iDAN

18 Jun 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 8 (Singgahsana)

~

Durian Guling 7


Afiz bersemangat betul mencandat

Aku mengandaikan perjalanan ke unjam pertama sekitar sejam sahaja. Jika jauh sangat ke laut dalam tentunya belum pasti akan mendapat air yang cetek. Secara lojiknya amat payah mahu mencandat sotong di perairan dalam berbanding perairan cetek. Mencari unjam inilah yang peranan tekong, awak-awak & kami sebagai tetamu manalah tahu. Apatah lagi keluasan laut yang tentunya amat asing bagi kami. Lagilah amat asing buat si Aziq & Afiz. Aku tak pasti Nuzul juga biasa mencandat sotong. Aku memang kurang berbual dengan dia biar pun satu fakulti. Cumanya aku adalah peminat dia lantaran Nuzul adalah wakil fakulti tiap kain perlawanan bola sepat. Dia seorang penyerang yang sasa & kemas. Itu di padang, di laut aku juga berharap sedemikian.

Sejam lebih baru lah kami tiba di perairan Pulau Kapas. Deretan bot yang berpesta mencandat memang banyak kelihatan. Meriah amat. Keghairahan membalingkan candat ke dasar laut mula teruja. Aku & anak-anak menggunakan candat yang di sediakan oleh awak-awak yang ramah sejak tadi. Semuanya menggunakan koyan. Aku membiarkan joran & kekili di dalam kotak simpanan. Nuzul & Skukria menggunakan joran, kebanyakan matanya awak-awak ramah yang tolong ikatkan. Cara Terengganu. Hari menjelang magrib, aku lihat Afiz begitu semangat menghayun tali koyan. Sesekali dia menggulung tali koyannya. Patutnya tidak begitu limpahkan saja tali koyan di lantai bot; jika talinya kasar. Payah berpugut. Aziq pun amat bersemangat. Nuzul sebelah kanan bot nampak segak dengan jorannya. Selamba berdiri biar pun aku lihat ombak menguncah amat geloranya. Sesekali dia menyedut sigarnya. Aku ada membawa Nusantara tetapi tak berani mahu mencapainya. Sebab bau disel teramat kuat. Mabuk laut nanti; oh! jangan.



Kedalaman laut di unjam ini amat terasa. Aku menggunakan batu saiz dua belas pun terasa amat dalam dasarnya. Melayang entah ke mana; apakah arusnya deras. Tak pasti. Kebanyakan mata candat yang disediakan awak-awak ramah bermata dua, yang bawahnya berbadan padu, satu lagi jenis yang ringan seperti aku guna rona merah putih; Banyak aku sediakan ketika aku ke kedai Aboi Seri Kembangan. Candat bermata padu ini aku tak temui lagi. Pertama kali aku melihatnya.

Aku ada mengajar Afiz & Aziq semasa di darat bagaimana taktik mahu mencandat; sotong ini bukan perlu direntap bagai ikan. Bagai memancing udang juga. Jika direntap terlepaslah sotong tersebut. Bila terasa berat sahaja bagai tersangkut sampah tariklah tali koyan perlahan-lahan. Apakah Aziq & Afiz ingat akan pesanan aku. Taktik mencandat. Masalahnya jika air dalam bagaimana mahu terasa sotong lekat di mata candat. Apatah lagi mereka yang tak pernah punya pengalaman mencandat sotong; rasanya memang payah.

Langit senja semakin memerah berlatar oren; bagaikan lukisan yang tumpah rona-rona kemerahan & oren di kaki langit. Langit penuh dengan awan, petanda kurang sedap di hatiku. Jika awan penuh berarak bagaimana bulan mahu mengambang. Tanpa cahaya bulan memang anak cucu sotong di Kuala Terengganu tak akan keluar. Laut gelap pastinya menjanjikan ikan besar atau perbagai ancaman buat keluarga si sotong. Pengalaman aku ketika mahu senjalah banyak sotong keluar berpesta. Tetapi kami memang mahal rezeki; tak seorang pun dapat barang se ekor sotong di unjam pertama. Lengoh tangan menghayun candat.

Hinggalah langit makin gelap lampu untuk menggamit sotong dipasang terjonggol mengadap dasar laut. Sotong masih berlindung di lubuknya. Tekong mengarahkan kami mengangkat semua mata candat. Mencari lubuk lain. Terasa kecewa di dalam hati. Nak buat bagaimana jika memang ini rezekinya. Nuzul yang tangkas menjaring bola pun masih gagal menemui kelibat sotong. Pak Ya nampak terduduk di bucu bot.

Mencari rezeki di laut bukannya bagai memikat burung di darat. Jalil yang pakar pikat burung merbuk hanya menggunakan jebak & seekor merbuk pemikat yang galak suaranya. Berpusu-pusu merbuk lain yang datang. Jantan betina. Di laut nak panggil dengan apa. Aku tak pasti apakah bot kami ada Sonar; jika ada sonar pun dapatkah ia mengintip sotong. Setahu aku Sonar cuma pandai berhubung dengan ikan. Jika Sonar pun tak ada dalam bot memancing; emmm! ibarat pemancing memancing ikan di kolam renanglah jadinya. Bergantung kepada takdir sahaja untuk menjejak penghuni laut yang liar lagi ganas ini.

- bersambung



Apa itu Sonar

Bagaimana Sonar Berfungsi.

Perkataan sonar adalah singkatan daripada “SOund, Navigation, Ranging” . Pada asalnya, ia dicipta untuk menjejak kedudukan kapal selam pihak musuh semasa Perang Dunia Ke-2. Satu sistem peralatan sonar yang berfungsi memerlukan “Transmitter” , “Transducer”, “Receiver” dan “Display”.

Secara asasnya, tenaga elektrik akan dihasilkan oleh Transmitter dan ditukarkan kepada gelombang bunyi oleh Transducer yang kemudiannya disebarkan ke dalam air. Apabila gelombang bunyi tersebut bertembung dengan objek , ianya akan memantul balik. Pantulan gelombang tersebut akan diterima semula oleh Transducer. Transducer pula akan menukarkan semula gelombang bunyi tersebut kepada tenaga elektrik. Receiver akan menggandakan tenaga elektrik tersebut sebelum isyaratnya dihantar ke skrin pemapar (Display). Disebabkan pergerakan gelombang bunyi di dalam air mempunyai halaju yang tetap, kitaran di antara transmisi isyarat dan pantulan gelombang dapat dikira dan jarak sesuatu objek dapat dikenal pasti. Proses ini akan berlaku berulang kali setiap saat.

Di pasaran, kebanyakan transducer yang dijual menghasilkan frekuensi bunyi antara 50kHz sehingga 200kHz. Walaupun frekuensi tersebut berada di dalam lingkungan spektrum bunyi, ianya tidak dapat dikesan oleh sistem penderiaan manusia mahupun ikan.

Tiada ulasan: