Ada beberapa Siri yang masih belum selesai di jurnal@blogku maka ini aku akan cuba menyudahkannya.
Melihat kotak ikan yang telah penuh dengan perbagai ikan unjam & karang tentunya telah meredakan rasa resah desahan ombak. Desahan ombak selalunya petanda halimunan, ikan pasti lari. Kebanyakan yang menaikkan ikan unjam adalah Pak Ali & Pak Arip. Mereka berdua menggunakan koyan bermata panjang. Ajak, Brother Joe begitu rajin dengan perbagai kemahiran yang ada untuk memujuk ikan naik ke bot. Brother Joe menggunakan perbagai mata dari kekili yang dihadiahkan oleh ayahnya. Kira-kira berbekalkan kekili pusaka yang tentunya telah pun hanyir dengan sentapan ikan di laut. Amirul masih termangu dengan mabuk laut. Lena di pondok bot.Angin basah dari tenggara yang membawa deruan ganas terusan menguncahkan tenang laut. Bot menjadi bagaikan buaian besar bertalikan ombak ganas yang pastinya tambah melenakan tidurnya si Amirul. Aku yang sedari awal menelan ubat-ubatan pakej tua termasuk ubat tahan muntah nampaknya masih bertahan. Bilamana melihat sambaran ikan yang banyak tentunya menjadikan semangat semakin tinggi terus memancing.
Bilamana ombak semakin tenang. Tekong kami Abg Mat menuju ke unjam seterusnya. Hanya bot kami sahaja yang berada di Karang Ngah ketika itu. Banyak kedapatan camar laut berterbangan menangkap anak ikan di unjam ini. Petanda banyak ikan. Selang sekitar tak sampai sepuluh minit, joran Che Wan disambar ganas oleh warga laut. Apakah Dewi Tenggiri. Kami menaikkan semua joran takut terbelit tali pancing. Rentapan agak ganas, sesekali nampak bagaikan ianya mahu terlepas, melompat ke permukaan laut. Masing-masing teruja tertanya-tanya ikan apakah gerangan. Bila dekat dekat bot barulah kenal kelibatnya si ikan banang. Suku sakat si todak yang melanggar Singapura.
Brother Joe memasang tak kurang dua atau tiga set pancing. Tetiba salah satu pancingnya direntap kuat, Fareez yang berdekatan dengan pancing Brother Joe; merentap agar mata kail menyusuk mulut si ikan. Agak lama juga Fareez bertarung dengan warga laut ini, aku terbayang akan selendang Dewi Tenggiri telah terlerai. Bila ianya naik ke bot kami, ternyata sekadar Inang Tenggiri seberat sekitar 8 kilo. Boleh tahan besarnya. Tenggiri kedua. Yang anehnya bukan sangkut di mulut tapi di badannya. Pastinya si Inang tengah beronggeng terkena selendangannya laut tersangkut di pinggangnya. Teringat si Azim anaku yang bungsu di rumah yang suka amat makan daging tenggiri, setidak-tidaknya telah dapat kami sediakan barang sekeping juadah daging tenggiri buat keluarga.
Mentari kian meninggi, Pak Arip makin sibuk di dapur dibantu oleh Pak Ali. Tentunya kami akan makan ikan kembung, selar segar; goreng pun sedap. Apatah lagi Pak Arip buat masakan asam pedas. Siap dia buat sambal belacan. Menyelerakan.
Aku begitu yakin unjam ini banyak penghuni sang tenggirinya. Selang beberapa ketika pancing Aru pula direntap ikan besar. Che Wan menyambar set pancing. Aku memang perasan Aru selalu membiarkan pancingnya terdongak sendirian, senyap-senyap aku ikatkan ianya di badan bot. Serba salah aku, memang Che Wan suruh aku guna pancing yang itu; tapi Aru yang tetiba menyambarnya; mahu pakai pancing yang mana pula dia kalau kurampas semula. Belum pun sempat kami menaikkan tali pancing, tali pancing Aru telah pun tersangkut sesama sendiri. Che Wan menggunakan kepakarannya agar tali tidak putus, ikan dapat dinaikkan. Ianya berjaya tapi masih bukan Dewi Tenggiri. Inang Pengasuh Tenggiri juga yang sudi bertandang seberat kira 5 kg.
Amirul telah bangun, mungkin telah puas tidur. Dia terus mencari jus buahannya. Tenguk dia minum alangkah sedapnya, maka aku pun terasa perut sudah kian keroncong. Kami pun makan tengah hari dengan juadah yang disediakan menunya oleh Pak Arip dibantu Pak Ali. Ikutkan hati memang habis seperiuk aku baham gulai asam pedas Pak Arip. Sedap amat masakan Pak Arip. Terutama sambal belacannya. Pedas pun sedap. Setanding dengan sambal belacan arwah makku tumbuk.
Che Wan bersama layaran, ikan ini hanya boleh dipancing
tetapi tak boleh dimakan ... dilepaskan semula ke laut.
tetapi tak boleh dimakan ... dilepaskan semula ke laut.
Pertama kali aku naik bot bertandas. Jadi apa risau jika teringin makan banyak, selagi selera masih ada makan saja. Lupalah kata kitab, maunya dituruti! ... berhenti sebelum kenyang, Huh! berhenti selagi tak kenyanglah jawabnya.
Amirul biasalah, selera makannya ada tapi faham-faham sahajalah orang mabuk laut. Makan mesti keluar balik. Kasihan dia asyik tunduk di bendul bot menatap permukaan laut tak henti-henti muntah. Tapi Amirul ini penuh semangat, masih cuba bangun memancing bersama ayahnya.
- Bersambung
sila klik sini awal ceritera Dewi Tenggiri
*
Tiada ulasan:
Catat Ulasan