...jangan panik sangat nanti dia akan datang juga cabut nyawa kita...tapi esok, lusa bagaimana?. Masih sakitkah aku.
Aku melewati jirat cina yang paling berhantu di dunia. Meredah kabus & titisan embun jantan. Suluhan lampu Avanza Kemek (Bilalah Mila nak betulkan kemeknya Avanza ini) mengejutkan kelelawar yang terbang tinggi rendah hilang di celahan gerbang jirat. Kejap lagi azan subuh; jadi tak seram sangat, mesti hantu cina akan lari. Hantu syaitan memang takut dengan gema azan. Sakit di rusukku pun kian puleh. Rasa kebas di ponggong angkara suntikan jururawat lawa sahaja yang masih tidak hilang. Mila sebelah macam biasa, senyap; Sepi: Tidur-tidur ayam. Payahnya nak berbual.
"Nasiblah Mila ada kat rumah malam ini, kalau tak macam manalah ayahnya nak pergi hospital... kan? !" Aku tahu mesti Mila tak jawab.
"Memang inilah satu dari sebab yang amat payah jika tiada suami atau isteri berjauhan, emmm! bila sakit!, siapa kita nak suruh hantar ke klinik... " Aku tahu mesti aku akan bercakap seorang diri, silap cakap baru Mila akan menjawab nanti mesti kena sebijik. Bab sindir ini memang Mila cepat terasa.
" Kalau Mila di Pulau Carey tu, sakit di tengah malam, siapa iyer nak hantar… memang kena ada sentiasa telefon bimbit di sebelah bantal ... senang capai, tapi kawan mahu ke berjaga malam hantar kita ? " Aku mula malas nak bercakap sendiri. Saka gila sudahlah aku ada. Kot cepat jadi gila pula. Sungut seorang-seorang.
Aku jeling Mila masih celik mata, wajah mengereng ke tingkap Avanza berembun. Aku teringat akan telefon bimbit Mila. Dia tambah nilai tentunya lebih RM100 masa nak raya lalu; sebab perkhidmatannya lebih dari 3 bulan akan tamat. Memang telefon bimbit kawan rapat dia, tak boleh berjarak; Seminggu mesti akan masuk SMS lebih dari tujuh puluh, mungkin beratus! Urusan pejabat pun melalui SMS, belum adik-beradik, keluarga & jiran. Dahsyat zaman sekarang, klik-klik huruf kena belanja ratusan RM. Belum lagi kes cakap berbayar. Bergayut dengan telefon berjelalah billnya.
Aku pula, nak dapat satu SMS seminggu pun payah, kalau ada talian yang datang asyik nak pinta tolong, minta tolong baiki komputer. Minta tolong... minta tolong sampaikan aku fobia nak buka telefon bimbit. Jauh sekali dapat SMS dari kekasih. Kalau SMS Mila ujud pun mesti kes meraban, kasi tahu nak lewat balik, nak pergi sana, nak pergi sini. Huh! lemas nak baca. Ataupun aku panggil SMS pisau. Menghiris hati.
Memang hati seorang aku amat rindukan kata-kata kasih dari seorang kekasih. Mesti ada seseorang yang perasan dari kalangan pelayar journal@blog aku ini terbaca akan SMS cinta lara dariku. Alahai!. Bagi mereka yang bercinta pastinya asyik dengan SMS kekasih.
Anak-anak semua tidur lena, aku menelan ubat-ubat yang diberi oleh hospital dan surat untuk pergi X-ray itu ada cop nama doktor berbangsa India, ada a/p makna bukan nama orang kristian. Aku membancuh ubat cair yang perlu diminum tiga kali sehari. Rasa air kelapa. Bila aku congak-congak ubatan tersebut, Cuma bekalan dua hari, Sabtu & Ahad bagaimana. Terutama ubat tahan sakit. Habis ubat nanti kena telan panadol tentunya. Cuma ada satu jenis ubat macam antibiotik, itu yang banyak mahu lima hari tak habis. Biasanya antibiotik kena dihabiskan.
Telahan aku betul, habis sahaja tempoh 8 jam, aku diserang kembali rasa nyilu menyucuk-nyucuk. Tak boleh putus ubat.
Tidur sekadar dua jam lebih, doktor pula tak terfikirpun nak kasi surat cuti. Aku kuatkan juga diri ke tempat kerja, sebab Khamis nanti ada pula aku kena jadi Pengawas Peperiksaan. Waktu yang sama ada jamuan hari raya; Satu UPM semua buat gerai makanan percuma. Jadi siapa nak mengganti Pengawas Peperiksaan. Jadual yang bertindih, makan & kerja. Abang Isa awal-awal kata tak boleh. Ina yang memang hobinya makan mana mungkin nak ambil alih tempat aku jadi pengawas peperiksaan.
Dalam sakit aku terpaksa juga menjalankan tugas, kena jadi anak lelaki, kuatkan semangat. Aku bernasib baik ada jamuan di fakulti, jamuan Anugerah Pelajar Cemerlang juga sarapan yang Persatuan Sekerja adakan, bersebelahan dengan dewan peperiksaan.
Jadi aku seorang yang memang degil pasal soal berpantang; bedai semua makanan. Itu rezeki namanya. Mana boleh tolak. Lewat tengahhari peperiksaan tamat; Kebetulan Eris nak ke Kajang urusan pinjaman keretanya. Aku menumpang untuk mengambil ubat baki yang doktor arahkan. Punyalah kelakar, farmasi itu cuma kasi dua biji pil sebesar labuci warna oren; Mesti terlampau mahal kot ubat itu. Kena habiskan dalam hari itu juga.
Sakitku macam itu juga cumanya taklah seteruk semalam;
“Eris inilah kubur Mona Fendi, kalau abang kau ini mati nanti kat sebelah kubur Mona Fendilah dikebumikan ” Gurauku ketika melewati tanah perkuburan Sungai Kantan.
“Ishh! jangan nak buang tabiat!!..”
Balik dari Kajang sekitar jam 3:00 petang ; jadi petang itu aku pengsan tertidur di makmal. Tidur bergaji. Hendak buat macam mana dah sakit sangat.
Jumaat aku rasa selamat sebab hidup bergalas ubat takut mati. Ubat takut mati yang doktor kasi.
Tapi bilamana malam satu kejadian aneh, biar bagaimana redanya sakit, tiap sekitar 1:30 pagi mesti aku terjaga & terus diserang nyilu yang tajam. 1:30 pagi waktu jin bertendang.
Apakah ada gangguan makhluk dalam tubuh sebab sehari sebelum aku kena serang sakit, aku berada di makmal sendirian; Waktu itu aku asyik mencari gambar model Mongolia yang kena bunuh di internet. Akses internet sampai ke jam 1:00 pagi sendirian; malam Rabu lalu. Malam Rabu & malam Jumaat adalah dua malam di mana syaitan paling aktif berpesta. Aku suka juga membaca kisah jin dari buku Tamar Jalis. Dia yang cerita begitu. Aku tak percaya sangat bab-bab tahyul ini.
Tingkat tiga itu memang teramat sunyi. Bila angin kencang setiap tingkap memang mengeluarkan bunyi yang amat seram. Angin yang merembas tingkap bersahutan sebiji bagai bunyi ngilai langsuir. Tambah menakutkan aku jika ianya bersahutan & mendayu-dayu.
Bukan sekali dua semasa aku mahu ke bilik air, sungguh aku terasa seretan kaki mengejar di belakangku, bila aku toleh ke belakang nampak seimbas lembaga anih!. Huh! dah jadi rutin berjaga malam, aku naik lali & tak kisah sangat, tapi mana boleh tak kecut perut. Redah juga ketakutan dengan diri bagai telah kena kejutan elektrik; terketar-ketar menuju ke lif. Terbayang cerita Korea ada hantu turun dari bumbung lif . Lagilah seram. Alahai! siapa suruh balik lewat malam sampai jam 1:00 pagi. Padan muka aku.
Apakah lantaran itu urat dalam badan terencat!. Perasan aku saja kot.
Sepanjang Sabtu aku menghadiri majlis pertunangan Nurul anak saudaraku. Nurul bekas pelajar Universiti Malaya. Dia bertunang dengan orang Kelantan. Sepanjang hari itu aku terhimpit dengan kesakitan. Cuma tidaklah sampai sesak nafas. Ubat tahan sakit dari doktor semalam telah kehabisan. Telan panadol lagi. Mana nak kebahnya.
Nurul ... anak saudara; cahayamata ke dua Kak Nomie ... berpakaian biru muda..
- bersambung.
origami
Posted on 23.11.2006 11:43 PM
Posted from Malaikat Maut Mengintai Selalu 4 ( Siri Famili )
Gangguan
Saudara iDAN, kelakar juga cerita saudara walaupun dalam kesakitan, terutamanya cerita yang kemungkinan ternampak hantu bila keseorangan di makmal! Pokoknya, kalau sudah tahu benda-benda seperti ini, kenapa buat? Sedikit pandangan tentang hidup "bersendirian" ini. Ya, memang saya setuju berbagai-bagai masalah yang ujud.
Bayangkan urusan harian anak-anak, rumah, kerja, belum lagi masuk bab sakit pening yang terpaksa ditanggung seorang diri. Mana mungkin, kerja-kerja yang sepatutnya dibuat bersama dihayun sendiri? Walaupun pada hakikatnya konsep berpasangan itu berkongsi hidup bersama, kadang-kadang keadaan tidak membenarkan konsep itu berkembang sepertimana yang kita ilhamkan. Walaupun sukar diterima, kita tiada pilihan tetapi meneruskan hidup kita dalam keadaan yang amat sukar dan mencabar itu.
Dalam masa-masa beginilah kepercayaan, kesetiaan dan pengorbanan amat perlu untuk memastikan jalinan hubungan itu dipegang erat. Sekiranya ini tiada, maka terjadilah satu hubungan yang amat repuh yang mudah dipatahkan dengan serangan kata-kata dan perbuatan pihak ketiga. Apa jua saudara, sekiranya ini terjadi, orang di luar hanya dapat memberi nasihat dan sokongan, selepas itu hanyalah kita dan diri kita sahaja yang lebih mengetahui jalan mana yang kita harus lalui. Salam hormat.
iDAN Menulis
Origami
Ada ketika manusia seperti kita tidak dapat tidak akan lemah bilamana kita terleka lantas syaitan yang memang boleh menyerap dalam pembuluh darah kita. Maka itu kita akan mudah lalai malahan terleka dengan pujukan syaitan yang sedari asalnya manusia suka menyesatkan kita.
Syaitan akan mencari kelemahan kita, terkadang lantaran tipisnya iman, terkadang lantaran kepalsuan cinta, terkadang dengan kemewahan kita. Aku adalah seorang yang amat percaya akan keujudan perkara ghaib; Maka itu kejadian temanku Arwah Nasha yang mengantung diri, bagiku; aku begitu yakin lantaran satunya keimanan & pegangan diri selebihnya bukan mustahil kerasukan atau pujukan syaitan yang terkadang kita hilang upaya mencari jalan lurus lagi benar.
Sama juga pasangan kekasih atau suami isteri yang terjemak dengan masalah zina, pastinya ada perkara ghaib atau syaitan telah mempengaruhi nafsu lalu menganggap zina itu perkara biasa. Padahal dosa besar, yang memerlukan perlaksaan hudud jauh lebih berat dari hukuman arak, judi dosa besar yang lain. Makan babi, minum arak kita mudah mengelaknya kenapa zina berluasa malahan kita tidak takutpun mendekatinya.
Kekasih, suami atau isteri sesungguhnya memerlukan cinta ke jalan Allah Nan Esa. Cinta yang berlandaskan duniawi semata tanpa terfikir pasangan kita ada teman dunia & akhirat menjadikan kita samar akan matlamat cinta di hati, terkadang dipercampuradukkan dengan orang ketiga yang akan tambah menyukarkan mencapai nilai cinta suci lagi abadi. Maka itu dalam situs aku ini amat banyak aku menyuarakan tentang masalah pasangan bercinta yang matlamat utamanya adalah kesetiaan. Setia dengan cinta di dunia & syurgawi.
Tak kisahlah terkadang desakan hidup atau kerjaya lebih utama dari cinta hingga sanggup berjauhan dengan pasangan. Tapi kena jelas kenapa perlu ujudnya perjarakan yang sementera itu. Berjauhan seharusnya menjadikan kita makin rindu & tambah menyintai kekasih kita. Namun kalau berjauhan hati telah tawar, cinta telah kelam bagi kekasih yang telah jadi suami atau isteri; pasti itu adalah kerasukannya syaitan yang menangis tiap kali dua kekasih diijabkabul. Cinta bagi kekasih yang bergelar isteri adalah hanya untuk suami kerana jodoh itu bukannya ketentuan hati atau diri kita. Jodoh adalah ketentuan Tuhan Nan Satu.
Pasangan di negara kita amat ramai mempermainkan ketentuan Ilahi ini. Rata-rata adalah lantaran kabur akan cinta suci di sisi agama. Allah SWT amat menyayangi umatnya yang bercinta lantaran agama. Maka itu pernikahan dalam agama kita adalah bagaikan mendirikan masjid. Masjid itu rumah Allah Azzawajalla. Merobohkan masjid@rumahtangga samalah kita merobohkan rumah Allah SWT.
iDAN: Nov08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan