya menangis. Kelihatan dia memakai stokin, pasti dalam pantang. Suaminya ada bersama. Segak suaminya, putih, nampak jernih wajahnya & baik lagi sopan orangnya. Ada nyonya muda sebelahku ditemani suaminya. Sebelah kiriku seorang yang agak gempal berkaca mata nampak seorang diri, kejap-kejap bangun menerima panggilan telefon. Nampak mulutnya herot macam ditarik. Sakit sangat nampaknya. Emm memang sesak dengan pesakit.
Semuanya senyap sepi melayan fikiran masing-masing, hanya Pembantu Perubatan yang ke hulu ke hilir membuat rawatan.
Memang ada notis agar pengunjung mematikan telefon bimbit, tapi perbagai bunyi nada dering aku dapat mendengari. Sesekali Pembantu Hospital yang duduk di kaunter menegur juga tapi degilnya pengunjuung memang terusan mengabaikan notis di dinding.
" Sila Bersabar Kami Mengutamakan Pesakit Yang Kritikal Untuk Dirawat " Aku terbaca notis warna hijau tertempal di dinding.
Aku nampak lagi notis yang tertulis di pintu " Laluan Tidak Kritikal ". Isk aku silap masuk pintu ke?. Aku bangun & menekan suis di pintu utama; Aku mundur mandir di luar, mencari-cari jika ada pintu kecemasan. Memang tiada. Aku masuk kembali ke tempat di mana aku harus menunggu & bertanya kepada Pembantu Hospital. Apa maksudnya " Laluan Tidak Kritikal ".
" Biasanya jika pesakit yang tak boleh bangun yang dihantar ambulan... kemalangan umpamanya barulah kami akan terus ke Wad Bedah di mana doktor akan terus merawat mereka, Laluan Tidak Kritikal kami kena buat rawatan juga sebelum berjumpa doktor bertugas " Aku diam sahaja. Aku dihantar dengan ambulan tapi boleh bangun. Maknanya kena melalui rawatan daripada Pembantu Perubatan sebelum ketemu doktor.
Nasib aku pasti akan sama seperti di Wad Kecemasan Hospital Kajang. Entah berapa jam aku terpaksa menunggu... sabar sajalah, lagipun tiada pun nampaknya bayang Malaikat Maut mengintai aku; Bisik hatiku. Memang ada lojiknya kata Pembantu Hospital. Jika setiap pesakit terus sahaja dirawat pasti tak menang tangan untuk doktor merawatnya. Berapa ramailah doktor yang ada. Pesakit jantung, asma, atau kemalangan jalanraya yang tidak lagi boleh bertahan, terkapar & diusung, itu yang kena didulukan tentunya.
Ada sekitar lima buah bilik untuk Pembantu Perubatan membuat rawatan kecemasan. Salah satu bilik kelihatan seorang lelaki India agak tua sedang dirawat. Selang beberapa ketika dibawa dengan kerusi roda oleh anaknya, tentunya ke wad rawatan untuk ketemu doktor. Tempat aku menunggu itu ibarat tempat saringan sebelum ketemu doktor. Jika benar-benar amat kritikal barulah dapat segera ditahan di wad seterusnya untuk rawatan terapi.
Memang bosan tiada teman berbual, aku sekadar memerhati pengunjung. Aku melihat pasangan yang membawa anak baru lahir tadi dipanggil. Kedua-dua suami isteri masuk ke bilik rawatan yang cuma ditutup dengan langsir berwarna merah jambu. Selang beberapa ketika keduanya keluar & membiarkan cahayamata mereka dirawat oleh Pembantu Perubatan. Seketika. Terdengar cahayamatanya menangis mungkin kena suntikan atau lapar susu. Ibunya kelam-kabut masuk ke bilik rawatan & barulah terhenti tangisan anak tadi.
Di luar kelihatan ambulan membawa seorang yang tidak sedar diri, berlumuran darah diiringi dua tiga orang saudaranya India. Ianya terus dibawa dengan katil beroda tentunya terus dimasukan bilik bedah.
Bilik rawatan yang lagi satu dipanggil pula lelaki gempal yang mulutnya herot tadi, dari celahan langsir aku nampak Pembantu Perubatan bersama rakannya meletakkan perbagai corong & kabel di dadanya. Apakah masalah jantung?.
Jam 12:55 tengah hari barulah namaku dipanggil.
" Maaflah Pak Cik agak lama baru kami panggil " Pembantu Perubatan perempuan muda berkacamata bersuara. Emmm bila dipanggil Pak Cik terasa aku ini makin tua.
" Tak apalah, saya faham ramai sangat pesakit "
" Itulah pasal, kami ada doktor dua orang sahaja, bila ada kemalangan jalanraya memang jadi macam inilah, hari ini sudah ada dua kemalangan " Dia membaca surat Doktor Datin.
" Kena tekanan darah tinggi ni, kejap iyer! saya periksa tekanan darah Pakcik " Dia meneliti lagi surat Dr Datin.
" Maaflah baju lengan panjang saya ini ketat, perlu tak saya buka baju? "
" Tak perlu Pakcik! " Sambil membalut Otoscope ke lengan sebelah kiri aku. Aku berdiam diri tidak berkata-kata & menenangkan diri & melegakan pernafasan.
" Masih tinggi lagi tekanan darah Pak Cik ..! "
" Emmm tak tahulah saya, mungkin sudah tua, melarat pula sakit ini, asalnya masalah buah pinggang saya sahaja, mungkin batu karang buat kencing saya berdarah; bagaimana dengan jantung saya? "
" Jantung tak pasti lagi, tapi biasalah Pak Cik darah tinggi akan melibatkan semua; Ini pun sudah 170/110 lebih, kalau sampai ke 200/130 boleh strok, bila paling akhir Pak Cik didapati berdarah air kencingnya "
" Tiga minggu lalu kot, dulu tak sampai dua minggu mesti saya kena serang sakit di buah pinggang saya ni, jika kena serang pasti kencing saya berdarah "
" Macam inilah Pak Cik, lepas ini Pak Cik boleh rihat di bilik sebelah, setengah jam lagi kita buat sekali lagi ujian tekanan darah Pak Cik, Pak Cik pergi daftar untuk berjumpa dengan doktor dulu, dalam jam 1:30 tengah hari ingatkan saya jika saya lupa "
Aku beredar dari Bilik Rawatan & pergi mendaftar. Emmm 1015 nombor tiket yang aku miiki. Baru nak berjumpa doktor. Di ruang menunggu ada tiga kali ganda orang yang menunggu untuk berjumpa doktor. Tak sanggup nak lihat perbagai ketenatan pesakit di wad kecemasan ini. Aku masuk ke bilik kecemasan yang tanpa penghuni. Berbaring sambil menghidupkan telefon bimbitku. Aku memperlahankan nada dering & menghidupkan gegaran di telefon bimbitku. Mengelamun & berfikir. Jika begini lewatnya mendapat rawatan doktor, mesti aku terlepas dari tahanan wad lantaran tentunya tekanan darah tinggiku nanti akan menyusut. Memang aku malas sangat nak tidur di wad.
- Bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan