iDAN

07 Mei 2009

Apabila Akhil dan Waheeda main teka-teki (Hiburan)

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my



PASANGAN suami isteri dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua, Waheeda dan Akhil Hayy.

TAHUN lalu, tatkala majlis pelancaran album Nasyid Legenda 2, Akhil Hayy buat pertama kalinya membuka bicara usai mengenai isu pernikahan 'rahsianya' bersama penyanyi dan pelakon terkenal, Norwahidah Abdul Wahab, 31 atau Waheeda.

Ketika itu, asakan wakil media dengan pelbagai pertanyaan berhubung isu pernikahannya dijawab tenang oleh Akhil yang statik dengan jawapan, masih belum beristerikan Waheeda.

Pengakuan tersebut sedikit sebanyak telah meleraikan kekusutan terhadap dakwaan yang kononnya Waheeda berstatus isteri kedua kepada penyanyi dan penceramah motivasi itu.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan selepas pengakuan tersebut, hubungan kedua mereka kembali hangat diperkatakan apabila ada pihak yang mendakwa melihat kelibat mereka keluar menonton wayang bersama.

Persoalannya, di tengah-tengah kehangatan orang ramai menjaja kisah di antara mereka, baik Akhil mahupun Waheeda sendiri masih berani muncul berdua di khalayak ramai.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, baru-baru ini bersama Akhil, Waheeda tampil sebagai salah seorang pelakon dalam siri program berbentuk bual bicara, Cafe Akhil Hayy musim kedua.

Lantas, pada majlis pelancaran siri tersebut yang berlangsung di Restoran Al-Rawsha, Kuala Lumpur, kelibat Akhil yang muncul dengan jubah putih, tiba lebih awal daripada Waheeda yang tampil mengenakan jubah hitam 30 minit kemudian begitu dinantikan.

Ibarat menarik rambut dalam tepung, kedua-duanya kelihatan cukup bersedia menjawab segala persoalan yang diajukan tanpa mahu menimbulkan sebarang spekulasi sampingan di kemudian hari.

Para media yang hadir saling berpandangan, berteka-teki apakah pada majlis yang sama pasangan sensasi itu bakal menamatkan segala 'rahsia' yang terkunci rapi di antara mereka?.

Bukan sahaja peringatan daripada Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar yang menyatakan bahawa ada kejutan yang ingin dilakukan oleh Akhil pada majlis tersebut malah, kehadiran ahli keluarga Waheeda pada majlis yang sama turut menjadi tanda tanya.

Bagai tahu persoalan pokok yang ingin diajukan sedari awal, Akhil membuka bicara: "Baiklah, hari ini saya ingin membuat deklarasi secara eksklusif di depan semua yang hadir pada hari ini dan harap-harap ia dapat menjawab segala persoalan selama ini untuk kebaikan bersama.

"Waheeda adalah isteri saya… dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua yang bernama Honey Al-Zahra," ujar Akhil membantutkan teka-teki mengenai 'kejutan' yang di uar-uarkan sebelum itu.

Menurut Akhil, Waheeda adalah antara nama-nama yang disenaraikan untuk menjayakan program-program di Astro Oasis. Selain mampu menyanyi dan berlakon, kata Akhil, Waheeda juga dilihat sebagai individu yang mampu menyampaikan dakwah dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua.

Biarpun pernah menjawab isu pernikahannya tahun lalu, bersama Waheeda, Akhil sekali lagi ditebak dengan soalan yang sama.

Berkali-kali menafikan, berkali-kali juga para media mengajukan soalan yang sama. Bukanlah niat untuk mengeruhkan lagi keadaan, cuma ingin mendapatkan kepastian terhadap apa yang telah disampaikan oleh sumber, seorang ustaz terkenal.

Dalam pertanyaan ringkas, ujar Waheeda: "Tidakkah anda tahu begitu ramai para pendengki dalam dunia nasyid?. Kami ini manusia biasa yang memang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, bagaimanapun itu di antara kami dengan Allah.

"Lagi satu, kenapalah media selalu tonjolkan isu negatif seperti isu kami bernikah dan tengok wayang sedangkan banyak lagi isu lain yang boleh diperkatakan.

"Dunia ini sememangnya 'neraka' bagi orang-orang yang beriman tetapi 'syurga' bagi orang-orang yang yang kafir," kata Waheeda sedikit emosi.

Mengakui impak besar berhubung gosip tersebut, ujar Akhil, kemana-mana dia melangkah pasti soalan yang sama sering menjadi topik perbualan.

Seperti pengakuan pertamanya setahun lalu, cabaran tersebut tidak ubah seperti tsunami yang melanda lautan yang mengapung bahtera hidup dikemudinya.

"Situasi saya diibaratkan saya di dalam rumah dengan hanya berkain pelikat tetapi tidak berbaju. Kemudian datang seorang tetamu memberi salam.

"Dalam Islam salam hanya diberikan sehingga tiga kali sahaja dan apabila salam ketiga tidak disambut, maka tetamu itu akan faham bahawa tuan rumah tidak mahu menerima sebarang tetamu.

"Bagaimanapun, sekarang ini 'rumah' saya telah diketuk sampai sepuluh kali dan bagai nak roboh tetapi masih juga tetamu itu tidak mahu balik. Apa yang boleh saya katakan, Allah melaknat orang-orang yang menyebarkan fitnah walaupun ketika sedang tidur," katanya.

Berani bersama Waheeda sebagai pasangan suami isteri dalam Cafe Akhil Hayy musim kedua membawa cabaran yang bukan sedikit buat ikon eksklusif pertama Astro Oasis itu.

Menjaga adap

Siri 13 episod Cafe Akhil Hayy musim kedua bersiaran pada setiap hari Rabu, pukul 7.30 malam di Astro Oasis (saluran 106 Astro) bermula 29 April lalu.

Pernah ditemukan dalam program Astro, Hijrah Remaja sekitar tahun 2006, Akhil memuji keterampilan Waheeda serta pembawakannya yang dilihat mampu menyebarkan dakwah dalam programnya itu.

Bukan mahu menyimbah minyak ke dalam bara dan mengapi-apikan gosip cinta di antara mereka yang heboh seantero negara, tetapi atas dasar dakwah, niat baik menyatukan mereka dalam satu program disambut baik oleh pasangan penyanyi ini.

"Selebriti bertudung seperti Waheeda boleh dibilang dengan jari, cantik di luar dan cantik di dalam. Perkara utama yang saya lihat, dia begitu menjaga adap dan penampilannya.

"Di sini, kami bukan merayu, tetapi menyeru. Saya tahu Waheeda mampu buat kerja dakwah. Ini ketentuan Tuan punya dunia. Waheeda ada cara dia dan saya ada cara saya sendiri," katanya.

Bercerita tentang pelantikannya sebagai ikon eksklusif Astro Oasis, menurut Akhil, ia merupakan satu tanggungjawab besar buat dirinya.

"Saya terlibat dengan program Marhaban di Astro daripada musim pertama hingga keempat dan daripada situ, mungkin pihak Astro Oasis nampak sesuatu dalam diri saya.

"Impaknya, apabila mereka nampak saya yang dulunya terlibat dalam seni kemudian menyepi seketika dan kini kembali dengan imej berkonsepkan Islamik. Bukan saya nak tunjuk pandai tetapi anggap ia sebagai satu amanah," katanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: