izawan@hmetro.com.my
PETALING JAYA: “Meskipun keputusan ini berat, demi maruah serta prinsip hidup, saya halalkan wang RM83,000 itu dunia dan akhirat,” demikian kata putus Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar sebagai titik noktah kemelut antara penyanyi tersohor itu dengan komposer terkenal, S Atan.
Bagaimanapun, Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah berkata, dia sama sekali tidak akan memohon maaf kepada S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said kerana menganggap tindakan peguam komposer itu menggunakan media untuk menuntutnya meminta maaf secara terbuka sesuatu yang mengarut.
“Saya tahu undang-undang...sepatutnya peguamnya menghantar surat kepada saya atau peguam saya mengenai tuntutan maaf itu, sebaliknya dia beri kenyataan kepada media.
“Bagi saya ia sesuatu yang kelakar dan saya tak akan minta maaf kerana saya berada di pihak yang benar serta mangsa dalam perkara ini. Saya bukan mahu mengalah tapi memberikan lebih kepada S Atan.
“Jika sebelum ini saya memberikan S Atan tempoh sehingga esok (hari ini) supaya mengembalikan semula wang itu, kini saya halalkan wang itu kerana percaya Allah akan memberikan lebih lagi kepada saya,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini, semalam.
“Wang RM83,000 itu bukan sedikit dan bayangkan dengan duit itu, saya boleh membeli berapa banyak rumah kos rendah untuk mereka yang memerlukan.
“Tetapi biarlah, saya mahu teruskan hidup ini dengan gembira, terutama di bulan Rejab ini. Selepas ini, saya tak mahu ada apa-apa kaitan lagi dengan S Atan tapi ingin saya tekankan, saya tak pernah membenci atau mendoakan sesuatu yang tidak baik kepadanya,” katanya.
Kak Pah menjelaskan, dia memberi tempoh kepada S Atan supaya perbincangan dapat dilakukan untuk memperbetulkan kembali album itu mengikut apa yang dipersetujui dalam kontrak tetapi tidak menyangka keadaan menjadi semakin teruk apabila S Atan memberi kenyataan balas yang menghiris perasaan.
“Saya dedahkan perkara itu (album tertangguh) kerana tak tahan dengan pertanyaan daripada wartawan dan peminat mengenai album terbaru.
“Perkara ini bermula disebabkan sifat jujur, ikhlas dan spontan kerana itu adalah saya selama ini. Hitam saya katakan hitam, putih saya katakan putih. Saya sedar dia akan marah tapi tak menyangka dia akan berkelakuan seperti kanak-kanak.
“Tidak mengapalah sekarang saya mahu ‘tutup buku’ dan tidur lena tanpa perlu memikirkan lagi perkara ini,” katanya.
Ditanya sama ada sudah memilih komposer baru untuk pembikinan semula album berkenaan, Kak Pah berkata, buat masa ini, dia mahu menumpukan kepada persembahannya pada 17 Julai ini.
“Hati saya masih terluka dengan apa yang berlaku, biarlah selepas persembahan itu tamat baru saya fikirkan komposer mana sesuai untuk menyiapkan album berkenaan,” katanya.
Kemelut antara Kak Pah dan S Atan bermula apabila penyanyi itu membuat pendedahan mengeluarkan wang RM83,000 untuk pembikinan album terbarunya tetapi mendakwa komposer itu tidak merakamkan muzik secara langsung seperti dijanjikan, sebaliknya menggunakan program komputer.
Penyanyi yang popular dengan lagu Hapuskanlah Air Matamu dan Bunga Tanjung itu turut memberi tempoh kepada S Atan sehingga hari ini untuk memulangkan semula wangnya jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, S Atan menerusi Harian Metro pada 22 Jun lalu menafikan dakwaan itu dan mendedahkan sebahagian besar wang itu digunakan untuk membiayai kos pemain muzik dan studio.
S Atan menerusi peguamnya, Mohd Effendy Rosley, Sabtu lalu pula memberi tempoh 14 hari kepada Kak Pah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan