iDAN

11 Jun 2009

Lambaian Kampung Durian Guling... Candat Sotong 7 (Singgahsana)

Durian Guling 6


"Tu... dia botnya dah sampai Abg iDAN!"

"Mana satu?.."

"Yang nombor 32 tu...!"

Nampak agak kecil berbanding bot Pak Senon yang pernah aku naiki dulu di Kuala Terengganu juga, nampak lama. Aku, Syukria, dua anakku Aziq & Afiz, Pak Ya & Nuzul. Enam orang. Adik Syukria yang masih berdarah manis tak jadi nak turun ke laut. Aku lihat Mila & anak-anak bersalaman, aku terus menaiki bot & duduk di belakang bot. Kami bebas nak duduk di mana. Ada sesetengah trip memancing, tempat duduk pun kena cabut undi.

Selalunya jika aku mengikuti Fairus pun Che Wan memancing; tak kira sangat tentang tempat duduknya. Lagipun hasil tangkapan dikira sama rata. Jika berenam memancing akan dibahagikan enam, tak kiralah adik beradik atau ayah & anak. Tak kiralah mabuk atau tak pandai memancing. Jadi tak timbul masalah hasil tangkapan, maka apa bedanya tempat duduk. Yang kerap membezakan tempat duduk & tangkapan adalah kaum cina.



Cuaca asar kini agak cerah, awan nampak terang; ombak laut pula sederhana. Tali ikatan bot dibuka & kami memulakan pengembaraan ke laut. Saat paling ghairah tiap kali ke laut; adalah mulanya belajar meninggalkan jeti. Tak siapa pun sifu mencandat sotong antara kami. Aku baru tiga kali mencandat sotong. Dua kali sebelum ini gagal. Pertama di Penyabong, sotongnya hanya timbul sekejap waktu magrib kemudian tiada. Kedua kalinya dengan bot Pak Senon di Kuala Terengganu juga, aku tumbang pertama kali mabuk laut.

Aku nampak lambaian Mila, Azim, & Anif. Orang rumah Pak Ya dan anak kecilnya. Mereka akan pulang ke calet bersama dengan Avanza. Isteri Syukria & adiknya pun ada di jeti.

"Aziq mari dekat ayah ni, sebelah sana tu kuat bau minyak, nanti Aziq mabuk pula dengan bau minyak tu..!" Kuat amat bau minyak disel dari enjin bot. Ombak satu hal yang membuat kita mabuk ke laut. Bau disel juga satu punca antara yang buat kita mabuk laut.



Aziq & Afiz nampak ceria lantaran inilah kali pertama mereka ke laut. Aku sendiri tak ingat lagi ini kali ke berapa aku turun ke laut; memancing atau mencandat sotong. Sejak kenal Fairus memang aku rajin ke laut. Sebelum itu pernah sekali dengan geng KKA ke Pulau Angsa. Bersama Mail Besar, Mail Kecil & Joha. Penyabong rasanya telah tiga kali, Sedili pun rasanya sekitar tiga kali, jadi mungkin ini kali ke belasan. Tidur di Kelong Lukut sekali.

Seingat aku paling seronok kenangan memancing adalah bersama Pak Wahid, Sharil Smart Fairus & Fareez di Penyabong. Selebihnya mungkin dengan geng orang Johor & Che Wan di Sedili. Seronok ke laut lantaran tekong & awak-awaknya yang baik.

Di bot ini aku lihat ada tiga orang awak-awak. Seorang tekong. Ada seorang awak-awak yang begitu ramah; muda lagi. Sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Kapas dia sentiasa mengajar bagaimana mengikat mata candat dan lain-lain. Seorang lagi awak-awak aku lihat senyap atas bumbung pondok bot. Seorang lagi tidur dalam pondok. Tekongnya aku pun tak pasti namanya tak keluar langsung dari bilik kemudi; Syukria pasti kenal semua mereka sebab katanya semuanya orang kampung dia.



"Tenguklah air laut ini Along, nampak hijau semacam, jika kita di tengah laut; nampak airnya biru amat..!" Aku menunjukkan betapa indahnya laut kepada Afiz. Aku juga berpesan agar jangan banyak sangat tenguk ombak takut cepat mabuk. Banyakkan tenguk ke langit jika terasa pening dilambung ombak. Biar pun masing-masing telah telan dua biji ubat mabuk tak semestinya selamat dari serangan mabuk laut.

Bau disel masih tak reda, biar pun duduk di mana bahagian belakang. Jadi aku membuat keputusan duduk di hadapan bot. Mengajak anak-anak ke depan bot. Faham sahajalah jika duduk di depan; ombak nampak ganas merembas kami. Pakaian aku hampir basah ditempiasi ombak.

- bersambung

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila nak abis citer nih abg idan??dah 2 bulan saya ikuti sirinya...hehehe

iDAN berkata...

Lorr!... ingatkan tak ada yang baca!... sebab faham2 sajalah menulis sorang-sorang kemudian tak ada siapa pun respon! ingat nak lupakan saja ceritera ini.

Bagaikan semuanya telah hilang dari kotak ingatan... hihihi!