iDAN

25 Mei 2009

Kahwin ‘ekspres’ rosak masyarakat

KUALA LUMPUR: Gejala perkahwinan ‘ekspres’ dan ‘suka-suka’ tanpa mengikut peraturan ditetapkan lebih menjurus kepada pembentukan sebuah institusi masyarakat semakin rosak, apabila zuriat dilahirkan tidak didaftarkan mengikut peraturan ditetapkan.

Malah, gejala itu dikatakan menjadi perkara lazim apabila bukan saja ramai pasangan remaja dan berusia boleh hidup bersama atau berpisah walaupun perkahwinan mereka sudah jelas tidak mematuhi peraturan.

Ketua Unit Tindakan Khas (UTK) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata gejala perkahwinan ekspres kerap berlaku apabila pasangan terlanjur dan hamil.

“Kegiatan ini dilakukan sebagai jalan pintas menyelesaikan masalah tanpa mengambil kira masalah yang bakal dihadapi anak yang dilahirkan pada masa depan,” katanya.


Beliau diminta mengulas laporan Metro Ahad semalam, berkaitan isu perkahwinan bagi mereka ibarat mainan.

Harian Metro

Nikah main-main
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Perkahwinan bagi mereka ibarat mainan. Selepas terlanjur dan hamil anak luar nikah, mereka berkahwin tanpa mengikut prosedur sebelum masing-masing kemudian membawa haluan sendiri.

Selepas anak dilahirkan, mereka gagal mendaftar kelahiran itu berikutan tidak cukup dokumen, lantas masing-masing terus membawa diri, sekali gus meletakkan masa depan anak dalam keadaan terumbang-ambing.

Itulah gaya hidup ‘cincai’ segelintir umat Islam masa kini menerusi pengakuan seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Syawal, 38, dan ibu muda bernama Shila, 24, kepada Metro Ahad.

Kedua-duanya kini menyesal kerana berkahwin dan memilih cara hidup seperti itu bersama pasangan masing-masing sejak lebih setahun lalu.

Syawal berkata, perkahwinannya benar-benar seperti perkahwinan ‘main-main’.

“Kami berkenalan, terlanjur atas dasar suka sama suka dan teman wanita saya hamil. Dia mahukan anak itu dan sebagai mencukupkan syarat, kami berkahwin ala ‘koboi’ dengan dinikahkan ayahnya tanpa sebarang pendaftaran.

“Jika ikutkan kehendaknya, kami tak berkahwin pun tak apa, asalkan dia dapat melahirkan anak yang dikandung,” katanya.

Menurut Syawal, selepas berkahwin mereka hanya berjumpa sebulan sekali, malah kadangkala tidak bertemu sehingga tiga bulan.

“Perkahwinan kami bukan atas dasar cinta dan saya menjadi suami umpama ‘suami pak turut’, justeru masing-masing buat hal sendiri.

“Isteri tidak kisah, walaupun semakin lama semakin sarat mengandung. Saya boleh datang berjumpanya ikut suka,” katanya.

Syawal berkata, apabila tiba waktu isterinya melahirkan anak hasil persetubuhan haram mereka, baru dia benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.

“Saya hantar dia ke hospital dan menyediakan perbelanjaan. Kerana sikap sambil lewa, apatah lagi menganggap perkahwinan seperti ‘main-main’ dan sedar bukan mudah untuk mendaftarkan anak tanpa perkahwinan yang mempunyai sijil, kami tidak mendaftarkan anak kami.

“Dalam tempoh beberapa minggu, ibarat permintaan sudah tertunai, kami membawa haluan masing-masing. Dia tidak cari saya, saya pula tidak cari dia.

“Perasaan seronok hidup seperti orang bujang membuatkan saya langsung tidak memikirkan mengenai masa depan isteri dan anak,” katanya.

Menurut Syawal, masalah kewangan juga menjadi faktor dia tidak dapat memberi komitmen kepada isterinya.

“Kalau tak ada wang, saya rela tidak bertemu mereka. Wang untuk menyara diri sendiri tak cukup, bagaimana nak menyara anak bini?” katanya.

Syawal berkata, sudah hampir dua tahun dia tidak bertemu isteri dan anaknya.

“Entah bagaimana agaknya keadaan mereka. Namun, apa boleh buat, kami sudah memilih jalan sendiri.

“Namun, saya sedar anak daripada darah daging saya itu akan berdepan masalah pada masa depan. Insya-Allah selepas ini saya akan mencari mereka semula supaya anak saya mempunyai pengenalan diri,” katanya.

Shila pula berkata, keterlanjuran bersama teman lelaki sehingga dia hamil anak luar nikah menyebabkan keluarganya memaksa dia berkahwin.

“Saya sebenarnya tidak kisah jika tidak berkahwin asalkan anaknya dapat dilahirkan, tapi selepas dipaksa keluarga, saya terpaksa mengikut saja.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana status perkahwinan saya. Pernikahan saya dilangsungkan dalam suasana ringkas.

“Abang saya menjadi wali dan setahu saya, imam yang menikahkan saya tidak bertauliah serta berasal dari Indonesia,” katanya.

Menurut Shila, selepas berkahwin, suaminya berjanji hendak menjalankan tanggung jawab sebagai suami dan mahu menjaga anak, tetapi tidak sampai enam bulan, masing-masing tiada persefahaman, apatah lagi dalam keadaan suami bergaji kecil.

“Enam bulan berkahwin, suami mula berubah. Duit tidak pernah cukup untuk tampung perbelanjaan kami sekeluarga kerana pendapatannya hanya sekitar RM900. Lebih teruk lagi, suami kuat minum arak.

“Saya pula sering dipukul apabila menegur tabiat buruknya,” katanya.

Shila berkata, dalam keadaan sedemikian mereka bersetuju memilih jalan hidup masing-masing.

“Kami sudah berkahwin tetapi tidak seperti suami isteri. Pada mulanya suami jarang pulang ke rumah, tetapi lama kelamaan, tanpa bercerai kami terputus hubungan selepas dia terus menghilangkan diri.

“Saya lebih senang dengan keadaan seperti itu kerana tidak mahu terikat lagi dengan suami. Yang penting saya ada anak dan mahu menjalani hidup sendiri,” katanya.

Menurut Shila, dia tenang dengan kehidupannya, tetapi kini mula bimbang dengan masa depan anaknya kerana anaknya belum ada sijil lahir walaupun usianya mencecah setahun.

“Selepas melahirkan anak, saya dan suami tidak mendaftarkan anak kami. Selain takut malu, kami bersikap sambil lewa.

“Kesudahannya, sehingga kini anak saya tiada sijil lahir. Namun, kini saya sedar dokumen itu penting untuk masa depan anak saya dan saya akan berusaha membuatnya, walaupun takut,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: