iDAN
03 Februari 2009
Tiada keinginan buat seks dengan suami (Delima Merkah)
SOALAN
SAYA berumur 24 tahun dan suami 31 tahun. Saya menamatkan zaman bujang ketika berumur 19 tahun dan kini bekerja di syarikat swasta. Saya dan suami mendirikan rumah tangga lima tahun lalu dan dikurniakan dua anak.
Masalah saya sekarang yang menimbulkan kemarahan suami ialah saya tiada keinginan melakukan hubungan seks dengan suami. Saya tidak tahu apa punca sebenar masalah saya. Akibat marah, suami mengugut untuk berkahwin lain.
Dang Setia, adakah saya perlu mengambil ubat atau sebagainya? Apakah cara terbaik untuk saya atasi masalah ini? Adakah kerana berkahwin terlalu awal menyebabkan masalah ini timbul?
Kadangkala saya terpaksa mencari bahan seperti VCD lucah sebelum dapat bersama (melakukan hubungan seks) dengan suami. Tolonglah, saya tidak mahu berpoligami.
Seperkara lagi, suami tidak membenarkan saya berkawan dengan sesiapapun. Saya baru bertukar kerja. Sebelum mula kerja di tempat baru, suami memberitahu semua kenalan pejabat hanya di pejabat saja. Jika lebih daripada itu, dia tidak izinkan.
Ringkas kata, dia tidak percayakan saya. Dia cemburu dengan kawan saya, menyebabkan dia menyekat pergaulan saya.
Untuk pengetahuan Dang Setia, saya kini di negeri kelahiran suami saya tapi suami bekerja di negeri lain. Jadi, saya tiada saudara dan kawan yang dekat dengan saya.
Seingat saya juga, masalah saya dingin seks terhadap suami dan tindakan dia menghalang saya terlalu rapat dengan rakan sekerja, kedua-duanya berlaku selepas suami mula bekerja di negeri lain.
IDA
JAWAPAN
Tidak berminat melakukan hubungan seks secara umumnya mungkin dianggap pelik, namun kajian pakar seksologi membuktikan ia kerap berlaku. Justeru, terbukti ia bukan lagi sesuatu yang pelik atau luar biasa.
Disebabkan ia sering berlaku, masalah dingin seks kini lebih dianggap satu penyakit dan puncanya ada kemungkinan berkaitan secara langsung dengan fizikal atau lebih disebabkan masalah emosi atau psikologi.
Oleh itu, apa yang ingin Dang Setia tekankan, punca puan tidak berminat melakukan hubungan seks dengan suami besar kemungkinan disebabkan puan berpenyakit dan Dang Setia percaya penyakit puan lebih menjurus kepada masalah emosi atau psikologi, bukan penyakit fizikal.
Bila sudah berpenyakit, apa perlu kita lakukan? Tentu saja berjumpa doktor atau pakar untuk mendapatkan bantuan. Jadi, ketepikan soal malu dan berfikir jauh ke depan. Yang harus menjadi keutamaan ialah menyelamatkan rumah tangga puan.
Puan harus sedar, suami mana mampu bertahan atau bersabar jika isteri enggan melakukan hubungan seks dengannya. Puan sayangkan rumah tangga dan tidak mahu berpoligami, jadi tak perlu berfikir dua kali untuk mendapat bantuan pakar.
Pada masa sama, Dang Setia tidak menolak kemungkinan masalah dingin seks yang puan alami turut berkemungkinan disebabkan kurangnya ilmu seksologi, sama ada di pihak puan atau mungkin juga suami.
Disebabkan kurang ilmu mengenai seks, puan gagal mendapat nikmat sebenar apabila hubungan intim dilakukan dan ini menyebabkan puan berasa seks tiada keistimewaannya, sedangkan kepada orang lain, seks itu sangat istimewa hingga ada yang menjadi ketagih.
Semua perkara ini akan didedahkan secara terperinci kepada puan dan suami apabila kalian berjumpa pakar. Jangan lupa, suami puan juga perlu hadir kerana ada kemungkinan masalah yang puan alami berpunca daripada ‘kelemahannya’.
Lagipun, melakukan hubungan seks adalah aktiviti membabitkan dua pihak dan kedua-duanya ada peranan masing-masing yang perlu dilaksanakan. Jika satu pihak gagal berfungsi dengan baik, pihak satu lagi turut menerima kesannya.
Mengenai masalah suami yang puan sifatkan terlalu cemburu pula, bagi Dang Setia, komunikasi dua hala yang berkesan dan bijaksana adalah pendekatan paling sesuai untuk mengatasi masalah ini
Puan perlu banyak bersabar dan jangan cepat menyanggah arahannya. Sebaliknya, cari masa sesuai untuk mengajak suami berbincang mengenai rasional atau kewajaran sikapnya.
Perlu ada tolak ansur dalam hal ini. Katakan padanya, hidup di dunia memerlukan kita bergaul dengan anggota komuniti kita, sama ada di rumah atau pejabat. Jika tidak berbuat begitu, kita dianggap kera sumbang, tidak tahu bermasyarakat, malah boleh juga dianggap tidak normal.
Secara rasional, sukar untuk puan mematuhi permintaannya 100 peratus.
Namun, apa yang suami puan perlu tahu, dalam bergaul dengan kejiranan dan rakan sepejabat, ada batas tertentu yang puan perlu patuhi sebagai wanita, lebih-lebih lagi sebagai isteri.
Oleh itu, yakinkan suami bahawa puan tahu batasan itu dan akan mematuhinya 100 peratus. Setiap suami isteri perlu ada sikap saling memahami, mempercayai dan bertolak ansur. Ini keperluan wajib. Tanpanya, rumah tangga akan goyah dan keharmonian sukar dikecapi.
Akhir sekali, ingin Dang Setia tekankan sekali lagi, kesabaran dan kematangan puan penting untuk mengendalikan dua masalah puan. Pastikan puan tidak bertindak mengikut emosi dan gunakan kaedah betul untuk mengendalikan setiap masalah dihadapi.
Harian Metro
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan