iDAN

30 Julai 2009

Merancang kewangan persaraan (Ceritera & Ulasan)


SEKIRANYA perancangan awal kewangan untuk berdepan fasa persaraan tidak dilakukan, ia pasti menjadi fasa hidup yang amat membebankan.


APABILA berbincang mengenai hari persaraan, ramai di antara kita yang mengambil mudah fasa hidup itu. Walaupun ia satu peringkat di mana kebanyakan kita menjalani kehidupan yang lebih rileks, namun itu tidak bermakna kewangan kita juga akan begitu.

Saya suka menggambarkan hari-hari persaraan itu seperti hari-hari huruf merah! Apakah dia hari-hari huruf merah?

Setiap kali kita perhatikan kalendar di atas meja, di dinding mahupun dalam diari, satu perkara yang nyata, hari Ahad dan hari cuti umum adalah hari-hari yang ditanda dengan huruf merah.

Ia adalah hari kita meluangkan masa yang banyak dengan suami dan anak-anak selain waktu untuk pergi membeli-belah.

Tanpa kita sedari, apabila kita lihat semula catatan atau skor simpanan kita, hari Ahad atau cuti umum merupakan hari yang menuntut perbelanjaan yang tinggi.

Manusia semakin panjang umur

Hari ini manusia mampu hidup lebih lama. Ia adalah satu berita baik, tetapi pada yang sama, ramai yang tidak menyedari ia juga boleh menjadi berita buruk. Kebaikannya kita boleh menikmati hidup yang lebih panjang dengan orang tersayang.

Tetapi, berita buruknya adalah biasanya ia turut melonjakkan keperluan kewangan kita selepas pencen.

Perbelanjaan seharian

Selalunya apabila sudah bersara, kita akan mengurangkan pengambilan makanan yang kurang berkhasiat seperti makanan berminyak, gula, garam berlebihan dan makanan karbohidrat.

Tetapi, apabila kita memilih makanan yang berkhasiat, harganya pula selalunya tinggi.

Apa tidaknya, kalau kita membeli makanan organik, ikan berisi putih, sayur-sayuran yang diimport dan sebagainya, perbelanjaan setiap hari dan kos pembiayaannya amat tinggi.

Satu perkara yang perlu diambil kira adalah pengambilan ubat-ubatan yang terbaik dan pelbagai vitamin akan menentukan kesihatan kita menjelang hari tua nanti.

Kos pembiayaan perubatan

Memang menjadi satu kebiasaan apabila umur semakin meningkat, banyak pula penyakit yang tidak diingini datang menjenguk.

Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, sakit lutut dan sendi-sendi masih boleh lagi dirawat dengan membeli ubat-ubatan dari farmasi.

Tetapi, apabila penyakit-penyakit kronik seperti serangan jantung, angin ahmar, kanser dan sakit buah pinggang datang menyerang, kos pembiayaan kesihatan akan meningkat sehingga dua atau tiga kali ganda.

Di sinilah, wang simpanan yang cukup, memainkan peranan penting apabila sudah bersara.

Bersara dengan gaya hidup terbaik

Kita boleh memilih gaya hidup yang kita idamkan setelah kita bersara. Persaraan tidak bermakna kita akan meringkuk dalam kegelapan dan kesusahan.

Marilah kita sama-sama merancang kos gaya hidup hari-hari persaraan dengan baik seperti mana yang kita impikan.

Jadi apabila tibanya masa bersara, ia merupakan satu permulaan hidup baru yang menyeronokkan.

Ia menjadi fasa yang lebih tenang untuk kita beribadat atau melakukan hobi-hobi diminati yang tidak sempat dilakukan dahulu kerana sibuk dengan kerja.

Masa inilah juga kita melancong ke mana saja yang kita inginkan dengan suami atau isteri yang tercinta.

iDAN:

Ini yang pernah aku tuliskan agar kekawanku yang masih berkerja kenalah menabung. Jangan terlalu boros berbelanja. Kerana masa mendatang tak siapa akan menduga. Sakitkah kita, kayakah kita, selesakah kehidupan kita atau perbagai kemungkinan yang bakal kita akan tempohi.

Seperti aku kini yang terpaksa bertapa di rumah lantaran masih kurang duit simpanan untuk kembali ke kampung halaman, tambahan pula isteri masih mahu berkerja.

Teringat aku akan En Razak yang mana terpaksa tinggal sendirian di Terengganu lantaran isteri masih mahu berkerja di Selangor. Bayangkan bukan dekat jarak perjalanan jika mahu ketemu keluarga di Selangor. Kes En Razak dia mampu membina rumah idamannya di Terengganu tetapi lantaran tuntutan kerja seorang isteri maka dia terpaksa sering berjauhan dengan keluarga tercinta setelah bersara. Itu masalahnya jika berumahtangga dengan pasangan yang amat jauh jarak umur & tidak sebaya.

Impian aku pula mahukan kembali ke kampung halamanku untuk memulihkan harta pusaka arwah apak tetapi memandangkan wang simpanan yang masih belum mencukupi pun ganjaran pencen yang teramatlah rendahnya memaksa aku melabur dulu & menanti masanya matang. Terpaksa menunggu lagi dari terus bebas bergerak.

Aku baru pulang ambil darah di Kardio Hospital Serdang... mak datuk!!! banyaknya sampai lima tiub@balang. Biasanya di PKupm satu tiub sahaja. Sampai lambatlah amat darah mengalir. Sampai rumah saja terus terlelap.



1 ulasan:

asilahmuhajer berkata...

semoga cepat sihat semula dan kembali aktif.