iDAN

08 Januari 2010

Apa dosa kami (Ceritera)



Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Sekiranya anda menganggap memeritkan menghadapi cabaran kehidupan semasa, ada sepasang suami isteri warga emas di sini hidup lebih perit kerana terpaksa menjaga empat anak yang dilahirkan cacat tanpa mendapat sebarang pembelaan daripada mana-mana pihak.

Empat beradik itu yang tinggal di sebuah flet di Bandar Baru Kangkar Pulai di sini cacat penglihatan, pekak, penyakit mental, lembam dan tumbesaran terbantut sejak dilahirkan.

Lebih menyedihkan, seorang daripada mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila menjadi mangsa rogol dan kini mempunyai seorang cahaya mata berusia setahun setengah.

Ada bomoh pula berpendapat nasib menimpa empat beradik terbabit akibat hasad dengki pihak tertentu seperti didakwa ketua keluarga berkenaan, Othman Hassan, 69.

Menurut Othman, anak sulungnya, Umi Kalthom, 38, mengalami pembesaran yang terbantut, anak kedua, Milhan, 36, pula buta dan pekak, manakala Sofiah, 33, mengalami masalah lembam dan anak bongsunya, Fatimah, 31, mengalami gangguan mental.

Katanya, walaupun hidup dalam serba kekurangan dengan menyara keluarga sebagai pengawal keselamatan, dia tidak mempunyai pilihan daripada terus membanting tulang untuk menjaga dan menyediakan keperluan empat anaknya.

Othman juga perlu menyediakan bekalan makanan untuk dua cucunya yang berusia tujuh bulan dan satu setengah tahun.

“Walaupun seorang daripada anak saya menjadi mangsa rogol lebih setahun lalu, saya tidak ada pilihan melainkan memeliharanya kerana dia tidak berdosa.

“Mereka semua kini di bawah tanggungjawab saya dan saya tidak pernah terfikir untuk lari daripada tanggungjawab ini,” katanya ketika menerima kunjungan daripada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pengerusi Biro Kebajikan, Kesihatan dan Bencana Alam Umno Gelang Patah, Dr Zaini Abu Bakar di sini, semalam.

Menurut Othman, dia dan isterinya, Jamilah Ariffin, 68, sanggup bergolok bergadai dan melakukan sebarang pekerjaan halal selagi terdaya demi menyara empat anak kurang upayanya itu.

“Bukan saya meminta kehidupan sebegini, tetapi sudah ditakdirkan menjadi bapa empat anak kurang upaya yang memiliki pelbagai kecacatan. Mereka darah daging saya.

“Selagi saya masih hidup, saya pastikan semua anak saya cukup makan dan minum biarpun tidak mampu menyediakan mereka kehidupan selesa seperti bapa lain.

“Namun, saya berharap ada pihak yang prihatin dan menyalurkan bantuan kepada kami supaya mampu meringankan beban keluarga,” katanya.

Difahamkan, seorang penduduk di flet berkenaan yang prihatin mengadu nasib keluarga itu kepada Umno dan JKM supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka.

4 ulasan:

yangmanis berkata...

Abg Idan,
Saya baru baca post yg ini. Memang kesian sungguh kan.. Ada juga orang yang nasib hidupnya sungguh malang camni. Barulah sedar yang hidup kita jauh lebih baik dari yang tak bernasib baik.

Kalau difikir, kenapa ya Allah menguji sesetengah orang sebegini hebat, dan ada yang hidup senang lenang tanpa banyak ujian. Pasti ada sebab musabab dan rahsia di sebaliknya yang kita tak mengerti..kan?

Kita bersyukurlah di atas segalanya..alhamdulillah

iDAN berkata...

Sdr Apokalipso;

Kekayaan itu juga satu ujian. Penyakit paling nyata jika orang kaya ialah egonya. Sering bila menjadi kaya kita lupa diri; tak ingat saudara mara malahan ada yang sampai orang kampung datang ke rumah pun tidak lagi diraikan apatah dihidangkan air.

Kehidupan keluarga Othman & Jamilah ini bukannya skrip atau drama yang kita buat tetapi ada penderitaan tragis yang memang amat menguji jiwa. Maka itu bilamana kita ditimpa bencana janganlah kita bandingkan kehidupan mereka yang lebih sempurna dari kita tapi bandingkanlah kehidupan mereka yang lebih derita agar kita dapat nikmat rasa bersyukur.

Maka itu saya sanggup meninggalkan bidang kerjaya seawalnya lantaran saya tak sangup lagi melihat di dunia nyata ramai kalangan kita semakin ego & lupa diri. Gila pangkat pun suka menjadikan rakan kerja sebagai batu loncatan.

Sering tindakan kita melukakan hati orang lain tanpa rasa ihsan atau simpati dengan masalah orang lain. Ramai kalangan kita semakin susah hati melihat kebahagiaan orang lain; amat bahagia melihat penderitaan rakan kita sendiri.

Sikap manusia sekarang nampaknya lebih mementingkan diri semakin membuangkan sifat baik, tak kenal ukhuwah & saling membiarkan rakan yang perlukan bantuan sakit sendiri.

Kemanusiaan kita semakin terhakis!.

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Sebak hati rasa baca entry ni. Kadang2 bila saya mengeluh nasib saya, saya terlupa bersyukur. Tapi dengan ada entry2 mcm ni selalu buat saya tersedar betapa banyak kelebihan yang Allah berikan pada saya... dan saya terlupa untuk mensyukurinya. MasyaAllah..

iDAN berkata...

Sdr Liana

Di kampung saya yang masih terpencil masih ramai ihsan yang hidupnya amat miskin & serba kekurangan.

Semiskin kita di bandar dapat juga ke Giant merasai nyamannya udara kota tetapi di kampung apalah yang ada; jika atap rumah sekadar zink yang berkarat & bocor ketika hari hujan!.

Jika kita rajin kembara mesti ketemu manusia yang masih amat perlukan bantuan kita.