iDAN

06 Mei 2009

Ombak Pasir Bogak (Singgahsana)



Senin memakai kain pelikat berpetak hijau bermain buih ombak di gigi pantai. Langit semakin merah, angin basah dari pulau merembas khemah kami. Khemah dari plastik biru seadanya, memang kami tidak merancang pun akan bermalam di pulau ini. Tetiba sahaja aku terima surat dan kenalanku melalui radio. Katanya dia akan ke Lumut & akan pergi berkelah di Pulau Pangkor dengan rombongannya dari Kelang (Klang).

Aku membuka beg galasku, melihat akan gambarnya bersama kekawan berbaju kemeja putih bergaun labuh batik kemerahan. Aku membaca berkali-kali akan suratnya yang tertulis rapi di kertas roni biru nipis. Hampir lusuh sampul suratnya terselit di beg galasku.

"Jika abg sudi ketemu Mila kita berjumpa di Pasir Bogak Ahad nanti..."

Aku memakai jeans & berkemeja T hitam berkolar kuning bangun menuju ke arah Senin. Berkaki ayam memijak putihnya pasir di pantai Pasir Bogak. Halus & peroi amat pasirnya. Aku mengutip kulit siput yang cantik memasukkan ke dalam ucang plastik. Sesekali aku membaling batu ke laut. Senin perasan aku melayan ombak & perasaan sendirian.

"Apa ada makanan di khemah kita tu... aku laparlah iDAN!"

"Roti, sadin & buah epal banyak dalam beg aku tu..!"

"Habis malam ini kita nak makan di mana iDAN!.."

"Kita makanlah apa yang ada, esok pagi banyak orang berjual; barulah kita boleh makan sedap-sedap" Senin berlari ke khemah, aku terusan memijak buih, memecah & menyelerakkanya menjadi Senin kedua. Sesekali aku berlari anak mengejar anak ketam.

Mentari makin mahu berlindung di dada laut, cahaya merahnya amat cantik melukis awan. Terasa amat damai & rasa amat sepinya pantai ini. Tak ramai penghuninya berkhemah & bermalam di pantai ini. Hanya khemah aku di hujung ini & aku nampak sekumpulan pemuda india duduk berkumpul di pohon Penaga Laut. Di laut para nelayan tampak semakin ramai yang pulang. Damai & sepi pantai ini dapat memujuk hatiku.

Selalunya ketika menunggu magrib begini aku sering sendirian di Bukut Senyum. Desa Tualang lebih dari 80 km dari Pulau ini. Bermandi dengan kenangan lalu memang buat aku basah kuyup dengan rindu.

Dari kampung aku terpaksa menaiki Vespa ke rumah Senin di Batu Tujuh, Jalan Tanjung Tualang. Kemudiah menaiki bas ke Batu Gajah. Dari batu Gajah singgah di Pusing; untuk menaiki bas ke Parit. Dari Parit terpaksa ambil bas ke Bruas. Dari Bruas ke Sitiawan; barulah ada bas ke Lumut. Berapa jauhnya perjalananku. Itulah perjalanannya; ceritera zaman dulu, tak tahulah sekarang sudah banyak bas Expres Parit ke Lumut kot.

Aku memang kerap ke Pulau Pangkor, jika tidak mengikuti rombongan orang kampungku, sering juga ke Lumut dengan keluarga jika ada pesta saban tahun. Pantai yang terdekat dari kampung sememangnya Lumut. Tiada pantai lain. Jika tidak ke Pulau Pangkor kami sering ke pantai Teluk Batik untuk mandi laut. Jadi tidaklah asing sangat bagiku suasana sekitar Lumut & Pulau Pangkor.



- bersambung

Tiada ulasan: