iDAN

19 Jun 2009

Radhi kena waran tangkap lagi (Hiburan)

PETALING JAYA: Biarpun sudah ditegur Hakim Mahkamah Syariah sebelum ini, vokalis kumpulan OAG, Radhi sekali lagi gagal hadir bagi prosiding kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh isterinya.

Semalam ditetapkan untuk sebutan semula bagi membolehkan Radhi atau Mohd Radhi Razali, 32, memfailkan pembelaan terhadap permohonan isterinya, Shazlin Sharif, 30.

Sebelum ini, mahkamah sama sudah memberi amaran dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Radhi bagaimanapun ditarik semula selepas penyanyi itu hadir pada sebutan lalu.

Pada sebutan 2 Jun lalu, Hakim Syarie Ghazali Ahmad menangguhkan kes itu selepas Radhi tidak bersetuju dengan permohonan Shazlin dan mahkamah memerintahkan dia memfailkan penyata pembelaan.

Dalam prosiding semalam, Hakim Syarie Ghazali membenarkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Radhi selepas peguam syarie Noorafizah Abdul Azis yang mewakili Shazlin membuat permohonan itu.

Mahkamah menetapkan 7 Julai ini untuk perbicaraan.

Sementara itu, Shazlin ketika ditemui di luar mahkamah, berkata dia ada menghubungi Radhi sebelum jam 9 pagi dan dimaklumkan oleh suaminya bahawa dia lambat kerana tidak mempunyai kenderaan.

Sebelum kes bermula, Shazlin sekali lagi menghubungi Radhi tetapi gagal bagaimanapun dia mengakui ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung tarikh sebutan baru bagi kes itu.

Shazlin memfailkan pengesahan lafaz cerai Radhi di rumah mereka pada 15 September tahun lalu dan kali kedua pada 25 Februari lalu dengan lafaz `Aku ceraikan kau (Shazlin) dengan talak tiga terus’ melalui telefon.

Harian Metro

Tiada ulasan: